Di hujung perjalanan banyak lorong sudah tertutup
di hujung perjalanan langit biru berubah kelabu
di hujung perjalanan bumi yang luas sudah terbatas
di hujung perjalanan fikir yang pantas menjadi buntu
di hujung perjalanan kutub yang sejuk bertukar panas
di hujung perjalanan diganggu mimpi tidak berasas
di hujung perjalanan menerima diri untuk dibalas.
Perjalanan sebuah usia merakam suka duka
cepat atau lambat bukan kita yang menentukannya
datangnya kematian itu tidak disangka-sangka
waktu sujud atau ketika bersukaria
ambillah iktibar dari sejarah
belajarlah untuk mengalah
berdirilah atau rebah
menerima takdir Allah.
Di hujung perjalanan ada doa yang tidak sudah sudahkanlah
di hujung perjalanan ada hutang yang tidak jelas jelaskanlah
di hujung perjalanan ada janji yang tidak tertunai tunaikanlah
di hujung perjalanan ada dosa tidak terlepas bertaubatlah
di hujung perjalanan ada ikatan yang putus sambungkanlah
di hujung perjalanan solat yang tertinggal qadhakanlah
biar pulang tangan berbekal
biar pulang dalam tenang
hati berbalut dengan iman
masuk syurga dengan aman.
Taman Sri Aman.
12 Ogos 2017.
No comments:
Post a Comment