Thursday, October 24, 2019
PAKATAN RAKYAT : KERAJAAN BARU DALAM DILEMA.
Belum pun sampai dua tahun menjadi kerajaan Pakatan Harapan sudah terumbang ambing. Kerajaan ini bagai dipukul badai.Perahu ini bagai akan karam.Ia bakal tenggelam di tengah lautan politik Malaysia yang semakin bergelora.
2. Pakatan Harapan adalah sebuah pakatan pembangkang yang dibentuk pada akhir zaman pemerentahan kerajaan Barisan Nasional.Ia dibentuk menggabungkan empat parti politik iaitu Parti Tindakan Rakyat Demokratik (DAP),Parti Amanah Negara (AMANAH),Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Rakyat Malaysia (BERSATU).
3. Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah menerima nasib yang malang dalam politik UMNO.Ia dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri berikutan dari kelantangannya menentang penyelewengan DS Najib selaku Perdana Menteri yang dikatakan telah menyalahgunakan wang negara.
4. Tun Mahathir adalah bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat yang sangat bencikan DS Najib berikutan daripada keengganan Najib untuk patuh menerima pandangan dan nasehatnya.Banyak kesilapan pentadbiran yang dilakukan oleh DS Najib Perdana menteri keenam itu dalam pandangan Tun Mahathir.
5. Tun Mahathir selalu menuduh DS Najib sebagai kuat mengamalkan rasuah.Wang kerajaan katanya disonglap oleh DS Najib dan digunakan dengan berleluasa merasuah rakyat demi tujuan politiknya.Istilah yang sering digunakan Tun Mahathir dalam menyerang DS Najib ialah " Cash is king".Ini adalah kata-kata yang dikeluarkan oleh DS Najib kepada Tun Mahathir apabila ia dinasehati untuk tidak menggunakan wang dalam membeli undi dan mendapatkan kuasa.
6. Tun Mahathir bersama TS Muhyiddin Yassin kemudiannya menubuhkan Parti BERSATU untuk menentang DS Najib yang memimpin UMNO dan Barisan Nasional.
7. Dengan propaganda kerajaan Najib sebagai kerajaan Kleptokrasi yang kuat rasuah dan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan diri dan peribadi maka kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan dalam PRU 14.
8. 9 Mei 2018 menjadi tarikh mati kepada kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO.Selepas PRU 14 Barisan Nasional terumbang ambing ditengah gelora.Tun Mahathir mengecam UMNO sebagai parti busuk yang bakal hancur dimamah usia kerana rakyat telah menolaknya dalam PRU 14.
9. Selepas tumbangnya UMNO dalam PRU 14,beberapa parti komponen dalam BN telah meninggalkannya kerana tidak lagi yakinkan kepada gabungan itu.Banyak pula pemimpin-pemimpin kuat UMNO setelah kalah dalam PRU melompat parti dengan menyertai BERSATU.
10. PRU 14 memenangkan Pakatan Harapan.Rakyat memberikan kepercayaan kepada gabungan pebangkang yang baru ini kerana beberapa faktor.Rakyat bencikan Perdana menteri Najib kerana amalan rasuahnya.Kes 1 MDB yang dikaitkan dengan dirinya telah memakan dirinya sendiri.Reputasi dan popularitinya merudum.
11. Pemimpin-pemimpin UMNO semuanya menjadi pak turut takut membuka mulut untuk bangun menasehati Najib atas salahlaku yang dibuatnya.Mereka semua termakan budi Najib kerana wang sogokan wang.Itulah cerita yang dibawa pembangkang terhadap keburukan Najib.
12. Isterinya Datin Rosmah dkatakan terlalu boros menghabiskan wang negara yang dituduh pembangkang datangngnya dari punca penyelewengan.Kenaikan harga barang serta kejatuhan nilai ringgit menjadi punca tambahan.Dan pelbagai lagi punca lain yang semuanya merebahkan kepimpinan Najib.
13. Manifesto Pakatan Harapan yang lunak dan manis ditaja di tengah-tengah hangat PRU 14 turut menyumbang kemenangan PH . Harapan rakyat bahawa pakatan baru ini akan membawa sinar baru untuk rakyat yang lama tertekan di bawah rejim Barisan Nasional begitu nampak terserlah.Mereka termakan janji.
14. Selepas berkuasa dalam tempoh setahun lima bulan sehingga saat ini Pakatan Harapan masih terumbang ambing.Halatuju dan destinasinya masih belum jelas.Kalau ianya sebuah kapal ia baru sahaja meninggalkan pelabuhan.
Kelasi-kelasinya terdiri dari mereka yang tidak berpengalaman.
15. Benar kaptennya Tun Mahathir yang berwibawa dan cukup berpengalaman tetapi pembantu-pembantunya yang terdiri dari anak-anak kapal dan kelasi-kelasinya adalah orang-orang baru yang belum pernah ke laut apa lagi merempuh lautan luas.Banyak mereka selepas meninggalkan pelabuhan menjadi mabuk laut dan pening muntah.
16. Kapten kapal pula sudah disepakati tidak akan diberikan masa lama untuk mengemudikan kapal.Kapten yang sedang menunggu sikit punya resah untuk mengambil alih menguasai kapal.Sebuah kapal yang mempunyai dua jurummudi bakal tenggelam.Anak-anak kapal menjadi berpuak dan tidak sepakat dalam hala dan tujuan.
17. Bila ombak semakin mengganas dan tiupan ribut badai semakin mengancam, kemana kapal akan dipandu sedang penghuninya semakin tidak bersatu.Ada pula yang mengambil keputusan menebuk kapal kononnya untuk mencari helah mencari laba sendiri.
18. Analogi ini untuk mudah kita melihat akan kedudukan Kerajaan Pakatan Harapan sekarang.
19. Tun Mahathir dipilih dan mengangkat sumpah sebagai PM hanya dengan memiliki 13 kerusi yang dimenangi oleh partinya BERSATU dalam PRU 14 yang lalu.DAP mendapat 42 kerusi sedang PKR pula memperolehi bilangan terbesar dengan angka 47. Demokrasi adalah suatu permainan angka.Dan angka ini mahu dijadi alasan sebelum upacara angkat sumpah jawatan untuk DS Wan Azizah Presiden PKR untuk dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh.
20. Hanya kerana muafakat awal sebelum PRU 14 telah disetujui maka seperti yang telah disetujui Tun Mahathir mengangkat sumpah menjadi PM dan DS Wan Azizah menjadi Timbalan Perdana Menteri.Telah juga disetujui bahawa DS Anwar Ibrahim menjadi "PM in Waiting".
22. Pakatan Harapan sekarang dilanda dilemaq besar kerana "PM in waiting" sudah tidak sabar lagi untuk terus menunggu.Pengalaman lama dan sejarah lampaunya bersama Perdana Menteri mungkin menghantuinya saat ini untuk segera menuntut janji.
23. Persoalannya sekarang apakah janji itu sesuai dituntut pada saat ini.Dalam kaadaan Pakatan Harapan yang terumbang ambing dipukul ribut dengan pelbagai masalah dan tekanan kini apakah sesuai ia ditindih dengan satu lagi tekanan bahawa Perdana Menteri mesti segera bertukar semata-mata kerana muafakat dan janji yang telah dibuat.
24. Apabila pembangkang semakin bersatu,kedudukan Pakatan Harapan semakin tidak menentu.Muafakat Ta'awun Siyasi UMNO-PAS sehingga membentuk kerjasama politik dalam Penyatuan Nasional memberi pukulan berat kepada kapal pakatan Harapan yang terumbang ambing di tengah lautan ini.
25. Dalam masa yang sama apabila Presiden UMNO dan PAS memperlihatkan sokongan mereka supaya Tun Mahathir terus menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal memberikan tanda tanya kepada banyak pehak.Apa sebenarnya telah terjadi.Apakah maksud semuanya ini.
26. Perpecahan dalam PKR dengan timbulnya puak Azmin Ali dan puak Anwar Ibrahim menampakkan bahawa bahtera pakatan Harapan mulai mengalami kebocoran di sana sini.Air sudah mula menyusup masuk ke ruang kapal.Lantai kapal sudah basah.
27. DAP sebagai sebuah parti yang mempunyai latarbelakang sebagai musuh ketat kepada Tun Mahathir melalui beberapa fasal hidup bersama di atas satu kapal , memperlihatkan krisis mulai timbul.
28. Isu-isu berkaitan Melayu dan agama Islam menampakkan ada perbezaan pegangan diantara Tun Mahathir pemimpin BERSATU dengan pemimpin-pemimpin DAP dalam kabinet.Sementara Dong Zong menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina sehingga kepada isu Zakir Naik semuanya memaksa Tun Mahathir untuk melabelkan Dong Zong yang disokong kuat DAP sebagai rasis.
29. Tun Mahathir sekarang lebih tertekan apabila desakan-desakan menolaknya untuk sampai tersandar ke dinding.Penyokong PKR yang fanatik DS Anwar Ibrahim setiap hari mendesak Tun M supaya segera menyerahkan jawatan kepada DS Anwar.Mereka mendesak supaya dinyatakan tarikh bila masanya penyerahan kuasa itu akan dibuat.
30. Semakin kuat desakan dibuat untuk peralihan jawatan maka semakin lemahlah kerajaan Pakatan dalam memenuhi harapan rakyat.Rakyat akan menjadi semakin bosan.
31. Semakin bosan rakyat terhadap perebutan kuasa yang sedang berlaku ini maka semakin popular pembangkang.Semakin kuat desakan DS Anwar untuk mengambil kuasa Perdana Menteri maka semakin jauhlah letak dirinya dari jawatan itu.
31. Apakah benar bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan sepenggal.Jawapannya terletak di tangan rakyat.Mereka sedang mengadili.Rakyat akan menghukum mereka yang tidak jujur.Rakyat bencikan pemimpin yang pentingkan diri.
32. Seperti PRU 14 maka kali ini dalam PRU ke 15 rakyat diuji lagi.Seawal sekarang pun sudah nampak rakyat bukan sahaja menyesal memilih Pakatan Harapan tetapi sudah bersedia untuk menaiki bahtera lain pula.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment