Tuesday, September 3, 2019

TA'AWUN SIYASI : KE MANA AKAN DIBAWA

Sejarah baru akan tercipta dalam lanskap politik moden Malaysia pada 14 September 2019.Tarikh ini dinantikan oleh pemimpin politik pembangkang yang sekarang diterajui oleh UMNO / Barisan Nasional dan PAS.Pada 14 September 2019 Pusat Dagang Dunia Putera (PWTC) Kuala Lumpur akan menyaksikan suatu perhimpunan bersejarah akan berlaku di situ.Penyokong dan pemimpin kedua-dua parti tersebut akan datang membanjiri PWTC.Kenyataan dari parti menyebutkan bahawa seramai 50 ribu penyokong telah dijemput dan dijangka akan menghadirinya.

2. 14 September 2019 adalah hari di mana Perhimpunan Penyatuan Ummah akan diadakan di PWTC.Pada hari yang sama akan dimeteraikan Piagam Penyatuan Ummah membabitkan Ta'awun -Siyasi (Kerjasama-Politik ) diantara kedua parti politik pembangkang terbesar itu.

3. Ta'awun bermakna tolong menolong.UMNO / BN akan bekerjasama dan akan tolong menolong satu samalain dalam urusan politik.Tujuan bagi kerjasama ini tidak sukar untuk difahami oleh sesiapa pun yang memberi perhatian terhadap perkembangan politik Malaysia.Kedua-dua blok pembangkang ini nampaknya sedang menyusun persiapan awal untuk berdepan dengan PRU 15 .Paling lewat PRU tersebut akan berlangsung pada 2023 setelah cukup penggal.

4. Kerjasama PAS-BN bukan perkara baru.Ia jentera lama cuma diperbaharui dalam episod baru.Ia sekarang melalui proses penjenamaan semula.Ini biasa berlaku dalam perniagaan sesebuah syarikat yang berdaftar dengan kerajaan.Sebuah syarikat yang mengalami kerugian atau terikat dengan beberapa masalah selalunya dirombak atau dimatikan pendaftarannya.Ia dihidupkan dengan nama baru dengan lembaga pengarah yang samada mengekalkan yang lama atau digantikan dengan yang baru.,sebahagian atau semuanya.

5. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 menjadi titik penting dalam landskap politik Malaysia.Peristiwa ini adalah manifestasi dari perbalahan kaum yang menjadi panas sejak bermula kempen pilihanraya umum yang ketiga .Pilihanraya umum ketiga  berlangsung pada 10 Mei 1969.Semasa kempen pilihanraya parti-parti pembangkang terutama Democratic Action Party (DAP) dengan konsep perjuangan Malaysian Malaysia telah memanaskan suasana politik perkauman di negara ini.Kempen-kempen politik parti ini menuntut supaya rakyat bukan Melayu diberikan hak yang samarata dengan orang-orang Melayu. Akta 153 yang memperuntukkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia dicabar dalam kempen-kempen politik mereka.Ini dilakukan untuk menarik sokongan pengundi Cina serta rakyat bukan Melayu yang lain kepada DAP.

6. Keputusan PRU ketiga ini memberikan pukulan teruk kepada Parti Perikatan (Gabungan dari UMNO,MCA dan MIC).Perikatan hanya memperolehi 66 kerusi daripada 103 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.Ini bermakna 37 kerusi Parlimen berjaya dirampas oleh pembangkang.DAP adalah parti pembangkang Cina yang mencapai kejayaan tertinggi memperolehi 13 kerusi Parlimen meninggalkan PAS dibelakangnya dengan kelebihan satu kerusi apabila parti itu mendapat 12 kerusi.

7.Kemenangan 13 kerusi Parlimen oleh DAP dirayakan oleh penyokong-penyokong mereka tiga hari selepas pilihanraya.Mereka mengadakan perarakan serta melakukan tindakan-tindakan provokasi yang menimbulkan kemarahan orang Melayu.Ini menimbulkan tindak balas dari orang Melayu sehingga meletuslah tragedi berdarah 13 Mei 1969.Datuk Harun Idris dari Selangor menjadi wira memimpin Melayu.

8. Darurat terpaksa diistiharkan dan parlimen dibubarkan untuk membolehkan sebuah kerajaan sementara yang dinamakan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) dibentuk dan berkuasa melaksanakan pentadbiran di bawah perintah-perintah darurat.Tun Abdul Razak Husin dilantik menjadi Pengarah Mageran.

9. Selepas kaadaan dan ketenteraman negara dipulihkan timbul pula desakan pemimpin dan rakyat supaya Tunku Abdul Rahman melepaskan jawatan Perdana Menteri.Ini membawa kepada jawatan Perdana Menteri diambil oleh Tun Abdul Razak selepas Tunku melepaskan jawatannya.

10. Tun Razak seorang pemimpin dan ahli politik yang jauh memandang ke hadapan dalam perhitungan politiknya.Beliau berusha untuk memujuk PAS yang memenangi 12 kerusi Parlimen dalam PRU ketiga itu supaya duduk bersama berganding bahu dalam Perikatan.Langkah ini diambil untuk memperkukuhkan penguasaan Melayu Islam dalam Parlimen.Ia dilakukan dengan tujuan membentuk semak dan imbang (check and balance) dalam kerajaan setelah kehadiran  wakil-wakil bukan Melayu terutama melalui DAP dengan 13 kerusi parlimen sebagaimana yang dimaklumi.

11. Wujudnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam tahun 1974 yang turut menggabungkan PAS sebagai komponen baru dalam Perikatan yang sedia mempuyai UMNO,MCA dan MIC sesungguhnya memberi kekuatan baru kepada kuasa Melayu Islam dalam kerajaan Malaysia.Dengan 63 orang ahli parlimen Melayu memberikan  kekuatan suara Melayu dalam parlimen. Inilah masanya Tun Razak berjaya membawa kesentosaan dan kesejahteraan kepada negara. Isu-isu perkauman menjadi reda dan kemajuan negara dapat dipacu.

12. Apakah pembentukan BN dan kemasukan PAS ke dalamnya dalam tahun 1974 tidak boleh disifatkan sebagai Ta'awun Siyasi yang pertama.Kalau sekarang PAS kembali mengambil pendekatan untuk kembali berdamai dengan BN maka jelaslah ini adalah Ta'awun Siyasi yang kedua.Ianya bercantum kembali selepas 35 tahun ; setelah merentasi tiga dekad penuh dengan cabaran dalam perhubungan kedua parti tersebut dalam mengharungi politik Malaysia.

13.Jangan lupa untuk diingat bahawa ta'awun siyasi yang pertama itu tidak bertahan lama.Sejarah menunjukkan bahawa pada akhirnya PAS telah "ditendang" keluar dari Barisan Nasional.Istilah "tendang" ini sering diungkapkan oleh allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS beberapa ketika yang lalu.Kerana pengalaman perit PAS bersama BN maka selama lebih tiga dekad pengalaman itu menghantui perhubungan PAS-BN.Tuan Guru Nik Aziz sudah berkerat arang berpatah rotan dengan BN.Barangkali kalau beliau masih hidup Ta'awun Siyasi kedua ini tidak akan terjadi.

14. Kemana Ta'awun Siyasi ini akan dibawa.Ta'awun siyasi yang pertama dan kedua ini jauh berbeza.Bukan sahaja masa dan zaman berbeza tetapi pemimpin dan cabarannya juga jauh berbeza.Tiga dekad setengah yang dilalui oleh kedua-dua parti dalam laluan di atas landasan bersingan telah memberikan makna dan pengalaman yang tidak sedikit untuk memaknakan kembali perhubungan dan pakatan antara mereka berdua sekarang.

15. Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan huraian panjang dalam akbar Pas Harakah berkenaan dengan Ta'awun Siyasi.Beliau menggariskan latar dan keperluan mengadakan kerjasama untuk bersama "tolong menolong" antara UMNO / BN dengan PAS.Kewajaran untuk berbuat demikian dikutip dari Al Quran : ayat 2 surah Al Maidah.Surah ini menjelaskan berkenaan dengan larangan Allah daripada membenci sesuatu kaum yang meskipun mereka telah pernah menyusahkan kita.Sebaliknya kita diperintahkan Allah supaya bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.Ayat ini juga Allah melarang untuk tidak bekerjasama dalam melakukan dosa dan pencerobohan.Mereka yang melanggar perintah ini diingatkan Allah akan mendapat siksaan berat dari -Nya.Kerana perintah itu maka keputusan dicapai dalam beberapa mesyuarat pemimpin tertinggi PAS untuk mengambil langkah bekerjsama dan tolong menolong bersama Barisan Nasional.

16. Dalam sejarah perjuangannya, PAS bukan sahaja mengadakan pakatan politik untuk tolong menolong sesama Melayu dan Islam.Pernah PAS bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sewaktu Tuan Guru Nik Abdul Aziz memegang jawatan Mursyidul Am PAS.Banyak pemerhati politik melihat kerjasama PAS-DAP dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dallam pakatan sama sesuatu yang luar biasa memandangkan rekod perjuangan DAP sangat anti Islam dan sangat anti Melayu.Tetapi itulah yang berlaku kerana kononnya itu suatu strategi dalam politik.Sesetengah kalangan pemimpin PAS  berkata "when you cannot beat him joint him".Ini juga langkah yang diambil dalam melaksanakan apa yang dikatakan "Budaya Politik Matang Sejahtera" (BPMS) PAS.

17.Pakatan Rakyat yang menggabungkan PKR-DAP-PAS tidak bertahan lama walaupun ia memberikan beberapa kejayaan bersama melalui kerjasama dan tolong menolong itu.Ia tidak dapat bertahan lama kerana perbezaan ideoloji anutan parti-parti komponen yang berada di dalamnya.Bagai terdapat aginda-aginda yang tersembunyi dikalangan tiga parti yang bergabung.Mereka hanya tidur sebantal tetapi mimpinya lain-lain.Tidak mungkin itik dapat lama berkawan dengan angsa.Tidak mungkin kambing dapat berkawan lama dengan lembu atau kuda.Perbedaan budaya dan perbezaan matalamat perjuangan akhirnya menjadikan mereka tidak berpecah dan berpisah jua.Pakatan Rakyat hancur kerana dibakar oleh curiga mencurigai antara satu samalain.

18. Sebelum dari itu pun pada tahun 1987 PAS juga telah pernah bekerjasama dengan Parti Semangat 46 Pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dalam Pakatan Alternatif.Hasil dari gabungan ini PAS telah berjaya menawan Kelantan dalam PRU 1990 yang membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan tahun 1991 dan berkuasa sehingga 2012.Di bawah pentadbirannya slogan Membangun Bersama Islam dan Kepimpinan Ulama menjadi jenama besar yang di bawa ke tengah msyarakat untuk secara saikologinya mencari dan menawan hati dan mendapat sokongan rakyat.

19. Pakatan PAS serta ikatan kerjasama mereka dengan beberapa parti politik lain untuk memasuki Pilihanraya telah memberi impak kejayaan untuk setiap kalinya.Ini bukanlah tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin mereka.Kesedaran itu semakin membesar selepas PRU 14 terutama selepas menolak untuk berta'awun dengan Pakatan Harapan atau Barisan Nasional dalam PRU 14.Mereka yang membina pakatan dan kerjasama dalam pilihanraya tersebut ternyata mendapat kelebihan dengan mengaut keuntungan yang jauh lebih banyak dari PAS yang berjuang sendirian.Ini sangat disedari oleh pemimpin-pemimpin PAS.Itu juga mungkin menjadi kekesalan oleh mereka.Kalau tidak kerana kesilapan itu sudah ramai pula dari kalangan mereka yang sekarang sudah jadi menteri dalam kerajaan PH.

20. Sosok-sosok pemimpin PAS merasa cukup geram pula dengan kejayaan beberapa sosok bekas orang kanan PAS yang telah "menderhaka" dan keluar dari PAS untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).Kerjasama mereka membentuk Pakatan Harapan bersama Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin serta bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.Beberapa "penderhaka" bekas pemimpin PAS dari PAN telah dilantik pula menjadi menteri-menteri penting dalam kerajaan Pakatan Harapan.Hal ini memberi peringatan dan tauladan besar kepada sosok pemimpin PAS selepas PRU 14 untuk mencatur perkiraan dan perancangan baru.Menghadapi PRU 15 adalah sebuah agenda besar dan PAS tidak boleh salah lagi dalam mengatur strategi.Langkah mesti tepat,masa mesti betul.Kesilapan jangan berulang lagi.

21. Untuk menghadapi PRU 15 maka Ta'awun dirasakan terlalu perlu.Lidi yang sebatang tidak mungkin punya kekuatan untuk menumbang seekor gergasi yang berdiri gagah.Itulah analoginya.Sewaktu kerajaan Pakatan Harapan kelihatan semakin celaru dan terumbang ambing sekarang.inilah masa dan ketikanya yang sesuai untuk menyatukan tenaga pembangkang baru dalam menyusun langkah mencari kemenangan dalam PRU akan datang.Kerjasama dengan BN adalah kena pada orang,tempat  dan sesuai dengan masanya.Ini mesti dilakukan sekarang.

22. Sebelum ini kerjasama tidak boleh dilakukan. Dikatakan BN adalah sebuah parti dan  kerajaan yang kononnya banyak menekan dan mengeciwakan PAS.Dendam PAS kepada BN tidak dapat dimaafkan sebelum PRU 14.Ia bukan sahaja boleh dilupakan tetapi boleh dimaafkan sekarang .Ini terjadi selepas PRU 14.Politik itu adalah sebuah percaturan kuasa dengan segala kemungkinan.Benarlah begitu.Hari ini seseorang di dikira musuh esoknya tidak lagi.

23. Sejarah perhubungan PAS-UMNO sejak 1951 sewaktu parti itu mula ditubuhkan adalah pelbagai dan penuh dengan warna warninya.Bermulanya PAS adalah dari Biro Agama UMNO.Mereka berasal dari bakul yang sama.Pemimpin-pemimpin yang memperjuangkan Islam dalam UMNO keluar dari UMNO bagi menentukan matalamat perjuangan Islam mendapat tempat yang utama.PAS dibentuk dan dinamakan kemudiannya untuk membawa dan memperjuangkan Islam dalam politik Tanah Melayu .Tanah Melayu ketika itu masih lagi berada di bawah penjajah British.Pemimpin yang berjiwa Islam ini tidak selisa dengan pendekatan sekular yang dipegang oleh pemimpin-pemimpin UMNO  ketika itu.

24. Apakah sekarang UMNO /BN sudah tidak sekular lagi.Apakah sekarang orang UMNO tidak kafir lagi seperti suatu waktu lalu dimana mereka ditafsirkan dan dicop demikian oleh pemimpin dan penyokong PAS.Apakah Amanat Hadi di Kampong Peradong Terengganu yang menghalalkan darah orang UMNO tidak tidak terpakai lagi.Sudahkah sekarang UMNO sama rasa sama selera dengan PAS dalam meletakkan Quran dan hadith sebagai tunggak perjuangan bersama seia sekata.Untuk menjawab soalan ini mungkin mudah ya atau tidak.tetapi yang lebih penting untuk ditentukan ialah apakah kerjasama itu ikhlas atau dipenuh oleh muslihat.Apakah wujud kaadaan satu pihak mempergunakan satu pihak yang lain untuk hanya mencari kedudukan ,kuasa dan kemudian harta seperti yang banyak terjadi sebelum ini.Apakah kerjasama ini hanya sebuah kerjasama politik yang tidak diikat oleh semangat persaudaraan yang lebih utuh sebagaimana yang juga diperintahkan Allah dalam ayat 2 surah Al- Maidah yang disebutkan di atas itu.Apakah juga ta'awun ini turut dapat diikat oleh pengajaran Allah dalam surah al Maidah ayat 33 hingga 36 sebagaimana yang turut dibawa oeh Tuan Guru Haji Hadi dalam meluluskan kerjasama ini.

25. Walau apa pun, siapa yang ikhlas atau lebih ikhlasnya dalam ta'awun ini pastilah akan diberikan rahmat oleh Allah.Siapa yang berkhianat dalam perjanjian ia bukan sahaja boleh dimusuhi  semula tetapi boleh pula turut diperangi.Demikian huraian yang dibicarakan dalam Al Quran surah  Al-Taubah.Kita berharap pengalaman lama masih mampu memberi peringatan dan pengajaran.Perlu sangat diingat bahawa mana-mana pakatan atau kontrak kerjasama akan menemui banyak cabaran.Kesabaran untuk menghadapi dugaan yang datang akan memberikan kesudahan yang baik. Kalau kaadaan menjadi sebaliknya ia hanya akan membawa perpecahan dan kemusnahan yang tidak berkesudahan.Sejarah lalu perlu diingati supaya kita tidak memasuki lubang bahaya yang sama berkali-kali.

26. 14 September 2019 akan menjadi detik penting dalam sejarah moden Malaysia. Politik Malaysia nampaknya semakin matang tetapi cabaran untuk Malaysia juga semakin besar .Ianya pula semakin mencabar.Sejauh mana pakatan ini akan berjaya untuk meredakan krisis ketegangan kaum yang sekarang mula berasap dan  haba panasnya semakin membahang negara kita.Sejauh mana suara ta'awun dan semangat kerjasama dua parti pembangkang terbesar ini mampu membawa Malaysia kepada suasana aman dan harmoni yang mampu dikenang oleh negara ini.Apakah kerjasama tolong menolong ini akan menjadi satu kemenangan serta kejayaan bagi mewarnakan semula Malaysia Baru untuk menjadi lebih baru,lebih bermutu dan rakyatnya lebih bersatu padu.

27.Sekiranya ta'awun ini berjaya keluar dari kepompong perkauman dalaman ucapan dan dalam kempen perjuangannya ia mungkin dapat memberikan harapan baru kepada pembinaan sebuah negara bangsa Malaysia yang aman makmur dan berjaya.Kegagalan mencari dan mendapat formula baru yang diterima oleh semua kaum di negara majemuk ini dalam menguruskan negara,ianya akan tetap berada ditakok lama dan masalah yang sekian lama tertunggak akan tetap gagal untuk ditangani.

28.Rakyat menunggu sebuah kerajaan yang berani membuat keputusan besar untuk kepentingan negara.Rakyat menunggu sebuah kerajaan yang pemimpinnya jujur dan ikhlas untuk membina negara bukan mengumpul harta melalui kuasa yang diberikan rakyat kepada mereka.Rakyat inginkan sebuah kerajaan yang tegas membuat perubahan untuk sehingga berjaya  "memaksa" rakyat untuk menerima keputusan kerajaan dalam menentukan survival negara.

29. Ke arah mana ta'awun Siyasi ini akan dibawa.Sejauh mana dua pemandu BN dan PAS akan berjaya memandu jentera ini dalam membina kebaikan dan lebih penting menjayakan matalamt dan sampai ke destinasinya.Sejauh mana. Setakat mana.Berapa lama.Semuanya ini menjadi soalan yang akan ditanya oleh semua rakyat Malaysia yang dahagakan keamanan,keharmonian dan kemajuan untuk sebuah negara.

30. Soalan cepumas untuk senario baru ini adalah adakah ta'awun siyasi ini akan membawa kejayaan sehingga sebuah kerajaan baru pula akan menggantikan kerajaan Pakatan harapan. Di bawah semagat tolong menolong dan kerjasama ini gerakan penyatuan ummah nampaknya disusun diseluruh negara dengan membina dan menyebarkan beberapa slogan misal "Malu apa Bossku", "PH Pakatan hancing" dan berbagai lagi yang sekarang ini sedang dipropagandakan oleh pakatan baru ini.Kejayaan perhimpunan yang diadakan dengan crowd yang ramai dan semakin ramai untuk setiap majlis membayangkan suatu kebangkitan baru sedang bermula.

31. Kekeciwaan rakyat kerana dikatakan Kerajaan PH gagal menunaikan  janji pilihanraya diperbesarkan oleh pakatan pembangkang yang baru ini.Gema Allahu Akbar membelah suasana setiap majlis perhimpunan politik tajaan kedua-dua pembangkang baru yang mula bersatu ini.Suasana ini nampaknya serupa dengan suasana sepanjang kempen Pakatan Harapan dalam menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dulu.

32. Rakyat Malaysia inginkan nasib mereka dibela.Ianya mesti segera.Kalau boleh sekelip mata.Itulah nampaknya.Rakyat Malaysia kelihatan sangat tidak sabar untuk setiap janji pilihanraya ditunaikan seberapa segera.

33. Apa yang nampak dipandang dan terpampang di depan mata  ialah betapa permainan politik di Malaysia menjadi begitu di fokus dan diutamakan.Sementara kerajaan yang baru berkuasa berhempas pulas mempertahankan kuasa yang menjadi pembangkang pula berhempas pulas berusaha untuk meburukkan mereka dalam usaha untuk merampas kuasa dan mengambil tempat mereka.

34. Pertembungan politik dan perbalahan merebut kuasa antara kerajaan yang berkuasa dengan pembangkang yang keciwa membawa kepada meningkatnya suhu panas bumi Malaysia.Sementara pemimpin bercakaran rakyat pula berbalahan.Sementara pemimpin menghasut rakyat,perbalahan kaum semakin tenat,bilakah Malaysia akan menjadi selamat.

No comments:

Post a Comment