Sunday, January 10, 2021

KEMANA LAGI ARAH TUJU UMNO

 Asal usul tatkala mula UMNO bergabung dengan PAS adalah atas dua cabang sentimen.Satu sentimen Islam dan keduanya sentimen Melayu.Sentimen Melayu-Islam menjadi asas dan dasar kerjasama yang dirintiskan oleh kedua parti yang utama ini dalam arena politik Malaysia ini.

2. Kedua-dua parti terbesar dan telah lama berpengalaman dalam selok belok politik Malaysia ini adalah dua musuh tradisi yang selama berpuluh tahun enggan bekerjasama.Malah mereka serang menyerang antara samalain.Tidak pernah siapa pun menduga bahawa pada suatu waktu mereka bakal berdamai dan bersatu hati.

3. Namun kedua-dua parti ini nampaknya sering bermain mata dalam saat negara sedang menghadapi PRU 14 yang lalu.Mereka berdua sering berada sepentas bilamana Presiden UMNO DS Najib Razak dan Presiden PAS DS Abd Hadi Awang menghadiri beberapa majlis yang danjurkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

4. Sepanjang tempoh kempen PRU 14 kedua-dua parti nampaknya sudah tidak lagi serang menyerang antara satu samalain.Nampaknya pula sepanjang tempoh selepas PRU 13 hubungan kedua-dua parti ini semakin rapat dan semakin ngam satu samalain.Sepanjang tempoh menghadapi PRU 14 kedua-dua parti ini dikatakan sedang "dilamun cinta".

5. Sebagaimana orang dilamun cinta keburukan pasangan antara keduanya sudah tidak diungkit lagi; sehingga kurap dikatakan panau.Sebesar mana isu 1MDB dibangkitkan oleh pembangkang, PAS tidak percaya itu perbuatan yang dilakukan oleh DS Najib.PAS menganggap itu hanya fitnah.PAS kata itu suatu konspirasi untuk menjatuhkan Najib.Segala keburukan yang dilakukan UMNO tidak lagi diungkit oleh PAS dalam menghadapi PRU 14.Demikian juga sebaliknya.

6. Meskipun PAS tidak bergabung dan bekerjasama secara resmi dengan UMNO dalam PRU 14 namun mereka secara tidak resmi telah mengadakan persafahaman untuk tidak menyerang satu samalain.

7. Maka terjadilah pertandingan tiga penjuru dalam PRU 14. Pakatan Harapan sebuah gabungan pembangkang yang baru dibentuk mendapat sokongan kuat daripada rakyat.Di bawah pimpinan Tun Mahathir,Muhyiddin Yassin dan Shafie Afdal di Sabah gabungan pembangkang ini berjaya menawan hati rakyat dengan isu 1MDB yang dibagkitkan mereka.Populariti Najib selaku Perdana Menteri jatuh merudum.Rakyat menjulang Tun Mahathir dan Pakatan Harapan dengan menolak UMNO-BN pimpinan DS Najib.

8. Walaupun PAS tidak menyokong Pakatan Harapan dan lebih condong kepada menyokong DS Najib namun kebangkitan rakyat yang bencikan kepada DS Najib masih gagal menyelamatkan UMNO-BN .

9. PAS berhasrat untuk menjadi "King Maker " dalam PRU 14.Namun Pada suatu masa ia kelihatan seperti bersedia dipujuk untuk menyertai PH.Usaha dilakukan berkali-kali apabila Presiden PAS ditemui untuk mengajak PAS menyertai gabungan pembangkang dalam PH.Namun itu ditolak sehingga Tun Mahathir merasa sangat keciwa dengan sikap PAS yang demikian itu. Hati PAS sebenarnya telah dibeli dan di tawan oleh UMNO.Timbulnya pula cerita bagaimana katanya sikap PAS telah berubah terhadap UMNO berikutan daripada "habuan " RM 90 juta yang diterima PAS dari dana UMNO.

10. UMNO-BN tumbang dalam PRU 14 pada 9 Mei 2018.Ia jatuh tersungkur bertabur dilantai negara.Ia membawa kedukaan dan kecelakaan besar untuk seluruh ahli UMNO.Menteri-menteri UMNO-BN  yang memegang jawatan terpaksa melepaskan jawatan masing-masing.Mereka bukan sahaja hilang jawatan tetapi hilang pendapatan.Mereka hilang kuasa dan hilang kepentingan.Ini sesungguhnya sangat menyakitkan.Ia sangat memalukan.DS Najib melepaskan jawatan Presiden UMNO untuk kemudiannya digantikan oleh DS Zahid Hamidi.

11. Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri kerajaan PH menganggap UMNO sebagai sebuah parti yang busuk sampai ke akar-akarnya.Bagi Mahathir dengan kekalahan UMNO dalam PRU 14 itu maka tamatlah riwayat UMNO.

12. Namun demikian UMNO belum patah retah.Ia tidak hancur habis Sedikit demi sedikit ia mula bangun dari rebahnya.Bagai bayi ia mula bertatih untuk kembali berjalan dan berlari di padang politik Malaysia.

13. Perpecahan dalam Pakatan Harapan memberi harapan baru kepada UMNO.Memang benar Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan lemah yang didirikan dengan ikatan tali yang rapuh.Mereka dikatakan hanya "tidur sebantal tetapi mimpi berlainan".Mereka membina matalamat bersama untuk menjatuhkan sebuah kerajaan UMNO-BN yang digelarkan kerajaan kleptokrasi.Kerajaan ini digambarkan sebagai sebuah kerajaan yang gagal.

14. Namun apabila Pakatan Harapan  mengambil alih kuasa pemerentahan Malaysia;mereka juga dilihat sebagai gagal.PH kemudian turut dilabel sebagai sebuah  kerajaan gagal pula.Ia dikatakan gagal kerana beberapa faktor yang disebut oleh pembangkang terutama UMNO dan PAS sebagai sebuah kerajaan yang dikuasai oleh DAP. 

15. DAP dikatakan menguasai Perdana Menteri.Tun Mahathir diwarwarkan sebagai "kalah" kerana terlalu tunduk kepada semua kehendak DAP.Lihat sahaja katanya jawatan-jawatan penting dalam kabinet diberikan kepada Ahli parlimen DAP.Lihatlah Lim Guan Eng dilantik menjadi Menteri Kewangan.Gobind Singh Deo juga dari DAP menjadi Menteri Penerangan dan Komunikasi.Banyak pula contoh-contoh lain yang menunjukkan DAP menguasai kerajaan.

16. Peralihan jawatan Perdana Menteri dari Tun Mahathir kepada DS Anwar Ibrahim semakin membara dan semakin membakar.Ia membakar dan memusnahkan rumah gabungan Pakatan Harapan yang sememangnya didirikan dengan bahan binaan yang tidak kukuh di atas tapak tanah yang lembut.Keempat parti gabungan kelihatan semakin lama semakin tidak ngam.Atas isu peralihan kuasa DS Anwar memainkan peranan bersama PKR partinya untuk menarik sokongan dari DAP dan AMANAH bagi mengenakan tekanan kepada Tun Mahathir dan PPBM (BERSATU) supaya segera melepaskan jawatan Perdana Menteri untuk diserahkan kepada DS Anwar.

17. BERSATU merasa bukan sahaja tertekan dalam mempertahankan Tun Mahathir sebagai PM tetapi pada masa yang sama merasa tertekan dengan pakatan tiga rakannya yang lain itu setelah mengadakan pakatan lain di luar BERSATU.

18. Pada satu ketika kelihatan bagai tidak ada persafahaman diantara Tun M dengan Muhyiddin dalam BERSATU.Wujudnya dua jawatan penting dalam sebuah parti seperti BERSATU dengan hiraki yang kelihatan seimbang ada bahayanya  yang membawa kepada keburukan. Jawatan Presiden dan Pengerusi yang diwujudkan menimbulkan pertelingkahan kepentingan dalam keputusan parti.

19. UMNO yang melihat krisis dalam PH berjaya menggunakan peluang ini untuk membangunkan imej dan reputasinya.Ia membina halatuju yang baru dengan yakin untuk bangun dan menentang PH yang dilanda pelbagai krisis dalaman itu.

20. Sewaktu PH sudah mulai rabak dan robek dengan krisis dalaman mereka UMNO dan PAS mulai mengambil keputusan untuk "bernikah". Ini dilangsungkan di atas rumah Muafakat Nasional pada 19 September 2019.Dengan pernikahan itu UMNO menjadi lebih segar untuk mengangkat muka dan kepada membina semula legasinya yang telah hilang.

21. Sesungguhnya kelemahan PH berjaya digunakan semula oleh UMNO untuk menjatuhkan kerajaan PH.UMNO berjaya mengajak PAS untuk bersama mereka mengukuhkan matalamat dan tujuan bagi mengambil semula Putrajaya.

22. Langkah Sheraton pada 23 September 2020 membuka ruang baru kepada UMNO bersama rakannya PAS untuk kembali berkuasa bagi membenamkan Pakatan Harapan dan sekaligus merintis laluan singkat untuk kembali berkuasa.

23. PAS turut melihat ini peluang terbuka dan terbaik untuk masuk sekaki dan tumpang semangkuk.

24. Dikatakan pengkhiatan yang dicetuskan TS Muhyiddin dengan membawa keluar BERSATU dari PH menjadi pemula kepada kejatuhan kerajaan PH dan permulaan kepada wujudnya sebuah kerajaan "Tebuk Atap" yang dipimpin olehnya pula.Perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai PM adalah hanya melengkap dan melicinkan laluan untuk perjalanan rancangan Muhyiddin dan sekutunya yang telah lama diatur.

25. Adalah dikatakan bahawa cara dan kaedah Muafakat Nasional dibentuk adalah bersamaan dengan cara Pakatan Harapan dibentuk dahulu. Pakatan Harapan itu dibentuk kerana mempunyai matalamat yang sama iaitu untuk menjatukan UMNO-BN .Meskipun demikan setiap parti kekal berpegang teguh kepada tradisi dan prinsip perjuangan parti yang jauh berbeza satu samalain.Mereka akhirnya bakal berpecah kerana dasar utama parti yang jauh berbeza-beza.Mereka hanya menggunakan gelas dan pinggan yang sama tetapi minuman dan makanannya jauh berbeza.

26. Demikianlah Muafakat Nasional yang menyatukan kersama politik UMNO-BN-PAS mulai menjadi berantakan tidak lama selepas mereka bersetuju untuk bersama.Perceraian belum berlaku tetapi krisis sudah membunga.Kalau BERSATU akhirnya bercerai dengan PH apa pula tidak ada kemungkinan PAS turut boleh berserai dengan UMNO.

27. Perceraian UMNO dengan PAS hanya boleh dijayakan dengan wujud orang ketiga yang berjaya mengkucar kacirkan perhubungan mereka.Sejauhmana DAP,PKR dan AMANAH dari Pakatan Harapan boleh memainkan peranan yang berkesan dalam usaha ini hanya akan ditentukan oleh masa.

28. Sewaktu beberapa pimpinan tertinggi UMNO mengambil pendekatan untuk berbaik dengan DS Anwar Ibrahim dan PKR bagi membentuk "Jajaran Baru " ia menampakkan bagaimana wujud usaha untuk mencari pintu sendiri dalam menyelamatkan diri (?) atau membawa Parti bagi kembali berkuasa.

29. Apabila TS Annuar Musa dipecat sebagai SU Agung BN dan SU Muafakat Nasional ia memberi dan membuka banyak pintu-pintu baru untuk dimasuki oleh orang-orang politik.

30. Pendedahan Annuar  Musa tentang laluan pintu belakang yang digunakan oleh beberapa pemimpin UMNO dari "Kluster Mahkamah" bukan sahaja mengejutkan tetapi ia mampu mencetuskan satu fenomena baru dalam pemikiran politik Malaysia.

31. Apakah PAS tidak perlu membuat perhitungan baru apabila jajaran politik telah berubah.Apakah BERSATU juga hanya berpeluk tubuh melihat perkembangan ini.Apakah TS Muhyiddin Yassin boleh menerima pengkhiatan demi pengkhianatan yang dilakukan oleh UMNO sedangkan mereka sendiri adalah rakan bersama dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

32. Kenyataan DS Ahmad Maslan yang menggantikan TS Anwar Musa yang membuka pekung didada UMNO dengan berkata kemarahan UMNO kepada TS Muhyiddin bukan sangat kerana pengagihan jawatan tetapi lebih kepada "kluster mahkamah" yang tidak diurus dengan adil dan saksama.Ahmad Maslan menuduh kerajaan Perikatan Nasional danTS Muhyiddin masih mengamalkan kezaliman dan mengenakan tindakan mahkamah secara terpilih.Dikatakannya dasar Muhyiddin masih mengekalkan dasar Mahathir dalam Pakatan Harapan.

32. Percaturan baru sedang bermula.Kemana lagi arah UMNO selepas ini.Masa sedang menunggu.Rakyat sedang memerhati untuk mengadili.

33. Desakan UMNO supaya PRU 15 perlu disegerakan sebagai ubat untuk menyembuh krisis politik Malaysia dilihat oleh kebanyakan rakyat sebagai cadangan yang sangat terdesak.Ia bukan sahaja tidak wajar tetapi kelihatan lebih didorong oleh nafsu yang perlu dielakkan.Dalam waktu negara juga sedang berdepan dengan krisis wabak Corvid 19 banyak pihak melihat PRU 15 kalau segera diadakan sekarang akan menimbulkan satu krisis baru yang sangat-sangat perlu dielakkan.

34, UMNO perlu menunjukkan kebijaksanaan dalam cara berfikir dan betindak.Memang UMNO berhak dan perlu kembali bangkit dan berkuasa di Malaysia tetapi dengan cara yang betul dengan niat yang betul.


No comments:

Post a Comment