Monday, September 2, 2019

MALAYSIA : KE MANA SEJARAH AKAN MEMBAWANYA.

31 Ogos 2019 Malaysia meraikan kemerdekaannya yang ke 62.Telah 62 tahun negara ini mencapai kemerdekaan.Telah 62 tahun rantai penjajah berjaya dilepaskan.Rantai yang mengikat kaki dan tangan rakyat telah dibuang.Rantai yang mengekang hati dan perasaan rakyat telah berjaya diputuskan.Negara ini telah menjadi sebuah negera merdeka dan kemudiannya menjadi anggota pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu bersama dengan ratusan negara lain yang juga mencapai kebebasan dan kemerdekaan masing-masing.

2. Kemerdekaan Tanah Melayu ( sebelum Malaysia) bukanlah dicapai tanpa tumpah darah.Ada orang menulis dan mengatakan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan senang tanpa sebarang tumpah darah.Itu tidak sepenuhnya menjadi hakikat sejarah.

3.Tanah Melayu menempuh laluan sejarahnya dengan suka duka sakit dan luka yang masih meninggalkan parutnya sehingga kini.Tidak semua laluannya manis dan penuh ketawa gembira.Sejarahnya menunjukkan bahawa menjelang awal abad ke 20 gerakan anti penjajah telah mula berasap dan berkepul dalam jiwa pemimpin-pemimpin Melayu yang telah sedar akan kesan buruk berada di bawah penjajah pelbagai penjajah yang telah menjajah negara ini sejak 1511.

4. Sejarah penjajahan bangsa barat bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Melaka 1511.Melaka sahaja kemudiannya dijajah pula oleh Belanda dari 1641 sehingga 1824 yang digantikan pula oleh Inggeris yang menyerahkan Bangkahulu di Sumatera sebagai tukaran untuk Belanda kuasai.

5. Penjajahan yang lebih tersusun berlaku pada separuh akhir kurun ke 19 apabila Perjanjian Pangkor  tahun 1874 menyerahkan Perak untuk ditadbir oleh British dengan sistem residennya.Perluasan kuasa Inggeris kemudiannya merebak ke negeri-negeri Melayu yang lain di pantai barat.Demikianlah Selangor,Negeri sembilan telah dikuasai Inggeris.Negeri Pahang juga akhirnya turut jatuh ke tangan dikuasai Inggeris .

6.Perluasan kuasa itu tidak hanya terhad di negeri-negeri yang tersebut itu sahaja apabila kemudian semua negeri-negeri  lain di Tanah Melayu yang tidak berada di bawah sistem residen Birish pada akhirnya terpaksa menerima penasehat British melalui perjanjian-perjanian yang dibuat atas kepentingan bersama yang dipersetujui diantara penguasa-penguasa tempatan dengan pihak British.

7.Sejarah menunjukkan bahawa mulai dua dekad pertama kurun ke 20 menyaksikan semua negeri-negeri di Tanah Melayu telah dikuasai dan dipengaruhi oleh corak pentadbiran Inggeris.Sistem barat yang diperkenalkan Inggeris telah mulai dipakai menjadi sistem kehidupan harian masyarakat hingga kepada kaedah mengurus negara.

8. Lanskap kehidupan masyarakat telah bertukar kerana pengaruh ekonomi.sosial dan politik yang dibawa dan diterapkan oleh penjajah British.Pada akhirnya semua ini menimbulkan kecurigaan dan rasa tidak puashati pemimpin-pemimpin Tanah Melayu.Pada peringkat awal penguasaan penjajah di Perak sudah bangkit Dato' Maharaja Lela yang telah membunuh J.W.W Birch residen Bitish yang pertama di Perak .Ini contoh keberanian orang Melayu dalam mempertahankan tanah airnya.Beliau bersedia untuk memberikan nyawanya kerana cinta dan kasih sayangnya pada tanah tumpah darahnya.Dia bersedia untuk mati kerana mempertahankan budaya dan warisan bangsa dan agamanya.

9.Pendekatan yang seumpama ini kemudian diteladani pula oleh ramai  pemimpin-pemimpin Melayu yang lain.Lihat bagaimana Dol Said menggerakkan penentangan terhadap British di Naning ,Negeri Sembilan.Lihat pula kebangkitan haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu.Lihat juga kebangkitan Haji Hassan (Tok Janggut ) di Jeram,Pasir Puteh Kelantan.Semua penentangan ini menunjukkan keberanian orang Melayu dalam mempertahankan agama,watan,budaya dan warisan sejarahnya.Mereka bangun kerana tidak rela adat dan sistem kehidupan mereka dirombak dan dirompak untuk ditukar kepada satu sistem asing yang merosakkan kepentingan mereka seluruhnya.

10.Kebangkitan anti penjajah pada zaman permulaan ini selalunya tidak diiktiraf sebagai kebangkitan semangat kebangsaan (Nasionalisma) . Walau apa pun kebangkitan itu mempunayi makna dan natijahnya yang tersendiri dalam kontek ia membawa semangat dan jiwa kebencian terhadap penjajah yang datang menceroboh dan menduduki negara ini secara paksa dan tidak dikehendaki oleh pemilik tanah ini.

12. Perkembangan pendidikan telah mengubah senario kebangkitan dan penentangan terhadap penjajah.Dalam setengah kurun pertama abad ke 20 Tanah Melayu menyaksikan pertumbuhan parti-parti politik.Pemimpin-pemimpin Melayu yang berpendidikan agama menubuhkan gerakan anti penjajah bersandarkan kepada prinsip agama dan menentang penjajah kerana pendekatan sayangkan negara adalah sebahagian dari iman yang menjadi pegangan orang Islam.Golongan terpelajar Melayu yang mendapat pendidikan Inggeris menubukan gerakan politik dengan perjuangan yang lebih bersifat sekular .Walau apa pun mereka semuanya sudah memikirkan dan menyebut soal kemerdekaan.

13. Pada peringkat awal ini tidak ternampak peranan yang ditunjukkan oleh kaum Cina dan kaum India yang di bawa masuk oleh penjajah Inggeris ke Tanah Melayu.Kaum pendatang ini sejak mula dibawa masuk ke Tanah Melayu adalah sepenuhnya digunakan untuk menjadi buruh samada di lombong-lombong bijih timah atau di ladang-ladang getah.Mereka samada tidak langsong memikirkan hal-hal selain dari kerja seharian mereka atau yang lebih dari itu mereka menyifatkan negeri ini hanya tempat mereka menumpang sementara sebelum bila dapat kekayaan mereka akan kembali ke tanah air negara asal masing-masing.Perlu diingatkan bahawa orang India dan cina yang dibawa masuk oleh Bitish ini adalah asalnya terdiri dari mereka yang miskin serta terhimpit oleh beberapa tekanan hidup di negara masing-masing.Mereka berhijrah masuk ke negara ini untuk memperbaiki kehidupan mereka .British menjemput mereka masuk dengan diberikan layanan baik kerana mereka sangat memerlukan tenaga buruh bagi memacu ekonomi mereka.

14.Mereka sangat terhutang budi kepada kerajaan Inggeris yang memberi mereka peluang bekerja dan peluang menduduki tanah ini.Inggeris memberikan layanan baik kepada mereka dan sebagai balasannya mereka juga menumpahkan kasih sayang dan memberi penghormatan serta meuji kebaikan,kelebihan dan kehebatan orang-orang Inggeris.Kaum pendatang ini tidak kisah pun untuk memikirkan hal-hal selain dari untuk mengumpulkan duit dan kemudiannya untuk pulang ke negara asal masing-masing.

15. Kerana niat untuk pulang ke negara asal masing-masing selepas berada di negara ini ,maka kaum Cina dan India yang menjadi pendatang itu telah dari awal membuat persiapan diri untuk tujuan tersebut.Mereka tidak mahu melarutkan nilai budaya dan warisan asal nenenk moyang mereka dengan nilai-nilai hidup tempatan yang baru.Mereka bimbang kalau nilai asal mereka hilang mereka akan sukar untuk kembali masuk ke dalam negeri dan negara asal mereka nanti.Mereka kerana itu menubuhkan sekolah-sekolah dengan guru-guru  dan kurikulum dari negara asal masing-masing untuk kekal bertahan dengan warisan negara asal masing-masing.Lahirnya sekolah vernakluar di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka adalah di atas situasi dan faktor ini.Tiga bangsa besar yang semakin membiak di negara ini terpisah oleh perbezaan pendidikan,perbezaan budaya serta perbedaan capaian kehidupan diantara mereka.

16.Pendekatan pentadbiran British Divide and Rule (Pecah dan Perintah ) berjalan dengan perancangan samada secara licik juga tersusun dengan baik dengan matalamat yang telah dicatat kukuh dalam sejarah.Bahawa British tidak mahu ketiga-tiga bangsa itu melakukan komunikasi diantara mereka.Lebih jauh mereka tidak inginkan wujud kerjasama apa lagi pakatan yang mengukuhkan mereka dan ini merugikan British pada akhirnya.

17. Polarisasi kaum telah dirancang dan diperkukuhkan di bawah dasar pentadbiran British.Lagi luas jurang komunikasi diantara ketiga-tiga bangsa itu lagi baik untuk British.Lagi kuat rasa kebencian diantara ketiga-tiga kaum itu lagi baik untuk kepentingan British.British tidak pernah berniat untuk memberikan kemerdekaan kepada mana-mana tanah jajahan mereka.Ini termasuk Tanah Melayu yang kaya dengan hasil timah dan getah untuk mengembangkan industri perindustrian dan perdagangan British di seluruh dunia ketika itu.

18.Demikianlah Tanah Melayu melakarkan sejarahnya dengan menerima kedatangan Jepun dalam era Perang Dunia kedua.Tanah Melayu dijajah Jepun selama tiga tahun lapan bulan.Kesan pemerintahan Jepun meningkatkan semangat nasionalisma Melayu.Kebencian Jepun kepada bangsa Cina menyebabkan mereka memberikan layanan buruk kepada orang Cina di Tanah Melayu.Jepun telah menyerang negeri China sejak 1912 dan diulang lagi 1937 dimana orang Cina yang berada diseberang laut pun turut menerima tekanan Jepun.Ramai orang Cina di Tanah Melayu yang dibunuh oleh tentera Jepun berbanding orang Melayu.Semangat bencikan Jepun di Tanah melayu dikalangan orang Cina menjadikan mereka menubuh dan menganggotai sebuah pertubuhan anti Jepun iaitu MPAJA (Malayan People's Anti Japanese Army ).Keanggotaannya terdiri dari orang-orang Cina yang sangat bencikan pendudukan Jepun di Tanah Melayu.Mereka ini bersubahat dengan British untuk diajak kembali memerentah Tanah Melayu.Pada masa yang sama dengan kebencian orang Cina kepada Jepun ; kebencian yang sama turut ditujukan kepada orang Melayu yang lebih dimanjakan Jepun di zaman pemerentahannya di negara ini.

19. Sebelum British datang menduduki semula Tanah Melayu yang ditinggalkan Jepun t terdapat suatu lompong masa- kekosongan pentadbiran (time vacuum) di mana Tanah Melayu tidak mempunyai pemerentah.Inilah waktunya selama 14 hari kumpulan yang asalnya dari MPAJA mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu dengan berkuasa secara "reign of terror" (Pemerentahan dengan kekejaman).Banyak orang Melayu yang dibunuh oleh kumpulan Cina yang dikatakan sebagai tindakan membalas dendam setelah mereka ramai yang dizalimi oleh Jepun yang dizaman pendudukannya dikatakan pro Melayu.Kaadaan ini menimbulkan ketegangan hubungan Cina-Melayu dalam tempoh tersebut.

20. Kebangkitan nasionalisma di Tanah Melayu menjadi lebih panas apabila selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia kedua.Britis kembali menduduki Tanah Melayu selepas Jepun.Orang China dan India berpesta dengan kedatangan British.British adalah penyelamat mereka.

21. British datang semula menduduki Tanah Melayu dengan memperkenalkan  BMA (British Military Army) .Kekacauan yang tercetus di Tanah Melayu hasil pemerentahan golongan ektrimis dan teroris telah berjaya dipadam dan ditamatkan.Ini bukanlah bermakna bahawa kumpulan terroris ini telah hapus musnah ditangan BMA. Mereka kemudian bergerak sebagai gerakan bawah tanah.Dengan dipengaruhi oleh fahaman kominis mereka menjadi penentang tegar kepada pemerentahan British.Orang-orang Melayu sangat tidak bergembira dengan kaadaan ini sewaktu hampir keseluruhan kumpulan pengganas ini diikuti dan disokong oleh orang-orang Cina yang sangat ekstrim. Inilah permulaan kepada wujud dan bangkitnya Parti Kominis Malaya yang kemudiannya dipimpin oleh Chin Peng.

22. Apabila perlembagaan Malayan Union cuba dibentangkan untuk menjadi dasar pentadbiran British di Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun ia mendatangkan krisis baru dalam politik Tanah Melayu.Sewaktu orang-orang Melayu bangun dan bangkit menentang Malayan Union kaum-kaum laian seperti Cina dan India masiyh berada dalam selimut masing-masing.Mereka masing-masing tidak mau terlibat dengan gerakan menentang Malayan Union terutamanya kerana perkara-perkara penting yang terkandung dalam perlembagaan Malayan Union itu adalah banyak membela kepentingan mereka.Mereka dicadangkan untuk diberikan kerakyatan secara "Jus Soli ".Diberikan kerakyatan mudah dengan tempoh tinggal yang singkat di negara ini serta atas dasar dilahirkan di negara ini tanpa syarat-syarat tambahan yang lain.Orang Melayu menentang habis-habisan.

23. Sikap berkecuali serta mendiamkan diri orang Cina dan India daripada turut bangkit menentang Malayan Union telah menimbulkan kecurigaan orang Melayu terhadap siapa sebenarnya mereka itu.Ini juga melatari keresahan  dan kebimbangan orang Melayu terhadap kecintaaan dan kasih sayang mereka itu.Apakah mereka cintakan Tanah Melayu atau masing-masing  taat setia kepada tanah air mereka kekal dan kukuh terpacak di situ.

24. Malayan Union digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.Nama Tanah Melayu disebut jelas di situ.Ini menggambarkan perlembagaan ini melayan kehendak orang Melayu.Apakah ini mengembirakan dua kaum yang lain itu.Apa pun perlembagaan itu diterima dan dilaksanakan untuk membina sejarah Malaysia dari 1948 sehingga Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

25. Tempoh 1948 sehingga 1957 adalah tahun-tahun yang dipenuhi dengan suka duka dalam sejarah Tanah Melayu.Selama 12 tahun (1948-1960) Tanah Melayu berdepan dengan  ancaman kominis.Gerakan kominis mendapat sokongan dari masyarakat Cina kerana keanggotaan pertubuhan ini adalah terdiri dariorang-orang Cina.Orang Melayu bencikan kominis kerana fahaman mereka yang menolak kepercayaan kepada Tuhan yang bertentangan dengan syariat dan pegangan Islam.Isu ini pun menimbulkan ketegangan antara orang Cina dan Melayu.

26. Darurat diistiharkan dan pentadbiran British di Tanah Melayu menerima banyak tekanan dan timbul banyak masalah.Ancaman kominis hanya secara resmi ditamatkan dalam tahun 1991 setelah 34 tahun Tanah Melayu menghirup udara merdeka.Apakah sebenarnya gerakan ini telah berakhir apabila masih kelihatan benihnyamulai bercambah dan ternampak segar diakhir-akhir ini.Fahaman kominis secara jelas tidak terlihat kerana ia dibalut oleh bungkusan demokrasi yang cantik dan menyilau.Perlakuan sesetengah kumpulan pelampau ini menampakkan ajaran kominis mula dipegang.

27. Kemerdekaan Malaysia (Tanah Melayu asalnya) diraikan lagi untuk kalinya yang ke 62 pada 31 Ogos 2019.Secara kebetulan pula ia diraikan bersama dasar "Malaysia Baru" di bawah kerajaan   Pakatan Harapan yang menang Pilihanraya Umum ke 14 pada 9 Mei 2018.Ini adalah keraian tahun  yang kedua oleh Kerajaan Pakatan Harapan.Apa yang istimewanya ialah bulan Ogos tahun ini diwarnai ( tak elok untuk disebut telah dikotori) oleh pelbagai krisis dalam negara.Ia terjadi secara kebetulan kalau sebenarnya ia tidak dirancang.

28. Thema krisis ini adalah perpaduan kaum.Sepanjang bulan Ogos ini beberapa peristiwa yang melibatkan penyatuan kaum dan perpecahan kaum telah nyata timbul dan wujud.PAS / Pakatan Sejahtera dan UMNO / Barisan Nasional sebagai dua buah ppakatan parti poltik pembangkang telah mengambil keputusan untuk berpadu dan berpakat dalam pendekatatan "Ta'awun Siyasi " (Kerjasama Politik).Perbincangan bertali arus sejak sebelum ogos dan nampaknya diperkukuhkan dalam bulan menyambut kemerdekaan ini.Pertemuan berkala disusun dan dirancang yang menemukan pemimpn-pemimpin tertinggi kedua dua pakatan politik ini.Piagam Penyatuan Ummah katanya dirangka dalam membina kerangka pakatan politik mereka.Satu perhimpunan besar yang dijangka akan mengumpulkan 50 ribu pengikut dan penyokong akan berlabuh di Pusat Dagangan Dunia Putera pada 14 September 2019.Majlis yang dipacakkan dengan nama Majlis Penyatuan Ummah itu akan turut menyaksikan majlis pemeteraian  Piaga Penyatuan Ummah.Piagam ini djadikan wadah dan SOP dalam melaksanakan kerja-kerja bersama PAS-BN terutama untuk berdepan dengan PRU ke  15.

29. Apa yang lebih menarik tetapi juga mengejutkan ialah apabila parti komponen dalam kerajaan Pakatan Harapan iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang rata-rata penyokongnya adalah dari kalangan kaum Cina mengeluarkan suatu kenyataan yang menyakitkan sesetengah pihak.YB Lim Guan Eng Setiausaha Agong DAP merangkap Menteri Kewangan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa "Ta'awun Siyasi" adalah satu isyarat perang kepada orang-orang bukan Melayu.Apakah ini suatu kenyataan rasis ?. Apa pun setidak-tidaknya kenyataan ini adalah suatu kata-kata yang telah memanaskan suasana perkauman di Malaysia.

30.Ia ditambah pula dengan kenyataan seorang Jutawan Cina yang mencipta kejayaan dan keuntungannya di tanah yang dihuni oleh pelbagai kaum ini.Koon Yew Yin dengan spontan berkata tentera kita hanya makan tidur dan lebih baik mereka turun ke ladang untuk membuat kerja buruh.Bukankah Yew Yin tahu bahawa sebahagian besar tentera adalah Melayu.Tidakkah ini bagai suatu kenyataan untuk menguji pasaran (test market).Berani dan celupar sungguh dia berkata demikian.Suasana perkauman di bumi ini bertambah panas.

31. Ogos menjadi semakin panas apabila isu tulisan Khat Jawi bakal diperkenalkan di darjah empat sekolah-sekolah vernakular menjelang 2020.Dong Zong Persatuan Guru-guru Sekolah Cina bangkit memimpin gerakan bersama pemimpin India untuk menentangnya.Dong Zong bukan baru dalam sejarah penentangannya kepada semua dasar-dasar pendidikan dalam menyatukan kaum di Malaysia.Sejak tahun 1950 mereka tidak pernah bersetuju dengan sebarang dasar yang dibentuk untuk menyatukan kaum melalui pendekatan yang berjiwa Melayu.Dong Zong sangat inginkan kalau sistem pendidikan di negara ini bersifat kecinaan sepenuhnya.
Sekali lagi kerajaan yang baru berusia tak sampai dua tahun dengan dasar Malaysia Baharu"nya gagal melaksankan dasar yang berjiwa Melayu di Tanah Melayu ini.Dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh Dong Zon hingga memaksa kerajaan menerimanya nampaknya jelas bahawa seni khat jawi akan dikuburkan hidup-hidup!.

32. Tak cukup dengan itu, pendakwah Islam bidang perbandingan agama dari India yang diberikan taraf "permanent resident" (PR) di negara ini; tiba-tiba pada 9 Ogos berucap dengan mengeluarkan kenyataan yang ditafsirkan oleh masyarakat Cina dan India Malaysia sebagai mencabar dan menghina mereka.Polemik terjadi dan ketegangan kaum membengkak dalam masyarakat apabila orang Melayu Islam menyokong Dr Zakir Naik sementara beberapa pemimpin kerajaan dari orang Cina dan India mendesak kerajaan menghantar balik pendakwah itu ke India.Semua orang tahu bahawa apabila sahaja Dr Zakir berpijak semula di bumi India dia akan segera menjadi arwah dan namanya sahaja lagi yang akan tinggal dan dapat disebut.Apabila Perdana Menteri Tun Mahathir terpaksa mengambil keputusan untuk mempertahankan Dr Zakir adakah suhu krisis menjadi reda?,Sejarah sedang menyukat dan menilai dan mengukur kemana semuanya ini akan berjalan dan pada titik mana pula ianya bakal berhenti.

33. Esok matahari akan bersinar lagi dan hari baru masih berkuak  untuk Malaysia.Pintu dan jendelanya masih terbuka.Demokrasi masih berjalan dengan kebebasan barat yang tetap menduga dan menguji ketahanan dan kesanggupan setiap rakyat untuk berdiri dan menghirup udara atas nama hak dan keadilan yang difahami dan diperjuangkan.

34.Sejarah Malaysia akan terus berjalan.Tetapi ingatkah kita bahawa " history repeat itself" dan "no nation will survive without history".Kita setiap rakyat dari segala bangsa mesti mendasari segala perbuatan kita pada sejarah.Mereka yang melupakan sejarah akan dihukum oleh sejarah.Kalau ini kita lupakan maka sejarah akan membawa Malaysia kepada kemusnahan dan kehancuran kerana rakyat tidak memilih keamanan dan kebahagiaan untuk dikongsi bersama secara adil.

No comments:

Post a Comment