Tuesday, November 12, 2019

DIANTARA YANG BENAR DAN YANG BOHONG.

 Dari segi bahasa perkataan "benar" disebut dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan sebagai sungguh,sahih,tahkik,pasti,sempurna,sengoti dan tepat.Perkataan "bohong" pula membawa makna dusta,karut,palsu,berlainan dari yang sebenar.Bohong juga dikatakan bidaah atau bedooh.

2. Dengan yang demikian lawan bagi benar adalah bohong.Sesuatu yang tidak benar mestilah menjadi sesuatu yang bohong.

3. Benar dan bohong adalah dua sifat yang dijadikan Allah untuk mencirikan manusia kejadiannya.Selain manusia makhluk jin juga tahu dan pandai berbuat benar dan berbuat bohong.

4. Malaikat tidak tahu berbuat bohong.Malaikat dijadikan Allah tanpa nafsu yang dengannya mereka tidak rahu apa itu bohong.Mereka hanya tahu patuh kepada Allah dan samasekali tidak menderhakai Allah.

5. Allah memerentahkan manusia dan jin untuk beribadat kepadaNya.Kepada mereka ini diberikan akal fikiran untuk menentukan benar dan bohong sesuatu perkara.Manusia dan jin disyariatkan untuk patuh dan taat kepada Allah.Allah memberikan amaran kepada kedua makhluk ini bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam neraka sekiranya mereka melanggar perintah Allah serta hidup bebas mencari sesuatu di luar keredaan Allah.

6. Banyak perkara yang benar dalam kehidupan ini.Sesungguhnya Allah itu benar.Benar wujudnya dan keesaanNya.Benar kekuasaan dan keagungannya.Sesungguhnya segala sesuatu di dunia ini adalah ciptaanNya.Tidak akan turun setitik hujan membasah bumi kalau bukan dengan perintahNya.Tidak akan terbang seekor burung kalau bukan dengan izinNya.Tidak akan membiak pokok dan segala tumbuhan di muka bumi ini kalau tidak dengan kekuasaanNya.

7.Maha suci Allah dari segala sifat kekurangan dan kelemahan.DIA berdiri dengan sendiri tanpa perlukan bantuan sesiapa .Maha Agong Allah yang mempunyai segala kebesaran dan kekuasaan.

8. Allah menjadikan manusia dan jin untuk beribadat kepadaNya.Tidak menduakanNya.Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah adalah dosa menduakan Allah.Menjadikan suatu makhluk lain selain dari Allah membawa kekafiran.Manusia yang menduakan Allah tidak akan diampunkan dosanya oleh Allah sedang dosa-dosa lain sebesar mana pun akan diampunkan Allah sekiranya manusia itu mohon keampunan serta bertaubat yang sesungguhnya kerana Allah.

8. Mempunyai kepercayaan adalah suatu fitrah.Manusia diberikan perasaan,jiwa dan keinginan.Mereka berkeperluan untuk menjalani kehidupan mereka.Banyak keinginan dan keperluan mereka.Mereka juga memiliki keberanian dan ketakutan.Mereka inginkan bantuan dan pertolongan.Manusia tidak boleh hidup sendirian.Itu fitrah.

9. Manusia dijadikan Allah dengan segala kekurangan dan kelemahan.Fizikal mereka lemah demikian akal dan fikiran.Manusia mesti bergantung kepada bantuan pehak lain untuk kesempurnaan hidupnya.Demikianlah Allah menjadikan manusia serta segala makhlukNya berpasang-pasang dengan tujuan supaya kehidupan menjadi cukup dan terpenuhi.

10. Keperluan kepada agama adalah satu fitrah.Ada kepercayaan yang benar dan ada kepercayaan yang karut lagi menyesatkan.Allah menurunkan Nabi dan Rasul kepada manusia dan jin untuk menunjukkan jalan yang benar.Jalan yang benar dan lurus adalah jalan Allah yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul.Semua jalan lain dan semua  kepercayaan dan agama lain yang dibawa selain dari para nabi adalah karut dan bohong.

11. Agama di sisi Allah yang diakui dan diterimaNya hanyalah Islam.Islam adalah agama samawi yang diturunkan oleh Allah melalui Malaikat kepada para nabi dan rasul dengan panduan kitab-kitab suci mengikut kaum masing-asing di zaman masing-masing.

12. Sesungguhnya para Nabi dan rasul-rasul itu benar dan kitab-kitab suci seperti Zabur,Taurat,Injil dan Al Quran itu benar diturunkan oleh Allah untuk memandu manusia pada zamannya mencari kebenaran Allah.Mereka diperintahkan taatkan Allah dan beribadat kepadaNya.Inilah jalan yang benar.

13. Selain dari makhluk manusia dan jin ada lagi satu makhluk yang dipanggil Iblis dan Syaitan.Iblis seperti yang diceritakan dalam Al Quran adalah berasal dari makhluk Malaikat juga.Mereka menjadi Iblis setelah dilaknat oleh Allah berikutan dari kesombongan dan keangkuhan mereka melanggar perentah Allah di syurga.Iblis enggan tuduk kepada Adam iaitu satu makhluk baru ciptaan Allah di syurga. Adam dijadikan oleh Allah dari tanah liat hitam sedangkan Malaikat (asal kejadian Iblis) adalah dari cahaya.Iblis merasakan dirinya lebih mulia dari Adam dan kerana itu dia enggan tunduk menghormati Adam walaupun Allah memerentahnya berbuat demikian.

14. Apabila Iblis diperintahkan keluar dari syurga dia menjadi sangat marah dan dendam kepada adam dan juga temannya Hawa yang diciptakan Allah kemudiannya  sebagai pasangan Adam di Syurga.

15. Iblis telah memujuk dan berjaya memperdayakan Adam dan Hawa dengan pembohongannya.Iblis memujuk Adam dan Hawa untuk makan buah khuldi kerana katanya dengan memakannya menjadikan mereka berdua boleh hidup selama-lamanya.Adam turut melanggar perintah Allah disyurga dengan memakan buah larangan itu.Adam dan Adam kemudiannya turut terusir dari Syurga.Puaslah hati iblis.

16. Iblis adalah penaja utama bohong.Dia adalah makhluk yang diberikan tempoh oleh Allah untuk kekal hidup sehingga hari kiamat.Iblis bersumpah akan menyesatkan seluruh anak cucu cicit keturunan Adam sehingga semua mereka turut masuk neraka bersama-sama.

17. Hari ini kebohongan menjadi asam garam dalam kehidupan.Tanpa bercakap bohong manusia merasa kehidupan tidak lagi berselira.Bohong menjadi perencah kehidupan .Tanpa bohong hidup menjadi tidak lengkap.

18. Berjayalah iblis menaja kebohongan.Kalau Adam bapa keturunan manusia boleh termakan pembohongan iblis apa lagi anak cucunya.Iblis memberi peringatan bahawa hanya manusia yang mencari kebenaran hakiki dan taatkan Allah sahaja yang terselamat dari pembohongan,hasutan dan godaan mereka.

19. Umat Islam mempunyai Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan.Baginda adalah Nabi dan Rasul sebagai pesuruh Allah yang membimbing manusia ke jalan kebenarang dan kejayaan dunia akhirat.Sesungguhnya pada Nabi terdapat suri teladan untuk diikuti dan dicontohi.Sesungguhnya Nabi juga adalah pembawa rahmat bagi seluruh alam.

20. Sesungguhnya akan selamat umat Nabi Muhammad yang berpegang teguh kepada tali Allah.Mereka tidak berpecah belah.Mereka patuh dan taat kepada ajaran Quran yang benar dari Allah dan mereka mengikuti ajaran Nabi seperti yang terdapat dalam sunnahnya.

21. Sesunggguhnya mereka yang berada di atas landasan kebenaran akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.Renungilah surah Al Mukminun ayat 1 hingga 11 yang menyentuh tentang manusia yang berjaya.

          i : "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman".


          ii : " Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya".

          iii : " Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan                      yang sia-sia ".

          iv : " Dan mereka yang membersihkan hartanya dengan menunaikan                        zakat harta itu".

           v : " Dan mereka yang menjaga kehormatannya ".

           vi : " Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya (diperolehi dari                         Perang sabil) maka sesungguhnya mereka tidak tercela".

          vii : " Kemudian mereka yang mengingini selain dari yang demikian                             maka merekalah orang yang melampaui batas".

          viii : " Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya".

           ix  : " Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya".

            x  : " Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi ".

           xi  : " Yang akan mewarisi syurga firdaus ; mereka kekal di dalamnya".

22. Hari ini pembohongan bermaharajalela dalam masyarakat kita.Bercakap bohong menjadi amalan biasa.Suami berbohong kepada isteri,isteri berbohong kepada suami.Akhirnya rumah tangga tidak aman dan membawa perceraian.Anak berbohong kepada ibu bapa.Raja dan pemerentah berbohong kepada rakyat yang akhirnya membawa kepada kebencian rakyat kepada penguasa dan negara.Terjadinya pemberokan menentang pemerentah kerana pemerentah berbohong,janji kepada rakyat tidak ditunaikan dan rakyat naik marah.Demikian besarnya bahaya bohong.

23.Dalam kehidupan orang Melayu adalah pantun  yang menyebut "siakap senohong gelama ikan duri  X  Bercakap bohong lama-lama mencuri". Itulah maknya dari asal perkara yang buruk ia akan menimbulkan perkara yang lebih buruk kesudahannya.

24. Negara kita pada satu waktu yang lalu  mewartakan satu peraturan tentang berita palsu (fake news). Berita palsu adalah berita bohong.Ia dicipta dan dibawa oleh kaki pembohong yang berniat jahat.Keputusan itu dibuat kerana disedari bahawa gejala pembohongan melalui berita palsu membawa kesan buruk kepada masyarakat dan negara ini.

25. Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum yang sangat sensitif kepada  isu-isu perkauman,ugama dan adat resam masing-masing.Sebarang berita palsu yang disebar oleh satu kaum untuk merendah atau menidakkan kepentingan satu kaum lain dalam hal-hal yang menimbul sensitiviti akan membawa kepada kepada persengkitaan kaum . Tragedi 13 Mei 1969 adalah bukti dari semua ini.

26. Dalam zaman internet sekarang di mana pintu langit dan pintu dunia terbuka luas  menjadikan dunia ini semakin kecil.Sebarang benar baik atau buruk akan cepat melintasi sempadan negara dan dunia.Yang baik akan membawa kebaikan sedang berita yang buruk merusakkan.

27. Pembohongan mampu membakar persepsi manusia.Ia berjaya mengubah perlakuan manusia dari baik kepada buruk.Sebuah kerajaan boleh runtuh dengan pembohongan yang diterima dan dipakaiguna.

28. Sesungguhnya yang benar dan hak akan menghapuskan kebohongan,kejahatan dan kebejatan dalam kehidupan manusia.Mereka yang beriman dan bertakwa akan berpegang pada yang hak dan benar.Mereka menolak segala yang bohong dan palsu.Mereka cintakan perpaduan,keamanan dan kesejehteraan.

29. Malaysia sangat berterima kasih kepada rakyatnya yang berpegang pada prinsip kebenaran.Mereka menerima dan mengiktiraf kebenaran sejarah dan faktanya.Mereka mengakui hak masing-masing.Mereka menolak segala kebohongan yang dicipta pengkhianat untuk memusnahkan keharmonian dan perpaduan semua bangsa.Mereka saling menghormati hak masing-masing seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

30.Rakyat yang cintakan kebenaran akan mencintai keamanan dan kehidupan dalam persafahaman dan kebersamaan yang telah bersama dipersetujui sejak sekian lama.Mengingkari hak masing-masing dengan membawa pembohongan serta menyebarkan kepalsuan akan mengundang huruhara.

Wallahu a'alam.

No comments:

Post a Comment