Thursday, January 25, 2018

TUN MAHATHIR :ANAK JANTAN TUA KETURUNAN KERALA

 Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usia lanjut 93 tahun masih sanggup bangun berjuang untuk membebaskan negaranya dari tangan penguasa kleptokrat yang dibahasakan olehnya.Beliau dengan lantang dan berani menyebut Dato' Seri Najib Perdana Menteri yang sedang berkuasa sekarang sebagai pencuri,penyamun dan perompak.

Keberanian Luar Biasa

Seorang bekas Perdana Menteri yang berkuasa selama 22 tahun;Tun Mahathir yang  menerajui UMNO / Barisan Nasional dulu,sekarang dengan tangkas bangun di celah-celah kebangkitan rakyat Malaysia.Beliau yang merasa keciwa dengan pentadbiran DS Najib sedang memimpin sebuah pakatan pembangkang untuk katanya menjatuhkan kerajaan UMNO/BN pimpinan DS Najib.

Bukan semata-mata kehendaknya untuk menentang kerajaan yang berkuasa sekarang.Beliau sebagaimana dakwaannya telah cuba berbagai cara dalam kapasitinya untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan Dato' Seri Najib sebagai seorang Perdana Menteri.DS Najib telah cuba dinasehatinya supaya mendengar kritikan dan pandangan rakyat.DS Najib sepatutnya menghormati nasehat Tun Mahathir sebagai orang tua.Kebetulan pula orang tua inilah yang telah berusaha keras untuk mengangkatnya menjadi Perdana Menteri sewaktu iddah Tun Abdullah Badawi masih lagi berbaki.

Nasehat di tolak.

Nasehat Tun Mahathir ditolak begitu sahaja oleh DS Najib.Itulah yangdiberitau oleh Tun Dr Mahathir di mana-mana.Tiada siapa yang menjadi saksi untuk membuktikan kebenaran kenyataan ini melainkan Tun Mahathir dan DS Najib sahaja yang boleh mengesahkannya.

Tun Mahathir juga telah memberitau bahawa terdapat banyak pehak termasuk dikalangan pemimpin dan penyokong UMNO sendiri yang telah datang berjumpa beliau supaya tolong berbuat sesuatu untuk menyelamatkan UMNO / BN berikutan daripada banyak tindakan yang dilakukan oleh DS Najib yang dipandang mereka perlu dihentikan atau perlu segera diperbetulkan.

Beberapa keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh DS Najib dipandang akan merosakkan imej UMNO dan sekaligus akan menghilangkan sokongan rakyat kepada sebuah parti yang menjadi teras utama kepada Barisan Nasional yang memerentah negara ini.

Demikianlah Tun Mahathir juga bimbang cara pentadbiran yang dilakukan  DS Najib bakal mengikis kepercayaan rakyat kepada UMNO dan akan merosakkan negara.Kegagalan DS Najib dalam PRU 13 memperbaiki rekod dan prestasi PRU 12 semasa Tun Abdullah berkuasa menimbulkan kekeciwaan bekas Perdana Menteri yang berpengalaman mencipta kejayaan-kejayaan besar dalam semua Pilihanraya umum yang pernah dikendalikannya  sebelum ini.

Keyakinan kepada "Cash is King".

Pendirian Tun Mahathir menolak penggunaan wang untuk membeli undi dan menarik penyokong bagi memilih  kerajaan menimbulkan perbezaan pendapat antara mereka berdua.Seperti yang dikatakan oleh Tun Mahathir dalam ceramah-ceramahnya pendekatan "Cash is King" yang dipakai oleh DS Najib adalah salah.Penggunaan wang untuk membeli undi adalah salah.Itu adalah rasuah.Cara yang seperti ini pada pandangan Tun Mahathir tidak akan berjaya untuk menambat hati rakyat dalam jangka masa panjang.Pendekatan ini akan menghabiskan banyak wang.Suapan wang akan terus meningkat dari masa ke masa.Orang akan sentiasa meminta lebih mengikut waktu dan masa.Maka pendekatan menggunakan suapan selain dari dilihat salah dan ia juga adalah berdosa.Itu pandangan yang diberikan Tun Mahathir.Sepanjang pentadbirannya sebagai Perdana Menteri beliau tidak mengambil pendekatan demikian.Itu adalah hujjah dan dakwaannya.

Tiada siapa yang tahu apakah itu sebenarnya yang terjadi sehingga hal itu dijadikan bahan kempen pilihanraya Tun Mahathir ke mana-mana pun beliau pergi dalam kembara ceramahnya diseluruh negara.

Membuat hutang .

Tun Mahathir pula memberikan lojik yang baik.Bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai wang peribadi yang banyak.Gajinya dan elaunnya semata-mata tidak mampu untuk diberikan kepada semua pengikut dan pengundi bagi memilih UMNO / BN dalam setiap kali pilihanraya diadakan.Bagaimana wang yang begitu banyak mampu dicari,dikumpulkan dan diagihkan kepada rakyat dan pengundi.

Maka kerana itu DS Najid dikatakan memperolehi  duit dengan cara membuat hutang.Wang dipinjamkan dari institusi kerajaan dan swasta dalam jumlah yang besar dan berkala.

Maka itu juga dikatakan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dibentuk dengan kaedah berhutang bagi tujuan mendapat dan membuat duit.Ini juga langkah untuk mengumpulkan sebanyak-banyak wang supaya boleh digunakan untuk mengekalkan kerajaan dalam pemerentahan.

Penentang-penentang DS Najib menuduh DS Najib menyalahgunakan wang negara untuk kepentingan diri sendiri serta kuncu-kuncu dan pengikutnya.Dalam bahasa yang lebih kasar Tun Mahathir serta pengikut-pengikutnya dalam pakatan pembangkang sekarang gemar membahasakan tindakan tersebut sebagai tindak penyangak,pencuri dan perompak.Tindakan pemimpin yang mencuri dan mengambil wang rakyat dan negara secara tidak sah seperti itu digelarkan dalam bahasa popular hari ini sebagai "kleptokrasi".Inilah suara pembangkang yang dibawa ke tengah-tengah masyarakat supaya rakyat membenci kerajaan.

Apakah tuduhan ini benar?.

IMDB dijadikan isu penting dalam gerakan pembangkang yang diketuai oleh Pakatan Harapan sekarang.Tun Mahathir yang mengetuai gerakan pembangkang sekarang telah,sedang dan akan meneruskan gerakan membuat "road show" ke seluruh negara untuk mengajak rakyat dan pengundi supaya menolak kerajaan UMNO / BN yang digelarkan kerajaan kleptokrasi itu.

Kerajaan UMNO / BN pimpinan DS Najib dikatakan rakus mengamalkan rasuah sehingga gagal untuk dibendung.Tindakan SPRM menangkap dan menahan pemimpin-pemimpin kerajaan semua peringkat berkaiatn rasuah bukanlah kecil bilangan pelaku dan jumlah wang yang terlibat.Semuanya menjadi bukti bahawa amalan rasuah di dalam kerajaan Malaysia sekarang sudah sangat parah.

Tindakan DOJ (Badan Kehakiman Amerika) menyiasat dan mengemukakan bukti serta tuduhan kepada 1MDB sebagai tindakan menyalahgunakan wang kerajaan adalah jelas.Tuduhan sivil keatas kes ini telah lama berjalan.Kebelakangan ini terdengar pula bahawa tuduhan tersebut dipindahkan pula kepada tuduhan jenayah.Proses ke arah itu sedang berjalan sekarang.Dikatakan mereka yang dituduh, lambat bangat akan dihadapkan ke muka pengadilan Amerika Syarikat.Ini kerana banyak wang berpunca dari 1MDB dikatakan dilabur dalam pelbagai projek di bumi Amerika Syarikat.

Apakah Isu 1MDB sebuah spekulasi.

Adakah semua tuduhan ini benar.Kalau hanya mahkamah sahaja yang boleh menentukan kebenarannya maka setakat ini semua kes berkaitan 1MBD belum diputuskan lagi oleh mana-mana mahkamah.Maka semua tuduhan itu hanya menjadi spekulasi.Ia masih belum dibenarkan.Setakat ini mereka yang dituduh masih belum boleh dikatakan salah selagi mahkamah belum memutuskan mereka itu bersalah.

 Mahkamah Malaysia menolak penglibatan DS Najib dengan penyelewengan wang 1MDB .Tuduhan itu tidak berasas serta tidak relevan.Peguam Negara yang baru dilantik mengatakan bahawa dakwaan yang dikemukakan untuk mensabitkan kesalahan DS Najib sebagai Perdana menteri berkaitan dengan 1MDB adalah tidak berasas.TS Mohd Apandi Ali Peguam Negara membebaskan DS Najib daripada sebarang salahgunakan kuasa berkaitan dengan 1MDB.

Pemimpin-pemimpin kerajaan UMNO /BN menuduhkan samada DOJ atau pembangkang sengaja mencari alasan untuk melemahkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.DS Najib sentiasa menafikan dengan sekeras-kerasnya beliau telah menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.Apakah penafian ini benar.Itu juga dipersoalkan oleh pehak pembangkang.

Sementara mahkamah Malaysia menolak tuduhan ini dikenakan kepada DS Najib;DOJ tetap meneruskan penyiasatan dan mengumpulkan bukti untuk mungkin satu hari kes ini akan dibawa untuk pendakwaan.

Usaha memburukkan imej kerajaan.

Pakatan Harapan sebagai sebuah pakatan pembangkang akan mendedahkan segala keburukan dan kekurangan kerajaan yang memerentah.Dalam mana-mana demokrasi sewaktu menghadapi pilihanraya tugas kerajaan adalah untuk menunjukkan kepada rakyat dan pengundi bahawa mereka telah menjalankan tugas mereka dengan sebaik-baiknya.Segala janji pilihanraya telah sepenuhnya dilaksanakan.Mereka mendakwa bahawa mereka adalah sebuah kerajaan paling bersih yang pernah wujud.Mereka menunjukkan segala kebaikan yang dilakukan sementara itu berusaha menutup semua keburukan dan kelemahan mereka.Mereka mendakwa tiada seumpamanya diseluruh muka bumi sebelum dan selepas mereka dilakukan oleh orang lain.Dialah yang terbaik.Dia mesti disokong.Dia mesti terus dipilih untuk meneruskan kemajuan rakyat dan negara.

Itulah cara dan kerajaan berkempen dimana-mana pun di atas muka bumi ini.Pembangkang pula bernati-matian mencari segala kekurangan kerajaan untuk menarik perhatian rakyat supaya menyokong mereka.Adalah menjadi tugas pembangkang untuk kadang-kadang memperbesarkan kesalahan kecil kerajaan dan memperkecilkan kebaikan besar yang dilakukan kerajaan.

Dengan yang demikian tindakan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) berkaitan 1MDB dkatakan suatu agenda negara asing untuk campurtangan urusan sebuah negara lain yang berdaulat dan merdeka.Ini yang dibawa oleh suara kerajaan untuk mempertahankan diri mereka.

Rakyat bertanggong jawab memilih.

Rakyat dan pengundi mesti menjadi rakyat yang bijak.Mereka mesti berpengetahuan dan berkeupayaan untuk menilai kerajaan dan pembangkang secara tepat.Mereka mesti memilih secara adil.Pengundi memilih bukan kerana prasangka atau dengan menggunakan emosi kemarahan.Rakyat yang berpengetahuan mesti melakukan perbandingan.Antara kekuatan kerajaan dan kelemahannya mana satu yang lebih banyak bahayanya  untuk mereka ditolak.Demikian juga apakah kekuatan pembangkang untuk mereka dipilih.

Rekod lama masa berkuasa bukan ukuran.

Parti Kongress India yang berjasa memerdekakan India telah ditumbangkan setelah sekian lama menguasai India.Parti Nasional Indonesia pimpinan Sukarno juga telah berkubur di Indonesia.Banyak contoh-contoh lain boleh diberikan .Maka tidaklah menjadi mustahil kalau UMNO /BN boleh berkubur sama di Malaysia setelah lebih 60 tahun memerentah negara ini.

Maka tempoh lama masa berkuasa bukan menjadi ukuran untuk sesebuah parti yang berjasa memerdekakan sesebuah negara untuk terus selama-lamanya berkuasa.Sesebuah kerajaan yang berkuasa seperti yang ditulis oleh Ibn Khaldum sejarawan Islam yang terkenal;akan mengalami tiga masa yang berturutan.Ia bermula dengan cemerlang dan terus mencapai kemuncaknya dipertengahan kekusaannya.Ia kemudian mendatar dan terus menjunam jatuh pada satu peringkat yang lain selepasnya.Punca kejatuhan adalah pelbagai.Ia berlandaskan kelemahan dari hilangnya tanggung jawab pihak berkuasa kepada rakyat.Timbulnya rasa benci rakyat kepada pemerentah.Ia berakhir samada dijatuhkan secara revolusi rakyat atau melalui pilihanraya seperti yang dilakukan di zaman moden ini.

Kebangkitan kepimpinan baru.

Sejarah kebangkitan mana-mana negara digerakkan oleh pemimpin yang mempunyai visi dan misi.Disertakan dengan keberanian dan semangat waja mereka bangun berdiri dan berada di depan menyuarakan keinginan dan hasrat menyala dengan lantang dan jelas.Mereka selalunya berjuang dengan semangat dan keyakinan tinggi.Mereka melawan arus dan bersedia berani menghadapi dan menanggung  risiko.Perjuangan yang berjaya oleh mana-mana pemimpin dunia adalah berlandaskan usaha mempertaruhkan harta dan nyawa untuk menjayakan matalamat perjuangan mereka.

Nabi Muhammad SAW memperjuangkan Islam ditengah-tengah kemusyrikan bangsa Arab jahilliah yang degil,angkuh dan sombong.Mereka kaum musyrikin yang berabad-abad diasuh oleh budaya nenek moyang dari dunia sesat telah menentang kedatangan Islam dengan harta dan nyawa juga.Dalam hal ini pula  kemenangan adalah ketentuan Allah.

Sesungguhnya kemenangan itu adalah milik Allah.Kemenangan dijanjikan Allah untuk diberikan kepada yang hak dan layak menerimanya.Setiap manusia berhak merancang untuk kepentingan mereka,tetapi Allah juga sedang merancang untuk menentukan kesudahannya.Sesungguhnya perancangan Allah akan melemah dan mengalahkan perancangan manusia yang jahil dan angkuh serta sombong.

Krisis politik dan pertentangan antara kerajaan dan penentangnya adalah fenomena biasa dalam kehidupan manusia berkerajaan.Sistem demokrasi membenarkan perbezaan pendapat dan menetapkan kaedah serta cara bagaimana pemimpin dipilih.Pilihanraya dijadikan kaedah bagaimana rakyat yang layak mengundi diberikan pilihan secara bebas untuk menentukan siapa pemimpin yang mereka sukai bagi mewakili mereka.

Pilihan dan keputusan.

DS Najib mesti ditolak.Itu kempen pembangkang.Itu kempen Pakatan Harapan.UMNO / BN mesti digantikan oleh Pakatan Harapan.Itulah yang diperjuangkan oleh gerakan pembangkang utama yang dipimpin oleh Tun Mahathir sekarang.Pembangkang bertambah kuat dengan sokongan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO terutama TS Muhyiddin Yassin yang telah disingkirkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri serta Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang juga disingkirkan dari jawatan Menteri Besar Kedah.

Di negeri bawah bayu Sabah,kebangkitan penentangan oleh Dato' Seri Shafie Afdal dengan Parti Warisannya menimbulkan suatu fenomena baru dalam politik Sabah.UMNO /BN di Sabah merasa tergugat  pula oleh kemunculan pembangkang baru ini.

UMNO / BN bekerja keras untuk mengekalkan status quo mereka.Mereka seperti biasa akan menggunakan segala apa cara yang ada termasuk kemudahan logistik,tenaga,pengalaman,wang dan harta untuk mempastikan mereka akan terus kekal berkuasa.Mengapa demikian.Ia tidak lain tidak bukan kerana kejayaan mengekal kuasa itu membolehkan mereka untuk kekal menikmati segala apa yang sedang mereka nikmati sekarang.Kegagalannya pula  membawa mala petaka kepada mereka.Itu sesuatu yang sangat kritikal.

Mereka yang ingin mengambil kuasa juga ingin mendapat bahagian dari kekuasaan itu.Pertarungan antara kedua kumpulan ini akan diadili oleh rakyat ramai untuk menentukan siapa yang lebih layak untuk diangkat menjadi pemimpin.

Islam menggariskan banyak syarat untuk memilih seseorang pemimpin.Kepimpinan Islam meletakkan pegangan agama seseorang pemimpin sebagai asas utama.Seorang pemimpin  yang baik untuk dicontohi ialah   Nabi Muhammad SAW.Ia terbaik sebagai seorang Imam dalam sembahyang.Ia memimpin umatnya untuk tunduk dan sujud kepada Allah yang maha pencipta.Ia mengajar umatnya akan tujuan hidup dan menyiapkan diri untuk kematian.Ia mengajar umatnya bahawa dunia ini adalah permainan dan perhiasan semata.Tujuan hidup yang lebih utama ialah untuk hidup bahagia selamanya selepas kematian.Ia mengajak umat untuk melakukan amal makruf dan meninggalkan segala kemungkaran.

Siapa sahaja yang lebih banyak memiliki ciri ini maka dia lebih dahulu perlu dipilih.Bukan setakat itu sahaja.Ia juga mestilah  seorang yang berilmu dan berkemahiran dalam kepimpinan dan pentadbiran.Ia cekap berkomunikasi dan merupakan seorang yang sangat berdedikasi.

Mengapa Mahathir ?

Mengapa pemimpin tua yang sudah berumur 93 tahun ini perlu kembali semula untuk aktif politik.Mengapakah beliau bersedia  menerima  cadangan Pakatan Harapan untuk menjadikannya  Perdana Menteri .Apakah masih belum cukup masa dan peluang berkuasa selama 22 tahun bagi Tun Mahathir mentadbir dengan membuat segala anjakan paradigma kepada rakyat dan negara ini.Dari Malaysia Boleh hingga Dasar Pandang Ketimur,Dasar Persyarikatan Malaysia,membina bangunan ikonik KLCC dan menara berkembarnya dan seterusnya legasi besar membina lapangan Terbang KLIA dan bandar pentadbiran Putrajaya masih dirasakan masih belum cukup puas bagi Tun Mahathir untuknya sekrang membuat "come back" dalam politik Malaysia.

Kejayaan Tun Mahathir membawa Malaysia ke era perindustrian untuk negara ini merupakan suatu kejayaan yang sukar dipadamkan oleh sesiapa pun.Kejayaan Tun Mahathir merealisasikan projek Proton kereta nasional sekian lama menjadi kebangaan rakyat Malaysia.Disebalik kerugian Proton yang dihebohkan oleh pentadbiran DS Najib ;rakyat masih tertanya-tanya apa sebab sebenarnya yang menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk menyerahkan proton kepada syarikat dari negeri China pula.

Mengapa pula Mahathir sangat tidak bersetuju dengan langkah kerajaan sekarang menjual kepentingan Poton kepada pehak lain itu.Tun Mahathir sering bertanya mengapa selama ini terutama semasa beliau  masih menjadi pengerusi Proton operasi Proton dibiarkan dapat diteruskan seperti biasa walaupun dikatakan ianya mengalami kerugian.

Mengapa pula Tun Mahathir begitu beria-ia menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam tahun 2016.Apakah benar penentangan Tun Mahathir terhadap DS Najib bermotifkan peribadi kerana mahu mengangkat anaknya Dato' Seri Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri.Apakah pula benar Tun Mahathir menyertai Pakatan Harapan juga hanya untuk memenuhi kepentingan peribadinya.

Semua soalan ini sangat sukar untuk dijawab dalam suasana politik perebutan kuasa dan perselisihan politik yang kronik seperti sekarang.Lebnih-lebih lagi dalam suasana berdepan dengan pilihanraya untuk memilih kerajaan seperti yang sedang terjadi sekarang.Maka rakyat mesti menerima hakikat bahawa kepentingan peribadi kepada mana-mana pemimpin politik dipihak kerajaan atau pembangkang tidak dapat langsong dikecualikan.Apa yang rakyat harapkan supaya kepentingan peribadi tidak membunuh tujuan pemimpin untuk membela rakyat.

Berdepan dengan situasi ini rakyat mesti bijak memilih diantara kaca dengan intan.Seperti beras dan pasir yang bercampur dalam sebuah bekas,rakyat yang bijak sahaja tahu bagaimana beras juga pada akhirnya yang akan dipilih untuk ditanak dan dimakan.Pasirnya wajib dibuang.

Bukan masanya lagi untuk Tun Mahathir.

Banyak juga orang berpendapat bahawa sekarang bukan lagi masanya untuk Tun Mahathir bermain politik.Sekarang masanya untuk beliau berehat bersama anak cucu serta menumpukan perhatian kepada membuat ibadat di saat-saat terakhir hidup sewaktu masih bernyawa.

Bukankah lebih senang,lebih selesa untuk Tun Mahathir berehat dan bergembira di sisi keluarga selepas bersaranya.Apa lagi yang diinginkannya dengan pendapatan lumayan selepas bersara.Beliau diangkat pula oleh kerajaan memegang beberapa jawatan penting dengan imbuhan yang lumayan juga.Dengan status dan prestij yang diterima dan dinikmatinya sebagai seorang Perdana Menteri yang bersara apa lagi yang diinginkan oleh beliau bila sudah menjangkau umur 93 tahun.

Inilah keistimewaan yang ada pada Tun Dr Mahathir.Banyak yang ditanya orang tentang matalamatnya dan banyak yang masih tersembunyi dalam perjuangannya.Disitulah terletaknya besi berani yang mampu menarik orang mendekatinya.Sebahagian orang merasa heran dengannya.Sebahagian merasa kagum dan tertus menyanjungnya.Itulah kekuatan yang tidak ada pada mana-mana pemimpin politik lain di Malaysia saat ini.

Keyakinan Tun Mahathir.

Bagi Tun Mahthir pengertian ibadat itu luas dan merangkumi seluruh kerja yang dilakukan oleh seorang Islam. Ibadat itu tidak hanya terhad kepada ibadat wajib sebagaimana yang diwajibkan dalam Rukun Islam yang lima serta serta iman yang enam.Adalah benar pula bahawa ibadat itu adalah segala kerja buat yang dilakukan oleh setiap orang Islam untuk kebaikan diri dan semua orang lain.Sesuatu itu menjadi ibadat apabila ia dilakukan kerana Allah dan perkara yang dilakukan tidak bertentangan dengan syariat Islam.Maka bukankah berjuang menyelamatkan ugama,bangsa dan negara seperti yang sekarang dilakukan Tun Mahathir itu adalah suatu tuntutan Islam.Kalau membuang duri ditengah jalan laluan pun masih dikira suatu sedekah,masih dikira satu ibadat,maka apalah tidak ibadat apa yangsekarang dilakukan olehTun Mahathir.

Demikianlah banyak pehak yang menyokong tindakan Mahathir sekarang berhujjah berkenaan tindakanya.Maka kerana itu tindakan Mahathir bukanlah kerja yang dilarang ugama.Malah menentang kemungkaran itu itu adalah suatu tuntutan agama.

Disebalik persoalan itu, apa  yang selalu difikirkan juga ialah benarkah yang berlaku sekarang di negara kita adalah suatu perbuatan yang dikatakan suatu kemungkaran.Apakah tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri sekarang  suatu kemungkaran yang dilarang oleh ugama.Ini menjadi perdebatan serta kekeliruan ramai sejauh yang disedari bahawa pehak berkuasa ugama misalnya Mufti-mufti tidak melibatkan diri dalam menyorot dan menyentuh isu-isu kyusus dalam perdebatan politik semasa.Tidak ada fatwa kyusus dikeluarkan berkenaan salahlaku kerajaan oleh pehak-pehak yang berkenaan.Kerana itu kaadaan pro dan kon tentang banyak perkara menjadi tuduhan dan kadang-kadang menjadi fitnah serta menjadi bahan polemik dalam masyarakat kita.

Apa kesudahannya nanti.

Apa akan berlaku kepada Tun Mahathir bekas Perdana Menteri dan seorang negarawan ulung yang disegani di Malaysia dan di dunia sekiranya beliau  kalah dalam pilihanraya umum ke 14 nanti.Apakah beliau hanya setakat kalah begitu sahaja.Atau beliau bukan sahaja kalah tetapi akan menerima nasib seperti sudah jatuh ditimpa tangga.

Apa pula akan terjadi kepada DS Najib sebagai Perdana Menteri yang sekarang sedang berkuasa.Apakah juga beliau bukan hanya setakat mendapat malu kalau kalah.Atau beliau juga seperti Tun Mathahir yang kalah menjadi seperti sudah jatuh di timpa tangga juga.

Ini sangat menarik untuk dilihat sebagai suatu akibat langsung daripada PRU 14 yang dinanti-nanti ini.Pehak pembangkang sentiasa menyebutkan bahawa sekiranya Putrajaya berjaya jatuh ke tangan Pakatan Harapan maka DS Najib akan dibawa ke mahkamah dan mungkin beliau akan dipenjarakan. Kesalahan dan penyelewengan yang sekarang lebat menjadi tuduhan akhirnya nanti mungkin terbukti di mahkamah

Demikian pula nasib malang akan menimpa Tun Mahathir apabila beliau kalah dalam PRU 14.Beliau bukan sahaja akan berdepan dengan pelbagai tuduhan.Kes Forex sehingga saat ini masih belum ada penyelesaiannya lagi.RCI Memali mungkin juga akan ditubuhkan.Tun Mahathir sekali lagi akan dihadapkan kepada badan penyiasatan untuk sekali lagi beliau dipersalahkan dan disabitkan serta dijatuhkan hukuman.Apakah dengan semua kes yang dibawa ke mahkamah  pada akhirnya dibuktikan bahawa beliau pada akhirnya didapati bersalah.

Lalu dengan sedihnya beliau akan di bawa untuk berehat dipenjara.Apakah juga di Penjara Sungai Buluh ditempat yang pernah menempatkan DS Anwar Ibrahim rakan seperjuangannya sekarang.Dan yang paling menyedihkan dalam umurnya yang selanjut itu beliau kemudiannya bukan sahaja tersiksa dipenjara tetapi akan menghabiskan riwayatnya dalam penjara.

Siapa pun tidak dapat membayangkan sekiranya ini nasib yang bakal menimpa seorang bekas Perdana Menteri yang demikian banyak menabur jasa untuk bangsa dan negaranya.Kita pasti ribuan rakyat akan menangisi dan meratapi seorang pejuang yang pada akhirnya menjadi seorang banduan.Tetapi sebagaimana kata Tun Mahathir beliau bersedia untuk segalanya.

Apakah itu kesudahannya nasib yang bakal ditanggung  oleh seorang anak jantan tua yang dikatakan berketurunan Kutty dari Kerala India itu.Layak dan sesuaikah beliau yang begitu banyak berjasa untuk dibalas dengan sebuah penyiksaan seperti yang pernah dicadangkan oleh seseorang yang sedang berkuasa sekarang.

Dengan keyakinan pada perjuangannya dan kesediaanya untuk menerima segala akibat kemungkinan dari perjuangannya kita percaya Tun Mahathir tidak akan menangisi nasibnya.Beliau bersedia pulang kepada penciptanya dengan puas.

DS Najib akan keluar negara?

Ada dikatakan bahawa DS Najib akan berangkat keluar negara sebelum beliau dipenjara.Seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa mempunyai banyak peluang untuk menyelamatkan diri dan keluarga.Ada juga orang berkata hubungan baiknya dengan China sekarang akan memudahkan dirinya untuk selamat ke negeri China.Kalau tidak beliau juga mungkin akan memilih Arab Saudi kerana hubungan baiknya dengan Raja Abdullah pemerintah dua Tanah Suci Mekah dan Madinah itu.Atau paling tidak hubungan baiknya dengan Teyyeb Erdogan membolehkan beliau berlindung di Turki.

Semuanya ini adalah spekulasi.Tidak ada siapa yang tahu apa akan terjadi enam bulan dari sekarang.Kita hanya boleh meneka dan menduga.Ketentuannya adalah ditangan Allah yang maha berkuasa.Barangkali seorang pejuang keturunan Bugis yang berani menempuh sekuat mana pun badai dan ombak sekali-kali tidak akan meninggalkan negara untuk menyelamatkan diri.Seperti Mahathir,maka DS Najib juga akan bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal datang.

Apapun halnya kita mesti berdoa supaya yang baik-baik sahaja akan terjadi kepada kedua-dua mereka.Kita berdoa supaya tidak ada sesiapa dari terutama mereka berdua yang akan menggunakan peluang menang dan berkuasa untuk membalas dendam.Rakyat terbanyak rasanya bencikan tindakan membalas dendam dari sesiapa pun yang menjadi pemenang selepas PRU 14 nanti.

Kerana semuanya ini maka PRU 14 sebenarnya menjadi ibu segala pilihanraya.Ia bukan sahaja sengit dan membara tetapi membakar dan kalau silap langkah ia akan membawa perkara-perkara yang tidak dijangka.

Semoga Allah menyelamatkan Malaysia negaraku tercinta.



No comments:

Post a Comment