Tuesday, December 15, 2015

SILATURRAHIM UMNO-PAS : SUATU KEIKHLASAN ATAU MUSLIHAT POLITIK.

TAHUN-TAHUN 2014-2015  adalah tempoh singkat yang sarat dengan cabaran bagi sebuah negara bangsa bernama Malaysia.Bermula dengan kehilangan Penerbangan Malaysia MH 370 pada 3 Mac 2014 yang telah mengorbankan lebih dari 200 penumpang dan kakitangannya dikuti pula dengan kejadian pesawat Penerbangan Malaysia MH 17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di bumi bergolak Ukraine dengan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan seluruh anak kapalnya .Ianya diikuti pula dengan terhempasnya sebuah pesawat tambang murah Air Asia di perairan Indonesia yang juga mengorbankan semua penumpangnya.Kemalangan serupa ini tidak pernah terjadi di mana-mana negara lain dalam dunia untuk diambil sebagai perbandingan.

2.Secara tiba-tiba pula dalam bulan Ogos 2015 bumi Kundasang dan Gunung Kinabalu bergegar dan bergoyang.Ia juga mengorbankan sebilangan pendaki meskipun bilangannya tidaklah begitu ramai.Lebih awal dari peristiwa tersebut juga di bumi Sabah terjadinya serangan bersenjata di Pantai Timurnya.Ia berlarutan berbulan-bulan yang juga turut mengorbankan pasukan keselamatan kita juga pasukan penyerang dari Selatan Filipina.Lebih awal dari itu pula Malaysia juga di uji dengan tempias Tsunami dalam bulan Disember 2004 apabila mereka yang berada di hadapan Selat Melaka menerima pukulan Tsunami.Dalam kita bersyukur dengan lembutnya Tsunami membadai pantai kita namun kita cukup mengetahui bahawa kesan Tsunami seperti yang terjadi di Aceh adalah sangat dahsyat.Ia membunuh ratusan ribu manusia dan memusnahkan harta benda bernilai beratus juta dollar.Apakah tidak terfikir bahawa pukulan Tsunami di Aceh atau goncangan bumi yang begitu dasyat memukul Indonesia akan juga datang ke negara kita.Jarak kita dengan Indonesia adalah sangat dekat dari segi geografisnya.Negara Kita tertegak di atas lantai bumi yang sama dengan Kepulauan Indonesia walaupun nampaknya kita terpisah oleh lautan yang luas.

3. Semua yang terjadi adalah mengikut ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah Maha Berkuasa.Tetapi perlu diingat juga bahawa setiap musibah yang diberikan Allah kepada manusia adalah supaya manusia yang menerimanya serta  melakukan muhasabah dan perhitungan diri supaya kita kembali ingat dan menyerah diri kepada Allah yang berkuasa ke atas sesuatu dulu,kini dan selama-lamanya.Yang terpenting dari segala-galanya bila kita ditimpa musibah kita perlu segera  bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhai Allah.

4.Amaran dan peringatan dari Allah kepada Malaysia tidak hanya di situ.Kedatangan banjir besar yang melanda beberapa negeri di Malaysia pada akhir tahun 2015 tentunya membawa sesuatu untuk aqal yang berfikir dan hati nurani yang merasa.Nasib baik juga air bah besar itu tidak sampai menenggelamkan seluruh negeri Kelantan atau Malaysia seperti mana yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam Kitab Suci Al Quran.Apakah Allah tidak mampu untuk melakukan semua itu.Bagi Allah seperti yang diakui sendiri olehNya adalah perkara mudah dengan Kun FayakunNya(Bila kata jadi jadilah).

5.Musibah Malaysia datang bertimpa-timpa pula dengan krisis politik,ekonomi dan sosial.Indeks jenayah di Malaysia sentiasa meningkat.Kejadian mencuri,merompak dan menyamun hampir terjadi setiap jam sedar atau tidak sedar,ditangkap atau dibebaskan.Mahkamah sentiasa sibuk dengan kes pembicaraan,kes-kes tertunggak bertimbun-timbun dan lambat untuk diselesaikan.Undang-undang yang ada sentiasa tidak lengkap dan perlu sentiasa diperbaiki untuk berdepan dengan kesalahan-kesalahan baru yang belum pernah berlaku sebelumnya.Polis,wakil rakyat,pemimpin-pemimpin masyarakat,pemilik-pemilik harta dan orang ramai menjadi begitu takut,tertekan dan sibuk dengan krisis jenayah yang terjadi di depan mata disekeliling pinggang setiap masa.

6. Dari George Town,Pulau Pinang; Yap Soo Huey Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Wanita Pulau Pinang (PWDC) melaporkan dalam tempoh 2000-2013 terdapat sebanyak 42,449 kes keganasan rumahtangga,31,685 kes rogol dan 24,939 kes cabul di Malaysia.Adalah dikatakan bahawa setiap 35 minit terdapat seorang gadis atau wanita menjadi mangsa rogol di Malaysia.BERNAMA dalam laporannya menyebutkan bahawa kebanyakan mangsa rogol melibatkan mangsa berumur bawah 16 tahun .Pada tahun 2013 sahaja remaja bawah umur yang terlibat adalah sejumlah 2,111 kes.Soo Huey berkata,menurut Kementerian Dalam Negeri ,sebanyak 28,741 kes rogol dilaporkan dari tahun 2005-2014 dengan jumlah 4,514 kes(16%) dihadapkann ke mahkamah dan daripadanya 765 kes (2.7%) dibuktikan bersalah.

7. Banyak lagi kes-kes jenayah lain yang patut disebut untuk membuktikan bahawa Malaysia berada dalam kegawatan sosial yang sangat perlu segera dibendung oleh segala kuasa dan kemampuan yang ada.kalau tidak Malaysia akan ditimpa oleh pelbagai musibah lain yang lebih parah di masa depan.

8.Percaturan baru dalam menyusun ekonomi dunia menunjukkan negara-negara besar melaksanakan manipulasi dan eksploitasi dalam menentukan hala tuju dengan mencari pendekatan dan helah untuk menguasai ekonomi dunia.Amerika sebagai sebuah kuasa besar dan China yang menyainginya bersaing di pentas dunia untuk merebut kekayaan .Masing-masing berhempas pulas bergelut dan bersaing untuk mendapat tempat menguasai ekonomi dunia.Persaingan negara-negara besar ini memberi impak kepada negara-negara kecil yang lain.Mereka samada mendapat manafaat atau semata-mata menjadi alat dan dipergunakan oleh kuasa besar untuk memenuhi cita-cita besar mereka.Malaysia tidak terkecuali dari terpaksa berdepan dengan cabaran itu.TPPA adalah satu dari model perancangan Amerika melaksanakan tujuan tersebut.

 9. Dalam sejarahnya, Malaysia didatangi  oleh beberapa musibah politik dan pentadbiran negaranya .Krisis politik bukan perkara baru di negara kita.Dalam masa pentadbiran ra YTM Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia ianya  digugat oleh perbalahan kaum sehingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.Pemerentahan MAGERAN (Majlis gerakan Negara) telah diwujudkan untuk memulihkan semula kaadaan negara yang dilanda krisis perbalahan kaum.Taragedi ini menjadi pemangkin kepada merosotnya keyakinan rakyat kepada kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang kemudian membawa kepada pengunduran beliau dari tampuk pemerentahan negara.

10. Dalam masa pentadbiran Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri juga ianya tidak terlepas dari berdepan dengan krisis yang besar.Keputusan yang diambil oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden UMNO menentang Dr Mahathir yang sedang memegang jawatan Perdana Menteri adalah sesuatu yang di luar dugaan kebanyakan orang UMNO pada masa itu.Keputusan untuk bertanding mencabar kedudukan  Perdana Menteri adalah suatu keputusan yang sangat berani dibuat oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah.Itu  telah menjadi sejarah.Sejarah juga telah mencatatkan bahawa Dr Mahathir hanya menang tipis dalam pertandingan yang sengit itu.Ini membawa kepada UMNO berpecah dua selepas itu apabila Tengku Razaleigh kemudian menubuhkan Parti Semangat 46.Pengaruh Tengku Razaleigh bukan sedikit membawa kecelaruan kepada pentadbiran Dr Mahathir apabila Parti Semangat 46 turut bertanding dalam pilihanraya 1991 yang berjaya meletakkan Parti PAS memerentah Kelantan dan dapat mengekalkan kekuasaannya sehingga ke saat ini di negeri tersebut.Untuk itu PAS wajar  berterima kasih dan perlu mengenang budi dan atas jasa atas bantuan  anak raja itu.

11. Sewaktu pentadbiran Tun Razak,Tun Hussin Onn dan Tun Abdullah Badawi tidak terdapat krisis yang dapat menggugat kestabilan negara.Zaman mereka agak stabil.Krisis politik tidak begitu ketara yang boleh menggugat kedudukan masing-masing sebagai Perdana Menteri.

12. Zaman pentadbiran Dato Seri Najib Tun Razak menjadi lebih istimewa.Suasana politik Malaysia telah berubah.Bukan setakat suasana politiknya di landa tsunami tetapi juga aspek-aspek hidup rakyat yang lain turut terkesan dengan  perubahan-perubahan di luar jangkaan.Malaysia mulai mengalami naik turun harga komoditi ekspot utama negara dengan kejatuhan harga getah,kelapa sawit dan diikuti oleh kejatuhan harga petrolium.Pada masa yang sama Malaysia juga menghadapi kejatuhan nilai matawang dibandingkan dengan mata wang Amerika.Pendapatan negara merosot berpuluh billion ringgit sehingga bajet tahunan negara terpaksa mengalami perubahan drastik di mana peruntukan untuk kementerian dan jabatan terpaksa dikurangkan.

13.Pelaksanaan dasar baru cukai GST bagi menggantikan SST yang telah lama berkuatkuasa memberikan kejutan besar kepada rakyat terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah.Ini berpunca dari kenaikan harga barang-barang keperluan di pasaran tempatan yang  melompat naik serentak dengan pelaksanaan GST itu.Rakyat menjadi gelisah dan kemarahan rakyat kepada kerajaan terus meningkat apabila langkah-langkah kawalan harga barang tidak berjaya dibendung oleh pasukan pemerentah.Parti-parti politik pembangkang pula segera memanaskan isu dengan menangguk di air keruh;memainkan isu yang wujud untuk mendapatkan sokongan pengundi.Para penyokong kerajaan sendiri menjadi keliru bila berdepan sesama mereka untuk menjawab mengapa sesuatu yang tidak patut berlaku sekarang telah berlaku.Kenaikan tambang kenderaan awam,kenaikan tol,menghentikan subsidi letrik misalnya telah menimbulkan kegelisahan rakyat dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri samada diperingkat bahagian atau cawangan.Kelantangan cakap dan bualan  menyokong kerajaan mulai menjadi kendur sewaktu mereka bersembang di kedai-kedai kopi.

14. Dalam situasi yang gawat panas itu sedikit sahaja minyak dicurahkan,maka apinya akan marak menyala.Itulah yang terjadi apabila timbulnya pula isu lebih hangat iaitu 1MDB dan kes kemasukan dana luar RM 2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.Pembangkang menggunakan media sosial sebanyak mungkin untuk menimbulkan kegelisahan sosial disamping meningkatkan tekanan kepada kerajaan UMNO khususnya Perdana Menteri.Pehak pembangkang dengan lantang mendesak Perdana Menteri meletak jawatan.Suara demikian juga datangnya dari kalngan orang-orang UMNO sendiri yang keciwa dengan apa yang berlaku.

15. YAB Dato Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri menghadapi tekanan yang lebih berat apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad menarik diri dari terus menyokong pentadbirannya.Serangan Dr Mahathir secara terbuka dan mendada terhadap DS Najib menjadikan populariti DS Najib semakin tergugat.Lebih dari itu ,DS Najib bukan sahaja mendapat tekanan dari dalam negara malah juga menerima tekanan dari luar apabila misalnya akhbar The Wall Straits Journal juga menggasaknya dengan isu 1MDB.

16. Senario politik Malaysia di dalam dan di antara parti-parti komponennya juga kelihatan sedikit gawat.MCA mengalami pergolakan yang agak berlarutan dengan melalui beberapa presidennya dari Dr Ling Liong Sik,Ong Tee Kiat dan Chua Sooi Lek.Kaadaan dalam MCA menjadi tenang dan reda apabila Liow Tiong Lai memegang jawatan Presiden.Beberapa pos Menteri mulai diberikan kepada wakil-wakil rakyat MCA yang dulunya ditolak semasa MCA dipimpin oleh Chua Sooi Lek.

17. MIC juga tidak berada dalam kaadaan stabil selepas Samy Vellu yang berkuasa selama 31 tahun melepaskan jawatan Presiden untuk diganti oleh G.Palanivel.Sikap Palanivel yang enggan berkompromi dengan rakan-rakan lain dalam kepimpinan MIC menimbulkan perpecahan dalam kalangan orang-orang India di Malaysia.Adalah diharapkan kedatangan Dato' S.Subramiam sebagai Presiden baru akan membawa dimensi dengan visi baru yang akan memperkukuhkan MIC dan memperolehi semula sokongan dari masyarakat India untuk MIC dan memperkuatkan semula pakatan dalam BN sendiri.

18. Kehilangan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA membayangkan kehilangan sokongan kaum berkenaan pula kepada Barisan Nasional itu sendiri.Dalam pilihanraya 2013 yang lalu ramai pengundi Cina telah beralih angin dengan memberikan sokongan kepada DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PAS dan PKR.Banyak calon-calon MCA menerima kekalahan walau pun bertanding di kawasan majoriti penduduk Cina.Masyarakat Cina Malaysia tidak lagi gemarkan MCA yang dikatakan menjadi pak turut kepada Barisan Nasional yang dikuasai UMNO sehingga kiepentingan kaum Cina tidak sepenuhnya di bela oleh MCA.

19.Semua perkembangan tersebut memberikan impak yang besar dalam perhitungan seorang Perdana Menteri untuk menyusun strategi politik baru bagi menghadapi cabaran-cabaran tersebut ke arah mempastikan kelangsungan kuasa dan ketahanan negara.Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perdana Menteri mesti memikirkan langkah dan pendekatan yang paling selamat dan sesuai dengan membaca persekitaran negara untuk menyelamatkan kuasa dan negara.Dato' Seri Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional berkali-kali memberi amaran dan peringatan supaya samada MCA dan MIC segera  menyelesaikan masalah dalaman parti masing-masing supaya jangan berlarutan sehingga menimbulkan perpecahan yang lebih parah.Masing-masing nampaknya telah melakukan penambahbaikan apabila pucuk pimpinan MCA dan MIC bertukar tangan.

20. Rombakan terakhir Kabinet yang dibuat oleh Dato' Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri dengan menyingkirkan TS Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri bersekali dengan  Dato' Shafie Afdal selaku Anggota Majlis Tertinggi UMNO memberikan keributan baru dan cukup menghangatkan suasana politik dalaman UMNO .Penentangan terbuka dari kedua-dua Menteri yang dipecat ini mendapat simpati dari kalangan penyokong UMNO diperingkat akar umbi.Maka dikatakan wujud semula kem-kem dalam UMNO di mana mulai timbul golongan yang menyokong  TS Muhyiddin Yassin dan  DS Shafie Afdal yang disokong kuat pula oleh Mantan Perdana menteri Tun Dr Mahathir dan beberapa pemimpin veteran UMNO yang turut mengikut di belakang.Kumpulan UMNO yang sedia ada pula kuat bertahan dan berkubu di pimpin oleh Perdana Menteri dengan sokongan kuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik iaitu DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mempertahankan presiden yang sedang berkuasa.

21. Di satu sudut yang lain PAS sendiri menghadapi koflik dalaman mereka sendiri.Selepas kegagalan golongan professional bertapak dalam kepimpinan PAS pusat selepas Muktamar PAS April lepas di Selangor,perpecahan mulai wujud apabila Mat Sabu menubuhkan Parti Amanah  Negara (PAN).Semenjak itu PAS telah berpecah dua.Semuanya ini membawa kepada kelemahan PAS dan menimbulkan kebimbangan besar tentang masa depan PAS lebih-lebih lagi selepas PAS menarik diri dari Pakatan Rakyat yang dulunya bersatu bersama DAP dan PKR di bawah payung yang sama.Nasib yang diterima oleh PAS akibat kenaikan golongan ulamak menguasai pucuk pimpinan tertingginya memberikan natijah yang tidak diduga samasekali.Krisis ini mempengaruhi kepimpinan PAS sekarang untuk mencari pendekatan dan memikirkan perhitungan baru bagi mengekalkan kuasa dan pengaruh masing-masing dalam arus politik penuh cabaran masakini.

22.Dengan dilatari oleh senario politik yang gawat seperti inilah maka Perhimpunan Agung UMNO  (PAU) 2015 mengambil tempatnya dari 8-12 Disember yang baru berakhir.PAU 2015 banyak merombak tradisi dengan meninggalkan amalan kebiasaannya.Timbalan Presidennya tidak lagi diberikan tugas untuk meresmikan persidangan sayap-sayap parti sebaliknya ketua-ketua sayap masing-masing meresmikan persidangan mereka.Ucapan penggulungan PAU juga tidak lagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden untuk turut berucap sebagaimana biasa.

23. Dalam ucapan penggulungan PAU yang disempurnakan oleh Perdana Menteri sendiri beliau dengan tegas menyebut untuk "berjiwa besar" dengan menghulurkan tangan perdamaian kepada TS Muhyiddin Yassin dan rakan-rakannya yang  lain yang bersamanya menentang Perdana Menteri.Reaksi diperingkat akar umbi masih belum dapat diukur sepenuhnya walaupun rata-rata perwakilan dalam dewan mendesak supaya pendekatan perdamaian segera diambil oleh pihak-pihak yang bertelagah.Semangat perwakilan dalam dewan PAU mungkin berbeza dengan semangat penyokong UMNO diperingkat akar umbi yang tidak mendengar dan merasai suasana dewan PAU berkenaan.

24. Dalam kancah politik yang tidak menentu dan penuh teka teki itu jugalah rasanya yang telah mempengaruhi  Dato' Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO juga Pengerusi Barisan Nasional menghulurkan tangan untuk bersilaturrahim dengan PAS di bawah pimpinan Dato' Seri Abdul Hadi Awang.Huluran tangan ini begitu menarik untuk dianalisis memandangkan sejak berpuluh tahun lalu PAS telah diistiharkanUMNO  sebagai musuh ketat  mereka.Dikalangan penyokong UMNO yang fanatik, PAS dikatakan lebih bahaya dari ancaman kominis.Begitulah bencinya UMNO kepada PAS.Tetapi mengapa sekarang tangan sedia dihulurkan.Tentunya seperti kata orang tua-tua kita "kalau tiada apa-apa manakan tempua bersarang rendah".Ada juga perumpamaan yang menyebut tindakan itu kerana "ada udang disebalik batu."Sejauh mana ini boleh dipakai terpulang kepada kaadaan dan bergantung pula kepada siapa yang berfikir dan membincangkan perkara berkenaan.

25. Apa pun hujjah,alasan atau sebab tangan silaturrahim itu dihulurkan biarlah ia dibuat kerana Allah.Ia dilakukan dengan penuh kesedaran untuk melaksanakan perintah Allah.Jadikan tangan yang dihulur ini dengan niat melakukan ibadah kerana Allah dan Nabi kita menegaskan bahawa orang Islam dengan orang Islam yang lain adalah bersaudara.Sekiranya kedua mereka berselisih maka hendaklah mereka kembali kepada Quran dan hadis untuk penyelesaiannya.Itulah tindakan orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.Kalau tangan yang di hulurkan itu dikuti oleh hati yang tulus ikhlas kerana melaksanakan perintah Allah dan Rasulnya,maka rasanya tangan itu mesti disambut dengan hasrat yang sama.

26. Kalau tangan yang dihulurkan itu dilakukan kerana terpaksa,merupakan helah untuk mengekalkan kuasa satu pehak dengan mempergunakan kelemahan pehak yang satu lagi; ia akan diadili sebagai  langkah dan perlakuan yang jijik dan licik .Ia tentunya menjadi satu perkara malang untuk masa depan Melayu,Islam dan Malaysia.Kalau ini berlaku sejarah mengulangi dirinya semula (History repeat itself) dan impaknya sangat buruk untuk masa depan Malaysia.

27. Marilah kita sama-sama  berdoa semoga jalan perdamaian yang dirintis di dalam rumah UMNO dan hasrat untuk menyatukan Melayu dan Islam melalui pakatan dengan PAS akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.Kita sangat berharap keputusan ini bukan suatu permainan politik semata-mata tetapi dari kesedaran jasad dan ruh dari ilham suci dan kudus yang di cetuskan dari Allah untuk seorang yang bergelar Perdana Menteri.Kalau demikian beliau berpegang dan bergantung maka  sesungguhnya kerana Allah dan RasulNya,marilah kita bersama bermunajat kepada Allah yang Maha Pengasih,Maha Penyayang  untuk pada akhirnya menyatukan hati-hati penyokong UMNO dan PAS dalam satu wadah perjuangan menegakkan syariat Allah bagi  kelansungan Melayu dan Islam di negara Malaysia yang tercinta ini.

28. Umat Islam  dituntut supaya  sentiasa merujuk kepada Quran dan Sunnah dalam saegala urusan hidup di dunia dan di akhirat.Dengan segala musibah yang melanda negara, maka Kita perlu meneliti kepada beberapa firman Allah untuk mengajak kita kepada muhasabah diri.Kalau tidak demikian maka kita akan menanggung kesengsaran yang lebih lagi pada masa akan datang lantaran kemurkaan Allah kerana keengganan kita untuk tunduk taat kepadaNya.

29. Allah berfirman mafhumnya" Bukankah telah datang kepada mereka berita-berita orang yang terdahulu daripada mereka(iaitu) kaum Nabi Nuh,dan 'Ad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim dan penduduk negeri Madyan,serta negeri-negeri yang telah dibinasakan (semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-Rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata,(lalu mereka mendustakannya,serta Tuhan pun membinasakan mereka) Allah tidak sekali-kali meniniayai mereka ,tetapi merekalah yang meniniayai diri mereka sendiri."
(Al- Quran; Al-Taubah :70)

30. Allah juga berfirman mafhumnya " Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun,sekali atau dua kali,kemudian mereka tidak juga mahu bertaubat,dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf).
(Al-Quran: Al-Taubah : 126)

31. Semoga seluruh umat Islam di Malaysia diberikan segala kemudahan, dirahmati dan dilindungi Allah jua.