Kamus Dewan memberikan makna tua sebagai sudah lama hidup, sudah lanjut usia dan juga sudah berumur.Selalunya umur 60 tahun adalah dikira sebagai garis yang memisah antara orang tua dan orang dewasa.
Orang tua juga dirujuk kepada orang yang telah lanjut usianya.Ia mungkin sedang menjadi seorang ayah,ibu bapa, datuk atau nenek kepada seseorang dalam lingkungan kehidupannya.
Orang-orang tua mungkin pula berada dalam lingkungan kehidupan masing-masing serta dipanggil masyarakat dengan pelbagai nama berdasarkan tingkahlaku dan perbuatan masing-masing.Ada panggilan tua bangka atau tua bengkok bagi menggambarkan seorang yang sangat tua tetapi membawa perangai yang buruk.
Ada panggilan tua cendawan bagi menggambarkan orang berumur tetapi bodoh serta tidak bijak.Tua gayut pula diertikan kepada orang tua yang sangat tua.Sementara panggilan tua kejemur adalah ditujukan kepada orang yang sudah tua tetapi bodoh serta ditambah pula dengan berperangai dan berakhlak buruk.
Ada pula golongan orang tua yang dipanggil tua keladi iaitu ditujukan kepada orang yang sudah tua tetapi tidak sedarkan diri dengan berperangai buruk serta gilakan perempuan (terutama yang muda dan cantik).
Berat lagi bunyinya untuk panggilan tua kutuk atau tua lara iaitu orang tua yang buruk perangainya.
Sementara itu ada pula beberapa jenis panggilan kepada orang tua-tua kerana berada pada sesuatu kondisi atau fasa kehidupan yang tertentu.Ada orang tua yang dipanggil sebagai tua leler,tua rontok dan tua renta.Semua istilah ini ditujukan kepada segolongan orang tua yang sudah sangat tua serta sangat lemah kaadaan fizikalnya.Tua nipah dikaitkan dengan orang tua yang bukan sahaja tua tetapi bodoh.
Tua nyanyuk adalah panggilan yang diberikan kepada orang yang sudah tua dengan kaadaan hilang ingatan.Kaadaannya sentiasa bercakap perkara yang bukan-bukan.Semua itu di luar daripada kawalan dan kesedarannya.
Ada pula orang tua yang sangat lemah otaknya kerana sangat tua umurnya dan mereka ini dipanggil tua teberau.
Tua tebu adalah panggilan kepada orang tua yang semakin tua umurnya ia semakin bijak dan semakin cerdas.Kumpulan ini mungkin tidak ramai jumlahnya dalam masyarakat.
Dari segi kejadiannya manusia adalah ciptaan Allah.Semua manusia adalah berasal dari Adam dan Hawa.Asalnya Adam itu dijadikan Allah dari tanah.Tanah itu dibentuk dan ditiupkan roh oleh Allah yang maha pencipta.Hawa pula dijadikan dari tulang rusuk kiri Adam.Demikianlah huraian yang terdapat dalam kitab suci Al Quran.
Dari keturunan Adam dan Hawalah manusia yang wujud di atas muka bumi sehingga ke hari ini sampai kiamat.Kejadian mereka pula berasal dari air mani.Proses kejadian ini ditentukan oleh Allah yang maha Agong dan Maha Pencipta.
Manusia adalah merupakan makhluk Allah yang diciptakan dengan rupa dan bentuk yang paling cantik serta paling sempurna jika dibandingkan dengan semua jenis makhluk bernyawa yang lain ciptaanNya.Mengapa kedudukan dan darjat manusia adalah lebih tinggi dari yang lain itu.Manusia dikurniakan aqal .Ini membolehkan mereka berfikir dan membuat keputusan.Ia tidak sama dengan segala jenis haiwan yang meskipun besar dan kuat tetapi meskipun diberikan otak tetapi tidak beraqal dan tidak boleh berfikir sebagaimana keupayaan manusia.
Itulah istimewanya kejadian manusia.Kerana keistimewaan itu manusia dilantik oleh Allah sebagai Khalifah di bumi.Ia diberi tugas untuk memimpin dan mentadbirkan alam disekelilingnya dengan petunjuk dan panduan dari Allah.
Setiap manusia yang dilahirkan sudah pun membuat perjanjian patuh dan setia dengan Allah sejak di alam malakut .Setiap manusia sebelum kejadiannya dan sebelum di lahirkan ke alam dunia mereka telah berikrar dan bersumpah untuk tunduk dan patuh kepada Allah penciptaNya.
Sayangnya setelah manusia dilahirkan dan menjadi manusia yang besar panjang serta beraqal;mereka menjadi manusia yang tidak bersyukur.Mereka menentang Allah.Mereka mendehakai Allah kerana ajakan syaitan terkutuk.
Syaitan dan Iblis adalah sejenis makhluk ciptaan Allah yang berasal dari Syurga tetapi telah dihalau oleh Allah dengan segala kemurkaanNya berikutan dari kesombongan melampau yang ditunjukkan oleh mereka dengan menentang perintah Allah.Mereka enggan tunduk kepada Adam sebagaimana yang dilakukan oleh semua para Malaikat.
Syaitan menentang Tuhan dan tempat mereka adalah neraka.Mereka berikrar di depan Allah untuk menyesatkan seluruh keturunan Adam.Mereka berikrar untuk memesong akidah sebanyak mungkin manusia di atas muka bumi ini supaya bersama-sama dengan mereka di neraka nanti.Allah mengizinkan mereka berbuat demikian.
Allah menjelaskan dalam Al Quran bahawa manusia hanya akan selamat dari gangguan syaitan sekiranya mereka berpegang teguh kepada tali Allah.Sekiranya manusia taat kepada Allah Rasulullah maka mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.
Manusia kejadian Allah ini digambarkan olenNya dalam Al Quran dengan pelbagai sifat.Allah berkata bahawa manusia dijadikan dengan segala kelemahan.Kerana itu tidak boleh tidak manusia itu mesti bergantung kepada Tuhan untuk pertolongan menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupannya.
Manusia sering disebut Allah dalam Al Quran sebagai satu makhluk yang bodoh lagi sombong.Ini berikutan dari perangai buruk manusia yang mengingkari serta sangat gemar melanggar perintah Allah.Demikianlah perangai kebanyak manusia.
Manusia dijadikan Allah bukan dengan sia-sia.Ia ditegaskan Allah supaya manusia dan Malaikat ciptaanNya menjadi "abdi"kepadaNya.Ia bukan seperti maksud hamba sahaya dalam masyarakat manusia.Mengabdi diri kepada dalam kaadaan penuk kerelaan dan kebebasan melaku dan membuatnya.Tidak ada paksaan dalam pengabdian diri kepada Allah.Mereka yang beraqal akan mengenal diri dan akan patuh kepada perintah Allah.
Manusia dicipta Allah dalam beberapa peringkat. Dari mani kepada terbentuknya menjadi segumpal darah lalu dibentuk tulang dan daging oleh Nya.Allah berkuasa menjadikan jasad yang dibentuk itu menjadi lelaki dan perempuan kulitnya putih atau hitam.Semua kejadian sejak di alam rahim ibu sehingga ditiupkan roh dilahir dan dibesarkan semuanya mengikut kehendak dan ketentuan Allah.
Allahlah yang berkuasa menghidup dan mematikan setiap manusia dan segala makhluk kejadian ciptaanNya.Mereka yang mennginsafi kejadiannya akan menjadi manusia yang insaf,takut dan bersyukur kepada Allah.
Di alam dunia manusia digambarkan akan melalui tiga masa ia itu masa lemah kemudian menjadi kuat dan pada akhirnya menjadi lemah kembali.Itulah proses dari masa mulai menjadi bayi-kemudian kanak-kanak dan pada akhirnya bergerak menjadi dewasa dan memasuki alam tua.
Alam tua digambarkan Allah sebagai suatu alam akhir kehidupan di mana manusia dari segi kejadiannya kembali kepada lemah.Ini membawa kepada keperluannya untuk bergantung kepada perhatian dan pertolongan orang lain disekelilingnya.
Memasuki umur dewasa membawa manusia mencapai puncak kematangannya.Usia 40 tahun adalah sering dikira sebagai titik kematangan individu manusia.Manusia yang masih belum matang pada umur itu,pada usia itu maka sukar baginya untuk mencapai kematangan lagi selepasnya.
Manusia yang masih jahat pada usia 40 dan masih belum insaf-insaf untuk berfikir soal taubat pada saat mencapai usia itu maka dikatakan sukar baginya untuk berbuat demikian selepas itu.
Manusia dijadikan Allah adalah untuk beribadat kepadaNya.Namun ada manusia yang taat kepada perintah Allah dan ada yang tidak.Ada manusia yang meskipun telah mencapai umur tetapi masih tidak solat dan masih menjadi lagha dan tidak melaksanakan ibadat kepada Allah.
Manusia diberikan peluang hidup didunia dengan melalui pe;bagai ujian.Semua ujian itu adalah sebagai cara Allah menguji sejauh mana hamba-hambanya tetap taat dan mensyukuri penciptanya.Allah menjanjikan bagi sesiapa yang mensyukuri perintahnya dan berterima kasuh kepadaNya maka Allah menjanjikan kenikmatan yang berganda yang akan diberikan Allah,Namun sekiranya manusia itu engkar maka balasan Allah adalah sangat menyiksakan.
Orang Islam diharapkan semakin tua, mereka akan menjadi semakin matang.Selepas berumur 40 tahun diharapkan mereka sudah benar-benar memahami erti kejadian diri masing-masingMereka sepatutnya sudah tahu tujuan hidup.Mereka seharusnya sudah memahami syurga nerakaMereka seharusnya sudah tidak meninggalkan solat.
Selepas berumur 40 tahun orang Islam diharapkan sudah memikirkan soal mati,soal pahala dosa dan soal syurga neraka.Mereka yang kalau sudah lanjut usia tetapi masih tidak ingatkan mati sesungguhnya berada dalam kaadaan sesat.Mereka sepatutnya didekati untuk diselamatkan.
Laporan dan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan negara ini sekarang mempunyai 7% penduduknya yang terdiri dari warga tua.Ini bermakna bilangan warga tua yang telah mencapai umur 65 tahun di Malaysia adalah begitu ramai.
Malaysia sekarang mempunyai penduduk seramai 32.6 juta.Ini bermakna 2.3 juta penduduknya adalah terdiri dari mereka yang berada pada umur 65 tahun ke atas.Di manakah mereka ini berada?
Kita belum menerima satu perangkaan yang jelas berkenaan dengan kalangan mereka ini secara terperinci.Daripada jumlah 2.3 juta itu bagaimana kalsifikasinya dari sudut jantina ,bangsa dan agama.Kajian perlu dibuat untuk menentukan mereka.
Golongan tua ini tentunya mempunyai latarbelakang berbeda diantara satu samalain.Latarbelakang kerja,sosial dan ekonomi tentunya berbeda-beda.Demikan latarbelakang pendidikan dan lain-lainnya.Menentukan latarbelakang ini penting bagi kerajaan dan pihak berkuasa dalam usaha mereka untuk memberi kebajikan kepada golongan ini.
Apakah sejauh ini kajian ini semua telah dilakukan oleh kerajaan kita.
Apakah juga sejauh ini kerajaan kita telah memberikan perhatian yang mencukupi kepada golongan ini dalam menjaga kebajikan dan melayan kepentingan mereka.
Dengan bertambahnya penduduk Malaysia maka bilangan warga tua juga besar kemungkinan akan turut bertambah.Kemajuan dan pencapaian teknologi moden dalam bidang perubatan dan kesihatan telah berjaya memanjangkan jangka hayat manusia di Malaysia.
Bayangkan dalam tahun 2010 rakyat Malaysia yang berumur 65 tahun ke atas hanya berjumlah 5%.Peningkatan 2% dalam tempoh sepuluh tahun tidaklah begitu mendadak tetapi pertambahan itu cukup untuk memberikan peringatan bahawa sesuatu persediaan dan perancangan pewrlu disusun untuk menghadapi ketibaan jumlahnya yang ramai pada satu ketika nanti.
Definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menamakan mana-mana negara dunia yang warga tuanya mencapai 15% daripada keseluruhan penduduknya maka negara itu telah mencapai status "Negara Tua".
Berdasarkan definisi PBB itu maka di dunia sekarang ini sudah terdapat sekurang-kurangnya lima belas negara yang sudah layak dipanggil negara tua itu.Ianya adalah HongKong,Taiwan,Jepun,Russia,Denmark,Finland,Norway,Sweden,United Kingdom,Italy,Perancis,Jerman,Belanda,Switzerland dan New Zealand.
Bagaimanakah negara-negara ini menyediakan pelan dan SOP dalam menjaga dan mengurus kebajikan warga tua mereka.Mereka yang telah lama berpengalaman dalam urusan ini perlu dihubungi dan penegtahuan serta pengalaman mereka perlu dituai untuk disemai dan ditanam di negara kita.
Kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang kian mencukupi untuk kebajikan golongan ini.Kalau golongan OKU (Orang Kurang Upaya / Cacat ) diberikan perhatian demikian pula mereka.Dari banyak sudut mereka warga tua ini juga mungkin berada dalam katagori OKU.
Warga tua perlu berada dalam alam persekitaran yang lebih kondusif dan sesuai untuk mereka.Mereka selisa berada dikalangan sesama mereka.
Apakah alam persekitaran kita di Malaysia sudah cukup mesra untuk warga tua.Tidak semua tempat di bandar-bandar kita terdapatnya laluan pejalan kaki yang sesuai untuk warga tua.Laluan melintas untuk warga tua perlu disediakan dengan lorong khas .Pertukaran lampu hijau kepada lampu merah adalah terlalu pantas untuk warga tua mampu melintas dalam suasana yang ada sekarang.
Laluan pejalan kaki di kaki lima yang ada pula sudah berlubang dan pecah-pecah tidak dibaiki.Ia berkaadaan licin tidak rata dan tidak selesa untuk digunakan warga tua.Mereka terdedah kepada terjatuh dan rebah.Golongan ini mudah tercedera dan kecederaan akan mengambil masa lama untuk pulih dan sembuh.
Kemudahan-kemudahan lain seperti di jabatan-jabatan kerajaan perlu dipertingkatkan untuk meudahan warga tua.Hospital dan klinik perlu mengasingkan layanan kepada warga tua dibandingkan dengan warga muda dan lainnya.Mereka mesti diberikan layanan yang lebih cepat.Tidak munasabah untuk mereka yang letih,daif dan sakit untuk menunggu berbaris meskipun duduk dikerusi untuk satu waktu yang panjang sebelum nama dipanggil berjumpa doktor.Sekarang ini adalah perkara biasa warga tua terpaksa menunggu dua atau tiga jam di klinik atau hospital apabila datang untuk mendapat rawatan
Demikian juga jabatan-jabatan kerajaan yang lain perlu menyediakan layanan pantas dan cepat kepada golongan ini.Ini hanya soal menyediakan ruang dan peraturan yang baru dalam memberikan layanan yang lebih baik kepada warga tua ini.
Malaysia perlu bersedia dari sekarang dengan pelbagai tindakan sesuai supaya persekitaran kita lebih kondusif untuk melayan dan menjaga kebajikan warga tua.Setiap kita akan sampai kepada umur tua.Oleh itu orang muda dan mereka yang dewasa sekarang dalam pelbagai kapasiti dan kemampuan masing-masing boleh membuat sesuatu untuk masadepan diri dan negara yang bakal menjadi Negara Tua.
No comments:
Post a Comment