Monday, January 11, 2021

PENDEKATAN UMNO : KEBIJAKAN YANG MEMAKAN DIRI

 Sehingga saat ini UMNO berada dalam dilema.Kita tidak pasti adakah pemimpinnya dari peringkat atas sehingga peringkat bawah benar-benar mahukan UMNO keluar dari mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan TS Muhyiddin Yassin.

2. Kita juga tidak begitu pasti apakah benar-benar UMNO mahukan supaya Pilihanraya Umum ke 15 perlu segera diadakan sekarang.

4. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang bersidang pada malam 6 Januari yang lepas tidak berani membuat cadangan untuk mengangkat kedua-dua cadangan di atas.Ahli MKT hanya akan bersedia membawa cadangan itu terus kepada mesyuarat agung parti yang akan diadakan pada 31 Januari 2021 yang akan datang.

5. Kalau UMNO dan anggota MKT benar-benar serius sewajarnya kedua-dua hasrat itu diputuskan dalam mesyarat MKT.Apa yang perlu dibawa kepada mesyuarat adalah cadangan keputusan yang telah pun dibuat lebih awal.Itu baru namanya anggota MKT kelihatan lebih serius dan lebih bertanggung jawab.Lagi pun kalau MKT telah buat keputusan awal ia mungkin dapat memendekkan masa untuk semuanya diputuskan dalam mesyuarat agung tersebut.

6. Sehingga saat ini kita melihat UMNO begitu giat menggertak Perikatan Nasional dan Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin dengan ancaman untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN.

7. Kita faham kerajaan PN sekarang seperti berada di hujung tanduk.TS Muhyiddin mendapat dokongan lemah apabila mengikut perkiraan sekarang ini beliau hanya mempunyai bilangan 110 ahli perlimen yang menyokong dan mendukung kerajaannya.

8. Selepas Dato' Ahmad Jazlan Yaakub meletak jawatan Pengerusi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) serta menarik sokongannya kepada Muhyiddin kedudukan kerajaan Muhyiddin semakin terancam.Ini untuk dikira pula dengan wujud lagi beberapa pemimpin UMNO lain yang akan mengambil langkah serupa dalam waktu terdekat ini.

9. Persoalannya pula apakah kerajaan PN -TS Muhyiddin akan tumbang dengan hanya kehilangan majoriti itu.Dalam krisis corvid 19 yang mengancam nyawa dan negara sekarang ini apakah semudah itu pula YDAgong bersedia untuk membubarkan parlimen lalu mengadakan PRU seperti yang didesak UMNO itu.

10.Ancaman corvid 19 yang mencanak kenaikan angka pesakit tidak memungkinkan semua kehendak UMNO dapat dijayakan dengan mudah.Masa dan kaadaan sangat tidak berpihak kepada UMNO.Desakan UMNO supaya palimen segera dibubar dan segera pula diadakan pilihanraya umum adalah desakan yang sangat tidak bijaksana.

11. Kenyataan Tan Sri Nur Hisham Abdullah selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa PRU sangat tidak sesuai untuk diadakan saat pandemik corvid tengah merebak ini nampaknya dipandang sepi oleh sesetengah pemimpin UMNO.Pengalaman PRK Sabah akhir tahun lepas yang membawa kepada penularan besar wabak berkenaan seharusnya dijadikan ukuran.Ia sepatutnya juga menjadi pengajaran kepada tokoh-tokoh UMNO yang membuat desakan berkenaan.

12.Kita melihat kuatnya aginda tersembunyi (hidden agenda) dalam langkah UMNO untuk tidak menyokong Kerajaan PN dan untuk mendesak PRU diadakan.

13. Faktor DS Zahid dan Faktor DS Najib adalah menjadi faktor utama dalam gerakan ini.Banyak pula pemerhati yang melihatnya dalam  faktor "Kluster Mahkamah " yang menjadi pemangkin untuk mengerakkan tekanan dan desakan kepada kerajaan.

14. A.Kadir Jassin bekas Penasehat Media mantan PM ke 7 berpendapat bahawa ketakutan kluster mahkamah masuk penjara mendorong mereka mengambil segala peluang yang ada dengan menggunakan segala kebijakan yang terfikir untuk melepaskan diri dari bahaya itu.Manusia akan bersedia untuk masuk ke lubang najis sekalipun kalau itu dapat memanjangnya nyawa dan dapat melepaskan diri dari bahaya yang ditakuti.

15. DS Najib sudah pun dibuktikan bersalah oleh mahkamah.Beliau belum dimasukkan ke penjara kerana menunggu keputusan mahkamah rayuan .Namun banyak pula lagi kes-kes lain yang bakal dibawa dan dihadapinya di mahkamah.Pastinya ini sangat mencemaskan dan menakutkan.Demikian juga DS Ahmad Zahid dengan kes-kes mahkamahnya.

16. Tidak terkecuali Dato' Ahmad Maslan SU Agung BN yang baru dilantik mengambil tempat TS Annuar Musa yang baru dipecat.Kenyataannya  yang dipetik media menyebut bahawa UMNO mengambil pendekatan untuk tidak menyokong kerajaan PN- TS Muhyiddin adalah kerana "Kluster Mahkamah " telah dizalimi sedemikian rupa.

17. Apakah maksud Ahmad Maslan dengan perkataan mereka yang melakukan salahlaku itu sedang dizalimi.Apakah keadilan yang cuba ditegakkan oleh kerajaan sekarang melalui mahkamah itu suatu tindakan menzalimi.Apakah perbicaraan di mahkamah tidak membenarkan mereka yang dituduh melantik peguam-peguam yang handal bagi membela mereka.Apa yang kita perhatikan mahkamah telah menjalankan tugas masing-masing dengan penuh tanggung jawab.

18. Negara kita mempunyai undang-undang untuk melaksanakan keadilan kepada rakyat.Rule of law perlu dilaksanakan.Perdana Menteri tidak harus campurtangan dalam urusan mahkamah.Biarkan mahkamah bebas menjalankan tugas dan menjatuhkan sesuatu hukuman dengan adil dan saksama tampa diganggu gugat.

19. UMNO melalui pemimpin-pemimpinnya seolah-olah  mengajar ahli-ahlinya supaya bukan sahaja menentang kerajaan tetapi dengan sewenang-wenang pula membelakangi undang-undang yang digunakan untuk menjaga keselamatan negara.

20. Zahid Hamidi telah dilihat gagal mentadbir UMNO.Pendekatan termasuk arahan-arahan yang keluar dari hati dan mulutnya tidak membayangkan kebijaksanaan telah digunakan..TS Anwar selepas dipecat membuat kenyataan bahawa bekas bossnya itu tidak berada dalam "right frame of mind" berikutan tekanan kes mahkamah yang dihadapinya sekarang.

21. Dengan kegagalannya sekarang besar kemungkinan akan timbul desakan supaya beliau melepaskan jawatan untuk diganti oleh mereka yang lebih bijak,matang dan rasional.Sampai masanya untuk UMNO mengadakan reformasi kepimpinan di mana pemimpin muda perlu ditolak ke atas dan pemimpin yang bermasalah ditarik turun secara baik atau secara paksa.

22. Pemimpin baru UMNO perlu lebih berani menongkkah arus kalau mereka berhasrat untuk melihat UMNO kembali bangkit secara bermaruah.Kalau tidak dan dengan masih mengekalkan status quo pemimpin sekarang ;UMNO bakal ditolak untuk kesekian kalinya.

23. Pendedahan TS Annuar Musa bahawa pendekatan DS Zahid yang bersekongkol dengan DS Najib memberi sokongan kepada DS Anwar Ibrahim dan DAP dalam usaha membentuk jajaran baru adalah satu lagi tamparan besar untuk survival kedua-dua pemimpin veteran UMNO itu.

24. Dengan segala perkembangan yang berlaku janganlah UMNO berfikir bahawa kerajaan PN dan TS Muhyiddin tidak berbuat sesuatu untuk menolak ombak yang sudah mulai naik tebing.Bila cacing sudah naik ke mata ia bukan lagi masanya  untuk TS Muhyidin membuang masa untuk bermain golf kegemarannya.

25. Dalam masa yang sama PAS telah mengambil langkah yang sangat bijaksana.Benar PAS telah melangkah secara "play safe".Itu hak mereka.Dalam berpolitik pemimpin mesti mengambil pendekatan bijak untuk mencapai kejayaan dalam perjuangan.Bagi PAS peduli apa pada orang kata.Ustaz Mokhtar Senik dari PAS menyokong tindakan pemimpin mereka dengan mengatakan sahkan masuk dua kolam kalau 100 kolam pun PAS sedia masuk untuk kebaikan mereka bila enyentuh tentang PAS bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Rakyat kemudian pada masa sama bersatu pula dengan Perikatan Nasional menyokong TS Muhyiddin.

24. PAS sekarang nampak lebih yakin kepada PN daripada lebih melayan UMNO dalam MN.Karenah UMNO tidak begitu disetujui oleh PAS.Kerana itu PAS kelihatan mengambil langkah berdiam diri sewaktu UMNO menikam TS Muhyiddin dari belakang.Dalam krisis Perak bulan lepas PAS pada peringkat awal mengambil pendekatan untuk tidak menyokong UMNO menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu sebagai MB Perak.Walaupun mereka menyokong kemudian kelihatan itu bagai terpaksa juga kerana "play safe" itu.

25. Tindakan PN dan TS Muhyiddin melantik pemimpin-pemimpin PAS untuk menjadi  Pengerusi Perhubungan PN di empat negeri Kedah,Perlis,Kelantan dan Terengganu menambat kukuh sokongan PAS kepada PN bukan kepada UMNO.

26. Dari segi ikatan dan aku janji nampaknya PAS lebih terikat kepada PN berikutan daripada Perikatan Nasional telah didaftarkan dengan ROS sebagi sebuah sebuah gabungan rasmi di mana PAS menjadi salah satu anggota koalisinya bersama BERSATU dan GRS.Sedangkan PAS bersama UMNO dalam Muafakat Nasional kelihatan tidak lebih dari ikatan setakat bertunang namun tidak bersedia untuk kahwin pun.

27. Kalaulah benar UMNO menarik diri dan PN dan tidak lagi menyokong TS Muhyiddin apakah mereka yakin bahawa UMNO akan dilayan sebagai "abang besar" bila berpakat dengan Pakatan Harapan dan DS Anwar Ibrahim.Apakah tidak menjadi keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya.Apakah UMNO fikir mereka akan diberikan layanan istimewa termasuk akan diberikan jawatan-jawatan penting sesuatu yang gagal mereka dapat dari TS Muhyiddin.

28. Ramailah pemerhati dan rakyat melihat langkah keluar UMNO meninggalkan PN adalah langkah menuju kemusnhan untuk UMNO.Kalau ini terjadi sekali lagi seorang Presiden UMNO mengambil langkah bodoh untuk menamatkan riwayat UMNO.Kalau dulu Najib melakukannya dengan 1 MDB maka sekarang Zahid dengan Kluster mahkamahnya yang menarik UMNO keluar dari PN.

29. DS Zahid dan DS Najib yang menasehatinya mengambil pendekatan yang dikira bijak untuk menyelamatkan dirinya malangya kebijakan itu memakan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment