Saturday, August 12, 2017

DI HUJUNG PERJALANAN

Di hujung perjalanan banyak lorong sudah tertutup
di hujung perjalanan langit biru berubah kelabu
di hujung perjalanan bumi yang luas sudah terbatas
di hujung perjalanan fikir yang pantas menjadi buntu
di hujung perjalanan kutub yang sejuk bertukar panas
di hujung perjalanan diganggu mimpi tidak berasas
di hujung perjalanan menerima diri untuk dibalas.

Perjalanan sebuah usia merakam suka duka
cepat atau lambat bukan kita yang menentukannya
datangnya kematian itu tidak disangka-sangka
waktu sujud atau ketika bersukaria
ambillah iktibar dari sejarah
belajarlah untuk mengalah
berdirilah atau rebah
menerima takdir Allah.

Di hujung perjalanan  ada doa yang tidak sudah sudahkanlah
di hujung perjalanan ada hutang yang tidak jelas jelaskanlah
di hujung perjalanan ada janji yang tidak tertunai tunaikanlah
di hujung perjalanan ada dosa tidak terlepas bertaubatlah
di hujung perjalanan ada ikatan yang putus sambungkanlah
di hujung perjalanan solat yang tertinggal qadhakanlah
biar pulang tangan berbekal
biar pulang dalam tenang
hati berbalut dengan iman
masuk syurga dengan aman.


Taman Sri Aman.
12 Ogos 2017.

Friday, August 11, 2017

MEMACAK BENDERA PERJUANGAN


( Di dedikasikan kepada YAB Tun Mahathir Mohamad)

Di atas puing-puing kerutuhan negaranya
di pacaknya bendera perjuangan di puncak banjaran Titiwangsa
dilaungkan suaranya ke seluruh negara tercinta
suara serak basahnya yang dulunya nyaring beransur kering
badan yang semakin layu menongkat semangat yang kian laju
masih mampu berarak memikul keranda negara
diusung menuju pusara dengan keringat dan airmata
membasah pipi dan dadanya yang jarang dimengerti
sebaknya terasa menekan namun perjuangan tetap diteruskan jua.

Di atas puing-puing keruntuhan negaranya
di pacaknya bendera perjuangan di atas puncak Kinabalu
matanya yang semakin layu melihat kerenah semakin parah
mukanya yang semakin muram menakung marah yang tertahan
tohmahan dan cacian ditelan dan dikunyah menjadi makan minum seharian
kakinya diheret jua meski kelelahan telah menjerat tulang dan isinya yang tua
dia cekal mengangkat dan memikul tanggong jawab menyelamatkan negara
watan yang dibangunkannya puluhan tahun menjadi negara merdeka
negara yang dibentuknya bermaruah dan disebut dimerata dunia
menjadi layu dan diketawakan kerana ada tangan yang mencincangnya
ada kuasa yang meranap ada tenaga yang khianat
sehingga bangsa hilang upaya sehingga negara tidak berupaya.

Di atas puing-puing keruntuhan negaranya
di pacaknya bendera perjuangan di Istana Kehakiman Putrajaya
diajaknya para hakim menyurat dan memutuskan semua bicara
keadilan dan kesaksamaan menetapkan hukum menggunakan kuasa
biar bicara putus dan rakyat jelata merasa lega.
Di lawatinya istana para penguasa yang satu waktunya dia berkuasa
airmatanya  berguguran tumpah mengenang sejarah silam
waktu diambil keputusan meninggalkan takhta yang disayang
sejarah itu kini menjadi bayangan menikam dan sesalnya mendatang.

Di atas puing-puing keruntuhan negaranya
di pacaknya bendera perjuangannya di kotaraya
dihelanya nafas dan dikerahkan tenaga mengangkat suara menjelas perkara
dari sejarah lampau bagaimana negara diikat dan disatu
dari sejarah lampau bagaimana bangsa terguggat dan terganggu
tetapi kini didengar dengan ragu di dakap secara membeku
namun perjuangan diteruskan jua meski kaki tersadung tertiarap dada
negara mesti diselamatkan dan pengkhianat mesti dihapuskan!

Di atas puing-puing keruntuhan negaranya
di pacaknya bendera perjuangannya di desa-desa jauh di hujung atau pendalaman negara
mari bersatu menilai dan mengira apa jadi kepada negara
mari bersatu mengukur dan menyukat jangan segantang tinggal secupak
jangan sedepa tinggal sejengkal
jangan tanah luas sesaujana tinggal sekakangkang kera
jangan punahnya semakin parah malu dijaja serata dunia.

Di atas puing-puing keruntuhan negaranya
dengan dada yang sebak  menderita dan tersiksa
di atas puing-puing keruntuhan negaranya
dia bangun memikul bendera di tengah medan merah menyala
api yang marak itu membakar hatinya yang kian dicakar
matanya yang tua itu terus bersinar memberi harapan
dukunglah perjuangan himpunkan semangat kuatkan tekad
teruskan langkah sederap gagah menentu arah
petualang pasti rebah menyerah kalah.

Kemenangan ketentuan Allah
perjuangan diteruskan dangan keyakinan ketabahan kesabaran dan pasrah
biar mati bergalang tanah.

N.A.Raj
Taman Sri Aman
4.45 pagi
12.8.2017