Friday, August 10, 2018

KALAULAH ITU SATU KEJAYAAN

Persidangan Parlimen penggal pertama PRU 14 yang berlangsung pada pagi 16 Julai 2018 mencatat sejarahnya yang tersendiri.Semua anggota Parlimen BN kecuali dua orang telah mengambil keputusan keluar dewan.

2.Mereka membantah perlantikan Datuk  Mohamad Ariff  Yusoff sebagai Yang Dipertua  Dewan Rakyat.Mereka menolak kerana faktor masa.Sepatutnya Mohamad Ariff dilantik memegang jawatan tersebut selewat-lewatnya sebelum dua minggu dari tarikh 16 Julai.

3. Ahli Parlimen dari PAS juga bertindak selari dengan AP Barisan nasional.Mereka nampak seperti sepakat dan seperti telah sekian lama berpakat.Apakah ini benar.Sejarah politik Malaysia dimasa muatkhir ini memperlihatkan sikap sebatinya fahaman dan perjuangan kedua-dua parti pembangkang ini.

4. Mari kita melihat ke masa lepas.Selepas PRU 13,PAS telah menarik dirinya keluar dari Pakatan Rakyat.Pakatan Rakyat adalah sebuah pakatan pembangkang  di mana PAS  bersama dengan DAP dan PKR menjadi anggotanya.Mereka memasuki PRU 13 dengan tiket itu.Kejayaan PAS atas tiket Pakatan Rakyat adalah sangat membanggakan.ADUN PAS berkesempatan menjadi exco di Selangor.

5. Ada pemerhati politik melihat bahawa keluarnya PAS dari Pakatan Rakyat adalah kerana permainan UMNO yang berjaya memujuk kepimpinan PAS supaya membenci DAP.Kematian Tuan Guru Nik Aziz Febuari 2015 yang kuat menyokong Pakatan Rakyat  turut menjadi faktor .Dari situ pulalah bermulanya kebencian PAS kepada  DAP.

6.Selepas meninggalkan Pakatan Rakyat ,PAS perlu mencari rakan baru dalam persaingan politik Malaysia.Pemimpin PAS faham juga bahawa tanpa sebuah pakatan mereka tidak mungkin akan berjaya dalam politik Malaysia.Kali ini mereka cuba mendekati UMNO /BN.

7. Corak sesetengah pemimpin UMNO yang bercakap dan berwawasan dengan prinsip Islam mulai mendapat perhatian dari pemimpin-pemimpin PAS.Bila Dato' Seri Zahid Hamidi kerap berjubah dan berkopiah mengikut trend sifunya Dato Seri Najib  ini juga dilihat bahawa pemimpin tertinggi UMNO sudah bersedia untuk membela Islam di Malaysia.Bila pula pemimpin tertinggi UMNO itu mulai petah menggunakan beberapa istilah Arab untuk menjenamakan program-program politik band beberapa dasar negara nampaknya ia  dapat menarik perhatian PAS.

8. Bila UMNO nampaknya menyokong RUU 355 dan Haji Hadi diberi kesempatan untuk membentangkangnya di Parlimen nampaknya semakin jelas bahawa UMNO sejalan dengan PAS.Itulah nampaknya.Pada akhirnya semuanya itu adalah sebuah muslihat.Kerana itulah pula PAS masih belum bersedia untuk berada dalam sebuah pakatan sama dengan UMNO bila menghadapi PRU 14.Barangkali itu faktornya.Pulanya apabila RUU 355 hanya berjaya dibentang tetapi gagal untuk dibincang dan dibahas.Apa lagi ia tidak mungkin dapat diluluskan dengan sokongan UMNO!

9. Pencapaian PAS dalam PRU 14 jauh lebih merosot dari pencapaian mereka bersama Pakatan Rakyat sebelumnya.Dalam PRU 14 PAS mengambil pendekatan untuk bersendirian.Walaupun mereka berada dalam Gagasan Sejahtera tetapi pakatan tersebut jauh menepati sebuah gabungan pembangkang dalam erti yang sebenarnya.PAS mengambil pendekatan untuk bersendirian mungkin sebagai suatu ujian untuk mengetahui kekuatan sendiri tanpa pengaruh luar.

10. Barangkali PAS mulai sedar bahawa tanpa berada dalam sebuah pakatan bersama yang utuh kejayaan besar dalam politik mustahil dapat dicapai.PAS telah keluar dari Pakatan Rakyat.PAS juga telah menolak pelawaan untuk bersama Pakatan Harapan kerana DAP Masih berada di dalamnya.Bagi PAS selagi ada DAP dalam mana-mana pakatan maka mereka tidak akan menyertainya.

11. Semasa PRU 14 sedang rancak berkempen terdapat usaha-usaha dari Pakatan Harapan yang menggantikan Pakatan Rakyat untuk mengajak PAS menyertai mereka.PAS menolaknya kerana faktor DAP.UMNO juga berusaha mempelawa PAS untuk bekerjasama dengan mereka secara pakatan politik yang resmi.PAS menolaknya .Meskipun demikian sikap PAS kepada UMNO /BN tidak serupa dengan Pakatan Harapan sebagai pembangkang yang keras menentang BN.PAS menunjukkan sikap yang sangat lembut seolah-olah mereka adalah UMNO itu sendiri. Walaupun tidak pernah ada pakatan atau kerjasama antara kedua mereka secara resmi tetapi mereka seperti sebulu.Dikatakan mereka sedang dilamun cinta satu samalain hanya kahwin yang belum.

12.Nampaknya sekarang apabila Ahli Parlimen BN dan PAS sama-sama keluar Dewan Parlimen dengan alasan yang serupa nampaknya semakin serasi kedua-dua parti pembangkang ini sekarang.Apakah mereka selepas ini akan sedia bersatu di bawah satu perjuangan untuk bersatu dan bersepakat menentang kerajaan Pakatan Harapan .Ia masih menjadi tanda tanya.Tetapi kata orang kalau tak ada apa-apa takkan tempua bersarang rendah.

13.Kalau spekulasi ini akhirnya menjadi kenyataan ia tetap memberikan kebaikan kepada kedua-dua parti terbesar yang disokong oleh orang Melayu itu.Sewaktu BN sudah semakin mengecil dengan banyak parti komponennya meninggalkan BN selepas kalah PRU 14;inilah masa yang terbaik untuk PAS melihat semula dan menyusun masa  depannya.Kali ini sepatut dan sewajarnya dengan UMNO.

14.Masanya sekarang di mana Malaysia memerlukan suara pembangkang yang kuat dan mantap di Dewan Rakyat.Kerajaan yang wujud sekarang adalah sebuah kerajaan yang baru mengambil alih dari tangan kerajaan lama yang berkuasa lebih dari 60 tahun.Sesuatu yang baru banyak kelemahannya walaupun mereka mempunyai manifesto pilihanraya yang berjaya menawan undi rakyat.Periksa dan imbang dari kerajaan lama yang sekarang berada di barisan pembangkang sangat diperlukan untuk membetul dan memperingatkan sesuatu langkah yang gagal atau tidak tepat oleh kerajaan baru     untuk kepentingan negara.

15.Sekiranya pendekatan yang diambil oleh PAS dan UMNO untuk berpakat merupakan pendekatan untuk terus menyelamatkan Malaysia maka itu adalah sesuatu yang patut dialu-alukan.Malaysia perlukan lebih ramai dari warganya yang terus memikirkan bahawa negara yang ditadbirkan oleh pemimpin berbilang bangsa ini perlu diselamatkan hanya oleh wargannya sendiri.

16. Sekiranya PAS bersedia untuk membina semula BN, ianya adalah langkah yang tepat dan sesuai sekarang.Bahwa Melayu perlu bersatu sewaktu bangsa-bangsa lain kelihatan begitu bersatu untuk kepentingan mereka adalah patut difikirkan dengan bersungguh-sungguh. Sewaktu semakin mengalah kepentingan Melayu untuk terpaksa diserahkan demi kepentingan orang lain yang dibayar dengan harga yang sangat murah, mengapa orang Melayu masih perlu berkelahi dan bersuku-suku.

17. Sekiranya bersatu dan bersama atas nama Melayu dan Islam itu suatu keperluan yang mendesak mengapa itu tidak dilakukan.Atas hakikat itu bila PAS dan UMNO nampaknya menuju ke arah itu tentulah ia merupakan langkah menuju kejayaan untuk sebuah bangsa dan sebuah agama demi Malaysia yang perlu dipelihara dan diselamatkan.




No comments:

Post a Comment