Monday, November 16, 2015

MENCARI KEBERKATAN DARI LIMPAH KURNIAAN ALLAH

"Dan janganlah kamu berharap-harap (ingin mendapat) akan (limpah kurnia) yang telah Allah berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda,ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran).(kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,dan orang-orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan,(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaanNya.Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

(Surah : An-Nisa' :32.)


1.Segala-galanya adalah milik Allah.Sesuatu yang nampak dipandang atau tersembunyi di mana-mana tempat atau ruang hanya Allah jua yang maha mengetahui dan menguasainya.Maha suci Allah dari segala sifat yang lemah dan kurang.Sesungguhnya Allah penguasa langit dan bumi segala isi terkandung diantara kedua-duanya semua milik Allah jua.Maha kaya,Maha Perkasa dan Maha berkuasa Allah menguasai dan mentadbirnya.Tidak ada sebarang kesususahan bagiNya menyusun dan mengatur alam semesta ciptaanNya.Di dalam kekuasaanNya terletak segala ketentuan alam dan penghuninya.


2.Demi sesungguhnya harta kekayaan,ilmu pengetahuan ,pangkat ,kekuasaan,darjat dan segala kemuliaan serta  kebesaran adalah tertentu milik dan kepunyaan Allah.Selain dari Allah semuanya adalah ciptaanNya,bersifat sementara dan mempunyai kelemahan selama-lamanya.Hanya Allah jua yang kekal selama-lamanya berkuasa,mentadbirkan alam dan menentukan buruk baik segala sesuatu makhluk dan benda-benda ciptaanNya.


3.Harta benda,ilmu pengetahuan dan pangkat kebesaran adalah tiga elemen yang penting dan dicari serta dikejar oleh semua manusia di dunia ini.Tak ada manusia waras yang tidak mahukan harta.Lagi banyak harta lagi baik kata mereka.Kerana itu bermati-matian manusia di muka bumi ini bekerja keras mengumpulkan harta kerana harta menentukan senang susah kehidupan seseorang.Oleh kerana terlalu asyik dan ghairah mencari harta ada orang sampai gilakan harta.Kerja mereka mengumpulkan harta.Siang malam mencari dan menghimpunkan harta.


4. Harta dan kekayaan adalah suatu kuasa.Dengan memilik banyak harta dan kekayaan ini menjadikan pemiliknya  makin berkuasa serta berpengaruh pula.Harta bukan sahaja boleh mendapat kuasa tetapi harta juga boleh membeli kuasa.Harta boleh bermanafaat sekiranya digunakan untuk mencari keredhaan Allah.Sebaliknya harta membawa mala petaka sekiranya ia digunakan untuk kerja-kerja maksiat dan memasuki jalan yang membawa kesesatan dan kemungkaran.Harta boleh disedekahkan kepada fakir miskin dan mereka yang meminta-minta  dan memerlukan.Menginfakkan harta di jalan Allah adalah suatu jihad dan akan memperolehi ganjaran pahala serta keberkatan.


5. Ilmu pengetahuan juga adalah kuasa.Ia seperti harta kekayaan menjadi anak kunci  kepada kejayaan dan kemuliaan sesorang di dunia dan di akhirat.Maksud sabda nabi tentang ilmu ada menyebutkan bahawa kalau manusia hendaklah dunia ia hendaklah berilmu,hendakkan akhirat juga mesti berilmu.Hendakkan kedua-dua dunia dan akhirat juga mestilah berilmu.Tanpa ilmu manusi meraba dalam kegelapan.Ilmu menunjukkan jalan lurus mendapat kebenaran.Buta ilmu membawa kejahilan,kesesatan dan kekufuran.


6.Pangkat dan darjat adalah perhiasan hidup manusia.Pangkat adalah kurniaan yang diberikan oleh penguasa kepada mereka yang berjasa atau berjaya.Dengannya ada pegawai-pegawai tinggi yang menjadi Ketua Pengarah,Pengarah,Duta,Cansellor atau pelbagai jawatan tinggi yang lain dengan kuasa-kuasa tertentu yang diberi dan diamanahkan.Orang-orang politik  negeri dan negara  di beri pelbagai jawatan tinggi sebagai Perdana menteri,Menteri Besar,Menteri dan lain-lain jawatan dengan pelbagai gelaran pula.Ada yang memakai gelaran Tun,Tan Sri,Datuk Seri,Datuk dan lain-lain.Semuanya mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hiraki kehidupan masyarakat.


7.Orang islam tidak dilarang mencari dan memilik harta kekayaan.Islam menggalakkan manusia mencari harta.Cuma Islam meletakkan batas-batas tertentu dalam mencari dan mengumpulkan harta.Orang Islam tidak dilarang mengejar pangkat dan kedudukan,asalkan pangkat itu diperolehi dengan cara yang benar,mengikut kelayakan dan kebolehan diri yang sebenarnya.Memperolehi sesuatu jawatan atau dinaikkan pangkat secara menjatuhkan orang lain secara zalim dan tidak adil adalah sangat ditegah dalam Islam.Menjatuhkan martabat dan mengaibkan orang lain adalah suatu perlakuan dosa yang tidak boleh diampunkan Allah melainkan oleh orang yang teriniaya.Orang Islam yang dikurniakan Allah dengan pangkat dan kedudukan tinggi mempunyai tanggung jawab besar yang mesti dilaksanakannya.Sebagai pemimpin mereka akan disoal di akhirat berkenaan amanah dan tanggong jawab yang diberikan kepada mereka di dunia ini.


8. Mereka yang memiliki kekayaan harta benda,mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi,dalam dan luas;mereka yang mempunyai pangkat besar,kedudukan tinggi dan terhormat semuanya memikul tanggungh jawab di sisi Allah yang wajib dilaksanakan.Mereka tidak dibiarkan memiliki segala keistimewaan dari kurniaan Allah itu dengan senang linang bergoyang kaki.Si kaya harta bertimbun akan ditindih dosa kalau zakat tidak dikeluarkan dari hartanya.Hartanya akan menjadi kotor jika tidak dibersihkan dengan air zakat.Penguasa dan pemimpin yang berjawatan tinggi dan berpangkat besar bukan boleh sewenang-wenang memerintah secara sombong,bongkak,tidak beradab,tidak melaksanakan keadilan apa lagi menggunakan kekerasan dan kezaliman dalam perilaku dan tindakannya.Islam menggariskan perlakuan yang sepatutnya pemimpin beramal dengannya untuk menimbulkan keamanan dan ketenteraman dalam kepemimpinan.Pemimpin yang baik di semua tempat dan peringkat adalah pemimpin yang dapat menyenangkan orang0orang di bawah pimpinannya.Mereka berkasih sayang sesama mereka.Bila mereka berdiri mereka sama tinggi dan bila mereka duduk mereka sama renda.Allah meletakkan semua manusia adalah sama.Yang membezakan mereka adalah Taqwa.


9.Mereka yang berilmu pengetahuan mesti mengajar mereka yang jahil.Ini tanggung jawab orang berilmu untuk menyibarkan ilmu supaya kebenaran dan ilmu pengetahuan tersebar luas di muka bumi ini.Dengan ilmu manusia akan mengenal diri.Dengan ilmu manusia akan mengenal penciptanya.Dengan ilmu manusia akan masuk syurga.Tanpa ilmu lebih manusia masuk ke neraka.Manusia berilmu yang kedekut dengan ilmunya akan dimusuhi Allah .Padanya tidak diberikan keberkatan dan ilmunya akan mati tidak berubah apa lagi bertambah.Ilmu seperti tuntutan zakat,semakin banyak diberi kepada orang lain yang memerlukan maka semakin banyak ia datang kembali kepada kita yang memberikannya.


10.Berkenaan harta kekayaan,pangkat dan kedudukan yang Allah kurniakan kepada orang lain dan tidak pada kita sekarang,janganlah menjadikan kita merasa tersisih dan keciwa. Setiap kita berhak untuk berangan-angan bagi mendapatkannya.Bercita-cita tinggi tidak salah malah itu digalakkan.Tetapi Allah meningatkan kita bahawa orang lelaki dan perempuan yang diberikan sebarang rezeki berupa harta ,pangkat atau darjat adalah lelaki dan perempuan yang telah berusha keras untuk mendapatkannya.Kita juga boleh mencapai kejayaan itu dengan berusha keras.Bukan sahaja perlu berusha keras tetapi di akhir usaha itu adalah bertawakka dan bermohon meminta kepada Allah supaya bukan saja permohonan dikabulkan tetapi diberikan keberkatan melaluinya.Harta,pangkat dan ilmu yang salah dan tidak benar tidak membawa kebaikan untuk diri dan orang lain. Semuanya menjadi sampah dosa yang membebankan diri kita dunia akhirat.


11. Di samping harta benda, anak pinak juga adalah kurniaan Allah.Ada orang diberikan Allah anak pinak yang ramai dengan mencapai kejayaan yang pelbagai.Ada yang lain sebaliknya pula nasib mereka.Semuanya ini adalah ketentuan Allah.Semuanya adalah ujian Allah.Allah mengingatkan kita bahawa adakah semudah kita mengaku bahawa kita telah cukup beriman dengan hanya sebuah pengakuan tanpa Allah memberikan ujian.Dengan yang demikian segala ketentuan Allah baik atau buruk,senang atau susah,tinggi atau rendah,banyak atau sedikit semuanya adalah ujian Allah.Ujian ini adalah untuk mengukur sejauh mana seseorang itu bersyukur atau tidak kepada setiap pemberian atau kurniaan Allah.Allah menjanjikan mereka yang bersyukur dengan nikmat Allah akan digandakan nikmat tersebut manakala yang tidak bersyuku akan mendapat siksaan yang pedih.


12. Perlulah kita ingatkan bahawa bukanlah kurniaan dan nikmat itu hanya sesuatu yang enak,sedap dan lazat sahaja boleh dikirakan nikmat.Keburukan,kesakitan,kekurangan,kemiskinan dan penderitaan juga sebetulnya suatu nikmat.Kalau kita bersyukur dalam semua kesusahan itu kita akan mendapat ganjaran yang lebih besar dari mereka yang sentiasa menadapat keseronokan hidup itu.Kesusahan dan penderitaan itu ialah suatu nikmat.Kalau bukan demikian mengapa Nabi Muhammad SAW memilih kemiskinan dan kesederhanaan hidup sebagai teman hidupnya meskipun baginda diangkat Allah menjadi Nabi dan pemimpin yang berkuasa untuk mengumpul harta dan kekayaan.

Allah berfirman " Oleh itu maka (tetapkanlah kepercayaanmu (Wahai Muhammad) bahawa)  sesungguhnya setiap kesukaran ada disertai kemudahan.(sekali lagi ditegaskan): Sesungguhnya setiap kesukaran ada disertai kemudahan".

(Surah : Al-Insyirah : 5-6)


13.Orang Islam dikehendaki tidak berburuk sangka antara satu samalain di dunia ini.Yang tinggi tidak boleh memandang rendah yang kurang di bawah kerana mungkin yang di bawah lebih baik di sisi Allah dari mereka yang di atas.Melepaskan pandangan kita dari ikatan dengan Allah dalam fikiran dan pandangan akan membawa kita kepada dosa dan kesesatan.Sesuatu yang kita pandang baik dan berguna belum bererti baik kalau Allah katakan tidak.Sesuatu yang buruk tidak semestinya tidak berguna kalau Allah tetapkan ianya bermanafaat..


14.Semua orang Islam diajak untuk bersyukur dan berterima kasih kepada kepada setiap ketentuan Allah samada yang nampak baik atau sebaliknya.Allah lebih mengetahui akan tiap sesuatu yang dikurniakan kepada kita.Berbaik sangkalah kepada Allah.Setiap ketetapan  nasib atau kurniaan adalah semuanya ujian.Mereka yang bersyukur kepada Allah atas setiap ujian akan mendapat keampunan Allah.Tidak ada yang lebih besar daripada mendapat kurniaan Allah dengan diberikan keampunan,dibebaskan dari cengkaman dosa dan LLah redha memasuki JannahNya di akhirat nanti.



No comments:

Post a Comment