Friday, December 2, 2016
KELAHIRAN ANAK LUAR NIKAH : APAKAH SUDAHNYA.
Kelahiran anak luar nikah meningkat dari tahun ke tahun.Terdapat lebih kurang setengah juta anak luar nikah atau anak tak sah raraf yang telah didaftarkan dalam tempoh diantara tahun-tahun 2005-2015.
Perangkaan
Perangkaan ini menunjukkan dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini kelahiran anak tanpa bapa ini telah meningkat dengan kadar yang cepat.Ia menunjukkan satu perangkaan yang membawa bersamanya kebimbangan.Ia menggambarkan betapa sistem kekeluargaan di negara kita telah mulai runtuh dan kalau ianya tidak diambil langkah untuk membendungnya secara mencukupi ia akan menjadi gawat dan memusnahkan sistem agama dan masyarakat di negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan ini.
Di lihat kepada perangkaan yang dinyatakan di atas bolehlah disimpulkan bahawa hampir 4,445 anak luar nikah telah dilahirkan dalam tempoh tersebut.Adalah dipercayai bahawa angka tersebut masih akan terus tinggi apabila dilihat kepada gaya hidup masyarakat Malaysia kini yang menyaksikan pergaulan bebas lelaki perempuan tanpa kahwin adalah menjadi cara hidup moden yang semakin dibudayakan.
Bersama-sama dengan kelahiran anak luar nikah yang didaftarkan terdapat juga anak-anak luar nikah yang tidak berdaftar.Disamping itu terdapat pula ramai anak-anak haram yang digugurkan sebelum dilahirkan.
Dato' Seri Rohani Abdul Karim ,Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat sebagaimana yang dilaporkan oleh Harian Metro menyebut bahawa dalam tempoh 10 tahun yang sama itu terdapat pula 526 kes pembuangan bayi yang dilaporkan.
Punca Masalah.
Punca terjadinya masalah tersebut adalah pelbagai.Ada pehak yang berpendapat bahawa puncanya bermula dari menular dan membiaknya budaya hedonisma di Malaysia.Pengaruh sesat yang dibawa dari luar mengajar anak-anak Malaysia untuk menjadi maju kata mereka dengan memakai fikiran terbuka.Berfikir secara libral dan memilih kehidupan bebas yang enggan dikongkong oleh norma ugama,adat dan kebiasaan masyarakat.
Pergaulan bebas dianggap sebagai suatu kemodenan.Keterikatan kepada konkongan keluarga mulai dileraikan atas alasan untuk berdikari dan mencari identiti sendiri.Kebebasn individu dan hak-hak demokrasi peribadi diperjuangkan.Wanita melihat aspek emansipasi sebagi ruang untuk mereka mencipta diri dan imej baru.Perempuan mahu disamakan dengan lelaki dalam apa jua kaadaan dan cara.Ini adalah jelmaan pemikiran barat yangt berjaya masuk ke negara kita melalui sistem pendidikan sejak zaman penjajah.
Pengaruh dan perkembangan moden yang menghantarkan pelbagai hiburan yang bukan sahaja melalaikan tetapi telah mengheret anak-anak muda kita kepada kesesatan dari segi cara berfikir dan bertindak.
Sejak beberapa dekad yang lalu pengaruh kuning (yellow culture) yang diimport dari barat adalah terhad melalui bahan-bahan cetak dan filem.Sekarang dalam zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan internet menjadi pintu tanpa daun yang terbuka luas setiap saat untuk menanti di akses dan dilayari.Segala macam mak nenek dapat dilihat tanpa sekatan tanpa batas.Ia gagal ditahan ia gagal dihalang.Sesiapa sahaja yang pandai menggunakan komputer ia akan terdedah kepada bahan-bahan yang merosakkan akal dan fikiran.Di situlah anak-anak muda kita yang tidak kuat pegangan akan terjebak dengan fikiran dan amalan negatif keluar dari norma masyarakatnya.
Ada kalangan masyarakat,terutama pemimpin-pemimpin agama yang memberikan pandangan dan cadangan supaya program hiburan kita dikawal atau ditapis.Garis peraturan yang ketat perlu disediakan supaya pengusha atau pengeluar filem mengeluarkan filem yang bermutu untuk mendidik masyarakat menjadi masyarakat yang berakhlak mulia.Tetapi selalunya dorongan untuk mencari kekayaan dan bukan yang lain daripada itu membuatkan filem-filem buatan dalam dan luar negeri yang ditayangkan padat dengan unsur-unsur bukan saja seks yang menjolok tetapi unsur-unsur keganasan lain yang turun mengajar dan mendidik secara negatif masyarakat kita terutama golongan mudanya.
Lambakan filem-filem percintaan terutama filem-filem Hindu setan
(Hindustan) secara halus telah mengajak penonton-penonton kecil dan penonton muda kita untuk meniru dan mencontohi apa yang ditonton mereka.
Lembaga Penapis Filem perlu bertindak lebih tegas.Sejauh mana ketegasan itu dapat dipertahankan sukar untuk ditentukan.Lagi pula filem yang terdapat dalam pasaran gelap adalah bertimbun-timbun.Anggota dari lembaga penapis mustahil dapat mengawal semuanya.Filem-filem dari media internet lagilah tidak dapat dikawal.Jadi apa sudahnya dengan Lembaga Penapis Filem yang diberikan tanggung jawab menapis.Apa yang hendak ditapis.
Peranan ibu bapa dan keluarga.
Ada pehak yang meletakkan tanggung jawab kepada keluarga untuk menyelesaikan kemelot berkenaan.Memang keluarga adalah asas kehidupan bagi setiap individu.Setiap manusia dilahirkan dari keluarga.Tetapi itulah halnya dengan begitu ramai pula anak-anak yang dikandung dan dilahirkan secara haram sekarang.
Walau apa pun dalam kaadaan normal memang anak yang dilahirkan secara sah mempunyai ibu dan bapanya.Secara fitrahnya anak yang dilahirkan itu dari sudut Islam dilihat seperti sehelai kain puteh yang suci bersih.Sesungguhnya ibu bapanyalah yang akan menentukan ia menjadi majusi atau nasrani.
Islam meletakkan tanggung jawab menentukan masa depan anak-anak itu kepada ibu bapanya.Islam menekankan tanggung jawab terutama bapa bagi menentukan anak dan isterinya dijaga dan dipelihara supaya terhindar mereka dari bakaran api neraka.
Proses penjagaan dan pendidikan dalam Islam menekankan kepada penggunaan amalan syariat sebagaimana yang ditetapkan Allah dan di bawa Rasulullah.Islam menekankan anak-anak mesti diajar dan disuruh supaya mendirikan solat sejak kecil.Mereka boleh mulai dipukul sekiranya pada umur 9,10 tahun masih enggan bersolat.Bukan sahaja dilatih supaya bersolat tetapi juga dilatih untuk berpuasa sejak kecil.Amalan-amalan kehidupan seperti adab,sopan santun dan tatacara pergaulan ditekankan kepada mengikut dan mematuhi syariat semuanya sebagaimana ajaran yang terdapat dalam Quran dan hadith Rasulullah.
Menjaga kesejahteraan keluarga dan institusinya menjadi sebahagian maqasid syariah yang terangku dalam "hifz an-nasb" (pemeliharaan keturunan).Hal ini digarap dengan sangat jelas oleh Ibn Ashur seorang tokoh maqasid yang terkenal.
Perlunya pendidikan keremajaan.
Masa remaja dalam kehidupan seorang manusia adalah waktu-waktu yang sangat mencabar.Mengisi masa remaja dengan panduan agama adalah sebaik-baik cara membawa manusia ke jalan yang sempurna.Panduan mengawal emosi,jasad dan kemahuan mengikut landasan landasan agama berpaksikan keimanan yang teguh dengan berlandaskan keyakinan setiap perbuatan membawa dosa dan pahala menjadi bekalan setiap manusia dalam membentuk kehidupan.
Prinsip berpegang teguh kepada ugama terutama Islam kepada setiap penganutnya menjadi benteng yang kukuh membawa manusia ke jalan yang diredhai Allah.Mereka yang taatkan Allah dan taatkan Rasulnya akan menjadi manusia yang selamat di dunia dan selamat di akhirat.Tanpa ketaatan kepada Allah manusia tidak akan taat kepada semua peraturan yang dicipta manusia untuk boleh membawa mereka kepada kebaikan.
Adalah meninggalkan tanda tanya , bagaimana sistem pendidikan kita gagal membina semua rakyatnya untuk menghindari perbuatan maksiat dan mungkar.Pelajaran pengetahuan Ugama Islam telah pun diajar kepada pelajar-pelajar kita sejak sekolah rendah.Tetapi bagaimana pendidikan itu gagal membentuk sahsiah pelajar kita.Nampaknya yang berjaya disampaikan adalah ilmu tetapi akhlak yang baik tidak terbentuk dengan ilmu itu.Sesuatu yang lebih dari setakat menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata perlu dilakukan.Praktik ilmu adalah sesuatu yang perlu dililhat terlaksana serentak dan bersama-sama.
Peranan pihak bertanggung jawab.
Kementerian Pembangunan Wanita , keluarga dan Masyarakat perlu mengadakan lebih banyak inisiatif mendidik terutama golongan remaja membina sahsiah diri melalui pendekatan ilmu,iman dan amal.Skuad-skuad pengawal sahsiah perlu dibentuk dan bekerja bersama dengan badan-badan ugama disemua peringkat persekutuan dan negeri dalam menangani gejala sosial muda mudi kita.
Pandangan umum hendaklah disepakati bahawa pergaulan bebas adalah punca segala maksiat yang terjadi sekarang.Pergaulan bebas harus ditegah dan dilarang.Pandangan jijik kepada pergaulan bebas hendaklah menjadi norma masyarakat kita.
Masyarakat perlu mendidik diri masing-masing untuk berakhlak baik. Setiap anggotanya perlu bertanggong jawab untuk berpekerti mulia sejajar dengan kesopanan dan kesusilaan yang terdapat dalam Rukun Negara juga.
Pengaruh syaitan memusnahkan.
Para remaja perlu perlu menghargai dan menjaga kehormatan mereka dengan menyayangi diri serta menghargai "izzah" mereka.Tanpa itu semua para remaja akan menjerumuskan diri ke lembah kehancuran dan kehinaan.
Hanya iman yang teguh akan mengelakkan manusia dari diperdayakan syaitan.Syaitan akan sentiasa memperdayakan manusia dengan menggambarkan keburukan sebagai kebaikan dan menarik manusia untuk melakukan maksiat kerana maksiat itu dilihat sedap dan menyeronokkan.Hanya keimanan dan ketakwaan,serta keyakinan kepada Allah sahaja akan menyelamatkan insan dari didampingi dan ditunggangi syaitan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment