Tuesday, June 13, 2017

MALAYSIA OH MALAYSIA

Dindingmu dilaporkan utuh menyekat kedatangan semua musuh
Pintumu yang terdedah seekor nyamuk datang mengamuk
pagarmu bersasak buluh sekejab masa menjadi rapuh
Lantai yang jarang melepas tombak menokah ruang
Hang Tuah dan Hang Jebat menjadi terganggu untuk bertikam.

Tabirmu nipis lagi jarang lalu gagal menutup pandang
sutera halus jangan disalahguna kerana ia pakaian perempuan
pun setebal mana penutup bangkai busuknya gagal dirungkai
setiap mata gagal dibuta kerana hati masih terbuka
dan lidah yang fasih itu masih enggan menutup bicara.

Dari  atas menara itu keluar pelbagai cerita
sang pendita dengan banyak teori pelbagai kertas kerja
menyantun penguasa dengan puji dan puja
lemak atau merdu hanya nyayian mengulik beradu
semuanya tak kemana segalanya habis selesai di situ
mereka yang menanti mengutip isi yang basi.

Penguasanya bagaikan dewa di kayangan berkuasa
Firaun pun pada akhirnya kalah jua di tangan Musa
Laut Merah terbelah dua lalu membunuh si pendusta 
Tahukah kamu Allah itu maha kuasa menghukum dan membalasnya.

Pengikut pula mengapa takut membabi buta
tangan dan kaki mereka ke mana pula perginya
hati dan jiwa mereka mengapa dibiar dipenjara
mengapa sanggup kita dipijak menjadi hamba hina melata.

Malaysiaku,
Bangunlah membuka mata
bangkitlah membuka dada
ada keris di pinggangmu
ada pedang di tanganmu
hapuskan musuhmu yang ada
di tanganmu ada kuasa
di lidahmu ada suara
warnakan semula sebuah negara.


N.A.Raj
Taman Seri Aman
18 Ramadhan  1438



No comments:

Post a Comment