Monday, December 18, 2017

BAITULMUQADDIS : ISU BARU UJIAN BARU UMAT ISLAM

TERJADINYA sesuatu kejadian di atas muka bumi ini bukan terjadi dengan sendirinya.Ia terjadi dengan izin Allah.Allah telah mentakdirkan sesuatu itu terjadi dengan sebab dan musabbabnya.Tidak setitik hujan turun membasah bumi melainkan untuk menghidupkan bumi yang mati.Ia terjadi dengan rahmat Allah untuk semua makhluk ciptaanNya.Supaya bumi menjadi subur dan dengannya dimanafaatkan oleh tumbuhan dan binatang.Tumbuhan akan membesar,kemudian berbunga dan berbuah.Binatang boleh meragut rumput yang segar tumbuh di padang kerananya.Binatang pula bukan sahaja memberikan daging tetapi juga susu dan belulang dan bulunya.Dengannya pula manusia akan mendapat manafaat dan kemudahan darinya dalam pelbagai bentuk.

2. Inilah rahmat Allah yang terjadi secara sunnatullah.Dan kerananya Allah berfirman dalam Quran.Cerita tentang rahmat Allah banyak dihuraikan dalam Al Quran al Karim. Sambil itu Allah mengajak manusia berfikir tentang kebesaran dan kekuasaanNya.Dalam hal demikian jarang manusia berfikir dan mengambil iktibar dari semuanya itu.

3. Tidak Allah jadikan manusia dan Jin melainkan untuk beribadat kepadaNya.Manusia dan Jin tidak dicipta dengan sia-sia oleh Allah.Manusia diberikan akal fikiran untuk menimbang serta mengambil jalan paling selamat bagi mencapai kebahagiaan.Kebahagiaan bagi manusia bukan hanya di atas muka bumi ini sahaja tetapi meliputi alam akhirat yang banyak dijelaskan oleh Allah dalam kitab sucinya Quran.

4. Samada sesuatu kejadian yang berlaku itu berupa sesuatu yang membahagiakan atau sesuatu yang menyedihkan semuanya adalah ujian Allah untuk manusia.Semuanya mengajak dan mengajar manusia untuk bersyukur kepada Allah yang menciptakanNya.Nikmat perlu disyukuri.Kesedihan dan kesakitan pun perlu turut disyukuri.Mereka yang mensyukuri nikmat kurniaan Allah dijanjikan untuk diberikan tambahan nikmat sementara yang tidak mensyukurinya dijanjikan azab yang menyakitkan dan pedih.

5. Allah menceritakan dalam Quran betapa kaum-kaum dahulu kala yang ditimpakan azab kerana mereka tidak bersyukur kepada Allah.Mereka tidak bersyukur dengan kekayaan harta,kelebihan fizikal dan rupa paras.Mereka tidak bersyukur dengan kepintaran akal yang diberikan Allah kepada mereka sehingga mereka mampu membina tamaddun yang besar dan maju.Mereka mengingkari ajaran dan ajakan para Rasul yang dikirimkan Allah untuk mengajar mereka mentaati Allah.Mereka hingga sampai merancang kejahatan sehingga membunuh para Rasul.Mereka menyembah makhluk selain selain dari Allah.Mereka menduakan Allah dengan sewenang-wenangnya dan menolak tentang wujudnya hari pembalasan di akhirat.Mereka tidak percaya tulang-tulang yang reput dan daging-daging yang hancur dapat disatu dan dihidupkan kembali.

6.Kaum yang fasik dan kafir ini menentang Allah dan Rasulnya dengan kesombongan dan keangkuhan luar biasa.Mereka sehingga sanggup mencabar kekuasaa Tuhan.Kerana itulah dalam Al Quran Allah menceritakan bagaimana kaum-kaum yang zalim seperti kaum Tsamud,kaum 'Ad dan penduduk Madyan dan penduduk bandar Sodom yang mengamalkan homosexual telah dimusnahkan oleh Allah di atas muka bumi ini.Semuanya kerana mereka adalah kaum yang tidak bersyukur dengan nilkmat Allah.Demikianlah Allah terbalikkan kampong halaman mereka.Allah perintahkan petir dan ribut taufan menghancurkan mereka.Allah turunkan angin yang sangat sejuk menyerang dan memusnahkan mereka.Allah berkuasa melakukan semua itu dengan mudah.Itulah azab yang pedih!.

7.Demikian pulalah nasib yang menimpa kaum Qibti pengikut Firaun yang zalim.Mereka menentang Nabi Musa dan Nabi Harun yang membawa ajaran Islam.Allah menenggelam Firaun dan pengikutnya dengan segala bala tenteranya secara hina dalam Laut Merah. Mereka bukan sahaja ingin menghalau kaum Bani Israel pengikut Nabi Musa tetapi untuk membunuh Nabi Musa dan Nabi Harun bersama-sama terutama kerana kedua-duanya mengajak mereka mengesakan Allah.

8.Demikian juga kaum Nabi Nuh ditenggelamkan  Allah dengan banjir yang besar yang menenggelam bukit dan gunung.Mereka yang diselamatkan dengan izin Allah hanyalah pengikut Nabi Nuh yang menaiki bahtera yang dibina oleh Nabi Nuh atas perintah Allah.Dalam zaman yang lebih kemudian kita diberitahu Allah dalam Quran bagaimana empangan Ma'rib yang menghidupkan kemakmuran negeri Saba' telah ditakdirkan  oleh Allah retak dan kemudian pecah sehingga menenggelamkan segala harta dan kemajuan yang dibina oleh tamaddun.Teknologi yang dibina manusia sekuat dan seteguh mana pun akan musnah dengan mudah ditangan Allah. Demikian nasib yang ditimpakan keatas  negeri Saba' meskipun teknologinya  tinggi dan maju.Semuanya kerana penduduk negeri berkenaan tidak mahu tunduk kepada Allah.Mereka menolak adanya Allah.Mereka angkuh dan sombong sehingga sanggup mencabar Allah.Mereka menerima azab yang pedih.

9.Allah SWT mentakdirkan semuanya tidaklah  sia-sia sebagaimana Allah mencipta manusia ,Jin dan makhluknya tidak sia-sia.Allah mahu menunjukkan betapa hebat dan betapa berkuasanya DIA.Sesungguhnya Allah yang menghidupkan.Sesungguhnya Allah yang mematikan.Maha Suci Allah dari segala sifat kekurangan.Hanya Allah memiliki arasy yang mulia dan tinggi.Tiada sesuatu yang sebanding apa lagi menyerupaiNya.Itulah juga Allah yang mentakdirkan segala-galanya.

10. Allah mencipta pelbagai kaum , bangsa dan mentakdirkannya dengan bermacam-macam agama,kepercayaan dan pegangan.Sesungguhnya seperti yang dinyatakan Allah dalam Quran bahawa DIA berkuasa untuk menjadikan semua manusia sama dalam satu agama.Tetapi itulah kekuasaan Allah untuk menguji sejauh mana manusia yang diberikan akal fikiran supaya mereka sendiri dapat  mengatur kehidupan masing-masing .Allah menguji mereka di dunia dengan pelbagai ujian.Mereka yang kenal Tuhan penciptanya, akan melakukan ketaatan dan kerananya mereka akan diselamatkan Allah sementara yang kafir akan diberikan azab kalau tidak di dunia mereka tetap akan menerima balasan yang lebih buruknya di akhirat nanti..Setiap yang hidup akan mati dan akan kembali kepada Allah untuk diadili dan dihukum dengan seadil-adilnya.

11. Allah mentakdirkan wujud pula Iblis yang menderhaka.Dari dalam Syurga Iblis dihalau keluar  dan dengan marah kemudiannya Iblis bersumpah untuk menyesatkan anak cucu Adam dan Hawa sehingga hari Kiamat.Hanya mereka yang berpegang teguh kepada tali Allah serta tidak bercerai berai sesama mereka akan selamat dari godaan iblis dan syaitan itu.Mereka yang kuat berpegang pada Islam dan mematuhi perintah Rasul masing-masing akan diselamatkan Allah di dunia dan akan selamat di akhirat.Tidak syak lagi Iblis dan syaitan adalah ujian besar kepada makhluk manusia  anak cucu cicit Adam sehingga hari Qiamat.

12. Kepada masyarakat manusia dari Adam dan Hawa sehingga hari kiamat Allah akan menurunkan dan mendatangkan kebahagiaan dan musibah cabaran  untuk menguji sejauh mana mereka boleh bertahan,bersabar dan bersyukur kepada Allah dalam pelbagai situasi yang semuanya terjadi kerana Allah mengkehendakinya begitu terjadi.Allah menginginkan hamba-hambanya mengingati DIA,menyanjung dan tunduk berserah diri kepadaNya semata-mata.Kita manusia dikehendaki supaya redha dan terus bersyukur dengan segala cabaran dan mehnah yang datang.Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah pula kita akan kembali.Itulah ucapan manusia yang beriman dan bersyukurt kepada Allah.sewakyu didatangkan musibah kepadanya.

13.Allah menurunkan musibah dan ujian kepada manusia dengan tujuan supaya manusia berfikir,menginsafi dan menerima kekurangan serta kelemahan diri.Sesungguhnya setiap manusia dan segala makhluk ciptaan Allah bersifat lemah,kurang dan sementara.Allah  sahajalah jua yang maha berkuasa.Itu yang perlu menjadi pegangan ,membawa ketakutan serta menghasilkan tunduk dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah.Allah menurunkan musibah dan mendatangkan ujian supaya manusia yang lemah,kurang dan tidak kekal itu menyedari dan kenal dirinya.Dengan musibah itu manusia diharapkan kembali ke pangkal jalan dan beribadat kepada Allah.Mereka dikehendaki bersyukur kepada Allah.Mereka dikehendaki berserah dan bergantung kepada Allah tidak kepada yang lain.Allah mengharapkan semakin banyak didatangkan ujian kepada manusia bahagia atau derita maka diharapkan pula supaya mereka bersyukur dan mengingati bahawa segalanya milik Allah.

14.Demikianlah dalam zaman moden sekarang ini Allah terus menguji hamba-hambanya dengan pelbagai musibah.Banjir besar yang memusnahkan harta benda dan nyawa terjadi di mana-mana.Ribut taufan yang mengganas dan menghancurkan.Gempa bumi dasyhat dan tsunami yang kuat telah meruntuh,meranap dan memusnahkan segala.Demikian pula sekarang di datangkan  ujian dengan pelbagai penyakit baru yang gagal dikesan punca dan gagal dicari penawar dan pencegahnya.Bukan sahaja penyakit yang menyerang jasad tetapi penyakit mental dan penyakit saikoloji yang pelbagai macam sekarang.Semuanya ini ujian yang didatangkan Allah kerana Allah ingin menyedarkan hamba-hambanya bahawa yang sebenarnya berkuasa hanya Allah.Kemampuan manusia sangat terhad,sangat terbatas.Manusia pada akhirnya mesti tunduk dan mengaku kekuasaan dan kebesaran Allah.Tetapi malangnya manusia banyak yang tidak bersyukur.Malangnya banyak manusia yang masih belum berfikir,masih belum insaf walaupun Allah memberikan pelbagai malapetaka untuk menginsaf dan menyedarkan mereka.

15.Malang pula kerana banyak kalangan manusia yang menganggap segala malapetaka yang terjadi adalah secara natural.Ia proses alam secara biasa.Tanpa dikaitkan dengan takdir Allah,tanpa dikaitkan dengan ujian Allah.Banyak manusia tidak insaf dan tanpa sedar dengan terus mengingkari Allah dengan kesombongan dan penuh kejahilan.Mereka tidak ubah seperti jahilliah quarisy di zaman Nabi Muhammad yang menentang nabi serta mencabar nabi untuk meminta Tuhan menurunkan bala kepada mereka sekiranya ajaran yang dibawakan nabi itu benar dan betul.

16.Allahlah juga nampaknya mentakdirkan wujudnya Deklarasi Balfour 1917.Sebab musabbabnya berpunca dari persekitaran politik dunia yang berubah-ubah.Orang Yahudi pada asalnya tidak bernegara.Jadi sebelum tahun 1948 mereka hidup berpencar di mana-mana di Eropah,di Russia,Amerika malah di negara-negara Asia. Sebenarnya sejak 1897 orang-orang Yahudi yang bercadang untuk mendirikan negara bersatu di bawah "World Zionist Organisation" berpusat di Basel,Switzerland.Gerakan ini membawa fahaman zionist.Zionist adalah suatu ideologi yang mereka kuat meyakini dan percaya bahawa hanya  orang Yahudi manusia menjadi pilihan Yahweh (Tuhan);Semua orang lain dari agama serta pegangan lain adalah sesat dan dilaknati Tuhan.

17.Usha mereka yang lama dan berpanjangan ini pada akhirnya di bawah pengaruh sorang zionist Lord Rothschild telah berjaya mempengaruhi Lord Balfour Setiausaha Luar Negara Great Britain yang pada akhirnya meluluskan Deklarasi Balfour tahun 1917.Dengan deklarasi ini seolah lesen dikeluarkan kepada kaum zionis untuk mewujudkan dan membentuk sebuah negara bangsa Yahudi di Palestin.

18.Israel diwujudkan di bumi Arab Palestin terutamanya kerana pada waktu itu bumi Arab berada di bawah kuasa Great Britain.Sebenarnya sebelum Palestine di pilih terdapat beberapa cadangan lain seperti di Russia,Uganda,di British Guyana dan di Madagascar.Pilihan muktamad pada akhirnya pada bumi penduduk Islam Palestin.Ini adalah ujian Tuhan  kepada umat Islam di bumi berkenaan.Ia juga menjadi ujian kepada penduduk Islam Arab yang menjadi jiran kepada bumi berkenaan.

19.Palestin adalah bumi ambia.Di sini lahirnya nabi-nabi yang membawa agama dari langit termasuk Keristian.Di bumi ini terdapatnya Masjid al Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berkiblat ke Kaabah di Masjidil haram Mekah.Masjidil Aqsa menjadi tempat transit Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk Mikraj.Jadi kepada umat Islam,bumi Palestine khususnya Baitulmuqaddis tempat terletaknya Masjidil Aqsa adalah tempat yang dipandang suci dan dimuliakan .
20.Sejarah membuktikan bahawa pembentukan Israel adalah melalui proses yang tidak sah.Tetapi itulah realitinya.Yahudi adalah satu bangsa yang dikurniakan Allah dengan banyak kecekapan dan keistimewaan.Tetapi mereka juga adalah satu bangsa yang sangat sombong dan kejam.Bangsa Yahudi banyak yang menjadi peniaga-peniaga yang kaya,menjadi cendekiawan dan intelektual,para saintis dan pereka sehingga mereka dapat menduduki banyak tempat dengan jawatan penting dan kedudukan tinggi di banyak negara di dunia sekarang.Ini terutamanya di Amerika Syarikat sekarang.Mereka sehingga berjaya menjadi warganegara dan berjaya menyertai politik sehingga berpengaruh dan menentukan perjalanan kuasa kerajaan Amerika Syarikat.

21. Semasa German di bawah pemerintah Adolf Hitler berpuluh ribu orang Yahudi yang tinggal di German dibunuh dalam kejadian holocaust .Ianya adalah satu rancangan penghapusan ethnik Yahudi yang dijalankan oleh Hitler.Bagi Hitler bangsa Yahudi adalah penjahat dan perampas dan merbahaya untuk terus kekal di negaranya.Akibat dari dasar ini ramai orang Yahudi yang dibunuh sementara yang lain berpindah masuk ke negara-negara lain. Destinasi akhir kebanyakan mereka adalah ke Palestine.Dengan penghijrahan ini penduduk Yahudi Israel telah bertambah dengan cepat selepas perang dunia kedua.Kejadian kemasukan orang Yahudi secara haram dari Eropah ke Palestin ini banyak terjadi dalam masa perang dunia kedua.Sebenarnya proses penghijrahan orang-orang Yahudi ke Palestin dari timur Eropah dan Russia telah pun berlaku seawal selepas kegagalan Revolusi Russia 1905.Mereka menyertai penduduk Yahudi asal dan yang telah pun masuk dan  berada di sana pada masa yang lebih awal.

22. Satu daripada kesan Perang Dunia pertama (1914-1918) ialah berkenaan dengan berakhirnya kekuasaan Kerajaan Othmaniah (Ottomon Empire).Dengannya Britain mengambil alih Palestine dengan menduduki dan menguasainya.Inilah masanya Deklarasi Balfour dikeluarkan yang menampakkan keinginan untuk menubuhkan sebuah negara untuk orang-orang Yahudi di Palestin.Meskipun deklarasi ini ditentang oleh negara-negara Arab lain disekelilingnya namun deklarasi Balfour tetap juga mendapat mandat apabila ianya diktiraf dan diberikan hak oleh Liga Bangsa-Bangsa (sekarang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam tahun 1922.Berikutan protes dari negara-negara Islam yang semakin bertambah atas rancangan untuk mewujudkan negara Yahudi di Paletin itu maka pemerentahan British di Palestin dilanjutkan  sepanjang tahun-tahun 20'n dan 30'n.

23.Sememangnya sejak 1929 lagi ,orang-orang Arab dan Yahudi telah pun berperang di bumi Palestin.Kaadaan ini gagal dikawal oleh Great Britain yang menduduki Palestine.Dengan yang demikian selepas  Perang Dunia kedua tahun 1945 kelihatan Amerika Syarikat menyokong dan membantu penduduk Yahudi di Palestin.Britain yang gagal menyelesaikan krisis di Palestin pada akhirnya menyerahkan masalah  Palestin kepada Bangsa-Bangsa Bersatu .Pada akhirnya keputusan diambil dengan membahagikan Palestine kepada dua bahagian dalam bulan November 1947.Suatu pembahagian yang sangat tidak adil berlaku apabila apabila lebih separuh dari negeri palestine diberikan kepada penduduk Yahudi sedangkan bilangan orang Yahudi ketika itu tidak pun sampai separuh dari jumlah penduduk Islam Arab Palestin.

24. Pemecahan negeri Palestin lebih-lebih lagi secara yang sangat tidak adil ini telah mencetuskan kebangkitan orang-orang Arab Palestin. Dengan bantuan para sukarelawan dari negeri-negeri jiran,mereka telah menyerang orang-orang Yahudi di Palestin.Tetapi serangan ini dapat ditentang dengan sokongan dari Bangsa-Bangsa bersatu .Malang bagi Palestin kerana  beberapa wilayah Arab sendiri menyokong musuh.Ini hakikat sejarah yang telah terjadi seawal negara Israel diwujudkan.

25.Pada 14 Mei 1948 Britain meninggalkan Palestin berikutan tamatnya mandat mereka untuk menduduki dan memerintah Palestin.Inilah juga pada hari dan  tarikh yang sama sebuah negara baru untuk orang Yahudi bernama Israel di istiharkan kewujudannya di bumi Palestin !.Allah telah mentakdirkan begitu.Besarnya ujian didatangkan kepada penduduk Palestin.Besar pula ujian yang sama untuk sepatutnya dikongsi oleh seluruh umat Islam jauh atau dekat dari bumi Palestin.Bukankan Islam itu agama persaudaraan.

26. Pada 14 Mei 1948,di Tel Aviv ,Pengerusi Agensi Yahudi David Ben-Gurion mengistiharkan kewujudan sebuah negara bernama Israel,yang menandakan tertubuhnya sebuah negara Yahudi yang pertama dalam tempoh 2,000 tahun.Dalam satu majlis pada petang itu bertempat di Muzium Seni Tel Aviv; Ben Gurion dengan bangganya mengucapkan " Kita di sini mengistiharkan penubuhan negara Yahudi di Palestin dengaan nama ISRAEL ".Ianya diiringi dengan tepukan,sorakan dan titisan air mata kegembiraan dari para hadirin yang berada di majlis itu.David Ben-Gurion diangkat menjadi Perdana Menteri Israel yang pertama.

27.Sebenarnya sebaik sahaja keluarnya tentera Britain dari bumi Palestin pada pagi 14 Mei 1948 itu,setelah tamat mandatnya di sana,bunyi bedilan sudah pun kedengaran dari jauh tanda pertempuran sudah mula meletus diantara orang Yahudi dan orang Arab.Sementara itu Mesir melancarkan serangan udara ke atas Israel pada petangnya pula.Kemarahan negara-negara Arab kepada Israel menjadi bertambah-tambah apabila Amerika Syarikat mengambil langkah mengiktiraf negara Israel itu sebaik-baik sahaja ia diistiharkan.

28. Pada hari-hari yang berikutnya pakatan tentera dari Mesir,Jordan,Syria,Lebanon dan Irak telah menawan Israel.Pada akhirnya serangan dari Israel berjaya mengalahkan Pakatan Arab itu dengan berjaya pula menawan beberapa wilayah penting seperti  Galilee,Pantai Palestine serta jaluran wilayah yang menghubungkan kawasan pantai dengan bahagian barat Jurasalem.Dalam suatu perjanjian Genjatan senjata yang ditaja oleh Bangsa-Bangsa Bersatu tahun 1949;Israel diberikan kuasa mengawal secara kekal ke atas wilayah-wilayah Arabyang telah dikuasai dalam perang tersebut.Dalam masa perang itulah  pula beratus ribu penduduk Arab Palestin terpaksa berhijrah keluar dari Israel meninggal tanah kelahiran mereka yang telah dirampas oleh Yahudi !.Sejak itu Israel bermajoritikan penduduk Yahudi.

29.Perang Enam Hari antara Arab-Israel tahun 1967 lebih menyiksakan lagi Palestin dan dunia Arab.Kemenangan Israel telah berjaya memperluaskan lagi wilayah taklukannya dengan penaklukan ke atas wilayah-wilayah dari Jordan,Mesir,Syria,Jurusalem,SemenanjungSinai,Jaluran Gaza,Tebing Barat serta Tanah Tinggi Golan.

30. Dalam tahun 1979,Mesir menandatangani Perjanjian damai dengan Israel di mana Israel memulangkan kembali kepada Mesir SemenanjungSinai iaitu wilayah Mesir yang ditakluki Israel dalam perang enam Hari 1967.Dengannya Mesir berjanji untuk menamatkan permusuhannya ke atas Israel.Dengan kedudukan itu,Palestin menjadi lebih terdesak kerana kehilangan penyokong dari sebuah negara jiran Arab yang kuat dan berpengaruh.

31.Apa yang lebih malang ialah dengan kelemahan dan tanpa banyak sokongan dari rakan-rakan Arabnya; Palestin yang diwakili oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) telah menandatangani perjanjian damai dengan Israel tahun 1993.Dengannya suatu pelaksanaan pemerentahan sendiri Palestin secara berperingkat di Tebing Barat dan Jalur Gaza akan dilaksanakan.Walau bagaimanapun proses damai Israel-Palestin bergerak dengan sangat perlahan dan banyak terbantut di sana sini.Peperangan antara Israel dan Palestin tidak pernah berhenti sejak itu sehingga sekarang.

32.Sesungguhnya Allah lebih mengetahui setiap sesuatu yang berlaku.Allah lebih mengetahui tiap sesuatu samada yang nyata dan sesuatu yang jauh tersembunyi.Sesungguhnya pula konflik Palestin-Israel adalah suatu ujian Allah untuk bukan sahaja penduduk Arab Islam Palestin tetapi juga ujian dan cabaran kepada negeri-negeri jiran Palestin yang lain.Islam meletakkan ikatan persaudaraan antara seorang Islam dengan Islam yang lain seperti sebatang tubuh.Satu bahagian badan yang sakit,maka sakitnya akan terasa oleh seluruh bahagian yang lain.Islam meletakkan tanggung jawab kepada saudara Islam yang lain untuk membantu saudara Islamnya yang tertindas dan berada dalam kesusahan.Tetapi mengapa peranan ini tidak dilakukan oleh negara-negara Arab lain jiran Palestin.Sebaliknya yang berlaku negara-negara jiran Arab yang lain bukan sahaja tidak menyokong tetapi kelihatan bersekongkol pula dengan musuh.Bagaimanakah Islam itu untuk dikatakan seperti sebuah binaan yang utuh dan kukuh di mana setiap batu bata mengukuh dan menguatkan yang lain sesamanya.Apa yang wujud perpaduan dikalangan negara Arab sama sekali tidak kekal wujud untuk menyelamatkan Palestin.Kalau negara Islam jiran tidak berfungsi dengan sepatutnya bagi membantu Palestin bagaimana pula untuk lebih berharap dan bergantung kepada negara Islam yang terletak beribu  batu jauhnya dari bumi yang bergolak itu.

33.Kaadaan geopolitik negara-negara Arab jiran Palestin nampaknya menghalang sumbangan berkesan untuk menyelamatkan Palestin.Dasar Islam phobia serta melabelkan Islam sebagai pengganas terutama selepas Peristiwa 11 September yang meruntuhkan world Trade Center di New York telah mengubah suasana dunia.Sementara satu demi satu negara-negara di Asia Barat diserang dan dimusnahkan oleh kuasa asing atas pelbagai alasan terutama untuk mengekang terrorism dan pembikinan senjata berbahaya di negara-negara Islam.Demikianlah Irak dilemahkan dengan pembunuhan Saddan Hussin.Projek Irak dikuti pula ke negara-negara Islam yang lain.Pergelutan di Syria masih belum selesai sehinga sekarang.Peperangan sesama sendiri dikalangan negeri dan bangsa Arab seperi terjadi antara Arab Saudi dan Yaman sekarang adalah sebagai contoh yang membawa kepada kelemahan dalam pakatan Arab sesama mereka.Timbulnya kumpulan IS,ISIS kemudian Daesh semuanya membawa kelemahan dalaman rumahtangga negara-negara Islam Arab.Dalam situasi ini bagaimana Palestin boleh bergantung kepada saudara Arabnya yang bukan lagi berpegang kepada prinsip persaudaraan seagama dan sebangsa itu.Runtuhnya semangat kekitaan sesama bangsa Arab ditambah lagi dengan dengan perbezaan mazhab dikalangan mereka.Ini menjadi faktor pemecah sehingga terjadi perang saudara sesama sendiri .Ia diburukkan lagi apabila wujudnya faktor asing yang mengatur agenda supaya perbalahan bertambah besar sehingga tidak dapat lagi menyatukan mereka.

34. Sejarah hubungan Israel-Palestin adalah sejarah berdarah.Sejarah  yang dipenuhi oleh peristiwa peperangan,penindasan,pembunuhan dan kekejaman terutama yang dilakukan oleh Yahudi Israel ke atas rakyat Palestin yang saban hari berjuang dan berusaha mempertahankan tanah air dan maruah mereka.Orang Palestin melihat orang Yahudi sebagai perampas bumi mereka sementara orang Yahudi berusaha mempertahankannya kerana kalau mereka kalah mereka akan kehilangan negara samasekali.

35. Sekarang terjadi pula suatu kejutan baru di bumi berdarah ini.Donald Trump iaitu Presiden Amerika Syarikat pada 6 Disember 2017 telah mengistiharkan dan mengiktiraf Baitulmuqaddis yang sekarang menjadi ibu negara Palestin sebagai ibu negara baru Israel.Ini mendatangkan kejutan besar kepada dunia lebih-lebih lagi umat Islam.Tindakbalas awal telah terjadi berikutan pengistiharan itu.Wujud bantahan dan tentangan dibanyak tempat di dunia.Tunjuk-tunjuk perasaan terjadi bagi membantah keputusan itu .Ramai berpendapat bahawa keputusan Trump itu adalah satu keputusan yang sangat merbahaya.Ia bukan sahaja mengusutkan lagi proses perdamaian  Israel-Palestin malah boleh mengancam keselematan dunia secara keseluruhannya.Ada orang berpendapatan krisis baru berpunca dari perkara ini akan menjadi pemangkin untuk mencetuskan petrang dunia ketiga.Minta dijauhkan Allah.

36.Ini satu lagi ujian besar Allah kepada umat manusia seluruhnya.Ini tentunya satu lagi agenda syaitan yang bakal menjadikan manusia semakin kacau di mana mereka akan terdedah kepada konflik dan peperangan yang lebih besar dan lebih rumit di masa depan.Persoalannya bagaimana isu ini perlu ditangani oleh terutamanya Palestin  kerana perkara ini terpikul di atas belakang dan pundaknya.Dalam kemelut dan realiti yang ada sekarang mampukah Presiden Palestin Mahmoud Abbas menghadapinya.Mampukah dan bersediakah negara-negara Islam yang lain membantunya di saat yang genting dan kritikal ini.

37. Dalam satu kenyataan Presiden Palestin Mahmoud Abbas dipetik sebagai berkata bahawa keputusanTrump istihar Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel adalah "Jenayah terburuk" selain ianya melanggar undang-undang  Antarabangsa.Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan mengambil tindakan segera dengan memanggil dan mengadakan SidangKemuncak Luarbiasa  OIC di Istambul Turki dengan tema "Tindakan Bersama Dalam Semangat Perpaduan Al-Quds".Ia berlangsung pada 13 Disember 2017 dengan di hadiri sendiri oleh hanya enam belas ketua-ketua negara OIC. Sementara yang lainnya menghantar wakil yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan dalam kedudukan yang lebih rendah.Antara pemimpin tertinggi negara OIC yang hadir ialah Hassan Rouhani Presiden Iran,Raja Abdullah II dari Jordan,Michel Aoun Presiden Lubnan.Malaysia diwakili oleh DS Najib selaku Perdana Menteri.

38.Kaadaan dan corak kehadiran ketua-ketua negara OIC di mana hanya enam belas orang sahaja ketua-ketua negara yang hadir sendiri kesidang kemuncak ini daripada 57 anggota OIC memberikan gambaran tentang fokus dan solidariti pemimpin-pemimpin berkenaan terhadap isu yang berbangkit itu.Dalam kaadaan yang seperti ini bagaimanakah isu ini dapat ditangani dengan komitmen yang tinggi dari semua pemimpin Islam kyususnya dari negara anggota OIC itu.Inilah yang menyebabkan Dato' Sri Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Ketua Persatuan Ulamak Sedunia bertanya tentang bagaimanakah mereka boleh menjadi "Ulil 'Amri (Pemimpin yang wajib ditaati) dengan ciri diri mereka yan sedemikian itu.

39. Soalan panas tetap timbul bertanyakan mengapa negara Islam di Asia Barat sepenting Arab Saudi dan Mesir contohnya hanya mengirimkan Menteri Hal Ehwal Agama dan Wakil Kementerian Luar sahaja.Dalam kaadaan yang demikian pula yang ironinya ialah apabila  Nicolas Maduro Perdana Menteri Venezuela yang bukan pun seorang Islam dari sebuah negara bukan Islam pula hadir sendiri meawakili negaranya.Apakah mereka yang tidak hadir berpunca dari kerana telah tunduk atau terikat kepada suatu kuasa asing yang menghalangnya.Inilah antara masalah-masalah disebalik krisis yang melanda seluruh bangsa Arab sekarang.Negara-negara Arab khususnya tidak bersatu untuk menerima dan menentang musuh yang satu.Mereka menjadi lemah.Inilah hakikat utama yang digunakan Israel sehingga dengan mudah mematahkan sebarang percubaan Arab untuk menyerang mereka selama ini..

40. Turki telah mengambil langkah yang cukup berani dengan menganjurkan persidangan ini seminggu selepas Bailtulmuqaddis diistiharkan sebagai ibu kota Israel oleh Trump.Risikonya tentu tinggi bagi Tayyip Erdogan seperti risikonya menyokong Yaman yang berdepan dengan serangan Arab Saudi yang disokong Amerika Syarikat di belakangnya sekarang ini.Kelihatan Turki bakal menjadi pemimpin baru kuasa Islam untuk kini dan akan datang.Semoga Allah memberikan kekuatan dan menyelamatkan negara Turki dalam misi yang besar ini.Nampaknya kalau untuk mencari seorang pemipin yang berciri "Uli 'Amri' Tayyip Erdogan telah menunjukkan beliau layak dengan panggilan itu.Semoga beliau istiqomah dalam perjuangannya memipin pasukan Islam dalam mendepani kemelot ini semua.

41.Walau apa pun dengan berlangsungnya persidangan di Turki itu ia telah menunjukkan soladariti pemimpin umat Islam sedunia dalam berdepan dengan krisis maha sulit yang terjadi zaman berzaman itu.Mereka diharapkan supaya bersatu teguh sehati sejiwa untuk menghadapi Israel.Sikap sambil lewa akan meranapkan Islam di muka bumi ini.Seperti kata Dr Rais Yatim iatu Penasehat Sosio-budaya Kerajaan Malaysia "Dunia Islam tidak harus membenarkan seorang Presiden gila menentukan zaman kemanusiaan Islam masa depan".Ini perlu difahami dan tindakan wajar mesti dilakukan dengan kesatuan umat Islam sedunia yang jitu.

42.Kalau tidak wujudnya kesatuan hati dikalangan semua pemimpin negara-negara Islam di seluruh dunia untuk berdepan dengan cabaran besar dunia Islam sekarang maka masa depan umat Islam akan menjadi lebih suram.Negara Islam akan terus menjadi mangsa,ditindas dan diperalatkan.

43.Ujian dan cabaran besar dari Allah ini perlu ditangani dengan setiap pemimpin Islam kembali kepada Al Quran dan Hadis.Mereka mesti bersatu atas kalimah tauhid yang satu serta kiblat yang satu.Mereka perlu melupakan krisis sesama sendiri kerana perkara itu kecil.Yang lebih besar adalah musuh Allah dan musuh Islam yang kuat teguh berdiri di depan mereka.Pemimpin-pemimpin negara Arab dan semua pemimpin Islam lain seluruh dunia wajib  sedar bahawa  inilah peluang terakhir untuk mereka menyelamatkan masa depan Islam dan umatnya.Isu Baitulmuqaddis bukan hanya isu orang Palesti tetapi isu hidup mati Islam.Isu masa depan Islam.

44.Umat Islam mesti kembali kepada Islam yang syumul .Mereka semuanya mesti  mematuhi semua ajaran Islam dengan sebenar-benarnya sebagaimana ajaran Nabi Muhammad.Mereka tidak boleh berpecah lagi.Semua masalah umat Islam adalah Ujian dari Allah dan sesungguhnya Allah akan menolong umat yang taat dan patuh kepadaNya.Kalau tidak tunggulah azab yang lebih parah,yang lebih pedih.Na'uzubillahi Min Zalik.Ingatlah akan firman Allah bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum,melainkan kaum itu sendiri yang mengubahkannya.Ditangan umat Islam sendiri terletaknya masa depan mereka.










No comments:

Post a Comment