Sunday, November 29, 2015

KEUTUHAN ISLAM : SYARAT PENYATUAN MELAYU

KEUTUHAN ISLAM : SYARAT PENYATUAN MELAYU


Orang Melayu telah lama diasuh dan dididik oleh Islam.Islam telah sampai di Alam Melayu dan mula bertapak disatu perkampongan yang disebut dalam laporan China sebagai Ta-shih.Perkampongan ini terletak di utara Pulau Sumatera .Ianya dikatakan wujud sekitar abad pertama Hijrah atau abad ke tujuh Masehi.Laporan China menyebut bahawa bahawa Ta-Shih telah pun mengadakan perhubungan dengan negeri China dalam tahun 650 masehi.


2. Kebangkitan dan kegemilangan kerajaan Samudera-Pasai di masa pemerentah-pemerentah dari keturunan Sultan Malik-Al-Saleh dan anakandanya malik-Al-Zahir dari tahun-tahun 1261-1428 menyubur dan menyebarkan pengaruh Islam ke seluruh Nusantara (Alam Melayu).


3. Samudera -Pasai pada masa itu merupakan pusat dakwah dan pendidikan Islam yang terutama di Kepulauan Melayu.Dari Sumatera -Pasai islam telah berkembang ke kawasan-kawasan lain termasuk Kedah,Pattani,Jawa,Sulawesi dan Melaka.


4. Adalah dibahaskan siapakah Raja Melaka yang pertama memeluk Islam ialah samada Megat Iskandar Syah (Sultan Megat)(1414-1424) iaitu pemerentah kedua neehgeri Melaka atau Parameswara iaitu pemerentah Melaka yang pertama.Dari naskhah-naskah tua Melayu dikatakan Parameswara yang mula-mula memeluk Islam.Beliau memeluk Islam berikutan dari perkahwinannya dengan puteri Pasai dalam tahun 1406 iaitu lapan tahun sebelum baginda mangkat 1414.


5.Apabila Raja telah memeluk Islam ianya telah diikuti oleh pembesar-pembesar dan rakyat seluruhnya.Hal ini kemudian merebak ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu yang berada dibawah kekuasaan Melaka..


6.Sebelum kedatangan Islam ke Alam Melayu telah wujud kerajaan-kerajaan yang menurut cara dan model India.Hubungan perdagangan antara India dan Kepulauan Melayu sejak abad pertama masehi dikatakan telah menyebabkan pedagang-pedagang India selain dari berdagang mereka telah mengembangkan ugama dan budaya mereka ke Alam melayu.Tersebarlah Ugama Hindu di Alam Melayu bersama-sama dengan perkembangan kerajaan dan kemakmuran perdagangannya.


7. Zaman pengaruh kebudayaan Hindu India di Alam Melayu ini dikenali sebagai zaman Indianisasi (Indianisation).Zaman ini kemudian bertukar kepada pengaruh Islam sekitar abad ke 12 apabila pengaruh tersebut menular masuk ke kepulauan Melayu yang juga melalui perdagangan dari pedagang-pedagang Islam yang bermula dari Yaman di selatan Semenanjung Tanah Arab.


8. Dari Zaman Melaka kurun ke 15 hingga zaman penjajahan British yang bermula dalam kurun ke 19,Tanah Melayu telah mengalami beberapa peristiwa penjajahan barat dalam skala yang kecil.Penjajajan Portugis dari 1511-1641 dan penjajahan Belanda dari 1641-1824.Masing-masing penjajah ini telah membawa Keristian ke Melaka.Walaupun penyibarannya tidak meluas tetapi gangguan kepada keutuhan Islam telah pun bermula.Gereja-gereja telah didirikan oleh penjajah ini di Melaka sebagai simbol kegiatan Keristian telah berlaku.Kedatangan St Francis Xavier ke Melaka adalah dalam tujuan yang sama.Kematian Xavier di bumi Melaka juga menunjukkan bahawa aktivitinya begitu lama dan serasi di negeri itu.


9. Kedua-dua penjajah ini telah dikatakan membawa ubur dan dendam Perang Salib di mana semangat untuk menghancurkan penganut Islam telah mulai membara berikut dari kekalahan barat kepada kuasa Islam di tangan Sultan Sallehuddin Al Ayubbi.


10. Zaman penjajahan Barat dalam kurun ke 19 dalam skala yang besar,terancang dan sistematik telah mengubah lanskap politik,sosial,ugama,ekonomi dan budaya masyarakat Tanah melayu secara keseluruhannya.Paradigma orang Melayu Islam telah bertukar warna hasil proses pembaratan yang dilaksanakan British dengan tersusun dan teratur.Model Pemerentahan British dari India telah di bawa ke Tanah Melayu dan dilaksanakan dengan jayanya di bumi ini.Corak pemerentahan British dan dasar pendidikan yang diperkenalkan mereka telah berjaya membaratkan masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu.Nilai-nilai Islam yang telah bertapak digoyang dan digoncang dengan pola kehidupan dan pemikiran barat yang berciri kebendaan.Mereka memisahkan ugama dengan politik dan pemerentahan sehingga kuasa ugama menjadi sangat terhad dalam menguasai kehidupan seharian manusia.Demikianlah orang Melayu Islam di Tanah Melayu mulai mengkagumi nilai hidup barat dan sedikit demi sedikit menolak nilai Islam yang nampaknya belum begitu kukuh dan menyeluruh mengisai minda dan fikiran orang Melayu pada waktu sebelum penjajahan itu sendiri pun.


11. Kemasukan kaum China dan India ke Tanah Melayu untuk memenuhi keperluan buruh oleh pengusha Biritish telah menimbulkan satu fenomena baru di bumi ini.Pelaksanaan Dasar Divide and Rule (Pecah dan Perintah ) oleh British di Tanah Melayu mencetuskan isu perkauman di Tanah Melayu yang ianya terus berlanjutan sehingga ke hari ini.Inilah hadiah penjajahan British yang paling mahal dalam sejarah Malaysia untuk Tanah Melayu dan khususnya orang Melayu.Masalah perkauman menjadi elemen yang sangat menggugat keharmonian dan kehidupan seluruh rakyat negara ini.Kesan perpecahan yang berlaku sejak zaman penjajahan British dan ditinggalkan untuk Tanah Melayu merdeka gagal ditangani hingga saat ini.Sememangnya itu juga rancangan penjajah untuk sebuah negara yang diberikan kemerdekaan dengan jari yang lurus tetapi kelingkingnya berkait.


11.Sejak sekian lama Islam bertapak di Tanah Melayu dan setelah melalui berbagai fasa dalam sejarahnya,Islam kelihatannya belum begitu utuh dipegang dan dipeluk oleh orang Melayu.Pengaruh Hindu yang bertapak beratus-ratus tahun di Kepulauan Melayu nampaknya masih dominan dan dapat hidup mencelah dalam sisi-sisi tersembunyi kehidupan orang Melayu di negara ini.Amalan khurafat yang berpunca dari pengaruh Hindu masih menjadi budaya orang Melayu dalam setengah-setengah kaadaan disesetengah tempat.


12. Jadi sangat ketara dan wajar disebut bahawa sekian lama Islam berada di bumi kita ini tetapi ia masih belum bertapak kukuh dalam hati sanubari orang-orang Melayu.Memang orang Melayu keseluruhannya menganut Ugama Islam tetapi pegangan mereka kepada Islam tidak mendalam dan gagal mendasar ke hati nurani mereka.Kekacauan minda hasil kocakan dan pujukan budaya barat menjadikan orang Melayu Islam kalah dengan kebendaan kerana Islam mengajar tentang dosa dan pahala.Tetapi itu semua tidak boleh dipegang dan tidak boleh secara sepontan dibuktikan secara saintifik.


13. Benar Islam mengajar umatnya untuk bersatu teguh dan jangan berpecah belah.Islam mengajar supaya umatnya dengan kuat berpegang pada tali Allah dan jangan berpecah belah.Ini ditegaskan oleh Allah dalam kitab Suci Al Quran.Ini syariat yang mesti dipatuhi tanpa soal.Tetapi mengapa orang Melayu berpecah dan tidak bersatu.Mengapa mereka tidak mempercayai sesama Melayu Islam,Mengapa mereka berkawan dengan orang bukan Melayu dan bukan Islam dalam usaha untuk membangun dan membina negera dengan menolak dan membuang mereka dari bangsa dan agama yang sama.


14.Banyak lagi pertanyaan-pertanyaan lain yang boleh dikemukankan untuk menunjukkan bahawa orang Melayu yang beragama Islam di Tanah Melayu dan di Malaysia ini tidak bersatu di bawah panji-panji Islam.Ini adalah gambaran kekeliruan umat yang sangat ketara di Malaysia sekarang ini.


15. Ada pehak orang Melayu yang berpendapat bahawa aliran pemilkiran mereka adalah lebih relevan dibandingkan dengan pihak yang satu lagi.Inilah satu perkara yang meemahkan perpaduan Melayu kerana perbezaan cara dan pendekatan berfikir.Umat Islam telah lama berpecah kerana perbezaan Mahzab.Pertelingakan kumpulan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah bukan perkara baru dan masih berleluasa sehingga sekarang yang membadai dan membawa kejatuhan negara-negara Asia barat apabila datangnya campurtangan asing yang penuh berkepentingan.


16.Kerana hal yang demikian di negara kita ini wujudlah pelbagai kumpulan manusia Melayu Islam yang berpayung di bawah beberapa pertubuhan politik.Ada orang Melayu bernaung di bawah payung UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu),ada sebahagian lain di bawah PAS (Parti Islam Se Tanah Melayu).Kemudian dalam kurun ke 21 ini wujudlah pula PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan yang terakhir timbul PAN (Parti Amanah Negara).Kurun ke 21 masih panjang dan saya percaya selagi elemen Islam tidak dapat menguasai hati nurani Melayu sekuat dan seutuhnya maka sampai bila-bila bangsa Melayu akan berpecah.Kerana Islam gagal menyatukan mereka.
Politik walau sekuat mana pun tanpa Islam yang mendasari pegangan orang Melayu akan tetap gagal untuk menyatu dan menyelamatkan orang Melayu.Orang Melayu hanya boleh bersatu sekiranya semua orang Melayu menghayati Islam yang sebenar-benarnya dan seutuh-utuhnya.


17.Pertelingkahan Melayu Islam di Malaysia berpunca kerana semuanya tidak mengamalkan syariat Islam yang serupa dan satu.Satu pehak menganggap Islam mereka lebih tepat dan lebih betul dibandingkan dengan pehak yang satu lagi.Dari kaadaan ini timbul kaadaan yang lebih ekstrim apabila pihak yang merasa ia betul dan benar mengkafirkan pehak yang satu lagi itu,Ini menimbulkan jurang dan pemisahan dalam komunikasi dan membawa dendam serta perpecahan


18. Dalam masyarakat majemuk di Malaysia perpecahan orang Melayu Islam memberi implikasi politik dan sosial yang lebih jauh.Ini adalah kerana proses tawar menawar dalam mendapat kuasa,pengaruh dan peluang bergantung kepada kekuatan dan keutuhan serta perpaduan satu-satu kaum yang menjadi penduduk negara ini.


19.Kalau Islam tidak dihayati dan diamalkan sepenuhnya oleh orang-orang Melayu sehingga hati dan jiwa mereka tidak menjadi satu,kuat,utuh dan jelekit maka jangan diharap penyatuan Melayu akan menjadi kenyataan.Selagi orang Melayu tidak berpegang teguh kepada agama dan syariat yang satu yang mengajar mereka untuk bersatu maka tunggulah satu hari orang Melayu akan kehilangan tanahnya yang bernama Melayu itu.


Monday, November 16, 2015

MENCARI KEBERKATAN DARI LIMPAH KURNIAAN ALLAH

"Dan janganlah kamu berharap-harap (ingin mendapat) akan (limpah kurnia) yang telah Allah berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda,ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).(kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,dan orang-orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan,(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaanNya.Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

(Surah : An-Nisa' :32.)


1.Segala-galanya adalah milik Allah.Sesuatu yang nampak dipandang atau tersembunyi di mana-mana tempat atau ruang hanya Allah jua yang maha mengetahui dan menguasainya.Maha suci Allah dari segala sifat yang lemah dan kurang.Sesungguhnya Allah penguasa langit dan bumi segala isi terkandung diantara kedua-duanya semua milik Allah jua.Maha kaya,Maha Perkasa dan Maha berkuasa Allah menguasai dan mentadbirnya.Tidak ada sebarang kesususahan bagiNya menyusun dan mengatur alam semesta ciptaanNya.Di dalam kekuasaanNya terletak segala ketentuan alam dan penghuninya.


2.Demi sesungguhnya harta kekayaan,ilmu pengetahuan ,pangkat ,kekuasaan,darjat dan segala kemuliaan serta  kebesaran adalah tertentu milik dan kepunyaan Allah.Selain dari Allah semuanya adalah ciptaanNya,bersifat sementara dan mempunyai kelemahan selama-lamanya.Hanya Allah jua yang kekal selama-lamanya berkuasa,mentadbirkan alam dan menentukan buruk baik segala sesuatu makhluk dan benda-benda ciptaanNya.


3.Harta benda,ilmu pengetahuan dan pangkat kebesaran adalah tiga elemen yang penting dan dicari serta dikejar oleh semua manusia di dunia ini.Tak ada manusia waras yang tidak mahukan harta.Lagi banyak harta lagi baik kata mereka.Kerana itu bermati-matian manusia di muka bumi ini bekerja keras mengumpulkan harta kerana harta menentukan senang susah kehidupan seseorang.Oleh kerana terlalu asyik dan ghairah mencari harta ada orang sampai gilakan harta.Kerja mereka mengumpulkan harta.Siang malam mencari dan menghimpunkan harta.


4. Harta dan kekayaan adalah suatu kuasa.Dengan memilik banyak harta dan kekayaan ini menjadikan pemiliknya  makin berkuasa serta berpengaruh pula.Harta bukan sahaja boleh mendapat kuasa tetapi harta juga boleh membeli kuasa.Harta boleh bermanafaat sekiranya digunakan untuk mencari keredhaan Allah.Sebaliknya harta membawa mala petaka sekiranya ia digunakan untuk kerja-kerja maksiat dan memasuki jalan yang membawa kesesatan dan kemungkaran.Harta boleh disedekahkan kepada fakir miskin dan mereka yang meminta-minta  dan memerlukan.Menginfakkan harta di jalan Allah adalah suatu jihad dan akan memperolehi ganjaran pahala serta keberkatan.


5. Ilmu pengetahuan juga adalah kuasa.Ia seperti harta kekayaan menjadi anak kunci  kepada kejayaan dan kemuliaan sesorang di dunia dan di akhirat.Maksud sabda nabi tentang ilmu ada menyebutkan bahawa kalau manusia hendaklah dunia ia hendaklah berilmu,hendakkan akhirat juga mesti berilmu.Hendakkan kedua-dua dunia dan akhirat juga mestilah berilmu.Tanpa ilmu manusi meraba dalam kegelapan.Ilmu menunjukkan jalan lurus mendapat kebenaran.Buta ilmu membawa kejahilan,kesesatan dan kekufuran.


6.Pangkat dan darjat adalah perhiasan hidup manusia.Pangkat adalah kurniaan yang diberikan oleh penguasa kepada mereka yang berjasa atau berjaya.Dengannya ada pegawai-pegawai tinggi yang menjadi Ketua Pengarah,Pengarah,Duta,Cansellor atau pelbagai jawatan tinggi yang lain dengan kuasa-kuasa tertentu yang diberi dan diamanahkan.Orang-orang politik  negeri dan negara  di beri pelbagai jawatan tinggi sebagai Perdana menteri,Menteri Besar,Menteri dan lain-lain jawatan dengan pelbagai gelaran pula.Ada yang memakai gelaran Tun,Tan Sri,Datuk Seri,Datuk dan lain-lain.Semuanya mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hiraki kehidupan masyarakat.


7.Orang islam tidak dilarang mencari dan memilik harta kekayaan.Islam menggalakkan manusia mencari harta.Cuma Islam meletakkan batas-batas tertentu dalam mencari dan mengumpulkan harta.Orang Islam tidak dilarang mengejar pangkat dan kedudukan,asalkan pangkat itu diperolehi dengan cara yang benar,mengikut kelayakan dan kebolehan diri yang sebenarnya.Memperolehi sesuatu jawatan atau dinaikkan pangkat secara menjatuhkan orang lain secara zalim dan tidak adil adalah sangat ditegah dalam Islam.Menjatuhkan martabat dan mengaibkan orang lain adalah suatu perlakuan dosa yang tidak boleh diampunkan Allah melainkan oleh orang yang teriniaya.Orang Islam yang dikurniakan Allah dengan pangkat dan kedudukan tinggi mempunyai tanggung jawab besar yang mesti dilaksanakannya.Sebagai pemimpin mereka akan disoal di akhirat berkenaan amanah dan tanggong jawab yang diberikan kepada mereka di dunia ini.


8. Mereka yang memiliki kekayaan harta benda,mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi,dalam dan luas;mereka yang mempunyai pangkat besar,kedudukan tinggi dan terhormat semuanya memikul tanggungh jawab di sisi Allah yang wajib dilaksanakan.Mereka tidak dibiarkan memiliki segala keistimewaan dari kurniaan Allah itu dengan senang linang bergoyang kaki.Si kaya harta bertimbun akan ditindih dosa kalau zakat tidak dikeluarkan dari hartanya.Hartanya akan menjadi kotor jika tidak dibersihkan dengan air zakat.Penguasa dan pemimpin yang berjawatan tinggi dan berpangkat besar bukan boleh sewenang-wenang memerintah secara sombong,bongkak,tidak beradab,tidak melaksanakan keadilan apa lagi menggunakan kekerasan dan kezaliman dalam perilaku dan tindakannya.Islam menggariskan perlakuan yang sepatutnya pemimpin beramal dengannya untuk menimbulkan keamanan dan ketenteraman dalam kepemimpinan.Pemimpin yang baik di semua tempat dan peringkat adalah pemimpin yang dapat menyenangkan orang0orang di bawah pimpinannya.Mereka berkasih sayang sesama mereka.Bila mereka berdiri mereka sama tinggi dan bila mereka duduk mereka sama renda.Allah meletakkan semua manusia adalah sama.Yang membezakan mereka adalah Taqwa.


9.Mereka yang berilmu pengetahuan mesti mengajar mereka yang jahil.Ini tanggung jawab orang berilmu untuk menyibarkan ilmu supaya kebenaran dan ilmu pengetahuan tersebar luas di muka bumi ini.Dengan ilmu manusia akan mengenal diri.Dengan ilmu manusia akan mengenal penciptanya.Dengan ilmu manusia akan masuk syurga.Tanpa ilmu lebih manusia masuk ke neraka.Manusia berilmu yang kedekut dengan ilmunya akan dimusuhi Allah .Padanya tidak diberikan keberkatan dan ilmunya akan mati tidak berubah apa lagi bertambah.Ilmu seperti tuntutan zakat,semakin banyak diberi kepada orang lain yang memerlukan maka semakin banyak ia datang kembali kepada kita yang memberikannya.


10.Berkenaan harta kekayaan,pangkat dan kedudukan yang Allah kurniakan kepada orang lain dan tidak pada kita sekarang,janganlah menjadikan kita merasa tersisih dan keciwa. Setiap kita berhak untuk berangan-angan bagi mendapatkannya.Bercita-cita tinggi tidak salah malah itu digalakkan.Tetapi Allah meningatkan kita bahawa orang lelaki dan perempuan yang diberikan sebarang rezeki berupa harta ,pangkat atau darjat adalah lelaki dan perempuan yang telah berusha keras untuk mendapatkannya.Kita juga boleh mencapai kejayaan itu dengan berusha keras.Bukan sahaja perlu berusha keras tetapi di akhir usaha itu adalah bertawakka dan bermohon meminta kepada Allah supaya bukan saja permohonan dikabulkan tetapi diberikan keberkatan melaluinya.Harta,pangkat dan ilmu yang salah dan tidak benar tidak membawa kebaikan untuk diri dan orang lain. Semuanya menjadi sampah dosa yang membebankan diri kita dunia akhirat.


11. Di samping harta benda, anak pinak juga adalah kurniaan Allah.Ada orang diberikan Allah anak pinak yang ramai dengan mencapai kejayaan yang pelbagai.Ada yang lain sebaliknya pula nasib mereka.Semuanya ini adalah ketentuan Allah.Semuanya adalah ujian Allah.Allah mengingatkan kita bahawa adakah semudah kita mengaku bahawa kita telah cukup beriman dengan hanya sebuah pengakuan tanpa Allah memberikan ujian.Dengan yang demikian segala ketentuan Allah baik atau buruk,senang atau susah,tinggi atau rendah,banyak atau sedikit semuanya adalah ujian Allah.Ujian ini adalah untuk mengukur sejauh mana seseorang itu bersyukur atau tidak kepada setiap pemberian atau kurniaan Allah.Allah menjanjikan mereka yang bersyukur dengan nikmat Allah akan digandakan nikmat tersebut manakala yang tidak bersyuku akan mendapat siksaan yang pedih.


12. Perlulah kita ingatkan bahawa bukanlah kurniaan dan nikmat itu hanya sesuatu yang enak,sedap dan lazat sahaja boleh dikirakan nikmat.Keburukan,kesakitan,kekurangan,kemiskinan dan penderitaan juga sebetulnya suatu nikmat.Kalau kita bersyukur dalam semua kesusahan itu kita akan mendapat ganjaran yang lebih besar dari mereka yang sentiasa menadapat keseronokan hidup itu.Kesusahan dan penderitaan itu ialah suatu nikmat.Kalau bukan demikian mengapa Nabi Muhammad SAW memilih kemiskinan dan kesederhanaan hidup sebagai teman hidupnya meskipun baginda diangkat Allah menjadi Nabi dan pemimpin yang berkuasa untuk mengumpul harta dan kekayaan.

Allah berfirman " Oleh itu maka (tetapkanlah kepercayaanmu (Wahai Muhammad) bahawa)  sesungguhnya setiap kesukaran ada disertai kemudahan.(sekali lagi ditegaskan): Sesungguhnya setiap kesukaran ada disertai kemudahan".

(Surah : Al-Insyirah : 5-6)


13.Orang Islam dikehendaki tidak berburuk sangka antara satu samalain di dunia ini.Yang tinggi tidak boleh memandang rendah yang kurang di bawah kerana mungkin yang di bawah lebih baik di sisi Allah dari mereka yang di atas.Melepaskan pandangan kita dari ikatan dengan Allah dalam fikiran dan pandangan akan membawa kita kepada dosa dan kesesatan.Sesuatu yang kita pandang baik dan berguna belum bererti baik kalau Allah katakan tidak.Sesuatu yang buruk tidak semestinya tidak berguna kalau Allah tetapkan ianya bermanafaat..


14.Semua orang Islam diajak untuk bersyukur dan berterima kasih kepada kepada setiap ketentuan Allah samada yang nampak baik atau sebaliknya.Allah lebih mengetahui akan tiap sesuatu yang dikurniakan kepada kita.Berbaik sangkalah kepada Allah.Setiap ketetapan  nasib atau kurniaan adalah semuanya ujian.Mereka yang bersyukur kepada Allah atas setiap ujian akan mendapat keampunan Allah.Tidak ada yang lebih besar daripada mendapat kurniaan Allah dengan diberikan keampunan,dibebaskan dari cengkaman dosa dan LLah redha memasuki JannahNya di akhirat nanti.



MENSYUKURI NIKMAT DAN KURNIAAN ALLAH



MANUSIA adalah ciptaan Allah yang terbaik.Dijadikannya dalam bentuk yang paling istimewa dan paling cantik.Kecantikan dan keistimewaan manusia itu terdapat pada unsur badaniah dan rohaniah.Allah menciptakan manusia menjadi sebaik-baik kejadian dengan terutamanya keistimewaan akal.Allah  tidak menciptakan akal untuk makhluk-makhluk lain ciptaanny walaupun saiznya besar dan menakutkan.Allah menjadikan gajah dengan saiz yang sangat besar tetapi tidak memiliki.Demikian singa dan harimau demikian pula garangnya tetapi juga tidak diberikan akal.
2. Selain dari manusia ciptaan Allah yang diberikan akal adalah makhluk jin.Mengapa kedua makhluk ini dikurniakan akal.Satu dari sebabnya adalah kerana Allah hendak menjadikan kedua-dua makhluknya itu sebagai hamba yang tunduk dan taat kepadaNya.Kedua-dua makhluk ini diperintahkan Allah untuk mensyukuri nikmatNya,menyembahNya ,berbakti kepadaNya serta dalam segala kaadaan tidak akan menderhaka kepadaNya.Demikianlah firman Allah yang mafhumnya."Tidak ku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadat kepadaku".Perkataan ibadat mempunyai maknya yang luas dan mendalam .Dalam makna dan pemahaman yang mudah adalah segala perbuatan yang dilakukan oleh makhluk-makhluk ciptaanNya sebagai tanda tunduk mentaati dan mematuhi segala titah perintah Allah dan pada masa sama menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarangNya.Segala perbuatan yang dilakukan oleh makhluk samada dilihat atau tidak dilihat oleh makhluk lain;adalah semata-mata kerana Allah.Ia dilakukan dengan penuh tulus dan ikhlas.Pengabdiannya mutlak dan seluruhnya untuk Allah yang diyakini SATU tiada duanya.Diyakininya bahawa Allah adalah Maha Pencipta,Maha Berkuasa,Maha Kaya,Maha Pengasih,Maha Penyayang serta bersifat dengan dua puluh sifat yang maha sempurna itu.(Sebagaimana yang terdapat dalam Sifat 20).Kebesaran dan kehebatan Allah terlahir pula dalam 99 namaNya ( Asma Al Husna)yang Maha Agong itu.
3.Akal adalah suatu kurniaan Allah yang tidak ternilai yang diberikan Allah kepada manusia.Dengan akal membolehkan manusia berfikir dan darinya manusia diberikan kebijaksanaan.Kebijaksanaan itu diperintahkan Allah untuk digunakan bagi memberikan kemakmuran kepada alam sejagat demi kepentingan seluruh kehidupan yang lain bernyawa atau tidak bernyawa.Allah menciptakan semua jenis makhluk adalah bertujuan supaya antara satu samalain saling bergantungan dan tolong menolong.Semuanya  untuk tujuan mewujudkan  keseimbangan dalam kehidupan dan kemakmuran bersama.Pokok meskipun tidak bernyawa seperti manusia, tetapi ia tetapi hidup.Ia diberikan hak oleh Allah untuk tumbuh dan membesar pada tempatnya di atas permukaan bumi.Sampai masanya ia membesar berbunga dan berbuah.Paling tidak ia bermanafaat untuk tempat burung dan serangga bertelur, berteduh dan tidur.Paling berguna pula ianya apabila ianya mengeluarkan bunga dan buah.Bunga akan disedut madunya oleh serangga,kumbang dan lebah untuk keperluan dan tujuan masing-masing bagi kelangsungan hidup masing-masing.Buahnya boleh dimakan burung dan binatang serta manusia pula.Tidakkah nampaknya pokok begitu bermanafaat kepada makhluk-makhluk ciptaan Allah .Dari batang pokok pula dijadikan kayu yang darinya manusia mencipta rumah kediaman dan segala keperluam manusia yang lain seperti kerusi meja misalnya.
4.Tidakkah semua ini mengajak manusia yang berakal untuk berfikir dan merasai akan kebesaran Allah yang Maha Pencipta.Diciptakan sesuatu untuk keperluan hidup bersama dalam keseimbangan yang diatur dengan sempurna.Manusia dengan akalnya pula  diperintahkan untuk menjadi Khalifah (pemimpin ) di bumi dengan mematuhi syariat yang ditentukan oleh Allah.
5.Adam telah ditentukan oleh Allah untuk dilantik menjadi Khalifah di bumi.Sewaktu ianya diperintahkan Allah untuk turun ke dunia setelah diperintah keluar dari Syurga untuk melaksanakan tugas Khalifah di bumi para Malaikat bertanyakan Allah adakah tidak dibimbangi Adam (manusia) dan keturunannya akan melakukan kerosakan di bumi.Allah menjelaskan bahawa Adam diberikan akal dan dia diajarkan oleh Allah sesuatu yang tidak diajarkan Allah kepada para Malaikat.Kebijaksanaan dari  akal fikiran ini melayakkan Adam dan keturunannya menjadi khalifah memimpin bumi dan penduduknya termasuk segala makhluk ciptaan Allah yang lainnya di muka bumi ini.
6.Walau apa pun tugas yang diamanahkan oleh Allah kepada Adam; Allah menjelaskan dalam Surah Toha ayat 125 berkenaan dengan peristiwa bagaimana Adam dan isterinya Hawa diturunkan ke dunia.Allah telah pun membayangkan bahawa diantara ketutunan Adam mereka akan melakukan kerosakan,berselisih dan berbalah sesama sendiri.Tetapi kerana Allah telah memberikan mereka akal untuk berfikir ,mereka diharapkan untuk memilih antara buruk dan baik.Mereka yang taat kepada Allah dengan patuh kepada undang-undang,peraturan dan larangan Allah akan selamat sementara yang lain akan disiksakan oleh Allah.Allah menjanjikan bahawa manusia akan diberikan panduan melalui nabi dan Rasul yang akan memberi petunjuk jalan lurus.Mereka yang mengikut jalan lurus akan mendapat Syurga sementara yang memilih jalan sesat akan dimasukkan ke neraka.Tidak ada tempat dan jenis pembalasan yang lebih buruk dari neraka jahnam.
7.Manusia diciptakan dengan sifat kedaifan yang nyata.Ini dijelaskan oleh Allah yang Maha Pencipta dalam ayat 28 surah Al-Nisa': Manusia itu dijadikan berkaadaan lemah.Kerana sifat manusia yang sedemikian itu maka Allah memberikan tugasan kepada setiap manusia apa yang sebenarnya mampu dilakukan sendiri oleh manusia tersebut.Allah tidak memberatkan hamba-hambanya.Semua perintah mengerjakan ibadat wajib atau sunat adalah mampu dilaksanakan dengan kudrat dan akal kurniaan Allah kepada manusia.Ini tidak terkecuali samada manusia itu sempurna atau tidak sempurna kejadiannya.Dalam mengerjakan perintahNya,Allah memberikan pelbagai kemudahan dan kelonggaran (ruksyah) supaya tidak memberikan beban yang bersangatan dalam menunaikan perintah Allah.Bila sakit,Allah melalui rasulNya menunjukkan cara bagimana mengerjakan solat secara berbaring,duduk dan sebagainya.Mereka yang bermusafir boleh meninggalkan puasa Ramadhan untuk diganti pada masa yang lain.Sembahyang dalam masa bermusafir  boleh didirikan secara qasar dan jamak.Makanan yang haram sekali pun boleh dimakan sekiranya kalau tidak, ia boleh membawa maut dalam menghadapi ketika darurat.Maka apakah yang menjadi sangat sukar untuk kita tunaikan perintah Allah.Yang merasa sukar untuk taat dan patuh kepada syariat Allah adalah mereka yang tidak bersyukur pada Allah.
8.Allah tidak akan menghukum hamba-hambanya dengan sewenang-wenangnya.Berkali-kali Allah menjelaskan dalam Al Quran bahawa setiap kaum telah diberikan cukup peringatan melalui Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada setiap umat.Masalahnya adalah kerana umat manusia itu degil dan keras kepala lalu dengan sombong dan takabbur menolak perintah Allah.Mereka mencabar nabi dan rasul mereka dengan meminta diturunkan bala kepada mereka kerana keengkaran mereka.Mereka dengan sombong melakukan segala perkara yang dilarang Allah dan rasul.Mereka melakukan secara berterang-terang tanpa berselindung lagi.Mereka tidak percayakan kehidupan selepas mati.Mereka tidak percaya tulang-tulang yang telah reput menjadi tanah akan boleh disatukan kembali untuk dihidupkan pula mereka yang telah mati itu.Mereka tidak percaya adanya hari akhirat dan adanya Syurga neraka.Bagi kaum dan umat yang sepertilah maka laknat Allah di"hadiahkan" kepada mereka sejak di atas muka bumi ini lagi.Di akhirat nanti mereka akan menerima siksaan yang lebih-lebih lagi.Demikianlah Allah menceritakan bagaimana kaum 'Ad,Thamud,kaum Nabi Luth serta kaum Nabi Nuh masing-masing menerima habuan kederhakaan mereka seawal di dunia ini lagi.Semuanya ini diterangkan oleh Allah dalam Al Quran untuk menjadi peringatan dan amaran kepada manusia yang datang kemudian.
9.Allahlah yang memberikan rezeki kepada manusia.Benar manusia yang berusha mencari rezeki.Sebenranya  manusia hanya mengolah dan menyediakan kaedah dan cara untuk mendapatkan rezeki itu  dari bahan-bahan yang semuanya telah disediakan oleh Allah kepada mereka.Dari laut diperolehinya ikan dan segala macam hasil laut.Dari laut juga kemudiannya ditemui minyak dan mutiara.Dari laut juga diperolehi garam.Semuanya telah tersedia dari kemurahan Allah.Di atas permukaan bumi terdapat tanah yang subur untuk manusia bercucuk tanam.Tumbuh pula pokok berbagai jenis yang menghasilkan kayu kayan dan buah-buahan untuk diguna dan dinikmati manusia.Dalam perut bumi dan dalam batu-batuan terdapat berjenis bahan galian logam untuk dimanafaatkan manusia.
10.Allah menurunkan hujan untuk menghidupkan bumi yang mati kerana kering kontang di masa kemarau.Dalam bumi dan sungai terdapat punca air untuk minuman manusia dan binatang.Semuanya telah tersedia.Allahlah yang menyediakan semuanya untuk manusia  dan segala makhluk ciptaanNya.Maha suci Allah dari segala kekurangan dan kelemahan.Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.Tidaklah keberatan bagi manusia yang berakal sempurna untuk taat dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberikan Allah kepadanya.
11.Demikian pun nikmat dan segala kemudahan yang diberikan Allah kepada manusia tetapi manusia sangat sedikit yang benar-benar berterima kasih dan bersyukur kepadaNya.Dalam Surah Al 'Adiyat ayat ke- 6 ,Allah berfirman yang mafhumnya "Sesungguhnya manusia itu sangatlah tidak bersyukur (berterima kasih) kepada Tuhannya."
12.Menyedari kaadaan yang demikian,Allah acapkali memberikan peringatan dan amaran kepada hamba-hambanya supaya tetap bersyukur kepadaNya dengan taat dan patuh kepadaNya dan kepada rasul yang membawa syariatNya.Allah berfirman dalam Al Quran supaya manusia hendaklah bersyukur kepadanya dengan memberikan ganjaran besar yang berlipat ganda kepada hambaNya yang berbuat demikan,dan memberi amaran akan ditimpakan azab yang sangat pedih sekiranya manusia bertindak sebaliknya.
13.Adakah peringatan dan amaran yang diberikan itu menjadikan manusia jinak dengan Allah dan tunduk sujud mentaatinya.Jawapannya mungkin tidak.Apa buktinya.Tidaklah payah untuk menjelaskannya kalau di lihat kepada tingkahlaku manusia hari ini.Dimana ?..... di Malaysia; negara   yang telah pun menetapkan  Islam adalah agama resmi negara.Di Malaysia memang tidak dapat disangkal begitu banyak mesjid -masjid cantik serta indah tersergam dibina dengan kos yang besar berjuta-juta ringgit.Sayangnya hampir seluruh masjid ini hanya mencapai puncaknya penuh dimasuki makmum adalah ketika solat Jumaat atau pada solat Hari-hari Raya sahaja.Pada hari-hari biasa untuk mendapat makmum separuh mesjid adalah sukar malah mustahil.Pada waktu-waktu biasa mesjid menjadi kosong tidak dipenuhi.Bila diukur dengan nisbah antara kos pembinaan dengan bilangan makmum yang datang maka nampaknya  "cost benefit approach" tidak boleh dilihat sebagai menguntungkan atau berbaloi.
14.Tidakkah ini menandakan bahawa orang Islam di Malaysia tidak menghargai mesjid.Mereka tidak terpanggil untuk meramaikan jumlah menjadi  pencinta mesjid dengan mengimarahkannya.Mereka kebanyakannya mengkagumi senibina mesjid,saiznya yang besar dengan menggunakan bahan binaan yang berkualiti serta kosnya yang mahal.Banyak pula diantara mesjid-mesjid yang  dibina dengan cantik indah serta mengkagumkan lebih banyak bertujuan untuk menimbulkan rasa gah yang kemudiannya untuk menjadi tarikan pelancong.Kemdian kawasan mesjid dijadikan tempat untuk bergambar untuk menghimpun kenangan.Kelihatannya tujuan pembinaan mesjid  sudah lari dan tersasar dari tujuan sepatutnya untuk dijadikan rumah Allah.Maka berbagai langkah diambil oleh pehak pengurusan mesjid untuk meramaikan bilangan makmum dan pengunjung di mesjid dengan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk memperkenalkan program Rakan Mesjid serta mengadakan aktiviti lain termasuk mengadakan aktiviti sukan dan riadah di kawasan mesjid.
15.Orang Islam di Malaysia masih belum sepenuhnya menghayati makna mesjid sebagai pusat segala aktiviti sepertimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dulu.Dan sampai bila kita boleh melihat mesjid menjadi tempat kegilaan seluruh umat Islam di negara kita ini.Tarikan ke tempat-tempat hiburan nampaknya lebih kuat daripada tarikan mesjid.Lihat sahaja betapa ramai orang Islam menjadi penonton konsert hiburan yang dianjurkan oleh pelbagai agensi Islam dan bukan Islam di negara kita ini.Letaklah berapa pun harga tiket ia tetap tidak mengurangkan jumlah pengunjung kerana semuanya berpunca dari kecintaan dan kegilaan manusia pada hiburan dan permainan dunia yang semuanya melalaikan.Kalaulah demikian aktiviti ceramah agama dikenakan bayaran walaupun sekecil satu ringgit barangkali bilangan kedatangan hanya boleh dibilang dengan jari sahaja.
16.Nampaknya manusia hanya menggilai sesuatu yang bersifat dunia dan membenci sesuatu yang langsung dan tidak langsong berkait dengan akhirat.Kebanyakan manusia lupa akan peringatan Allah dalam Al Quran Surah Al 'Ankabut ayat 64 yang mafhumnya :
   " Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat) tak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya hidup.kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)
17.Sesuatu rezeki atau kurniaan dari Allah yang diberikan kepada seseorang adalah semuanya ketentuan Allah.Allah berhak memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya termasuk orang yang baik atau orang jahat waima orang munafik atau kafir sekalipun.Allah memberikan kenikmatan hidup di dunia kepada orang kafir secara "istidraj" bukan dengan sukahati atau dengan rasa kasih sayang Allah.Dalam pemberian itu tidak sedikit pun ada nilai kerelaan yang diberikan keberkatan padanya.Mereka yang beriman diberikan segala nikmat kurniaan dengan harta yang berlimpah,pangkat yang tinggi serta kesihatan diri dan keluarga semuanya mengandungi ujian.Harta yang berlebihan mengiringi tanggung jawab untuk dikeluarkan zakat bagi menyucikan harta-harta tersebut.Tanggong jawab si kaya untuk membantu si miskin lebih besar dari dari si miskin yang tak perlu berbuat demikian.
18.Allah sahajalah yang menentukan sesuatu pemberian atau kurniaan dalam apa-apa bentuk samada harta,pangkat atau kedudukan itu untuk siapa ditujukan.Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang akan apa yang Allah berikan kepada sesorang dan tidak ada apa-apa  yang dapat diberikan seseorang yang Allah halang.Dan tidak akan bermanafaat kepada orang yang memiliki harta benda dan kemewahan dunia untuk menyelamat diri dari kemurkaan Allah sekiranya semua kelebihan itu tidak di bawa untuk mencari keredhaan Allah serta mensyukuriNya.

Friday, November 13, 2015

DILEMA MELAYU: ANTARA KRISIS DAN KELEMAHAN

Orang Melayu berpecah lagi.Mereka semakin berpecah.Dari tiga kumpulan menjadi empat.Kalau dahulu orang melayu di Malaysia berada dalam tiga kelompok politik iaitu  di bawah payung UMNO sebagai pehak pemerentah,sementara dua lagi menjadi parti pembangkang iaitu di bawah payung PAS dan PKR.

2. PAS adalah sebenarnya sebuah parti serpihan.Kumpulan yang keluar dari UMNO  kerana tidak sehaluan dengan perjuangan UMNO akhirnya menubuhkan PAS.Haji Mohd Puad merupakan pemimpin dari Biro Agama UMNO yang mengambil daya usaha menubuhkan PAS dengan meletakkan perjuangan menegakkan Islam sebagai asas perjuangan.Dalam pilihanraya Majlis tempatan dalam tahun 1955 PAS telah berjaya memperolehi satu kerusi daripada 55 kerusi yang dipertandingkan ketika itu.Disitulah permulaan timbulnya PAS dalam arena politik Tanah Melayu ketika itu.Peranannya semakin terserlah dengan timbulnya pemimpin-pemimpin baru meneraju parti tersebut.

3. Sebenarnya sebelum kedatangan British Tanah Melayu diduduki oleh orang-orang Melayu.Mereka mendiami negeri-negeri yang diperintah oleh sultan masing-masing.Setiap negeri mempunyai peraturan dan cara hidup tersendiri yang berpusat kepada kuasa sultan yang dibantu oleh sebaris pembesar-pembesar yang dilantik dan diperkenankan oleh Sultan.Secara amnya sultan mempunyai kuasa mutlak.Sultan berkuasa mutlak ke atas tanah dan rakyat.Kata sultan adalah undang-pundang.Ia mesti dipatuhi dan melanggarnya dianggap sebagi durhaka.Rakyat yang merderhaka selalunya menerima hukuman bunuh.Sultan selalunya memerintah secara sewenang-wenang.Ini menimbulkan banyak penindasan.Meskipun demikian tidak berlaku pemberontakan menentang sultan atau raja kerana rakyat percaya kepada kuasa "tulah".Melawan raja akan mendapat akibat buruk seperti ditimpa penyakit atau mendapat lain-lain kesusahan.Sultan dianggap mempunyai kuasa mistik dan luar biasa.Asal usul sultan atau Raja yang juga digelar sebagai Yang Di pertuan dikaitkan dengan cerita-cerita dongeng bagi menguatkan serta mengukuhkan kedudukan sultan di mata rakyat.Kekaguman rakyat kepada sultan menimbulkan kepatuhan tanpa soal kerana jauh di hati masing-masing tertanam kukuh rasa takut dan gerun.

4. Dalam sistem politik dan sosial yang seperti itu wujud keamanan dan kestabilan yang disatukan dan berpusat pada kekuasaan sultan.Sultan yang baik dapat memerentah dengan sempurna dan disokong penuh oleh pembesar dan rakyat.Rakyat bersedia menggadai nyawa mempertahankan tanah air mereka kerana mempertahanhkan tanah air bererti bersedia mati mempertahankan raja atau sultan mereka.Model politik kesultanandi Tanah Melayu sebelum kedatangan British adalah model Melaka.
5.Melaka dikatakan wujud sekitar tahun 1400 masehi.Ia diasaskan oleh Parameswara raja dari Palembamg yang kalah perang dan akhirnya terpaksa melarikan ke Singapura kemudian ke  Tanah Melayu diri untuk menyelamatkan nyawa.Ia kemudian mengambil kedudukan di Melaka dan memajukan petempatan nelayan itu sehingga menjadi sebuah negara bangsa (Nation State) yang terkenal di seluruh dunia.Ia berkembang menjadi entreport yang disinggahi oleh pedagang timur barat yang berulang alik dari timur ke barat dan sebaliknya mengikut tiupan angin monsun timur laut dan barat daya.Wujud sistem pemerentahan yang kukuh, kuat dan tersusun di Melaka dan dapat membentuk empayar yang luas dan kaya raya dengan aktiviti perdagangan antarabangsa yang makmur dan lumayan.Kemakmuran Melaka kemudiannya berakhir dengan kedatangan Portugis untuk menamatkan riwayat kemegahan negara bangsa yang gah selama lebih satu abad lamanya.

6. Sistem pemerentahan  Melaka adalah model sistem politik yang dicontohi oleh  negeri-negeri lain di Tanah Melayu sebelum kedatangan British.Walau bagaimana pun secara terperinci sistem pemerentahan setiap negeri dicirikan pula oleh nilai dan keperluan budaya tempatan yang tentunya berbeza antara satu negeri dengan yang lain.Ianya memperlihatkan suatu persamaan yang dicirikan oleh kelainan.

7. Berbalik kepada kejatuhan Melaka.Kelemahan kerajaan ini dapat dilihat daripada punca perebutan kuasa dikalangan pemerentah.Pembesar yang berada disekeliling raja pada akhirnya berpaling tadah samada kerana rasuah atau perebutan kekayaan dagang.Fitnah dan adu dumba menjadi-jadi dikalangan pembesar yang mempunyai hubungan dekat dengan raja dan istana.Dengki menjadi-jadi diantara pembesar-pembesar  yang dipercayai raja sesama mereka.Hang Tuah yang mendapat tempat istimewa di mata raja telah difitnahkan dan kemudian dijatuhkan hukum bunuh.Sultan atau raja yang menjatuhkan sesuatu hukuman berasaskan kepada fitnah kedengkian menimbulkan ketegangan sosial dikalangan rakyat yang kemudiannya mencetuskan kebangkitan Hang Jebat menuntut bela "pembunuhan " Hang Tuah sahabat karibnya.

8.Kedatangan Portugis di bawah pimpinan Alfonso d 'Albuque hanya seperti membawa bulldozer meranapkan Melaka yang telah sedia porak peranda.Kalau Portugis tidak menyerang tahun 1511 itu pun Melaka akan tetap jatuh dan ranap tidak lama selepas itu

9.Sejarah kejatuhan Melaka adalah sejarah yang memberi dan menunjukkan  natijah dari perpecahan Melayu.Bahawa bersatu itu teguh dan bercerai itu roboh.Kelemahan Melayu itu ditunggu oleh musuh.Ia menyerang sewaktu Melayu hampir rebah.Sejarah Melaka,kulit dan isinya kembali timbul dalam sejarah negeri-negeri melayu lain di Tanah Melayu yang sebetulnya mewarisi sistem politik dari kesultanan Melaka  selepas tahun 1511.

10.Portugis merupakan penjajah pertama yang menjejakkan kaki dan bertapak di bumi Tanah Melayu negeri milik orang Melayu ini.Mereka mendirikan kerajaan di Melaka yang di kawal dari Goa,India.Bagi mengukuhkan pertahanan mereka mereka mendirikan sebuah kubu pertahanan yang kuat yang dikenali sebagai A Famosa yang masih dapat dilhat sehingga ke hari indi Melaka.St Francis Xavier dikirimkan ke Melaka untuk mengembangkan Keristian di bumi yang telah dikembangkan dengan pengaruh Ugama Islam itu.Nyatalah penjajahan bukan sahaja bermakna perdagangan dan ekonomi tetapi ia juga adalah juga ugama (keristian)yang dibawa bersama.Inilah yang dikatakan penjajahan barat yang dimulai oleh Portugis itu membawa semangat dendam Perang Salib.Kuasa Barat yang dikalahkan oleh Sallehuddin Al Ayubi dari kuasa Islam di Palestin dalam Perang Salib menimbulkan dendan barat untuk dengan apa cara akan membalas dendam kepada Islam lambat  atau bangat.Itulah sebabnya kebanyakan negeri atau negara yang dijajah adalah negara penduduk Islam.

11.Kekuasaan Portugis digantikan Belanda dalam tahun 1641 apabila kuasa Portugis dapat dikalahkan.Satu hal yang perlu dinyatakan ialah samada Portugis atau Belanda,mereka nampaknya tidak berminat mengembangkan penaklukan mereka ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu pada ketika itu.Kekuasaan mereka secara politiknya nampaknya terhad di Melaka itu sahaja.Mujur juga demikian kerana kalau Portugis atau Belanda berniat demikian,barangkali sejarah Tanah Melayu akan berbeza daripada apa yang ada sekarang.

12. Penjajahan yang lebih ketara wujud di Tanah Melayu dalam kurun ke 19 apabila terjadinya Revolusi Perusahaan di negara-negara Eropah yang membawa British sebagai penjajah ketiga masuk ke Tanah Melayu dengan membawa bentuk penjajahan yang lebih gelojoh.Mereka bukan sahaja menguasai politik tetapi juga ekonomi dan sosial masyarakat.Mereka berusha membaratkan Tanah Melayu yang dimulai dengan  negeri Perak,Selangor,Negeri Sembilan dan Pahang.Pendidikan barat mulai menggantikan sekolah-sekolah pondok.Sistem dan budaya hidup barat mulai bercambah dan berkembang semenjak dari itu.

13. Penjajahan Bitish bermula di Perak akibat terjadinya krisis politik di istana Perak.Perebutan kuasa diantara Raja Yusoff dan Raja Abdullah menjadi punca apbila Raja Abdullah yang merasa akan kehilangan takhta dan kuasa mengambil pendekatan untuk meminta bantuan British.Perjanjian Pangkor yang ditanda tangani dalam tahun 1874 mengukir sejarah baru di Tanah Melayu.ternyatalah bahawa penjajahan bermula kerana krisi Melayu.Perebutan kuasa menjadi punca.Bantuan asing membawa rebah bukan mengukuhkan kuasa yang ada.
Demikian krisis takhta dan perebutan kuasa raja dan pembesar melayu sesama mereka terjadi di Perak,ia kemudiannya merebak ke negeri-negeri melayu yang lain satu demi satu.Britis menggunakan model yang serupa dalam menjajah Selangor,Negri Sembilan dan Pahang kerana faktor kelemahan dalamannya adalah sama.Perpecahan sesama penguasa Melayu membuka pintu untuk penjajahan dan kejatuhan kuasa Melayu.

14.Kesan penjajahan British selama lebih dari satu abad memberikan kesan yang tidak sedikit dari segala sudut.Dasar pentadbiran British secara Divide and Rule (Pecah dan Perintah) telah mencorakkan kehidupan Tanah Melayu berubah sama sekali dari corak asal Melayu yang dulunya diwarnai oleh Islam sejak kurun ke 12.
Penguasaan ekonomi penjajah di Tanah Melayu terutama di empat negeri yang dikuasai mereka memang sangat ketara.Perlombongan bijih timah menjadi aginda utama bersama dengan perladangan getah yang membawa kepada penghijrahan masuk buruh-buruh dari India dan China ke Tanah Melayu.Kemasukan pendatang India dan China ke Tanah Melayu dilaksanakan dengan penuh teliti bukan setakat untuk mengisi keperluan buruh melainkan juga untuk menguatkan lagi kekuasaan Bitish di Tanah Melayu.Mereka secara sengaja menyusun letak orang-orang India di ladang-ladang getah dan orang china di kawasan-kawasan lombong.Secara tidak langsung wujud tiga kawasan penduduk di Tanah Melayu ketika penjajahan British.Orang Melayu secara tadisinya menjadi petani dan nelayan di luar bandar,orang India di estet getah dan orang China di kawasan lombong .Sekitar kawasan lombong kemudiannya berkembang pekan yang kemudiannya menjadi bandar.Ini menjadikan orang China penghuni bandar.Inilah yang dikatakan dasatr pecah dan perintah.

15.Dasar Pecah dan perintah menjadi lebih ketara apabila British memberikan kebebasan kepada masing-masing kaum menjalankan pendidikan persendirian ,mereka dengan menggunakan sistem dari negara asal masing-masing.Perpecahan kaum di Tanah Melayu bermula di sini.Sementara kaum pendatang menjadi bertambah maju dengan sokongan penjajah dalam memajukan perdagangan mereka,nasib orang Melayu diketepikan apabila dibiarkan di kampong dan ditepi laut dengan pekerjaan tradisi mereka secara sara diri sepanjang penjajahan British.

16.Pada akhirnya timbul semangat nasionalisma di Tanah Melayu.Kurun ke 20 menyaksikan kebangkitan semangat kemerdekaan di negara-negara yang dijajah diseluruh dunia.Orang Melayu yang telah merasa kesan buruk dari penjajahan telah bangun,membuka mata dan mencari kemerdekaan untuk agama,bangsa dan negara mereka.Mencari kemerdekaan dari penjajah yang telah menukar corak dan bentuk negara selama penjajahan mereka rupanya bukan kerja mudah.Kemerdekaan yang dicapai dalam tahun 1957 adalah kemerdekaan perkongsian semua bangsa yang berada di negeri Tanah Melayu.Mengongsi kemerdekaan bersama berbagai bangsa adalah sukar dan penuh bahaya.Itulah harga sebuah kemerdekaan yang diberikan British kepada kita sebagai hasil penjajahan yang semuanya berpunca dari kesilapan Melayu sejak mula.Mereka berbalah merebut kuasa keran bagi mereka kuasa itu adalah segala-gala.Penguasa Melayu  percaya bahawa orang barat itu sahabat setia tetapi mereka sebenarnya bulldozer.

17.Hari ini Melayu berpecah lagi.Sejarah lama berulang lagi.Pulau Pinang dikuasai oleh Francis Light seawal 1786 adalah kerana perbalahan Melayu sebenarnya sehingga Pulau Pinang diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris yang diwakili oleh Francis Light.Demikian juga Singapura di kuasai Stanford Raffle juga kerana perbalahan melayu berpunca kuasa dan takhta.Maka sekarang dalam zaman merdeka Melayu tetap selalu lupa akan sejarah bangsanya.

18.Dalam melakar sejarah moden menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020,Melayu tidak semakin maju dari segi fikiran dan tindakan mereka.Mereka gemar berkelahi sesama sendiri kerana merebut kuasa.Satu kalangan dari mereka merasa bahawa mereka lebih bijak dari satu kumpulan Melayu yang lain.Mereka merasa kalau mereka mendapat kuasa meraka akan boleh berbuat lebih baik dari pemenrentah yangt ada untuk membawa Malaysia ke puncak Jaya.Satu kalangan orang Melayu menjadikan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan rakyat menyokong mereka bagi mendapatkan kuasa.Ia memburukkan pehak Melayu yang lain lawannya dengan seburuk-buruk gambaran.Setengah mereka menghalalkan cara untuk mencapai matalamat berkuasa.Demikianlah satu waktu isu kafir mengkafir menjadi fenomena dalam kempen politik antara parti PAS dan UMNO.Kalangan pemimpin PAS menuduh mereka yang menyokong UMNO sebagai kafir.Perpecahan parah telah berlaku dikalngan orang Melayu apabila satu waktu dulu keluarkan "Amanah Haji Hadi" yang antara lain membenarkan darah orang UMNO  yang tidak menyokong perjuangan PAS boleh ditumpahkan!.Wujud sembahyang dua imam.sembelihan orang UMNO haram dimakan,salam orang UMNO tak wajib di jawab dan berbagai lagi.Semuanya membawa kesan buruk perpecahan Melayu.

19.Perpecahan Melayu nampaknya tidak akan berakhir selagi matahari masih memancar  dan bulan bintang masih bersinar.Sekarang ini kedudukan orang Melayu semakin lemah apabila mereka berpecah lagi dengan timbulnya Parti baru Amanah.Amanah adalah sebuah parti serpihan daripada PAS.Mereka yang kalah dalam pertandingan pucuk pimpinan bulan Julai 2015 yang lepas melepaskan kekeciwaan mereka dengan menubuhkan parti baru yang kononnya untuk menjadi pengganti kepada PAS.Parti Amanah yang dipimpin oleh Mat Sabu ini akan memasuki gelanggang politik Malaysia dan tentu akan bersedia untuk bertanding tiga penjuru bersama dua lagi parti Melayu iaitu UMNO dan PAS.Mereka katanya  akan bekerjasama rapat dengan PKR untuk menjatuhkan UMNO dan PAS.Tuduh menuduh antara satu samalain dikalangan parti-parti Melayu ini semakinj menjadi.Media sosial dalam zaman  globalisasi dan di bawah kolong langit terbuka memain peranan sebebasnya menyebarkan tuduhan termasuk fitnah dan pembohongan yang semuanya membawa kepada perpecahan umat Melayu.

20.Bilakah orang Melayu tahu dan mahu untuk bersatu.Mengapakah Islam yang sama dan bahasa bangsa yang sama bagi orang Melayu masih belum mampu menyatukan mereka.

21.Krisis politik dalam UMNO diakhir-akhir ini pula menjadikan kedudukan politik  Melayu semakin tenat.Pemimpin dan rakyat terbanyak mesti berfikir dengan kepala yang sejuk supaya krisis besar ini dapat diselesaikan secara bijaksana dan tidak memburukkan lagi nasib dan kekuasaan Melayu di negara ini.
Dalam kaadaan seperti ini pemerentah dan rakyat jangan mengambil pembantu dari luar untuk mengajar kita berjalan dan berlari.Negara kita tanggung jawab kita,Tentunya kita ada cara untuk menyelesaikanya.Gunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan sengkita.Keselamatan Melayu ditangan Melayu.

22.Jangan biarkan sejarah kegagalan dan kejatuhan Melayu berulang.Jangan biarkan "History repeat itself".



Nik Ariff Raja Yusoff
Kota Bharu,Kelantan.
12 November 2015