Saturday, December 19, 2020

LANGKAH-LANGKAH KE HADAPAN POLITIK PEMBANGKANG : SATU SOROTAN AWAL

Dalam seminggu ini beberapa peristiwa besar dan panas telah mengisi landskap politik Malaysia .Peristiwa yang terjadi telah memberi kejutan kepada ahli-ahli politik.Ia memberi bukan sekadar kejutan kepada sesetengah ahli politik tetapi sebuah peringatan yang juga sarat dengan amaran.

2. Bermula pada 14 Disember 2020 secara tidak terduga bekas Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan sidang media bersama Pengerusi Penasehat UMNO YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Tengku Hamzah.Mereka berdua menawarkan diri mereka untuk kembali berkhidmat membawa kemajuan politik dan ekonomi kepada Malaysia yang berada dalam kaadaan haru biru sekarang.

3. Nampaknya mereka berdua bergabung tenaga untuk membentuk sebuah gabungan baru politik pembangkang setelah merasa keciwa dengan kedudukan dan kelemahan blok pembangkang yang sedia ada.

4. Sebelum itu Timbalan Presiden AMANAH ;Salahuddin Ayub telah menyuarakan tentang perlunya pembentukan sebuah "gabungan besar blok pembangkang" terutama untuk menghadapi PRU 15 yang akan tiba.Cadangan ini timbul sewaktu parlimen masih lagi hangat berdebat tentang bajet 2021.Ia ditimbulkan nampaknya kerana kurang keyakinan kepada kekuatan pembangkang yang semakin hilang tenaga dan wibawa.

5. Bukan hanya pehak pembangkang yang mengatur langkah untuk moving forward tetapi demikian juga dengan Kerajaan Perikatan Nasional yang sedang memerintah.Tan Sri Anuar Musa selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional turut sama menyuarakan cadangan supaya sebuah gabungan besar parti pemerentah perlu segera dibentuk untuk memelihara dan memanjangkan kuasa.Dirasakan bahawa kerajaan yang ada sekarang belum cukup kuat untuk menghadapi turbulasi dan mehnah politik sekarang dan akan datang.Sebuah gabungan kerajaan yang cukup kuat dan meyakinkan sahaja mampu mempertahankan kerajaan yang ada ini.

6. Meskipun cadangan Tan Sri Anuar Musa disanggah oleh Timbalan Presiden UMNO Dato' Mohammad Hassan tetapi ia cukup membuktikan adanya kegelisahan dikalangan pemimpin UMNO bahawa pembangkang yang kuat akan menggugat dan mengambil peluang di atas kelemahan kerajaan untuk menjatuhkannya.

7. Minggu ini juga menyaksikan cadangan yang pernah dibawa oleh UMNO dalam bulan Mach yang lalu sewaktu kerajaan "tebuk atap " itu baru ditubuhkan.Cadangan itu dalah untuk merealisasikan "Penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional".Ini adalah dirasakan begitu mendesak untuk segera diwujudkan.

8. Perkembangan yang menarik ini juga terjadi berikutan kesedaran yang timbul dikalangan ahli politik kerajaan yang merasakan kekeliruan dan perbezaan sesama sendiri perlu diselesaikan dalam pasukan secara sepakat dan sepadu.

9. Kerajaan PN menyedari bahawa perbezaan pandangan dan pendekatan politik diantara parti  komponen dan penyokong kerajaan perlu diselesaikan secara bersama dengan cara yang paling baik.Mengelakkan persengkitaan sesama sendiri adalah sangat penting kerana sebarang kelemahan kerajaan akan menjadi senjata kepada pembangkang untuk menyerang.

10. Minggu ini juga menyaksikan Bajet 2021 dibentangkan untuk bacaan kali ketiga untuk diterima atau ditolak.Ia berlaku pada 15 Disember sehari selepas Tun M dan Tengku Razaleigh mengadakan sidang media bersama untuk bergabung dalam satu gerakan politik demi menyelamatkan Malaysia.

11. Satu-satunya blok pembangkang yang ada sekarang  di Malaysia adalah Pakatan Harapan.Selepas jatuhnya PH sebagai sebuah kerajaan pada bulan Mac 2020 maka PH bertukar menjadi pembangkang pula.Sekarang Pakatan Harapan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

12. Beberapa parti lain yang masih berada di bawah PH adalah AMANAH (Parti Amanah Negara) pimpinan Mohamad Sabu dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) pimpinan Lim Guan Eng.BERSATU di bawah TS Muhyiddin telah meninggalkan PH untuk menubuhkan Perikatan Nasional bersama dokongan UMNO,PAS dan Gabungan Parti Sabah.

13. Dari sebuah blok parti pemerentah Pakatan Harapan telah di gulingkan melalui "Langkah Sheraton".Perpecahan dalam PH telah lama dikesan terutama kerana isu peralihan kuasa Perdana Menteri dari penyandang Tun Mahathir kepada PM in waiting DS Anwar.

14. Kemuncak perpecahan terjadi apabila BERSATU meninggalkan PH.Ia disusuli dengan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun M.Langkah DS Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh-tempoh gawat itu gagal dicapai sehinggalah TS Muhyiddin Yassin dapat meyakinkan YDAgung bahawa beliau memperolehi cukup majoriti sokongan ahli parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

15. Di bawah pimpinan Anwar Ibrahim PH nampaknya tidaklah bertambah kuat.Kekeciwaan yang ditanggung oleh pemimpin-pemimpin PH yang dulunya berjawatan disemua peringkat melemahkan semangat perjuangan parti.Banyak yang terduduk dan sekian lama pula berada dalam kaadaan samada menggeleng kepala atau pusiang kepala. 

16. Kesan psikologi dan rasa lemah semangat sangat dirasakan oleh pemimpin dan penyokong PH  dari peringkat atas sehingga peringkat ahli parti di bawah.Ada yang keciwa.Ada yang sangat marah.Ada yang mulai hilang tujuan dan arah.

17. UMNO dan PAS semasa PH memerentah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menentang PH.Mereka lantang di Parlimen dan aktif di luar dalam mencari titik-titik kelemahan kerajaan PH.

18.UMNO dan PAS yang sudah nampak begitu serasi dalam matalamat dan perjuangan bersama sejak sebelum PRU 14 pada akhirnya telah berpakat dengan menubuhkan Muafakat Nasional sebagai blok pembangkang pada 19 September 2019.

19.Muafakat Nasional dengan Piagam Penyatuan Ummah yang ditanda tangani pemimpin kedua parti telah berjaya menyatukan hati dan perjuangan kedua-dua parti untuk berdepan dengan PH.

20. Muafakat Nasional  sebagai sebuah blok baru mendukung hasrat untuk menguasai Putrajaya dengan membawa slogan  berjiwa Melayu-Islam.Dikatakan Melayu dan Islam terancam di negara ini dibawah pentadbiran kerajaan PH.

21. Dimomokkan secukupnya dengan rempah dan perasa sentimen dan provokasi bahawa kerajaan PH dikuasai oleh chauvinist Cina dalam DAP.Dibawanya contoh dan bukti bahawa Tun Mahathir dijadikan kuda tunggangan oleh DAP.

22. Contoh-contoh menteri kanan dalam kerajaan PH semuanya diserahkan kepada orang bukan Islam menimbulkan kebimbangan kepada orang Islam bahawa kepentingan mereka akan tersisih di bawah pentadbiran kerajaan PH.Menteri kewangan dan Menteri Komunikasi yang diserahkan kepada pemimpin DAP dijadikan contoh utama bahawa wang dan media negara dikawal oleh orang bukan Islam.

23. Ditambah lagi dengan Tommy Thomas yang dilantik menjadi peguam Negara lebih menimbulkan kegelisahan orang Melayu.Ditambah pula dengan isu LGBT dan sentimen agama dan isu raja dan bahasa kebangsaan yang lain sudah cukup untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada Tun Mahathir selaku Perdana Menteri dan kerajaan PH yang dipimpinnya.

24. Pengukuhan Muafakat Nasional memberi tamparan hebat kepada kerajaan PH.Kerajaan PH semakin tertekan apabila kalah dalam beberapa PRK yang diadakan sepanjang tempoh 22 bulan pemerentahannya.Kekalahan calon PH di Tanjung Piai Johor menjadi semacam pukulan KO kepada PH.Keretakan dalam PH menjadi semakin ketara apabila terjadi salah menyalah diantara anggota komponen PH berikutan kekalahan PRK itu.

25. Sejak lebih sebulan yang lalu Dewan Rakyat menjadi tumpuan media dan rakyat kerana sessi persidangan kali ini adalah untuk membentang dan membahaskan bajet bagi tahun 2021.Sebagai Menteri Kewangan Tengku Zafrul telah membentangkan bajet 2021 untuk bacaan pada kali pertama pada jam 4.00 petang 6 November 2020.

26.Sebenarnya sepanjang tempoh kerajaan PN ini memerintah Malaysia kritikan dan penentangan terhadap kerajaan ini terdengar di mana-mana.Pembangkang menggelarkan kerajaan PN TS Muhyiddin sebagai kerajaan belakang sebelum kemudiannya lebih popular disebut "Kerajaan Tebuk Atap" berasaskan kepada asal usul kerajaan ini diwujudkan.

27. Kerajaan PN diwarwarkan oleh PH sebagai pembangkang sebagai kerajaan yang tidak sah.Pembangkang menuduh penubuhannya melalui pengkhianatan dan sama sekali tidak menurut lunas-lunas demokrasi.Adalah dipercayai pula bahawa TS Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti yang kukuh di Parlimen untuk menjadikan beliau seorang Perdana Menteri yang kukuh dan diyakini oleh ramai anggota parlimen.

28. Usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah berkali-kali cuba dibawa di bahas di Parlimen.Tun Mahathir dan rakan-rakan anggota parlimen yang bersamanya telah juga membawa usul tersebut.Meskipun usul diterima tetapi tidak diberikan laluan utama untuk dibahaskan.

29. Dalam hal ini YBM Tengku Razaleigh Hamzah juga telah membawa usul yang serupa dengan tujuan untuk mendapatkan keabsahan TS Muhyiddin sebagai PM yang sah setelah diterima secara majoriti oleh anggota dewan..

30. Blok Pembangkang terutama PH telah sepakat untuk menolak bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan berikutan dari dakwaan bahawa bajet itu gagal membela kepentingan rakyat dalam waktu berdepan dengan serangan wabak corvid 19.Isu JASA dihidupkan kembali setelah dikuburkan oleh Kerajaan PH yang lalu juga menimbulkan kemarahan pembangkang.Peruntukan besar lebih dari RM 80 juta yang diperuntukkan dalam cadangan belanjawan ini untuk JASA juga menimbulkan tentangan.Isu moratorium dan pengeluaran wang pencarum dari KWSP juga menjadi persoalan dipihak pembangkang.

31. Malangnya bila dibuat cadangan untuk undi belah bahagi dilakukan;hanya 13 anggota parlimen pembangkang yang bangun untuk menolak belanjawan.Apa yang telah berlaku.Dimana perginya keputusan untuk menolak belanjawan yang dicanang keseluruh negara sebelum ini.Mengapa seluruh anggota pembangkang yang lain selain dari "geng tiga belas" itu tidak turut bangun untuk sekurang-kurangnya mencukupkan angka 15 bagi membolehkan undi belah bahagi dilaksanakan.

32. Jawapannya ditemui selepas itu bahawa arahan telah dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim disaat-saat akhir supaya undi belah bahagi tidak dilaksanakan!.Anggota parlimen pembangkan diarah supaya menyokong dan meluluskan bajet.

33. Peristiwa ini menimbulkan kejutan besar kepada pemimpin dan penyokong PH di dalam dan di luar dewan.Apa sudah jadi dengan Anwar Ibrahim.Mengapa dilakukan U Turn sebegitu rupa.Peristiwa ini melunturkan kepercayaan pembangkang kepada Ketua Pembangkang itu.Selaku ketua pembangkang Anwar telah dikira gagal untuk memainkan peranannya.Anwar dihukum gagal.Ini membawa kepada timbulnya satu senario dan imbangan baru dalam politik pembangkang.

34.Suara-suara pembelaan kepada Anwar Ibrahim nampaknya mudah dipadamkan oleh suara-suara baru yang lebih lantang dengan mencadangkan supaya Anwar melapskan jawatan ketua pembangkangnya di Dewan Rakyat.

35. Rasa tidak puashati kepada Anwar Ibrahim kerana memilih laluan lain daripada jalan yang telah bersama dipersetujui dalam Majlis Presiden PH untuk hanya menolak bajet telah membawa kepada dua Presiden dari dua parti komponen PH untuk memberikan satu kenyataan terbuka tidak lama selepas berakhir sidang parlimen bagi mesyuarat ketiga penggal ketiga itu.

36. Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (AMANAH) telah menyuarakan supaya PH jangan lagi berharap kepada bayang-bayang dalam usaha untuk mengembalikan mandat rakyat kembali ke tangan PH.Sebaliknya PH perlu mengorak menyusun langkah sendiri maju ke depan untuk menghadapi PRU 15.

37. Mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadualkan untuk diadakan di parlimen pada petang yang sama telah dibatalkan.Ini adalah kesan langsung pertama yang dirasai oleh PH berikutan dari langkah ke depan Lim Guan Eng bersama Mohamad Sabu.

37. Kita sedang menunggu Tun Mahathir bersama Tengku Razalegh untuk memberi reaksi kepada perkembangan terbaru ini.Mungkin tidak timbul Tun Mahathir perlu menggantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.Yang mungkin timbul adalah gerakan baru dalam blok pembangkang untuk berdepan dengan PN dalam menghadapi PRU 15.

38. Kerajaan PN bukan berada dalam kaadaan kukuh walaupun bajet diluluskan.Gerakan yang sedang dimainkan oleh UMNO menguji BERSATU dan TS Muhyiddin tidak akan berakhir dengan krisis politik Perak yang menggulingkan Ahmad Faizal dari kerusi MBnya sahaja.

39. Suasana politik Malaysia menjadi semakin menarik dalam kekusutan yang ada bagi membolehkan segala yang mustahil menjadi nyata.Politik adalah seni untuk segala kemungkinan (Politic is the art of possibility)

Thursday, December 17, 2020

APABILA TENGKU RAZALEIGH DAN TUN MAHATHIR BEKERJASAMA : MATALAMAT DAN IMPIKASI

 Sebuah gambar tular di media sosial dalam bulan Oktober 2020.Gambar itu menunjukkan YBM Tengku Razaleigh Hamzah bersama dengan Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.Katanya gambar itu merakamkan  peristiwa lama sewaktu Tengku Razaleigh mengunjungi kediaman Tun M untuk makan malam.

Pada 14 Disember 2020 Tun Mahathir (bekas Pengerusi BERSATU) dan YBM Tengku Razaleigh Hamzah (Penasehat UMNO) telah bersama mengadakan sidang media.Peristiwa ini mengejutkan banyak pihak.Banyak orang bertanya apa sudah jadi.

Bagaimana dua orang yang bermusuh ketat suatu masa lalu disekitar akhir tahun 1980'n kini boleh bersatu hati untuk menawarkan diri bagi katanya menyelamatkan negara dari tribulasi politik yang sekarang lemanda negara.

Kejadian seumpama ini bukanlah perkara baru terutama bagi Tun M.Formula yang digunakan untuk menawarkan diri berkhidmat kembali dalam politik telah digunakan dua tahun untuk PRU 14.

Setelah berjaya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama TS Muhyiddin Yassin;Tun M telah mengatur langkah ke penjara untuk menemui DS Anwar Ibrahim (bekas Presiden PKR) yang masih ditahan dipenjara berikutan kes sodomi yang dikaitkan dengannya.

Mereka berjabat tangan dan peristiwa ini memulakan sebuah perjalanan politik baru Tun M dalam mengatur langkah untuk menumbangkan sebuah kerajaan kleptokrat yang dibina dan diwarnakan oleh DS Najib.

DS Anwar dan Tun M telah berpuluh tahun tidak bertemu dan tidak bertegur sapa.Krisis yang tenat serta menimbulkan luka yang dalam tidak mungkin dapat disembuhkan oleh sebuah peristiwa berjabat tangan atau berdakapan tubuh.Banyak orang berkata demikian apabila Tun M nampaknya berjaya mendapatkan kemaafan dari DS Anwar Ibrahim lewat pertemuan mereka dipenjara pada hari yang bersejarah itu.

Sejarah nampak berulang kembali.Kali ini dari orang sama untuk orang yang berbeza.Dari Tun M kepada Tengku Razaleigh.Formulanya sama dan matalamatnya juga hampir sama.Terlalu cepat untuk bertanya apakah peristiwa 14 Disember ini akan membawa natijah yang serupa sebagaimana dengan pengalaman Tun M dan Ds Anwar Ibrahim.

Mungkin natijah dari kerjasama ini menimbulkan hal yang berbeda dari pengalaman Tun M bersama dengan DS Anwar.Latar suasana politik juga berbeza.Darjah permusuhan kedua tokoh ini juga berbeda untuk dibandingkan dengan latarbelakang permusuhan Tun M dengan DS Anwar.

Sukar untuk dibaca dengan tepat apakah sebenarnya yang menyatukan kedua-dua tokoh veteran ini untuk kembali bekerjasama lalu menawarkan diri untuk kembali  menyelamatkan negara.Tun M sekarang sudah berumur 95 tahun sementara Tengku Razaleigh juga sudah 83 tahun.Apakah dalam perhitungan mereka berdua akan mendapat sokongan dari anggota parlimen dan rakyat untuk tujuannya itu.

Tun M baru saja terlepas jawatan Perdana Menterinya berikutan dari krisis politik dalaman Kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpinnya.Pakatan Harapan hanya berjaya memerentah selama 22 bulan selepas berjaya mengalahkan Kerajaan Barisan nasional di bawah pimpinan DS Najib.

Sepanjang tempoh pemerentahan Tun M selama 22 bulan itu kaadaan politik Malaysia tidak begitu stabil berikutan dari kerjasama antara parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan tidak begitu kukuh.Perebutan jawatan Perdana Menteri antara Tun M dengan Anwar gagal diselesaikan dengan aman.PKR di bawah DS Anwar pada akhir pentadbiran kerajaan Harapan kelihatan renggang dan bermusuhan.

DAP kelihatan lebih berpehak kepada Anwar berikutan beberapa tindakan DAP diselar oleh Tun M sebagai bertindak rasis dan keterlaluan.Isu bahasa,pendidikan dan kepentingan pendidikan Cina yang diperjuangkan oleh DAP tidak menyenangkan Tun Mahathir.Hubungan Tun M dan DAP pada akhirnya kelihatan bermasalah.

Sukar untuk dinafikan bahawa Tun M sangat merasa keciwa dengan perpecahan dalam Kerajaan PH yang membawa kepada beliau kehilangan jawatan dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Sukar pula untuk dinafikan betapa keciwa beliau terhadap sikap TS Muhyiddin Yassin yang dikatakan berkhianat kepadanya sehingga mengambil keputusan membawa keluar BERSATU dari gabungan Pakatan Harapan sehingga kerajaan itu kehilangan majoriti.

Sukar pula untuk dikatakan bahawa Tun M begitu gembira meletak jawatan Perdana Menteri.Kecil hatinya terhadaap TS Muhyiddin tidak kurang dari kecil hatinya kepada Azmin Ali yang bersekongkol  untuk mengatur langkah Sheraton sehingga pada akhirnya TS Muhyiddin diangkat menjadi Perdana Menteri dengan sebuah kerajaan baru bernama Perikatan Nasional.

Apakah salah untuk dikatakan bahawa Tun M berundur dari kerusi Perdana menterinya dengan lilihan airmata keciwa dengan kesedihan kerana dikhianati oleh orang-orang yang sangat dipercayai.

Tun M perlu bangkit untuk memulihkan maruahnya.Kali ini ia sekali lagi menggunakan formula yang sama seperti formula yang digunakan untuk meyakinkan DS Anwar Ibrahim kepada niat dan tujuannya menyelamatkan negara.Angkara yang dilakukan DS Najib kepada Malaysia tidak boleh dimaafkan.UMNO-BN mesti ditumbangkan .

Kali ini sekali lagi Malaysia dalam huruhara, krisis dan penuh dengan ketidak tentuan.Kerajaan Perikatan Nasional yang menggabungkan "para pengkhianat " di dalamnya pada akhirnya tidak merupakan sebuah kerajaan yang kukuh.

Serangan pandemik corvid 19 semakin menjadikan pentadbiran Malaysia di bawah PN haru biru. Itu  menurut pandangan puak pembangkang.Demikian juga pandangan dan penilaian yang dikongsi oleh Tun M.Demikian pula pandangan Tengku Razaleigh.Ekonomi merudum dan pelabur-pelabur luar samada melarikan diri atau takut untuk masuk melabur di Malaysia.

Soalan yang perlu dikemukakan kepada pakatan Tun M -Tengku Razaleigh ini ialah apakah mereka berdua mampu membina sebuah blok pembangkang baru.Kalau inilah hasrat mereka berdua siapakah rakan kongsi mereka dalam blok baru.PKR nampaknya tidak mungkin untuk diajak bergabung kembali memandangkan Tun M dan Anwar Ibrahim sudah berada dalam dua kutub yang berbeda.

Apakah DAP boleh diajak berpakat.Hubungan DAP dengan Anwar yang pada akhir-akhir ini tidak begitu padu memberikan kemungkinan.Apakah Tengku Razaleigh pula boleh menerima DAP.Apakah memadai blok pembangkang baru hanya terdiri dari dua parti gabungan sahaja.Untuk menjadi pembangkang yang kuat ia perlu mempunyai sokongan dari parti-parti yantg berpengaruh.Barangkali WARISAN dari Sabah akan menyokong blok baru ini.

Apa yang lebih menarik dengan sidang media yang dibuat bersama oleh dua tokoh veteran ini ialah pada waktu kerajaan Perikatan Nasional dijangka akan tumbang berikutan daripada undian ke atas bajet yang dibentangkan untuk kali ketignya pada 16 Disember 2020.

Kalau bajet yang dibentangkan itu pada akhirnya ditolak oleh anggota parlimen maka dengan sendirinya dipercayai bahawa kerajaan PN dan TS Muhyiddin akan jatuh setelah gagal mendapat kepercayaan majoriti .

Kekosongan kerajaan kalau itu terjadi; nampaknya mendorong Tun M dan Tengku Razaleigh untuk menawarkan dirinya mengisi kekosongan itu.

Sayangnya perhitungan itu telah meleset.Bajet masih berjaya diluluskan.Keputusan undian memberikan 111 undi kepada bajet PN Tan Sri Muhyiddin.108 undi menolak tidak berjaya menafikan kerajaan yang sedang berkuasa itu.

Apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh kedua tokoh veteran ini selepas bajet masih diluluskan.Adalah tidak anak jantan kalau kekalahan itu mematahkan semagat dua hulubalang terbilang.Kalau langkah sudah dibuka turun gelanggang memalukan sahaja.

Kerajaan PN di bawah TS Muhyiddin tetap akan menempuh jalan penuh liku.Masa depan kerajaan PN kelihatan masih belum menentu.Majoriti tiga undi yang meluluskan bajet ini menggambarkan TS Muhyiddin hanya mempunyai kelebihan tiga undi.Kedudukannya seperti telur di hujung tanduk.

Apakah Tun Mahathir boleh menggantikan tempat Anwar untuk dilantik sebagai ketua Pembangkang setelah Anwar Ibrahim dipandang gagal dalam perananya pada akhir-akhir ini.Apakah sesuai jawatan itu untuk disandang oleh Tun M ?.

Kedukan Tengku Razaleih sekarang dipersoalkan oleh orang-orang UMNO.Ada yang mengesyorkan supaya tindakan disiplin diambil ke atasnya berikutan langkahnya sebagai seorang penasehat UMNO berada sepentas dengan seorang pembangkang menentang kerajaan PN yang bersekutu dengan partinya.

Naratif ini akan menjadi jauh dan panjang untuk diekori selepas ini.Ia mungkin menarik atau mungkin lebih mengusutkan kaadaan.






Sunday, December 13, 2020

KRISIS POLITIK MALAYSIA : PERAK DAN TITAH PADUKA SULTANNYA

 Tahun 2020 adalah tahun gawat bagi Dewan Undangan Negeri Perak( DUNP).Ia bukan setakat memahat sejarah sebagai sebuah dewan yang menyaksikan tiga kali majlis angkat sumpah Menteri Besarnya berlaku dalam satu tempoh penggal pilihanraya umum.Ia lebih dari itu.

2. Kaadaan sebenarnya yang berlaku adalah menjadi sebuah sejarah gagal yang mendukacitakan. Sesungguhnya ia melebihi dari sekadar memahat angka tiga.Sesungguhnya pula DUN Perak mengundang kekeciwaan Paduka Sultan Perak Tuanku Nazrin Muizzuddin Shah.Dalam waktu yang sama mungkin timbul kemurkaan Paduka Tuanku dengan segala karenah yang terjadi sebelum dan selepas krisis DUN Perak itu

3. Krisis DUN Perak tidak akan terjadi dengan sendiri.Krisis Perak berangkai dan berkaitan dengan krisis politik negara.Politik negara sedang berada dalam kaadaan yang tidak stabil berikutan daripada wujudnya sebuah kerajaan yang digelar Kerajaan "Tebuk Atap ".Ini adalah sebuah kerajaan yang dibentuk diluar mandat rakyat.

4. Latarbelakang kriris Perak mempunyai huraian yang panjang untuk dijejaki.Untuk mudah difahami kita perlu melihat kepada beberapa peristiwa politik yang terlalu menonjol terutama selepas PRU 14.

5. 9 May 2018 adalah hari berlangsungnya PRU 14.Kerajaan UMNO-BN telah ditumbangkan oleh gabungan parti-parti pembangkang yang dianggotai oleh BERSATU (PPBM),PKR,DAP dan AMANAH serta dsokong oleh Parti Warisan Sabah.

6. Kekalahan UMNO - BN dalam PRU ini menjadi satu titik hitam dalam sejarah mereka setelah berkuasa memerintah negara ini lebih dari 60 tahun.UMNO-BN tidak boleh menerima kegagalan ini begitu sahaja.

7. Sepanjang kempen PRU 14 UMNO-BN ini telah dimomokkan sebagai sebuah parti yang gagal yang telah membawa dan mencemarkan nama Malaysia diseluruh dunia.Kerajaan makan rasuah dan kerajaan kleptokrasi telah mendominasi pemikiran rakyat.UMNO-BN ditolak rakyat dalam PRU tersebut kerana pembangkang berjaya menyakinkan rakyat terbanyak untuk terutamanya membenci DS Najib selaku Perdana Menteri dengan sebenci bencinya.

8. Selepas kalah PRU 14 nasib UMNO-BN menjadi lebih buruk apabila berlaku perpecahan pula dikalangan mereka.Ada ahli-ahli parlimen UMNO  yang tidak yakin lagi dengan parti mereka telah berpaling tadah untuk menyertai parti-parti yang berada dalam kerajaan baru.Ramai dari mereka menyertai BERSATU terutama kerana Tun Mahathir sebagai PM datangnya dari parti tersebut.

9. Ada pula terjadinya usaha-usaha parti gabungan dalam BN yang mengambil keputusan untuk meninggalkan gabungan ini.MCA dan MIC sendiri pernah memikirkan untuk mengambil langkah demikian pada satu ketika.Parti GERAKAN dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak juga bertindak demikian.UMNO-BN berada dalam kaadaan senak dan tertekan.

10.Walau bagaimana pun krisis dalam kerajaan Pakatan Harapan yang baru membentukkerajaan lebih besar dari krisis yang dihadapi UMNO-BN selepas dikalahkan.Dikatakan pembangkang bukanlah begitu kuat pun tetapi kerana kerajaan PH begitu lemah maka ia dapat diambil kesempatan oleh musuh untuk menjatuhkannya pula.

11. Politik adalah sebuah dunia yang jatuh menjatuh.Sebuah kerajaan yang sedang berkuasa bagaimana baik sekalipun tidak akan dinilai baik oleh pembangkang.Kelemahan yang timbul sekecil mana pun berjaya dipercesarkan.Kebaikan yang sebesar mana pun diperkecilkan.Fitnah memfitnah dalam politik adalah bagai menjadi kemestian.Inilah yang membawa kerajaan menjadi tidak stabil.

12. Dalam sejarahnya Tun Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun  tidak pernah mengatakan DAP adalah sebuah parti yang baik.DAP adalah musuh ketat UMNO dan Mahathir selama beliau mentadbir Malaysia. Lim Kit Siang adalah seteru utamanya dalam percaturan politik Malaysia.

13.Demikian DAP begitulah PKR dalam mata Mahathir.Krisis dengan DS Anwar semakin membesar apabila DS Anwar dipecat oleh Mahathir selaku Timbalan Perdana Menteri dalam tahun 1997.Anwar menggerakkan reformasi adalah semata-mata kerana sakit hatinya terhadap Mahathir.DS Anwar telah berusaha sehabis daya memburukkan Mahathir dalam hasratnya untuk kembali berkuasa.

14. AMANAH berlatarbelakangkan PAS.Kumpulan professional  meninggalkan PAS kerana dikuasai oleh golongan Ulamak.Beberapa pemimpin professional yang meninggalkan PAS ini telah menubuhkan Parti AMANAH ditengah-tengah kemelut politik UMNO-BN yang dinilai sudah tidak relevan lagi untuk terus memerintah Malaysia.

15.Pemimpin AMANAH lebih dekat dengan Anwar daripada Mahathir.Perhubungan Anwar dengan Mat Sabu,Sallehuddin Ayud dan Dr Zulkifli Ahmad misalnya telah lama terjalin sewaktu PKR bersama PAS dalam Pakatan Rakyat satu waktu yang lalu sebelum pakatan itu kemudiannya runtuh.

16.Pada akhir-akhir ini nampaknya UMNO-BN berjaya mengambil langkah untuk "come back".Prestasi mereka mulai naik dimata rakyat.Semakin ketara kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan semakin popular pula UMNO-BN yang seolah-olah diberi cat baru dan warna baru oleh kepimpinan baru selepas DS Najib melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO.

17. Sebagai sebuah parti yang kehilangan kuasa.UMNO seperti singa yang luka mencari jalan untuk membunuh mereka yang bertanggung jawab menembaknya.Kenangan manis sewaktu berpuluh tahun berkuasa menjadi penguasa sebuah negara merdeka menimbulkan keinginan besar bekas-bekas pemimpin UMNO itu untuk kembali berkuasa.

18. Pembentukan Muafakat Nasional yang dimeterai oleh PAS dan UMNO-BN merintis satu jalan baru dalam rangka kerjasama kedua parti untuk menghadapi Kerajaan Pakatan Harapan dan menyediakan diri bagi PRU 15.

19. Atas landasan membina dan mengukuhkan kekuatan orang Melayu-Islam serta kaum bumiputra di negara ini;kedua-dua parti telah bergerak menyerang Pakatan Harapan dari segala penjuru.Orang Melayu mulai kelihatan beralih arah daripada gila-gilaan menyokong PH kepada berkira-kira atau terus mengambil keputusan menyokong Muafakat Nasional ini.

20. Kejayaan gabungan ini lebih terserlah apabila mereka berjaya memalukan kerajaan Pakatan harapan yang kalah dan terus kalah dalam beberapa PRK yang diadakan berikutan kematian beberapa wakil rakyat.Ini memberi kekuatan baru dan melonjakkan semangat untuk lebih ke depan dalam mengatur gerakerja mereka.

21. Kejayaan kerjasama UMNO-PAS dalam muafakat Nasional menakutkan kerajaan Pakatan Harapan.Krisis dalam Pakatan semakin parah dengan kekalahan mereka dalam kebanyakan PRK.Salah menyalah semakin menjadi diantara pemimpin komponen parti dalam PH.

22.PM in Waiting Ds Anwar Ibrahim kelihatan semakin hilang sabar dengan karenah Tun Mahathir yang berdolak dalik menangguhkan penyerahan kuasa Perdana Menteri kepadanya.Penyokong Anwar samada dalam PKR atau AMANAH mencari pelbagai pendekatan samada menggesa atau terus mencela dan memburuk-buruk Mahathir kerana lambat mahu berundur.Krisis dalaman PK semakin ketara.Penyelesaian gagal diperolehi.Malah tiba di jalan mati.

23. BERSATU kemudian terbelah dua kerana Muhyiddin mengambil langkah membawa keluar partinya dari PH.Tum Mahathir yang berada dalam belahan lain parti itu kemudian mengambil langkah meletakkan jawatan.Keputusan ini memberilaluanyang lebih mudah bagi kumpulan yang mengatur Langkah Sheraton untuk menruskan agenda mereka membina sebuah pakatan baru bagi menjatuhkan PH dan seterusnya berkuasa di Putrajaya.

24. Sebuah kerajaan baru dengan Nama Perikatan Nasional telah dibentuk.TS Muyiddin telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Sebuah kabinet besar bagi membantunya mentadbir kerajaan yang baru telah dibentuk.Jawatan Timbalan Perdana Menteri telah ditiadakan.Sementara itu beberapa jawatan Menteri Kanan telah diwujudkan.

25.Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional adalah dua entiti politik yang berasingan walaupun terdapat hubungan timbal balik dalam urusan mereka.

26. Dalam membentuk Perikatan Nasional Parti BERSATU pimpinan TS Muhyiddin Yasin telah berjaya mengajak UMNO -BN untuk menyertai mereka dalam gabungan itu.Demikian juga PAS dan Parti Gabungan Sarawak.Walau bagaimana pun UMNO enggan mengikat dirinya secara resmi dalam gabungan itu sehingga menolak untuk bergabung secara sah dan mutlak dalam PN.PAS mengambil langkah yang lebih berani untuk bersama BERSATU dan bersedia untuk membentuk pakatan sah dalam PN.

27. Keputusan PAS untuk bergabung secara sah dengan BERSATU dalam PN menimbulkan tanda tanya kepada UMNO akan apa ertinya kersama PAS yang juga terjadi dengan UMNO.Langkah untuk berenang dala dua kolam serentak tentunya menimbulkan banyak persoalan kepada UMNO.

28. Pakatan Harapan di bawah pimpinan DS Anwar Ibrahin berada dalam situasi yang lebih keliru.Keyakinan parti komponen dalam PH terhadap DS Anwar Ibrahim kelihatan makin mengecil.Diperingkat akar umbi samaada PKR sendiri apa lagi AMANAH dan DAP kebanyakan mereka mempersoalkan kepimpinan DS Anwar yang kelihatan sudah hilang keseimbangan.Langkah dan pendekatan yang diambilnya akhir-akhir ini bukan sahaja gagal tetapi dilihat sebagai suatu pembohongan yang bertujuan untuk mengelirukan penyokong dan rakyat terbanyak.

29. Di mata rakyat terbanyak DS Anwar dilihat sebagai seorang pemimpin yang telah gagal.Ada pula cadangan berani yang mencadangkan supaya kepimpinan Anwar digantikan dengan pemimpin muda yang mampu pembawa pembaharuan yang boleh diterima oleh penyokong dan rakyat.

30. UMNO-BN membaca situasi ini.Kelemahan dalam PH perlu dimanafaat selain kelemahan dalam Kerajaan Perikatan Nasional sendiri.TS Muhyiddin Yassin tidak mempunyai majoriti kukuh di Parlimen.Sekiranya UMNO-BN mengambil langkah berpaling tadah kepada TS Muhyiddin kerajaan PN akan tumbang.Kerajaam TS Muhyiddin bagaikan telur di hujung tanduk.Beliau terpaksa lebih berusaha untuk memperkukuhkan hubungannya dengan PAS.Tetapi sejauh mana PAS mampu menjadi pelampong menyelamatkan Kerajaan PN dan TS Muhyiddin.

31. Sekarang ini UMNO telah berkuasa di DUN Johor,Melaka dan Perlis.Langkah perlu dijalankan dengan teliti untuk menguasai kerajaan negeri dalam usaha memasuki PRU 15 dan persiapan utnuk melangkah ke Putrajaya.

32. Dengan itu krisis Perak dicetuskan dalam kerangka untuk memperkukuhkan kekuatan UMNO.Peja (Ahmad Faizal Azumu ) yang belum pun setahun menjadi Menteri Besar di bawah BERSATU perlu digulingkan . Alasannya mudah bahawa beliau tidak disenangi oleh majoriti anggota ADUN yang sebahagian besarnya terdiri dari kumpulan  pembangkang iaitu PH (PKR + DAP) juga UMNO (sebelum Langkah Sheraton).

33. Dalam apa kaadaan pun banyak orang melihat langkah UMNO menjatuhkan Peja di DUN Perak adalah suatu bentuk pengkhianatan.Pengkhianatan terancang yang diatur atas nama kuasa dan nafsu politik yang membara.

34. Kepimpinan BERSATU bukan sahaja terkejut tetapi terkedu.Perdana Menetri TS Muhyiddin Yassin tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.Hanya Hamzah Zainuddin selaku SU Agung PN yang menyatakan rasa kesalnya atas kejadian tersebut.

35. Tetapi nampaknya yang turut terasa dan terkesan adalah Paduka Sultan Perak yang begitu prihatin kepada nasib rakyat.Kalau tidak demikian mana mungkin titah baginda begitu sarat dengan pandangan , luahan rasa dan kritikan yang terasa berat dan pedas.

35. Terkesan dengan karenah ahli-ahli politik yang dilihat tidak bertanggung jawab yang menyebabkan baginda berulangkali  menyaksi dan mengesahkan perlantikan Menteri Besar dalam tempoh singkat itu sangat mengeciwakan baginda. Bagaimanakah agenda menjaga rakyat yang susah dan memerlukan pembelaan wakil rakyat tidak diberikan keutamaan oleh wakil rakyat yang dipilih itu.

36.Setakat yang kita sedari belum ada seorang Sultan yang yang begitu berani menyentuh isu politik dengan menyampaikan nasehat sejauh itu.Ini berikutan daripada apa yang dipandang baginda seagai sebuah kegagalan pemerentahan negeri dan kaedah bernegara yang perlu segera diperbaiki.

37. Sejarah kegagalan DUN Perak mengikut Baginda Sultan Perak bukan untuk dibanggakan.Ia bukan sejarah cemerlang rekod kehebatan sebuah negeri.Ia sebuah kegagalan yang nyata berikutan daripada pengaruh emosi berdendam serta pemikiran politik yang jumud.

38. Paduka Sultan Perak  menyentuh dalam titah Baginda bahawa mandat rakyat perlu dipikul oleh wakil rakyat dengan penuh amanah.Rakyat yang miskin,kehilangan pendapatan dan kerja terutama kesusahan dalam masa corvid 19 perlu diberikan keutamaan bukan bergasak sama sendiri untuk mendapat kuasa dan mengejar kepentingan diri sendiri.

39. "Doa rakyat yang merasakan diri teriniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Illahi.Jangan rakyat diiniayai kerana dipengaruhi oleh emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud".Ini adalah amaran dan ingatan untuk menyedarkan ahli-ahli politik supaya bergerak di atas landasan kepercayaan rakyat kepada mereka.

40. Diantara beberapa kandungan lain titah Baginda.Paduka Sultan mengingatkan juga kepada ahli-ahli politik supaya tidak tenggelam dalam khayalan jawatan dan kuasa sehingga kata tidak dikota dan memutar belitkan fakta apabila mengatakan hitam itu putih dan putih itu hitam.

41. Diingatkan juga supaya ahli-ahli politik yang memegang kuasa tidak mudah dipengaruhi lalu tunduk kepada seseorang yang tamak serta berkepentingan diri yang berada disekeliling mereka.Orang-orang tamak ini sangat pandai bermuka-muka dengan memuji kebaikan dan kehebatan pemimpin sedangkan mempunyai niat buruk yang tersirat.

42. " Jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu ".Adalah titah baginda yang mengandungi kiasan tajam supaya ahli politik berhenti dari berbalah sesama sendiri.Mereka jangan hanya fikir diri sendiri sebaliknya menjaga kepentingan rakyat .Jangan rakyat dibiarkan dalam kesusahan sedang pemimpin hidup bersenang linang dengan kuasa dan jawatan yang disandang selepas menang peraduan.

43. Patik dan rakyat jelata menjunjung kasih di atas nasehat dan titah tuanku.Semoga Allah melindungi dan merahmati Tuanku.



Thursday, December 10, 2020

KRISIS POLITIK MALAYSIA : PERINGATAN DAN PENGAJARAN DARI SEJARAHNYA

Kemelut politik Perak telah selesai.Ia dikatakan sebagai selesai apabila Dato' Saarani Mohammad ADUN yang mewakili UMNO telah dilantik.Beliau juga telah diperkenan oleh Paduka Sri Sultan Perak.Beliau juga telah resmi menjadi Menteri Besar Perak dan telah selesai mengangkat sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Paduka Sultan.

2. Kemelut Politik Perak berlangsung selama seminggu dari 4 Disember 2020 sehingga 11 Disember 2020.Dari berlangsungnya undi percaya yang ditolak terhadap kepimpinan Ahmad Faizal Azumu sehingga hari Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah menjadi satu tempoh panas dalam suhu politik Malaysia khususnya di negeri Perak.

3. Jangan marah jika ingin bertanya.Apakah turunnya suhu politik dengan perlantikan seorang Menteri Besar yang baru  di Perak itu membawa erti bahawa polemik politik Malaysia secara umumnya telah selesai ?.

4. Politik Malaysia di kurun ke 21 memasuki era baru dengan memiliki budaya politik yang jauh berbeza dari pengalamannya sebelum itu.Politik sewaktu negara berusaha mencari kemerdekaan sangat berbeza dengan politik Malaysia pasca kemerdekaan.

5. Politik Malaysia yang didewasakan dalam tempurung demokrasi yang sarat dengan masalah perkauman rakyatnya menjadi sedemikian gawatnya sehingga tercetusnya tragedi 13 May 1969.

6. Adakah pengalaman pahit dari tragedi berdarah 13 Mei 1969 memberi peringatan dan pengajaran yang cukup untuk Malaysia .Apakah Malaysia dengan pemimpin politik dari pelbagai kaum yang dipilih kemudian dilantik menjadi pelbagai jenis menteri tidak berupaya untuk menjadikan Malaysia maju dan berjaya dalam erti kata yang sepenuhnya.

7. Apakah kerajaan yang dibentuk selepas merdeka tidak faham kaadaan dan kedudukan negara terutama tentang masyarakat pluralnya.Sebuah kerajaan yang diwakili semua kaum telah dibentuk sejak sebelum merdeka untuk berfikir dan mencari jalan supaya sebuah negara Tanah Melayu merdeka yang bakal dilahirkan akan dijaga,ditadbir,dipelihara dan diurus dengan baik.

8. Dari pengalaman yang ada nampaknya tragedi 13 May yang berlaku lebih dari setengah abad yang lalu itu telah gagal untuk dijadikan peringatan dalam merancang dan membentuk Malaysia yang aman dan berjaya seperti sepatutnya.Ia gagal mengajar pemain politik untuk mengutip iktibar dan pengajaran daripadanya.

10. Ahli sejarah sering mengungkapkan kata-kata bahawa kejadian sejarah akan berulang untuk kesekian kalinya."History repeat itself" .Ia terus berulang dan berulang dalam suatu tempoh masa yang tertentu.

11.  Manusia gagal mengambil dan mengutip sesuatu yang baik serta berusaha menolak dan membuang setiap yang buruk daripada sesuatu peristiwa apabila lagi tragedi buruk dalam sejarah mereka.Kerana itu kebanyakan manusia hanya berjaya membuat perancangan untuk memperolehi kegagalan. Pengalaman yang gagal akan membawa perancangan yang gagal untuk .

12. Kegagalan akan terus "dinikmati" sekiranya kita tidak belajar dari sejarah.Demikianlah kita di Malaysia serta ahli-ahli politik kita kelihatan berpusing dalam lingkaran yang sama dan mengulangi kesilapan yang sama dekad demi dekad.

13. Rakyat dan pemimpin kita beramal dengan politik seperti selisa berada dalam lingkaran kemiskinan (Vicious circle).Mereka berlegar dan berpusing dalam petak yang sama dalam lingkaran yang sama dan kelihatanya tidak kreatif untuk berubah.Politik kita menjadi beku dan masalah negara tidak dapat ditentukan dengan tepat.

14. Politik kita sesungguhnya berada dalam satu "pusingan kemiskinan" yang setiap satu penghujungnya  akan tiba ke jalan buntu yang membawa kegagalan.Jalan mati ini kita sendiri yang pilih.Jalan mati ini pemimpin politik kita sendiri yang pilih.Rakyat yang patuh nampaknya hanya berani mengekori untuk mematuhi dan kelihatan takut mengatakan tidak walaupun nampaknya laluan adalah berliku dan kenderaan bakal sampai ke jalan mati !.

15.Malaysia dalam banyak sudut sedang berada dalam politik jumud.Kita selisa mengamalkan politik pak turut dan selisa mendengar kata-cerita  pemimpin-pemimpin politik. Pemimpin politik kita yang sangat pandai mengolah berita dan bermain kata-kata.Dalam olahan ini banyak yang benar menjadi bohong dan banyak yang bohong menjadi benar.Itulah ciri politik kita.

16. Politik perkauman di Malaysia kini memasuki fasa baru.Isu perkauman bukanlah perkara baru.Ia telah berkurun lamanya wujud.Ia dirancang di zaman kolonial.Ia dirancang dengan perancangan teliti oleh penjajah British.Masyarakat majemuk Malaysia ditetas dan dilahirkan oleh penjajah dengan tujuan yang pelbagai.Ia dipelihara dan digemukkan oleh penjajah dalam rumah kolonial British di Tanah Melayu.

17. British tidak berhasrat untuk memberikan kemerdekaan kepada mana-mana tanah jajahannya di seluruh dunia.Tanah jajahannya seperti juga Tanah Melayu menjadi pelampung kepada ekonomi negara mereka England.Hasil mahsul tanah jajahan bukan untuk tanah jajahan tetapi memaju dan membangunkan negara mereka.Tanah jajahan hanya mendapat habuk dan mewarisi segala kesan buruk hasil perancangan dan peninggalan mereka

18. Demikianlah lahir dan berkembangnya masyarakat majemuk di tanah Melayu.Pendatang asing dari Negara China dan India dibawa masuk ke Tanah melayu untuk dijadikan buruh.Mereka berkembang biak di negara asal milik orang Melayu ini dengan segala kebebasan yang diberikan British.Mereka kekal beramal dengan budaya mereka.Mereka mendirikan petempatan,memperbesarkan perniagaan dan menyediakan kemudahan pendidikan mengikut pendekatan dan cara mereka.

19. Akhirnya kelompok pendatang asing ini memperjuangkan segala macam kepentingan mereka.Selepas Malaya merdeka perjuangan membela kepentingan mereka menjadi lebih ketara.Tindakan mereka lebih tersusun melalui persatuan,pertubuhan dan organisasi.

20. Parti-parti  politik pula sesungguhnya turut memainkan peranan yang besar dan signifkan dalam membela sesuatu yang dikatakan "hak " mereka dalam setiap kaum.Orang Melayu kemudian dipayungi oleh Parti UMNO (Parti Kebangsaan Melayu Bersatu).Demkian orang India di bawah Malayan Indian Congress (MIC) dan orang Cina di bawah MCA (Malayan Chinese Association).

21. Sejak dari awal tahun 50'n sehingga sekarang pun meskipun ketiga-tiga parti ini berada dalam "Perikatan" dan kemudian "Barisan Nasional" tetapi bolehlah dikatakan " mereka tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain".Kerana hal yang demikian segala macam isu-isu kritikal negara yang perlu diselesaikan menemui jalan buntu.Akhirnya sampai ke jalan mati.

22. Isu perkauman di Malaysia semakin sukar untuk diselesaikan kerana.Ia seperti harta pusaka yang tidak diselesaikan setelah ibu bapa meninggal.Semakin lama bertambah anak cucu cicit ciut ia mengundang pelbagai masalah baru.Ia menjadi komplikated,semakin membeku dan terbiar.

23. Bukan hanya semangat perkauman yang menghantui politik Malaysia.Krisis bukan hanya terjadi antara kaum dan budaya yang berbeza.Krisis masyarakat Malaysia turut  ditenatkan oleh semangat kesukuan dengan perbezaan pendekatan dan idelogi sesama kaum.

24. Selepas 13 May 1969 Parti DAP misalnya berjaya menawan hati masyarakat Cina yang progresif di negara ini.Pembentukan Negara Malaysia pada September 1963 turut memberikan warna baru kepada politik Malaysia.Bukan sahaja kawasan pemerentah negara bertambah melebar dan meluas tetapi pandangan dan pendekatan politik rakyat juga turut sama berubah.

25. Dalam PRU May 1969 misalnya DAP telah mencapai kemenangan besar dengan berjaya menguasai undi penduduk bandar.Pada masa yang sama MCA yang biasa menjadi pelindung kepada pengundi Cina semakin tidak popular kerana dikatakan MCA diperkudakan oleh UMNO.Ini adalah persepsi baru dikalangan pengundi Cina yang menjadikan DAP adalah payung baru yang mampu melindungi dan memperjuangkan kepantingan kaum Cina di negara ini.MCA yang semakin tersisih dapat dibuktikan apabila sokongan kepada mereka semakin susut pada setiap PRU selepas 1969.

26. Dikalangan masyarakat Melayu pula terbina pola-pola politik kesukuan diantara kaum sebangsa dan seagama.Negeri yang berbeza nampaknya mendukung semangat dan aspirasi negara dan kehendak yang berbeza.Ia seperti kembali kepada zaman sebelum merdeka di mana negeri-negeri bernaung dibawah corak pentadbiran yang berbeza-beza.Masa penjajah rakyat Tanah Melayu dididik dengan sistem Residen dibeberapa negeri yang di perintah Biritish secara langsung seperti Perak,Selangor,Negeri Sembilan dan Pahang.Negeri ini kemudian pentadbirannya disatukan di bawah Federated Malay States.Negeri-negeri lain diletakkan di bawah kerajaan Unfederated Malaysia States kecuali Singapura,Melaka dan Pulau Pinang yang diletakkan di bawah pentadbiran Negeri Selat (Strait Settlement).

27. Dalam sejarahnya pula negeri-negeri seperti Kelantan dan Kedah menerima pengaruh pemerentahan Siam.Semua warna-warna asing yang bertukar ganti ini turut mempengaruhi corak pemikiran penduduk di negeri ,kawasan dan tanah air yang berbeza itu.

28. Kerana hal yang demikian sejarah telah berjaya mencorak dan membentuk penduduk di negeri dan daerah yang berbeda menjadi tidak serupa.Ciri-ciri heterogenous dikalangan kaum yang sama tetapi mendiami negeri yang berbeda melahirkan budaya berbeza dan sokongan politik kepada parti-parti yang berbeza.

29.Kedah dan Kelantan lebih mempunyai persamaan dengan sejarah penduduk serta pengaruh Siamnya.Ia nampaknya berjangkit ke Terengganu kerana jiran Kelantan yang paling dekat.Parti PAS dapat berkembang dan hidup subur di tiga negeri ini.

30. Negeri-negeri di pantai barat semenanjung dengan sejarah perlombongan timah yang menumbuhkan pekan dan bandar rata-rata diduduki kaum yang asalnya pendatang terutama bangsa Cina.Sekarang politik bandar mampu dikuasai oleh Parti DAP setelah MCA dikira gagal mewakili kehendak dan keperluan masyarakat Cina moden yang progresif dan dinamik sifatnya itu.

31. Orang-orang  Melayu di negeri-negeri Pantai barat semenanjung kebanyakannya menyokong UMNO.Kerana itu UMNO untuk sekian lamanya berjaya mendominasi penduduk Melayu di kebanyakan negeri dan berjayalah mereka membentuk kerajaan di negara ini.

32. Dominasi UMNO tiba-tiba berakhir dengan PRU 14 yang bersejarah itu.UMNO sebagai parti yang dijulang oleh penyokong dan pengikutnya sebagai sebuah parti keramat telah dapat ditumbangkan.

33. Demikianlah bila dianalogikan  UMNO sebagai sebuah rumah tua.Kerosakannya terlalu banyak.Kerosakan itu samada disedari tapi dibiarkan untuk terus tidak dipulih dan diperbaiki. Apakah pula kerosakan itu sama sekali tidak disedari dan tidak diketahui.Apakah Penghuninya penuh selisa mendiami dengan segala khayalan dan angan-angan serta segala perancangan untuk dilaksanakan di masa depan.Apakah terlalu selisa berada di dalam rumah sehingga tidak menyedari anai-anai sedang meratah lantai atau dinding.

34. Kes 1 MDB menjadi api membakar rumah tua itu.Puin-puin yang masih tinggal selepas kebakaran itu berjaya dihimpun ,dikumpul untuk dibangunkan semula sekarang menjadi sebuah rumah baru.Apakah perlu di atas tapak yang sama.Apakah patut untuk dibangunkan semula dan diduduki semula oleh penghuni yang sama.Ini perhitungan baru yang perlu ada dikalangan penghuni rumah ini.

35. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan UMNO-BN  tidak menjadi begitu stabil.Koalisi empat parti yang membentuk PH tidak sehati dan sejiwa.Banyak perbezaan yang gagal disepakati.Kepentingan bersama gagal dipelihara dan disuburkan.Kepentingan kaum sendiri akhirnya menjadi teras perjuangan parti-parti dalam PH yang sebenarnya berdiri mewakili kaum-kaum dan pengundi dari latarbelakang yang berbeza.

36. UMNO mulai bangun dari rebahnya dengan membawa nasionalisma baru.Slogan Melayu dan Islam dilihat begitu sinonim dengan selera perjuangan Melayu sejak dahulu.PAS telah lama hidup dan berkembang dengan slogan ini.UMNO tidak lagi boleh berharap dengan konsep nasionalisma lama yang berteras semata-mata untuk mempertahankan ketuanan Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.Ia perlu bergerak lebih jauh dari itu.

37. Setelah merasa selisa dengan PAS dan merasa bahawa pendekatan yang diguna pakai oleh PAS menghasilkan kemenjadian maka UMNO kmelihat PAS boleh dijadikan rakan kongsi.Inilah semangat yang membawa kepada berjayanya diadakan Perhimpunan UMMAH di PWTC pada 19 September 2019.

38. Kejayaan yang lebih besar daripada kejayaan mengadakan perhimpunan penyokong parti yang berpuluh tahun bermusuhan itu;ialah apabila Muafakat Nasional (MN) berjaya dibentuk dan dimetraikan piagamnya didepan ribuan penyokong kedua parti itu di PWTC pada tarikh tersebut.

39. Apakah MN adalah sebuah platform atau pelantar kukuh yang boleh menampong saratnya masalah dan karenah kedua-dua parti tersebut .Apakah pelantar itu cukup luas untuk dapat mengisi dan merapatkan bahu dan hati nurani kedua-dua parti yang berpuluh tahun meskipun bersama dalam satu bangsa dan ugama tetapi tidak sebulu sehingga satu pernah satu pihak mengkafirkan satu pehak yang satu lagi.

40.Kemelut politik kita dan krisisnya sentiasa meniti di atas jambatan yang sama.Ia masih berlegar di atas padang dan pentas yang sama.Bilakah isu perkauman dan perbezaan kehendak antara kaum yang berbeza di Malaysia dapat diredakan.Di manakah titik temu untuk masalah perkauman dapat dirungkai dan diselesaikan.

41. Nampaknya selagi kaum Melayu dan bumiputra yang menjadi kaum majoriti di negara ini masih belum gagal menemui formula untuk penyatuan mereka maka selama itu krisis politik kita akan menemui jalan buntu untuk dislesaikan.

42. Benchmark kepada ketenangan politik Malaysia terletak kepada persepsi dan visi bersama seluruh  orang Melayu dan kaum bumiputera .Mereka mesti lebih dahulu sepakat dalam tindakan dan perjuangan mereka.Selagi Melayu tidak bersatu meraka akan diambil peluang oleh bangsa lain untuk tidak mematuhi kepimpinan mereka.

43. Ketuanan Melayu tidak akan bermakna untuk menyatukan Melayu sekiranya mereka mendukung visi dan misi negara yang berlainan dan berbeza.Kesatuan atas nama agama Islam akan menjadi lebih terjamin untuk membawa Malaysia maju ke depan.

44. Islam yang dipraktikkan dalam teori dan amalan akan mampu menyatukan pelbagai kaum.Tetapi Islam yang diterima dan dipakai secara teori sahaja akan membawa kegagalan untuk Malaysia.

45. Pemimpin politik Malaysia perlu berganjak mencari paradigma baru dalam pentadbiran dan pemerentahan negara.Setiap kaum perlu belajar dan memahami dan meteladani sejarah negara.Sikap bertolak ansur antara kaum jangan hanya mati dimulut sebelum berkubur di hati .

Wednesday, December 9, 2020

KEMELUT POLITIK MALAYSIA : ANTARA UJIAN DAN HARAPAN

 4 Disember 2020 telah berlalu.Namun tarikh tersebut telah terpahat dalam sejarah Malaysia dan sejarah dunia sebagai satu peristiwa penting.Belum pernah sebuah kerajaan yang mengusul sebuah undi percaya kepada kerajaannya sendiri untuk kemudian ditolak sendiri pula anggota kerajaan itu.

2. Benar ia nampak aneh tetapi ia telah berlaku dan telah tertulis sebagai satu detik penting dalam sejarah politik moden Malaysia dan dunia.

3. Malaysia terkenal diserata dunia terutama sejak 2015 apabila Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) membangkitkan Kes 1 MDB.Nama Dato' Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah menjadi begitu popular dari  hujung paling timur Negara Republik Rakyat China hingga hujung paling barat negara Amerika Syarikat yang ditadbirkan di bawah Parti Demokrat Donald Trump.

4. Berikutan itu Malaysia dikenali sebagai sebuah negara kleptokrat.Istilah ini menjadi begitu popular dan disebut di mana-mana bukan sahaja di Malaysia telah tumbuhnya pokok kejadian itu tetapi turut diperkatakan diseluruh dunia kerana keistimewaannya.

5. Nama Malaysia terkenal seantero dunia.Tetapi ianya menjadi contoh terburuk untuk Malaysia.Negara ini dicemuh dan dipandang serong oleh seluruh dunia kalaupun terlalu teruk untuk dikatakan dibenci oleh negara-negara di dunia.

6. Populariti yang diperolehi oleh Perdana Menteri Najib dan Malaysia dari 2015 sehingga 9 Mei 2018 telah dibayar oleh DS Najib dan UMNO- Barisan Nasional dengan harga paling mahal.Kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan DS Najib adalah harganya.

7. UMNO telah tumbang bersama rekod dan pengalamannya memerentah Malaysia selama 61 tahun.Ini menjadi sejarah paling pahit untuk sebuah parti pemerentah yang telah lama bersenang linang dengan nikmat pemerentahannya.Kejatuhan ini untuk seorang perwira Jepun akan dibayarnya dengan harakiri.Dia rela dan memilih mati  daripada hidup menanggung malu atas kesalahan dan perbuatannya yang memberi kesan buruk kepada orang lain.Tetapi tidak demikian Najib kerana budaya Malaysia yang berteraskan Islam memilih pendekatan lain yang jauh berbeza dari Jepun untuk membayar malu atau menebus kesalahan dan dosa.

8. Dalam krisis politik UMNO selepas PRU 14; DS Najib memilih untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan diberikan tugas kepada DS Zahid Hamidi timbalannya untuk mengambil tugas tersebut.

9. Meskipun Najib melepaskan jawatan namun peranannya dibelakang tabir dalam kepimpinan UMNO kelihatan tidak dilepaskan begitu sahaja.Hubungannya dengan Zahid Hamidi begitu kukuh dan akrab  sehingga segala pandangan buruk yang dilemparkan kepada Najib oleh rakan-rkan kabinet yang lalu hanya dipandang sepi oleh Zahid Hamidi.Bersandarkan kepada sokongan kuat Zahid terhadap Najib membolehkannya bernafas kembali dalam UMNO.

10.Benarlah jasa Najib kepada Zahid selama ini yang mengangkatnya serta memberi banyak peluang dan kemudahan untuk dinikmatinya sebagai menteri kabinet selayaknya kini dibalas baik oleh Zahid Hamidi kepada DS Najib.

11. Dari belakang tabir DS Najib mempopularkan semula dirinya melalui media sosial untuk berkomunukasi dengan rakyat terutama penyokongnya.Melalui pendekatan ini jenama BOSSku telah mendapat tempat.Dengan BOSSku bagaikan segala macam masalahnya dengan 1 MDB bagai luntur dan semakin mencair.Ini suatu keajaiban.

12. Disebalik mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah dengan hukuman penjara dan bayaran ganti rugi beratus juta ringgit kelihatan DS Najib masih mampu memanjat tangga untuk naik ke atas  memijak lantai podium dalam kepimpinan UMNO.

13. Jangan takut untuk berkata bahawa sebahagian dari percaturan UMNO dalam merangka tindakan dan membuat keputusan besar masih pasti melibatkan saranan dan cadangan Najib.Demikian pula dengan segala percaturan sehingga mencetuskan kemelut Perak.

14. DS Najib ternyata sangat berhasrat untuk melaksanakan "Come Back" dalam politik UMNO lebih-lebih lagi dalam politik Malaysia.Untuk itu dia mesti melakukan sesuatu yang bersifat luar biasa.Untuk membina diri baru ia mesti bertindak di luar kotak (Out of the box).Ini tidak mudah.Tetapi DS Najib mesti melakukan untuk masa depan dirinya yang berdepan dengan banyak lagi kes lain yang belum selesai di mahkamah.

15. Demikian Najib demikian pula DS Ahmad Zahid Hamidi ,Presiden UMNO kini yang masih berdepan dengan berpuluh kes di mahkamah.Beliau wajib mengatur langkah untuk menyelamatkan dirinya.Dijatuhkan hukuman bersalah kemudian mengakhirkan riwayat politiknya di penjara bukan menjadi pilihannya.Kalau begitu sesuatu mesti diusahakan melalui politik untuk menyelamatkan diri.Perkara-perkara lain boleh difikirkan kemudian..

16.Jelas kelihatan bagaimana usaha-usaha dibuat dan segala peluang dicari untuk menyelamatkan diri atau menyelamatkan parti dilakukan oleh setiap pemimpin UMNO di semua peringkat dalam usaha mereka untuk "Survival".

17. Langkah menyelamatkan diri kelihatan lebih menyerlah dari matalamat menjaga parti atau berjuang untuk rakyat dalam langkah dan pendekatan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin parti politik khususnya UMNO pasca PRU 14.

18. Ambil sahaja mana-mana contoh bagaimana ada menteri-menteri kabinet UMNO di zaman DS Najib yang berpaling tadah menyokong parti kerajaan yang baru memerentah.Kumpulan muhajirin ini berdepan dengan hakikat untuk menyelamatkan diri lebih besar dari mendukung perjuangan dan prinsip parti.Mereka bagai lalang.Bagai kiambang bergerak mengikut arus.Adakah mereka boleh dipersalahkan.Mungkin boleh mungkin tidak.

19. Demikian pulalah apabila kumpulan pembangkang yang digerakkan oleh UMNO mencari-cari beberapa idea baru untuk menjenamakan semula UMNO.Proses" re-branding " semula UMNO ini perlu dilakukan dengan cermat.Hati rakyat perlu ditambat kembali.Jiwa rakyat perlu dimenangi kembali.Kepercayaan rakyat yang banyak terhakis kepada UMNO sebelum dan semasa PRU 14 perlu dipulih dan dibugarkan kembali.Proses "refreshment" ini memerlukan kaedah dan cara yang penuh dengan kecermatan dan kebijaksanaan.

20. Dicelah-celah semangat,tekanan dan desakan politik semasa itulah yang membuahkkan idea dan gagasan nasionalisma Melayu-Islam baru yang digagaskan bersama oleh UMNO dan PAS.

21. MN adalah singkatan Muafakat Nasional sebuah pakatan atau gabungan baru yang dilahirkan dari perkahwinan UMNO -PAS.Dalam tempoh -tempoh antara 2014-2018 terutama sewaktu kecamuk menjelang PRU 14 yang lalu percintaan antara UMNO- PAS telah dapt dapat dikesan oleh banyak pihak.Penganalisa politik sudah bertutur tentang percintaan mereka berdua.Cuma menunggu untuk ijab qabul dan seterusnya  naik pelamin mengistiharkan perkahwinan.

22. Muafakat Nasional sebagai sebuah gabungan baru pembangkang telah berjaya dimetrai piagamnya dan diistiharkan sebagai gabungan sah pada 14 September 2019.Ia dilakukan dalam satu majlis bersejarah yang dinamakan "Himpunan Penyatuan Ummah ".Ini berlaku di bangunan kebanggaan UMNO iaitu Pusat Dagangan Dunia Putra,Kuala Lumpur.

23. Penting dan syahdunya peristiwa ini ialah bahawa untuk pertama kalinya selepas PAS keluar  dari UMNO tahun 1955' inilah kali pertamanya pemimpin dan ahli-ahli kedua-dua parti dapat duduk sebumbung dalam satu majlis yang dihadiri,dirai dan direstui bersama.

24. Matalamat MN tidak lain adalah untuk menyatukan kaum Melayu - Islam Malaysia dalam menghadapi pilihanraya.Terutama PRU 15 yang akan menjelang.

25. Pembentukan Muafakat Nasional menjadi suatu peristiwa penting kepada politik Malaysia selain dari makna penyatuan ummah Melayu dan Islam negara ini.Ia adalah suatu "epoch making " untuk poltik moden Malaysia.

26.Perjalanan Muafakat Nasional masih jauh di depan.Sejauh mana perbezaan dan persamaan diantara kedua-dua parti itu dapat dikompromi bersama akan menentukan sejauh mana matalamat bersama untuk menjadi pemain politik yang efektif dapat direalisasi dan dipertahankan.

27.Perubahan cuaca dan iklim politik Malaysia selepas PRU 14 menjadi begitu laju,panas dan berasap.Kenyataan yang diberikan oleh setiap pemimpin politik dalam mewarnai kanvas politik  mereka menjadi samada mudah untuk dipercayai atau samasekali boleh ditolak.Banyak pemimpin politik hanya bermain dengan kata-kata untuk tidak menyatakan apa yang sebenarnya berlaku.Mungkin kurang tepat untuk mengatakan Malaysia selepas PRU 14 berada dalam tempoh penuh kekeliruan dan tidak menentu.

28. Suhu politik Malaysia menjadi semakin panas apabila berlaku pula pergolakan dalam kerajaan Pakatan Harapan yang sedang memerintah.Perebutan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir dengan PM in Waiting DS Anwar Ibrahim semakin menjadi.Tun Mahathir dikecam oleh penyokong-penyokong kuat Anwar Ibrahim dalam samada PKR dan DAP.Suara supaya Tun M segera melepaskan jawatanya untuk diserahkan kepada DS Anwar Ibrahim menjadi semakin lantang hari demi hari apabila sahaja memasuki tahun 2020.

29. Pembangkang dalam Muafakat Nasional yang dianggotai PAS dan UMNO menghidu dan mengintai dari dekat perselisihan dan keretakan dalam sangkar Pakatan Harapan.Di sinilah timbul pelbagai rundingan baru antara mereka untuk mencari strategi bagaima keretakan dalam kerajaan PH itu dapat dimanafaat dan dieksploitasi bagi survival mereka.

30. Krisis dalam kerajaan PH menjadi semakin besar bersama dengan bertambah besar pula krisis dalam Parti Keadilan Rakyat yang membahagikan blok dalam PKR menjadi dua.

31. Satu blok dalam PKR mendukung aspirasi Azmin Ali bersama Zuraidah Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor yang menjadi penyokong kuat Azmin Ali.Satu blok lagi yang dipimpin Anwar selaku Presiden PKR yang didokong kuat oleh isteri,anak dan Rafizi Ramli serta lain-lain pemimpin setia kepadanya.

32. Azmin Ali dikatakan begitu rapat dengan Tun Mahathir serta mendapat keprcayaannya pula.DS ِAnwar melihat Azmi menjadi penghalang utama kepada cita-citanya untuk menjadi PM memandangkan Azmin sendiri tidak terlepas dari membina tangga untuk merintis jalan bagi menduduki jawatan sama lambat atau bangat.Di tengah-tengah kekalutan inilah Azmin Ali kemudiannya berdepan dengan Kes Semburit yang menggencat langkahnya dalam politik semasa.

33. Adalah dikatakan bahawa Keputusan Azmin Ali berpakat dengan Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainuddin dalam merancang sebuah agenda dan komplot baru telah mencetuskan kejutan dan kegawatan besar dalam politik Malaysia.

34. Sebuah perjumpaan yang kemudiannya dikenali sebagai "Langkah Sheraton" telah diatur pada akhir Febuari 2020.Dikatakan Azmin Ali menjadi perancang utama yang mengerah dan menghimpunkan pemimpin-pemimpin pembangkang dari Muafakat Nasional dan yang lain untuk membentuk sebuah koalisi baru menggantikan Pakatan Harapan yang sudah tidak lagi relevan untuk membawa Malaysia kepada kejayaan dan kemajuan.

35. Sebelum langkah Sheraton diambil terlebih dahulu TS Muhyiddin Yassin telah membawa keluar Parti BERSATU dari Pakatan Harapan. Berikutan daripada keputusan itu kedudukan dan nisbah majoriti anggota parlimen dalam kerajaan telah hilang.Ini menyebabkan kelayakan  Tun Mahathir selaku Perdana Menteri turut hilang.Inilah yang memaksa beliau meletak jawatan!.

36. Politik Malaysia menjadi semakin gawat selepas Mahathir meletak jawatan apabila YDAgong terpaksa mengambil bahagian untuk menyelesaikan krisis politik yang besar ini.

37. Keputusan YDAgung yang pada akhirnya melantik TS Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri bukan dapat menutup rasa keciwa dan tidak puashati mereka yang berkepentingan lainnya.Tetapi sekurang-kurangnya sebuah kerajaan baru telah dapat dibentuk dan seorang Perdana Menteri baru dapat membentuk kabinetnya untuk meneruskan pemerintahan oleh sebuah kerajaan di Malaysia.

38. Kerajaan TS Muhyidin Yasin kemudian disebut sebagai kerajaan Pintu Belakang atau kemudian lebih popular disebut sebagai Kerajaan Tebuk Atap satu frasa yang diperkenalkan sendiri oleh Presiden PAS TG Abdul Hadi Awang.Sebagai sebuah kerajaan yang dituduh telah membelakang mandat rakyat maka kerajaan yang ditadbir oleh TS Muhyiddin berdepan dengan banyak ancaman dari pehak Pakatan Harapan yang sekarang sudah bertukar peranan dan tempat duduk dalam parlimen.Mereka telah dipaksa menjadi pembangkang secara tiba-tiba.Sungguh tragis. Segala peristiwa yang berlaku bagai sekelip mata.Peminpin Pakatan Harapan yang bertukar menjadi pembangkang tidak boleh menerima pengkhianatan dan perbuatan tikam belakang ini.

39..Perikatan Nasional ditubuhkan oleh TS Muhyiddin sebagai sebuah kerajaan baru menggantikan Pakatan Harapan yang digulingkan melalui gerakan tebuk atap sebagai yang dinyatakan itu.Ia didirikan diatas airmata Pakatan Harapan yang telah mendapat mandat rakyat dalam PRU 14.

40. Hak Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan telah berjaya dinafikan melalui satu kudeta (revolusi tanpa pertumpahan darah) dengan Langkah Sheraton yang licik dan terancang.

41. Kemelut politik Malaysia  pastinya tidak mempunyai noktah di sini.Pembentukan kerajaan Perikatan Nasional akan menjadi satu permulaan baru kepada satu tahap perkembangan lain yang lebih panas selepas ini.Dekad-dekad yang akan datang bakal menyajikan perkembangan politik yang lebih menarik untuk dianalisa dan diperkatakan.

42. Malaysia sedang menunggu kebijaksanaan TS Muhyiddin dan anggota kabinetnya yang besar dan dan dikatakan berwawasan serta nerintegriti itu untuk membawa Malaysia memasuki era kemajuan,keamanan dan kejayaan.

42. Kedatangan dan kemaraan pandemik Corvid 19 yang belum reda sehingga kepada saat rencana ini digarap menjadi suatu lagi ancaman baru  dan membawa pandemik politik pula untuk sebuah Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum ini.

43. Kemelut politik Perak yang terjadi pada Jummat 4 Disember 2020 ;apabila Peja (Ahmad Faizal Azumu ) ditumbangkan sebagai Menteri Besar Perak dari BERSATU menjadi satu lagi ujian baru untuk dihadapi oleh kerajaan Perikatan Nasional.

44. Rakyat mengharapkan akan segera wujud sebuah kerajaan yang setabil.Negara yang berbilang kaum ini perlu berada di atas satu titik kebersamaan semua kaum penduduknya. Setiap rakyat mesti memainkan peranan serta mnyedari hakikat negara untuk menghormati dan menerima seadanya perbezaan dan persamaan dalam rangka perdamaian yang lebih utuh dan abadi.

Saturday, December 5, 2020

KRISIS POLITIK PERAK : LUKA YANG BAKAL BERNANAH.

 Ahmad Faizal Azumu atau panggilan manjanya Peja dengan resminya telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak.Semua exco kerajaannya telah mengambil tindakan yang serupa.

2.    Dikatakan UMNO bertanggung jawab mengatur strategi dan melakukan serangan hendap untuk menggulingkan kepimpinan Ahmad Faizal.Serangan ini dilakukan pada hari Jumaat 4 Disember 2020.

3. Serangan ini dilakukan  sewaktu negara tengah dan masih  tenat diserang corvid 19 dimana angka kes jangkitan seluruh negara masih tidak menurun dan kedudukannya melepasi paras satu ribu kes.Perak sendiri pada masa rencana ini digarap memiliki kes seramai 319 dan menduduki tempat ke sepuluh dalam senarai negeri-negeri di Malaysia.

4.     Berita yang diperolehi menyatakan bahawa angin telah lama bertiup untuk menumbangkan Ahmad Faizu Azumu.Rasa tak puas hati dikalangan 25 orang ADUN UMNO dalam Dewan Undangan Negeri Perak telah lama membuak.

5.    Pada saat-saat terakhir tsunami telah tiba apabila  15 orang ADUN dari UMO mengambil langkah untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) .Mereka dengan itu turut menamakan Saarani sebagai calon untuk menggantikan tempat Faiza Azumu sebagai MB Perak yang baru.

6. Saarani adalah ADUN Kota Tampan.Nama kedua yang disokong oleh kumpulan ini ialah Datuk Shahrual Zaman Yahya selaku ADUN Rungkup.

7.    Ribut ini kemudian menjadi tsunami apabila pada Jumaat 4 Disember 2020  suatu Undi Percaya telah dibawa dan dicadangkan oleh Abd Manaf Hashim ADUN / UMNO dari Pengkalan Bharu.Cadangan usul ini telah disokong ADUN /UMNO dari Kenering.

8.    Undi belah bahagi yang dilaksanakan memberi keputusan yang menyedihkan untuk peyandang Menteri Besar Ahmad Azumu apabila beliau hanya disokong oleh 10 ADUN.Ini bererti 48 ADUN dalam Dewan Undang Negeri Perak tidak menyokong Ahmad Faizal Azumu setelah seorang ADUN dikatakan berkecuali.

9.    Tidak pula dapat dipastikan siapa yang menyokong Ahmad Faizal.Kalau semua ADUN BERSATU menyokongnya ia hanya baru berjumlah lima mengikut bilangan kerusi ADUN dari parti itu di Dewan Undangan Negeri Perak. Mungkin ADUN PAS menyokongnya apabila disedari bahawa sejak kebelakangan ini PAS lebih mesra dengan BERSATU pusat. Dua lagi sokongan sukar ditentukan dari parti mana datangnya.

10.     Apa pun sukatan dan pertimbangan Peja (Faizal Azumu ) telah digulingkan dalam satu kudeta yang memilukan.Ia sakit dan memedihkan bukan sahaja pada mata tetapi lebih-lebih lagi hati dan jiwa.

11. Ini dapat dirasakan dalam ucapan " selamat tinggal " yang diluahkan oleh Peja sebagai mangsa kepada tragedi ini.Airmata yang gugur masih belum dapat mentafsirkan kekeciwaan yang membakar dalam hati sanubarinya.Dalam wajah sayu Ia kelihatan berpaling kepada isterinya yang berada disebelah kiri  menemaninya dalam majlis itu...... !.

12.    Kita tidak mengetahui apa yang sebenarnya terjadi disebalik kebencian semua ADUN UMNO sehingga berusaha menggulingkan Ahmad Faizal. Apa yang lebih kita tahu ialah bahawa UMNO diperingkat pusat masih menjadi sekutu BERSATU /PPBM dalam kerajaan Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan sekarang.

13.    Dengan kedudukan UMNO sebagai rakan kongsi dalam kerajaan PN diperingkat pusat apakah pendekatan yang diambil menggulingkan Menteri Besar Perak merupakan langkah yang bijaksana untuk memuaskan hati dan perasaan sendiri.

14.    UMNO pusat dalam jawapannya kepada masalah ini menyebutkan bahawa Majlis Tertinggi UMNO tidak diberitahu berkenaan dengan langkah tersebut yang katanya diambil tanpa merujuk kepada MKT atau Biro Politik UMNO terlebih dahulu.

15.    Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Anuar Musa dalam reaksinya menyebut kejadian tersebut sebagai satu kes terpencil yang hanya terjadi di Perak dan ianya tidak mengugat sesuiatu lain di luar negeri tersebut.Apakah ini pandangan yang tepat dalam mengukur peristiwa ini.

16.     Rasanya mustahil tanpa angin dan ribut yang kuat pokok sebesar jawatan menteri Besar sebuah negeri boleh ditumbangkan dalam suasana senyap dan sepi.Mustahil pula Presiden UMNO Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan orang Perak sendiri sedikit pun tidak dimaklumkan hal berkenaan.Apa hal pula Ahmad Maslam SU Agung UMNO sedikit pun tidak mengetahui hal yang sepenting itu.Bagaimana pula nampaknya reaksi dari  Dato' Seri Tajuddin Abdul Rahman AP dari Perak yang selalu bising dan lantang dengan segala isu politik yang panas-panas sebelum ini.

17.    Menggulingkan seorang Menteri Besar menjadi isu panas.Memilih dan untuk mencadang seorang pengganti juga mungkin menjadi lebih panas kalau pun tidak mengelegak.

18.     Siapa bakal dipilih ?. Soalan ini besar dan kuat bunyinya.Orang UMNO yang merancang penggulingan tentu mereka lebih berselira untuk menentukan orang mereka diangkat menjadi MB yang baru.

19.     Beberapa nama telah disebut termasuk Saarani dan juga Shahrul Zaman Yahya.Ada juga disebut ADUN Pangkor Dr Zamri bekas Menteri Besar Perak suatu waktu dulu.Tidak mungkin orang PAS apalagi calon dari PKR.

20.    Barangkali pula siapa yang bakal dilantik dan diterima oleh Paduka Sultan Perak untuk menjadi MB Perak tidaklah  menjadi persolan yang lebih besar daripada memikirkan apa perasaan dan pertimbangan PPBM / BERSATU di atas masalah ini.

21.    Apakah selaku ketua kerajaan yang juga Presiden dan Pemangku Pengerusi BERSATU Iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pula; tidak terasa apa-apa dengan perkembangan ini.

22.    Diberitakan pada petang Peja digulingkan di Perak satu messyuarat majlis tertinggi BERSATU yang dipengerusikan TS Muhyiddin Yassin telah diadakan di Putrajaya.Tentunya isu dan krisis disentuh dan dibincang.Apakah sikap TS Muhyiddin dalam menerima pukulan ini.

23. Kenyataan Dato' Seri Hamzah Zainuddin SU Agung BERSATU selepas mesyuarat tersebut yang menyatakan "rasa kesalnya" di atas perbuatan tersebut tentunya mengandungi makna yang lebih mendalam daripada erti beberapa patah perkataan tersebut.

24. Kita cukup faham bahawa UMNO hanya mempunyai 25 kerusi ADUN.Mereka tidak boleh berdiri atas kaki sendiri untuk mendapat majoriti bagi menentukan MB baru dilantik.Persoalannya bagaimana ADUN BERSATU yang dilukai dan dikhianati akan menyokong mereka.Apakah mereka ini tidak bersimpati dengan Peja yang telah digulingkan di depan mata mereka.

25. Dalam hal ini PAS pusat terlebih awal mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan melibatkan diri dalam kemelut ini.A[pakah ADUN PAS Perak akan mengambil sikap berkecuali apabila 3 calonnya mengambil sikap tidak peduli atau berkecuali.

26, Di luar dari kemelut ini pula terdengar suara-suara kuat atau perlahan yang memberi respon kepada tragedi ini.Seorang exco pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Deris @ Papagomo kelihatan memperli Peja sekaligus BERSATU yang mencadangkan supaya bekas Menteri Besar ini segera dilantik menjawat jawatan menteri kanan dalam kerajaan pusat .Dalam ayat cadangannya itu dinyatakan pelantikan itu perlu dibuat supaya " Rumah PN" tidak terbakar .

27. Makna dari kata-kata itu mungkin cetek mungkin juga dalam.Ia boleh ditafsirkan dalam pelbagai sudut dengan menggunakan sudut pandang yang berbeda. Saya percaya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden BERSATU mempunyai cukup pengalaman selaku ketua kerajaan PN untuk menyelesaikan krisis ini.

28.    Sementara itu dari selatan semenanjung kedengaran Osman Sapian ADUN BERSATU dari Kempas menyuarakan rasa terkilannya akan kejadian di Perak itu.Beliau melontarkan kebimbangan bahawa tendangan kepada Peja di Perak akan dibalas dendamnya di Johor !.Adalah diketahui bahawa MB Johor sekarang adalah Hasni Mohamad iaitu calon UMNO.

29. Osman Sapian merasa sangat terkilan dengan penggulingan Ahmad Faizal Azumu (Peja).Bukankah UMNO dan BERSATU adalah anggota parti gabungan yang telah bersama mendirikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).Mengapa terjadi pengkhianatan itu bisikan dari kalbunya.

30.     Banyak pula penganalisa politik yang meramalkan kemelut politik Perak akan turut mengheret negeri lain memasuki kancah yang serupa.Mereka memberikan contoh Johor begitu juga negeri Bayah Bayu Sabah.Krisis ini juga dipandang boleh memberi gugatan dan mempengaruhi keseimbangan kedudukan kerajaan persekutuan yang terbina atas persetujuan beberapa parti.

31.    Sejauh yang disedari kerajaan PN sekarang adalah sebuah kesatuan longgar yang didokong oleh tiga parti utama iaitu BERSATU sebagai parti induk,diikuti oleh UMNO yang sentiasa membangkitkan bahawa mereka mempunyai kerusi yang terbanyak dalam gabungan tersebut.Satu lagi adalah PAS yang memberikan sokongan kuat kepada Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin.

32.     Adalah juga diketahui bahawa agak lama sebelum Kerajaan "Tebuk Atap" Perikatan Nasional dibentuk; UMNO bersama PAS telah pun membentuk Muafakat Nasional atas perjuangan Melayu-Islam untuk mendominasi politik Melayu di Malaysia.Pada masa MN dibentuk musuh mereka adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sekarang telah dijatuhkan melalui Langkah Sheraton  yang membawa kepada tertubuhnya kerajaan PN sekarang.

33. Suatu perkembangan yang menarik pula ialah apabila UMNO enggan secara resmi menganggotai gabungan Perikatan Nasional walaupun mereka bersama dalam Langkah Sheraton dan bersama dalam PN.

34. PAS kelihatan lebih berani mengambil risiko apabila mereka yang kuat menyokong TS Muhyiddin Yassin mengambil langkah untuk menyertai PN secara resmi.

35. Senario ini akan mewarnai dan mampu mencorakkan kemelut Perak dalam menentukan MB baru itu.

36. Senario ini akan lebih mewarnai politik Malaysia secara keseluruhan untuk hari-hari yang akan datang.Kelihatannya PAS akan menjadi "King Maker" dalam menentukan siapa akan menerajui Malaysia dan siapa bakal dilantik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sedikit masa lagi.

37. Buat masa ini kita tinggalkan perbincangan ini untuk melihat sejauh mana kemelut dan krisis politik Perak bakal menjadi luka berdarah dan bernanah dalam politik Malaysia.

Tuesday, December 1, 2020

PEMBANGKANG YANG BISU AKAN DEWASA BERSAMA CORVID 19

 Sistem demokrasi menyediakan peluang untuk ada pihak yang tidak bersetuju kepada satu pihak yang lain untuk menolak.Mereka diberikan ruang untuk menidak atau menafikan keputusan,tindakan dan perbuatan orang lain.

2.     Demokrasi membenar dan memberikan kebebasan untuk bersuara.Katakan tidak apabila tidak bersetuju.Katanya Ya apabila bersetuju.Boleh juga berkecuali sekiranya sesuatu itu kurang pasti.Boleh juga duduk diam tidak bersuara. 

3.    Setiap rakyat di sebuah negara demokrasi  tanpa mengira apa bangsa,apa warna,apa agama ,apa rupa mereka berhak mendapat kebebasan untuk setuju atau tidak bersetuju dengan kerajaan yang mentadbir negara mereka.

4. Sebuah negara demokrasi membenarkan wujud dan beroperasinya pelbagai parti politik. Parti-parti politik diwujudkan untuk pada dasarnya berkhidmat kepada rakyat.Untuk membangunkan rakyat dan negara dengan menggunakan acuan demokrasi . Perjalanan dan rangka kerja sesebuah parti politik mestilah mematuhi lunas-lunas perlembagaan yang diguna pakai oleh sesebuah negara itu.

5.    Demikianlah perjalanan sistem demokrasi di Malaysia.Dengan latarbelakang penjajahan British berabad lamanya;Malaysia mengakui dan menerima sebuah sistem demokrasi yang dicedok dari Great Britain negara yang menjajah mereka.

6. Sejak semasa Tanah Melayu berusaha mendapatkan kemerdekaannya bentuk kerajaan yang bakal diberikan kemerdekaan  telah direncanakan oleh British.Benar panjajah akan meninggalkan Tanah Melayu tetapi mereka tidak akan membenarkan semuanya akan hilang dari tangan mereka.

7. Prinsip kapitalisma tidak membenarkan sebuah kuasa menerima hakikat kehilangan mutlak daripada sesuatu yang pernah dikuasainya.Penjajahan beratus lamanya memberikan keuntungan laba yang besar kepada negara penjajah terutama dari sudut ekonomi.Sekian lama Tanah Melayu dan negara jahajan British yang lain menjadi pelampung untuk menyelamatkan Great Britain yang kurang hasil mahsulnya.

8.    Pemerentahan British di Tanah Melayu beramal dengan dasar Divide & Rule (Pecah dan Perintah).Negara yang diperintah mereka ini telah menjadi majemuk kerana ciptaan mereka.Atas kepentingan ekonomi dan usaha untuk mengeksloitasi hasil mahsul  negara ini maka buruh-buruh dari luar dibawa masuk tanpa sekatan .Bemula dengan angka ribu kemudian menjadi ratusan ribu pendatang asing dari India dan China diajak dan dibawa masuk ke Tanah Melayu.

9. Orang-orang asing ini pada akhirnya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke negara asl mereka kerana banyak faktor.Layanan baik dan istimewa yang diberikan British kepada mereka di Tanah Melayu menjadikan mereka lebih selisa berada di negara asing ini  daripada kembali pulang ke negara asal masing-masing.Suasana politik yang kucar kacir di negara China menjadikan orang cina yang berada di Tanah Melayu pada akhirnya mengambil keputusan untuk kekal menetap di sini.

10.    Itulah sejarah permulaan wujudnya masyarakat plural di Tanah Melayu.

11.    Kemajemukan menjadi masalah di Tanah Melayu dari dari mula negara ini berusaha untuk mencapai kemerdekaan.British seolah-olah memaksa orang Melayu untuk menerima kaum pendatang sebagai penduduk senegara.Secara terancang British merencanakan supaya kemerdekaan tidak boleh diberikan kepada Tanah Melayu sehingga orang Melayu menerima kaum pendatang sebagai sekutu dan sebahagian dari kehidupan mereka.

12.     Pemimpin-pemimpin Melayu,Cina dan India digesa supaya berpakat dan bersatu untuk mendapatkan kemerdekaan.Itu syarat British.Kerana itu untuk kemerdekaan, orang Melayu terpaksa berkorban.

13    .Pengorbanan inilah yang memulakan sejarah Malaysia moden yang wujud sekarang ini.Malaysia menjadi sebuah negara majemuk dengan pelbagai masalah kecil atau besar untuk dilaluinya sepanjang sejarahnya yang akan datang.

14.    Malaysia moden wujud dengan pelbagai parti politik untuk merencana masakini dan masa depan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

14.    Trend perkauman jelas menjadi amalan puak dan kaum yang berbeda.Itu nyata sejak sebelum merdeka.Untuk mencapai kemerdekaan dulu pun sudah bermula dengan wujudnya MIC (Malayan Indian Council) mewakili kaum India.Kaum Cina menubuhkan MCA (Malayan Chinese Association) bagi mewakili kaum mereka.Demikian pula orang Melayu menubuhkan UMNO (United Malayan National Organisation) bagi mewakili orang Melayu.Pemisahan kaum di bawah telunjuk British dengan dsar pecah dan perintahnya jelas menjadi teras dan menjadi paksi kepada sebuah kerajaan yang bakal diberikan kemerdekaan oleh British.

15. Benarlah pada 31 August Tanah Melayu mengistiharkan kemerdekaannya.Sorak sorai rakyat menyambut kemerdekaan tidak melenyapkan rasa kebimbangan orang Melayu  tentang nasib masa depan mereka di tanah yang telah merdeka ini.Apa akan jadi kepada orang Melayu yang sekarang secara resmi terpaksa berkongsi hidup di atas muka bumi yang sama ini. 

16. Perbedaan budaya,agama dan adat resam kekal menjadi penghalang.Ia menjadi faktor pemisah dan agen penolakan dulu kini dan selamanya.Bagaimana rakyat Malaysia boleh bersatu sekiranya rancangan pemecahan mereka yang berkurun lamanya dirangka penjajah tidak dirombak dan dibuang.

17. Latarbelakang perkauman,perbedaan budaya dan adat resam di bawah dasar pecah dan perintah membentuk masyarak majemuk Malaysia sekarang .Mereka membesar dan mendapat kematangan dengan secara berasingan di bawah sistem pendidikan yang berbeda dengan misi dan visi kehidupan yang jauh berbeza.

18. Inilah pula rupa dan bentukpolitik Malaysia moden sekarang.Setiap parti politik kelihatan jelas mewakili kaum masing-masing yang berbeda misi dan visi.

19. Sekian lama UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu menguasai dan menjadi kerajaan di negara ini.Mereka berjaya mendakap dan bermesra dengan MIC dan MCA atas semangat kemerdekaan sejak 1957.Semangat kemerdekaan itu dapat menenteramkan tiga kaum untuk menerima hakikat bahawa tolak ansur adalah syarat untuk hidup aman damai di negara ini.

20. Kewujudan Parti Islam Setanah Melayu (PAS) sejak 1955 tidak berjaya menggugat kerjasama UMMO yang bersatu di bawah PERIKATAN ( kemudiannya membentuk Barisan Nasional yang menggabungkan parti sama serta beberapa buah gabungan baru yang datang kemudian.)

21. Sejak sekian lama PAS menjadi pembangkang yang tegar.PAS bukan sahaja bengis tetapi sedia berperang dengan UMNO di luar dan di dalam parlimen.Betapa bengis dan benci mereka kepada UMNO sehingga mereka sanggup mengkafirkan orang-orang Melayu Islam yang berada dibawah payung UMNO.Masyarakat Melayu menjadi berpecah dan bersuku-suku.Wujud sembahyang dua imam.Sembe;lihan orang UMNO tidak dimakan oleh orang PAS.Perkawinan hanya dibenarkan sesama lelaki perempuan di dalam parti.Perpecahan ini melemahkan orang Melayu.Namun demi Islam dan Melayu ;PAS terus berjuang di atasnya dengan yakin,berani,lantang dan tegas.

21. Demikianlah DAP (Democratic Action Party) sebagai sebuah parti pembangkang muncul ditengah-tengah keperluan masyarakat Cina yang inginkan reformasi dalam pendekatan perjuangan untuk membela kepentingan kaum Cina di negara ini.

22. Pembentukan Malaysia 1963 membina senario baru  dalam lanskap politik Malaysia.Ruang lingkup politiknya bukan lagi berkisar kepada isu Tanah Melayu sebagai Tanah Semenanjung Melayu semata-mata tetapi ianya menerawang jauh keluar dari bingkai itu.

23. Isu perkauman menjadi lebih ketara melalui pembentukan Malaysia.Bentuk,segi dan rupa dan  persengkitannnya menjadi lebih sengit dan tajam.

24.    Kemasukan Singapura dengan penduduk majoritinya Cina akan menambahkan imbangan penduduk Cina bagi kiraan penduduk seluruh negara.Suara orang Cina akan menjadi lebih lantang sejajar dengan pertambahan bilangan mereka yang diikuti dengan pefrtambahan bilangan kerusi untuk kaum mereka di Parlimen.

25. Demikianlah  DAP yang mengambil semangat dari parti PETIR (PAP) Singapura ditubuhkan oleh sekumpulan pejuang nasionalis cina untuk mengankat kepentingan orang Cina di Malaysia.Parti pembangkang ini menjadi agresif dengan membawa perjuangan bagi menyamaratakan hak dan kepentingan semua kaum di Malaysia.Bagi mereka tidak ada beza diantara seorang Melayu  dengan seorang Cina atau India di Malaysia.Sekatan dan halangan yang wujud yang membawa layanan berbeza kepada setiap kaum yang berbeza mesti ditolak dan dihapuskan.Di bawah layanan yang berbeza kepada kaum yang berbeza adalah diukur oleh pejuang DAP sebagai tidak patut sebagi tidak adil.

26. DAP memperjuangkan apa yang dipopularkannya sebagai "Malaysian Malaysia".Ia menjadi sokongan kuat dari kalangan orang Cina yang progresif dan mahu keluar dari normal biasa yang terikat kepada perjuangan MCA yang tunduk kepada kemahuan UMNO yang kata mereka lebih membela Melayu.

27. DAP berjaya menjadi pembangkang yang utuh.Ia disegani lebih-lebih lagi ditakuti oleh UMNO.Ia turut dicurigai oleh PAS pada satu waktu yang panjang.Namun dengan perubahan suasana dan perkiraan baru dalam politik; pada satu waktu yang lain PAS dan DAP boleh duduk semeja untuk kemudiannya untuk duduk serumah walaupun tidak sampai berkahwin!.

28. Sebagai dua buah parti pembangkang yang lantang ,bengis dan berselira PAS dan DAP kelihatan berpakat dalam sebuah gabungan dalam Pakatan Rakyat.Kerjasama PAS dan DAP menjadi dokongan kuat Tuan Guru Nik Aziz sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS pusat.Hubungan rapat Tuan Guru Nik Aziz dengan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang serta Guan Eng semua orang tahu.UMNO lebih tahu.

29. Kemunculan PKR adalah lebih kemudian.PKR adalah sebuah parti semua kaum yang mendokong reformasi baru bawaan DS Anwar Ibrahim .Ini terjadi selepas beliau dipecat dari menjadi Perdana Menteri berikutan dari pelbagai salahlaku yang disabitkan ke atas dirinya.

30. Krisisnya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1997 itu menjadikan PKR sebuah parti pembangkang yang juga bengis dan penuh tendang terajang terhadap kerajaan UMNO.Ini berlaku semasa dan selama Malaysia dipimpin oleh beberapa Perdana Menteri meskipun selepas Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan pada 2003

31. PKR menjadi duri dalam daging kepada UMNO berpuluh tahun.Sama seperti PAS ia adalah diiktiraf sebagai pembangkang berwibawa yang cukup mengugat Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO..

32. Demikianlah sesungguhnya sejak sekian lama PAS.DAP dan PKR diantara tiga parti utama Malaysia yang kekal menjadi pembangkang tegar dan menggegarkan suasana parlimen Malaysia dengan suara-suara panas dan lantang menolak banyak cadangan dan rancangan kerajaan.

33. Senario politik Malaysia mengalami tsunami besar selepas 2015.Kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional ditambah dan ditindih pula oleh Kes 1 MDB .Kes 1 MDB berjaya meledakkan kerajaan Barisan dengan kejatuhan dan kehancurannya dengan PRU 9 Mei 2018.

34. Kelemahan pentadbiran DS Najib Tun Razak yang mencipta 1 MDB sehingga kerajaannya terkenal diseluruh dunia sebagai sebuah kerajaan kleptokrat menghimpunkan pembangkang dalam sebuah pakatan yang sangat bertenaga menjelang PRU 14.

35. Keributan dan kebangkitan pembangkang dalam tempoh antara 2014 sehingga 2018 memberi impak besar kepada perkembangan politik semasa di Malaysia.

36. Dalam tempoh tersebut Tan Sri Muhyiddin Yasin telah disingkirkan oleh DS Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.Datuk Sri Shafie Afdal pula disingkirkan dari portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar.Lebih malang bagi mereka berdua apabila dipecat dari keahlian UMNO berikutan dari kelantangan mereka menentang dan membangkan DS Najib selaku Perdana Menteri yang berkuasa memerintah Malaysia.

37. Pembangkang menjadi lebih kukuh,lebih berani dan lebih berwibawa apabila bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir mohammad turut lantang dan bersedia bangun berdiri menentang kepimpinan Najib.

38. BERSATU kemudian dibangunkan untuk menjadi sebuah parti pembangkang dengan cita-cita untuk menggantikan UMNO yang rosak dan punah dibawah pimpinan DS Najib.Penyatuan dan kerjasama diantara DAP,PKR dan BERSATu bersama AMANAH berjaya memenangi hati dan jiwa rakyat untuk menumbangkan UMNO melalui PRU 14 yang bersejarah itu.

39.Koalisi dan kesepakatan DAP bersama BERSATU,PKR dan AMANAH  telah sesungguhnya berjaya mengenepikan segala perbezaan antara mereka untuk bersatu hati dalam menentang kerajaan kleptokrat pimpinan UMNO-Najib.

40. Puak pembangkang telah berjaya medirikan Pakatan Harapan sebagai sebuah perjuangan dan gabungan baru bagi menjatuhkan kerajaan UMNO-BN.Kejayaan mereka adalah hasil kekuatan dan keyakinan bersama mereka untuk menentng kemungkaran bawaan UMNO dan Najib

41. PAS tidak bersama dalam pakatan kali ini untuk menjatuhkan kerajaan UMNO- Barisan Nasional.Sukar untuk diramalkan peranan dan tujuan PAS ketika itu.Pemimpin-pemimpin PAS di bawah Pinpinan DS Haji Abd Hadi Awang mengambil pendekatan untuk memasuki gelanggang PRU 14 secara bersendirian.PAS mahu menjadi anak jantan sejati yang berani masuk gelanggang tanpa bantuan orang lain.

41. Walau apa pun banyak orang melihat PAS mengambil sikap untuk menolak kerajsama dengan Pakatan Rakyat adalah kerana mereka telah dipinang oleh UMNO.Hati mereka telah tertawan dengan UMNO.Dalam banyak contoh kelihatan Haji Hadi begitu mesra duduk bersama dalam beberapa majlis besar anjuran UMNO-BN.

42. Kebencian PAS kepada DAP yang baru diceraikannya dalam rumah Pakatan Rakyat bukan menjadi faktor utama PAS enggan bersama dalam Pakatan Harapan yang dipimpin oleh beberapa pemimpin Melayu Islam yang ulung itu.Faktor Lim Kit Siang- Guan Eng adalah terlalu kecil untuk PAS berselindung disebalik tabir yang nipis bagi menutup hasratnya yang sebenarnya.

43. Demikianlah pada akhirnya tujuan PAS yang sebenarnya mula terdedah apabila mereka membentuk Muafakat Nasional bersama UMNO-BN.Mereka menjadi pembangkang.Atas sifat pembangkang kerana selepas PRU 14 UMNO sudah menjadi pembangkan maka PAS yang sekian lama menjadi pembangkang merasa cukup serasi untuk bersama pembangkang baru bagi melaksnakan tugas membangkang.

44. Muafakat Nasional gabungan UMNO-PAS Ini adalah untuk menentang kerajaan Pakatan Harapan yang katanya di tunggangi DAP. MN berteraskan perjuangan Melayu -Islam.Ia sebuah perjuangan yang dijaja sebagai perjuangan untuk menyelamatkan Melayu dan Islam.

45. Telah ditakdirkan kerajaan Pakatan Harapan hanya dapat menjadi kerajaan hanya selama 22 bulan.Belum cukup pun dua tahun.Ia berjaya ditumbangkan melalui apa yang dikatakan sebagai Langkah Sheraton.

46. Kerajaan Pakatan Harapan tidak kukuh.Ia menjadi semakin lemah selepas berlaku perebutan jawatan  Perdana Menteri diantara Perdana Menteri Tun Mahathir dari BERSATU dengan "Prime Minister in waiting " DS Anwar Ibrahim dari PKR. Tarik menarik berlaku diantara parti-parti dalam gabungan bagi mendapatkan sokongan diri untuk jawatan PM.

47. Penyokong-penyokong DS Anwar secara terbuka menyatakan bosan kepada Tun Mahathir kerana lambat menyerahkan tampok kepimpinan kepada DS Anwar.Pakatan Harapan menjadi retak dan kemudiannya terbelah.

48. BERSATU yang diduduki Tun Dr Mahathir juga akhirnya terbelah dua apabila terjadi krisis diantara Pengerusi dan Presiden parti itu masing-masing dipegang oleh Tun M dan TS Muhyiddin .Apabila TS Muhyiddin mengambil langkah membawa keluar BERSATU dari Pakatan harapan maka kerajaan Pakatan Harapan telah runtuh.

49. Berikutannya Tun Mahathir meletakkan jawatan.Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh.Langkah Sheraton yang digerakkan di celah-celah krisis ini berjaya membawa Tan Sri Muhyiddin untuk diistiharkan sebagai cukup angka bagi mendapatkan majoriti sokongan ahli parlimen bagi membentuk sebeuah kerajaan baru bernama Perikatan Nasional (PN).

50. Dengan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional maka ahli parlimen Pakatan Harapan mula bertukar kerusi tempat duduk di dewan Parlimen.Mereka kembali menjadi pembangkang.Dengan rasa marah dan sedih mereka kehilangan jawatan,kedudukan dan kepentingan.Mereka sekarang pembangkang.

51. Sementara Tun Mahathir menubuhkan parti baru bernama PEJUANG yang sehingga kini belum pun diluluskan pendaftrannya oleh ROS sementara kedudukan DS Anwar Ibrahim bukan menjadi bertambah kuat dengan PKRnya kerana sekian ramai ahli parlimen yang dulunya bernaung di bawah PKR telah di bawa keluar oleh DS Azmin Ali kerana berhijrah kepada BERSATU bersama Perdana Menteri Muhyiddin.

52. Usaha DS Anwar Ibrahim yang sekarang masih disokong oleh DAP dan AMANAH untuk mengambil balik kerajaan yang dirampas melalui Langkah Sheraton nampaknya akan melalui jalan yang sangat sukar.Lebih-lebih lagi  kelihatannya  diakhir-akhir ini DS Anwar Ibrahim memilih jalan mati dalam mengatur langkahnya.

53. Usahanya mengadap YD Agong untuk mempersebahkan angka majoriti ahli parlimen yang menyokongnya tidak sampai mencecah langit malah jatuh bertaburan di lantai.Pengalaman seumpama ini bukan kali pertama dicuba dan dilalui oleh DS Anwar.Kegagalan kai ini lebih menjatuhkan maruah dan reputasinya di mata rakyat Malaysia yang celik.

54. AMANAH pula adalah sebuah parti serpihan PAS yang belum pun berakar.Bagaimana ia boleh berisi dengan kekuatan yang tidak seberapa dan tunjang yang belum kukuh diseluruh negara.Mohamad Sabu belum cukup berwibawa untuk membawa AMANAH boleh diharap dan boleh dipercayai.Usahanya untuk menggantikan kedudukan PAS kelihatan semakin menipis dan nampak bertaburan.

55. Bagaimana dengan DAP.Ia tidak boleh bangun bersendirian tanpa dokongan parti Melayu untuk hidup dalam politik Malaysia.Dominasi Melayu masih menguasai dengan bilangan penduduk,sentimen dan persepsi.DAP mesti bertenggek dengan PKR yang masih yakin dengan fungsi dan peranannya.Demikian DAP demikianlah AMANAH.Mereka akan kekal dalam gabungan Pakatan Harapan untuk satu tempoh yang mungkin sebentar atau mingkin lebih lama sementara menunggu angin baru atau gelora politik baru melanda negara.

56. Inilah senario dan lanskap politik negara yang wujud sekarang apabila pembangkang gagal membangkang di Dewan Rakyat.Bajet 2021 yang bagai gegak gempita bakal ditolak pehak pembangkang pada akhirnya diterima.Pada akhirnya terpaksa diterima kerana pembangkang hilang selira.Ia diterima kerana pembangkang takut bersuara.

57. DS Anwar selaku Ketua Pembangkang dan berlagak sebagai Abang Tua dalam Pakatan Harapan pada akhirnya sewaktu dicadangkan undi belah bahagi mengambil langkah U Turn .Arahan diberikan olehnya pada saat akhir supaya puak pembangkang menyokong bajet.Menyokong bajet bererti PH kehilangan peranannya dan tujuannya yang telah disepakati bersama.

58. Kerajaan PN bukan terlalu kuat kerana UMNO pun bukan sebahagian dari pasukan kerajaan.UNMO belum menganggotai PN sebagai gabungan kerajaan yang memerintah.UMNO hanya memberikan kerjasama.Meskipun PAS bersama TS Muhyiddin dalam PN tetapi tanpa UMNO dengan bilangan kerusi parlimen yang lebih besar tidak bermakna kerajaan Muhyiddin cukup kuat..

59. Bukanlah kerajaan PN TS Muhyiddin begitu kuat tetapi kelemahan PH sebagai pembangkang yang jauh lebih lemah memberikan kekuatan kepada kerajaan Tebuk Atap itu untuk kekal bertahan.

60.Pembangkan yang kehilangan peranannya untuk membangkang memberi talian hayat untuk PN dan TS Muhyiddin terus mentadbir Malaysia dalam mengharungi mehnah dan turbulasi politik yang semakin sukar ini.

61. Cabaran politik dan pandemik corvid 19 berjalan serentak untuk mendewasakan Malaysia,rakyat dan kerajaannya

62.PH sebagai pembangkang akan menjadi dewasa dengan cabaran politik baru yang akan berkembang bersama ancaman corvid untuk ditangani oleh kerajaan PN yang sedang berkuasa ini.






14.

14.