Tuesday, December 26, 2017

PARTI ISLAM SA MALAYSIA (PAS) : 65 TAHUN MEMIKUL PERJUANGAN.

Parti Islam se Tanah Melayu (PAS) kini telah berubah.Ramai penganalisa politik bercakap dengan ton dan nada sedemikian.Mengapa ini terjadi.Jawapan mungkin mudah tetapi mungkin tidak benar.Jawapan mungkin payah ditemui tetapi itu pula kemudian terbukti benar.

Perjuangan Islam.

PAS ditubuhkan untuk menegakkan Islam sebagai addin.Perjuangan Pas adalah berpaksikan Quran sebagai kitab suci bagi orang Islam serta berpegang kepada hadis Rasulullah SAW.PAS diwujudkan untuk mengimbangi perjuangan UMNO yang ditakrifkan sebagai sebuah parti kebangsaan yang bertunjangkan nasionalisma barat yang diajar oleh penjajah British.PAS berhasrat mendokong Islam sepenuhnya dan bercita-cita untuk membentuk sebuah kerajaan penuh dengan pemerentahan corak Islam sepenuhnya.Itu adalah cita-cita yang dipiagamkan dalam perlembagaan parti mereka.

Sejarah penubuhan.

PAS ditubuhkan pada 24 November1952 oleh sekumpulan reformis Islam untuk menegakkan Islam serta didaulatkan ianya di Tanah Melayu .Ianya didaftarkan pada 31 Mei 1955 di Pulau Pinang.Ianya bermula dari parti UMNO sendiri.Dalam UMNO ada diwujudkan  satu bahagian agama yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan.Beliau banyak dipengaruhi oleh pertubuhan Hizbul Muslimin yang diasaskan gerakannya oleh Ustaz Abu bakar Al Baqir yang telah diharamkan oleh kerajaan British tahun 1948.
Pemimpin-pemimpin agama dalam UMNO sangat keciwa kerana beberapa cadangan dasar UMNO yang dikira oleh pemimpin pro-islam sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.Cadangan UMNO memperkenalkan perjudian Loteri menimbulkan tentangan dari pemimpin-pemimpin bahagian agama sehingga mengambil sikap untuk keluar dari UMNO.
Mereka kemudian bergerak dengan mengadakan muktamar ulamak ke- 3,bertempat di bangunan UMNO Bagan, Butterworth.Di sinilah bermulanya muafakat untuk menubuhkan sebuah persatuan Ulamak se Malaya.Ini merintis jalan untuk menubuhkan sebuah persatuan Islam di luar lingkungan dan berasingan dari UMNO.
Akhirnya PAS ditubuhkan atas inisiatif bersama dari Ustaz Othman Hamzah dari Gunung Semanggol. Beliau merupakan bekas AJK Hizbul Muslimin yang pada waktu itu juga sedang memimpin sebuah pertubuhan Islam Al Ehya As-Syarif..Dengan itu PAS telah menggantikan pertubuhan Ulamak se Malaya yang sedang dicadangkan itu.

Gerakan dan perjuangan.

PAS didokong dan digerakkan oleh orang-orang Melayu Islam .Pemimpin- pemimpin mereka terdiri dari  para ilmuan agama yang mendapat pendidikan di dalam dan di luar negara.Penyokong juga terdiri daripada orang-orang Melayu yang berpendidikan Islam serta rakyat yang berminat dengan perjuangan Islam.Ia kelihatan sebagai sebuah parti eksklusif yang yang terbuka hanya kepada orang Melayu Islam.Keahliannya tidak bebas dan tidak terbuka.Dasar dan perjuangannya agak rigid,totok dan kurang bertolak ansur.Perlembagaan parti berasaskan Quran dan hadis demikian juga halatuju perjuangannya.Sekurang-kurangnya itulah pada asalnya,pada prinsip dan pada tiorinya.

Kepimpinan.

Dari mula penubuhannya sehingga sekarang PAS telah memiliki lapan orang presiden.Sebelum 1982 Jawatan presiden dikenali sebagai Yang DiPertua Agong.Gelaran Jawatan yang DiPertua Agong terakhir dipegang oleh Tan Sri  Mohd Asri Muda (1969-1982)  .Beliau digantikan oleh Tuan Guru Yusoff Rawa (1982-1989) dengan gelaran presiden PAS.
Dalam tempoh pentadbiran TG Yusoff Rawa, PAS telah mengalami suntikan baru dengan corak kepimpinan gaya baru dengan membentuk hala tuju baru.Tuan Guru Yusof Rawa sebagai seorang ulamak mengasaskan  kepimpinan Pas dengan menggunakan slogan "kepimpinan Ulamak" .Halatuju yang baru ini kelihatannya memberikan fokus baru dalam perjuangan PAS.Ia menghasilkan rentak baru dalam gerakan dan perjuangan PAS.Dengan paradigma perjuangan yang baru inilah mereka memasuki gelanggang politik moden Malaysia dengan memberikan tentangan yang lebeh berasap kepada musuh utama mereka iaitu Barisan Nasional yang diterajui UMNO.
Di zaman pentadbiran Dato' Haji Fadzil Noor (1989-2002) sebagai Presiden PAS,parti ini melalui pelbagai cabaran perjuangan dan kepimpinan. Kepimpinan dalam tempoh yang panjang ini penuh dengan liku-liku serta laluan sukar untuk dilalui sebuah parti pembangkang yang serba kekurangan .PAS kekurangan dana dan logistik untuk berhadapan dengan Barisan Nasional  sebuah parti gabungan kerajaan yang kukuh dan berkuasa.
Apabila Dato' Haji Fadzil Noor meninggal dunia 2002,tempatnya  digantikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dari Terengganu sebagai Presiden Pas yang baru.Corak dan gaya kepimpinan yang berbeza dengan yang lalu dapat dilihat.Sekali air bah sekali pasir berubah.Itulah yang berlaku setiap kali bertukar pemimpin.Ia tidak terhad hanya kepada PAS.Kaadaan yang sama juga berlaku kepada UMNO dan lain-lain parti di Malaysia.


Perjuangan dan cabaran.

Dalam  dua dekad terakhir kurun ke 20 Malaysia melalui pengalaman politik yang sangat mencabar.Parti pemerentah Barisan Nasional menghadapi goncangan kuat.Dalam tahun 1987 kepimpinan Perdana Menteri  Tun Mahathir menghadapi ancaman besar apabila Menteri Kewangan pada masa itu iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah menentangnya sebagai Presiden UMNO dalam Persidangan Agong UMNO.Meskipun Tengku Razaleigh kalah dalam pertandingan ini tetapi kemenangan tipis Mahathir menjadikan pentadbirannya kurang setabil beberapa waktu selepas pertandingan tersebut.
Ia menjadi lebih parah apabila UMNO diharamkan selepas itu.Usaha untuk menghidupkan kembali UMNO sebagai UMNO (Baru) mengambil masa dan ini menimbulkan kecelaruan dalam politik Malaysia untuk beberapa ketika.PAS telah memperkukuhkan kedudukannya dengan mengintai peluang cuba berbaik dengan Tengku Razaleigh yang kalah an keciwa di tangan Perdana Menteri Mahathir.Ini waktunya di mana PAS berjaya menawan hati Tengku Razaleigh sehingga berjaya membentuk Pakatan Alternatif.Inilah waktunya di mana Tengku Razaleigh berjaya menggunakan pengaruh dan pengalamannya untuk menamatkan kerajaan Barisan nasional yang memerintah Kelantan sejak 1978.

Tuan Guru Nik Aziz dan kepimpinannya.

Barisan Nasional dikalahkan di Kelantan dalam pilihanraya 1991 setelah memerintah Kelantan selama 18 tahun.Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan.Di sinilah bermulanya seorang ulamak mendapat peluang mentadbir sebuah negeri Di Malaysia yang tidak pernah wujud sebelumya di negara ini.
Slogan "Kepimpinan Ulamak" mulai diperkenalkan dan mulai mendasari pentadbiran kerajaan PAS Kelantan.Dengan pelaksanaan dasar ini termakbullah cita-cita Presiden PAS TG Yusoff Rawa .Ia dimulakan di Kelantan .Dasar "Membangun Bersama Islam" kemudiannya dipilih menjadi motto kerajaan Kelantan.Ini sangat kuat memberi pengaruh dan berjaya menawan hati rakyat Kelantan yang 90% penduduknya beragama Islam.
Bolehlah dikatakan kekuatan PAS Kelantan dan kerajaanya sangat bergantung kepada perwatakan,karisma dan integriti yang ada pada Tuan Guru Nik Abdul Azizi sebagai Menteri Besar.Menteri Besar yang berbadan kecil tetapi berjiwa besar ini sangat kuat mempengaruhi dan berjaya menambat hati rakyat.Wataknya yang sederhana serta bersahaja dengan tidak suka bermewah serta tidak mengejar kemewahan dunia menjadikannya ikon kepimpinan ulamak yang dikagumi dan dicontohi bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di luar negeri.Ke mana pun beliau pergi untuk menyampai ceramah atau kuliah agama pasti ditunggu dan dikerumini oleh ribuan peminatnya.Ia dikatakan antara pemimpin pembangkang yang kedudukannya lebih popular dari Perdana Menteri sendiri pada satu-satu ketika.Ia seorang pemimpin agama dan seorang pemimpin politik yang berwatak kontroversi.Bila timbul sesuatu isu baru negara;pandangan dan responnya ditunggu untuk didengar dan diikuti pengikutnya.
Dasar pemerintahan Islam Nik Aziz di Kelantan telah meletakkan asas kukuh politik PAS di Kelantan.Kemunculannya saban minggu di Kelab PAS untuk menyampaikan kuliah ugama sejak sebelum menjawat jawatan Menteri Besar memberikan tapak yang kukuh untuk utuh dan kukuh memimpin PAS di Kelantan.Kedudukanya sebagai Mursyidul Am PAS pula mengukuhkan peranan,penglibatan dan pengaruhnya diperingkat Nasional.
Tuan Guru Nik Aziz adalah seorang pemimpin dua watak yang sangat istimewa semasa hayat di zaman puncaknya.Sebagai seorang Menteri Besar dipimpinnnyanya Kelantan untuk menghayati dasar-dasar Islam sebaik dan secermat mungkin.Sekolah-sekolah agama dibangun dan dimajukan.Sekolah-sekolah tahfiz diberikan pendekatan baru dengan menggabungkannya dengan kurikulum kebangsaan.Masjid dan surau ditingkatkan aktiviti dan peranannya untuk menjadinya sebagai pusat tarbiyah masyarakat.Jual beli dihentikan sementara di waktu maghrib untuk bersolat.Pakaian menutup aurat kepada wanita muslim juga turut diwajibkan dikhalayak.
Dalam mengukuh dan melestarikan perjuangannya untuk menegakkan Islam Tuan Guru kadang-kadang menjadi seorang yang bercakap dan bertindak sehingga menimbulkan kontroversi dan bahan kritikan seluruh negara.Beliau bagaimana pun  tegas mempertahankan pandangannya kerana meyakini bahawa pendapatnya benar kerana ianya disandarkan pada hujjah Quran dan sunnah.
Dalam wibawa dan watak yang demikianlah Tuan Guru Nik Aziz pada satu masa disenangi dan pada satu masa lain bukan sahaja dikritik tapi juga dibenci terutama musuh-musuh politiknya.Dalam kaadaan demikian pun beliau tetap disegani.dihormati kawan dan lawan.
TG Nik Aziz bertugas sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga tahun 2013.Selepas Pilihanraya ke 13 Ustaz Mohamad Yaakub telah menggantikan tempatnya sebagai Menteri Besar.Kelantan memasuki era baru dalam kepimpinan PAS Kelantan.Rentak kepimpinan TG Nik Aziz tidak lagi dikuti oleh pentadbiran baru Kelantan.Kelantan memasuki era baru.

Krisis politik Malaysia.

Krisis kepimpinan dalam UMNO 1997-1998,kyususnya perbalahan antara Tun Mahathir dengan Timbalannya Dato' Seri Anwar Ibrahim membawa kekacauan besar dalam politik Malaysia.Ia ditindih pula oleh Krisis ekonomi Asia di mana Malaysia menghadapi krisis matawang.Nilai matawang Malaysia telah jatuh.Syarikat-syarikat di Malaysia tergugat dengan ancaman penutupan kerana kerugian terjadi secara mendadak.Penyelesaian krisis ini menimbulkan ketegangan politik kerana pandangan DS Anwar sebagai Menteri Kewangan dengan Perdana menteri adalah berbeda.Langkah yang dicadangkan Anwar dikatakan merugikan negara untuk tunduk kepada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa).Kadar bunga yang dikenakan IMF untuk pinjamannya dikatakan Mahathir sebagai memerangkap Malaysia ke dalam krisis yang lebih parah.
Krisis Mahathir-Anwar berakhir dengan polemik diri Anwar sendiri yang terperangkap dalam kes homoseksual.Beliau dituduh terlibat dengan amalan homoseksual yang membawanya dituduh di mahkamah serta membawanya ke penjara.
Tetapi sebelum itu, terutama  selepas DS Anwar disingkir oleh Mahathir dari jawatan Timbalan Perdana Menteri serta dipecat dari ahli UMNO;DS Anwar telah berjaya menggerakkan aginda Reformasi yang kemudian membawa suara pembangkang ke jalanraya untuk berdemonstrasi.Laungan reformasi mula bergema di bandar dan desa Malaysia dari Perlis ke Sabah.Politik Malaysia dalam keributannya mendapat pengalaman baru ketika itu.Barangkali mencapai satu titik matang apabila politik Malaysia bukan hanya berjalan dipentas syarahan tetapi jalan raya mulai digunakan untuk berpolitik.Rakyat mulai pandai berarak dijalanraya serta melaungkan suara anti kerajaan dan menentang pemimpin negara.Ia menjadi lebih besar dari himpunan menentang Malayan Union 1946.
Dalam kaadaan yang bergolak inilah pilihanraya umum 1999 diadakan.Kejayaan PAS menawan Terngganu dari tangan BN adalah tempias langsung dari krisis BN tersebut.Demikian pula PAS dapat mengukuhkan kedudukannya di Kelantan di bawah pentadbiran Tuan Guru Nik Aziz.Pembentukan Barisan Alternatif apabila PAS bergabung dengan PKR,dan DAP memberikan kekuatan baru kepada blok pembangkang.Ini sangat menyumbang kepada kejayaan PAS mengambil Terengganu.Kejayaan PAS menguasai Terengganu menyuntik semangat baru dalam perjuangan pembangkang kyususnya PAS untuk melebarluaskan pengaruhnya di masa depan di Malaysia.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Terengganu.

 Kemenangan PAS dengan merebahkan BN di Terengganu adalah satu kejayaan yang lunak.Sayangnya PAS dapat memerentah negeri minyak itu selama satu penggal  sahaja (1999-2004).Pemerentahan yang singkat ini walau bagaimana pun telah berjaya meletakkan quran,as-sunnah dan qias sebagai hukum yang tertinggi bagi Terengganu.Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 24 April 2003 telah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu)(Pindaan 2003) .Banyak perubahan pentadbiran lain yang dilakukan kerajaan PAS dalam tempoh singkat itu contohnya reformasi pentadbiran tanah serta membuka akaun kerajaan negeri yang bebas riba.
Sayangnya pemerentahan PAS di Terengganu juga penuh dengan tindakan-tindakan lain yang tidak popular.Ini gagal melanjutkan pemerentahan PAS di Terengganu.Tuan Guru Haji Hadi terpaksa mengaku kalah di tangan BN dalam PRU 2004.

PAS dalam kancah politik baru.

Satu ketika DS Anwar muncul menjadi hero Malaysia dengan menonjolkan "Mata Lebam".Semuanya ini menyebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan DS Anwar Ibrahim pada 1 Ogos 2003 mendapat sokongan dan dokongan rakyat yang sangat bersimpati dengan nasib beliau.
Tuan Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan melihat sosok DS Anwar sebagai asset penting untuk didekati dalam usahanya  untuk menentang kepimpinan Tun Mahathir dan Barisan Nasional pimpinannya.Itulah juga sebabnya apabila sahaja Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara selepas Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri;kesempatan diberikan kepada DS Anwar untuk bersyarah di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu,Kelantan tahun 2004 dengan himpunan rakyat yang memenuhi stadium!
Pilihanraya Kecil Permatang Pauh diadakan pada 26 Ogos 2008.DS Anwar Ibrahim menang dan kemudiannya mengangkat sumpah menjadi ahli parlimeN.Beliau mulai kembali aktif dalam politik memimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diasaskan penubuhannya oleh DS Wan Azizah isterinya.Jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di parlimen mengukuhkan lagi kedudukannya untuk berperanan lebih cergas menentang Barisan Nasional.
PAS melihat peluang kerjasama dengan PKR sangat bertepatan pada masanya untuk menghadapi pilihanraya umum 2008.Kerjasama PAS,DAP dan PKR dalam pilihanraya 2008 memberikan pukulan yang berat kepada BN pimpinan Tun Abdullah Badawi.Untuk kali pertama BN hilang majority 2/3 di Dewan Rakyat.Negeri Perak,Kedah,Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang.
Kelantan masih kekal di bawah PAS.TG Nik Aziz masih boleh berlapang dada.
PRU ke 13 adalah PRU terakhir bagi TG Nik Abdul Aziz samada sebagai Menteri Besar Kelantan atau sebagai wakil rakyat.Beliau telah pulang ke rahmatullah dalam bulan Febuari 2015 kerana kanser fostat.Kematiannya meninggalkan legasi kepimpinan yang penuh dengan impak dan kenangan.Hilanglah sebiji lagi permata dilangit zaman.Ia ditangisi oleh kawan dan lawan dalam politik.Jasanya kekal abadi dalam sejarah bangsa untuk diingati,dipelajari dan diteladani.

Era baru PAS.

Tahun-tahun selepas 2013 terutama selepas PRU ke 13 khasnya  selepas TG Nik Abdul Aziz meninggalkan jawatan Menteri Besar Kelantan dasar politik PAS mulai berubah.Pada hari-hari terakhir hayat TG Nik Abdul Aziz beliau mulai mencium asap perubahan yang mulai melanda PAS.
Selepas kematian TG Nik Abdul Aziz krisis dengan DAP dalam Pakatan Rakyat mulai semakin membara.Aginda PAS untuk melaksanakan hukum Hudud di Malaysia telah mendapat tentangan dari rakan DAP dalam Pakatan Rakyat.Ini pada akhirnya berkesudahan dengan pecahnya Pakatan Harapan apabila PAS mengambil keputusan keluar dari Pakatan Harapan dengan menamatkan Tahaluf siyasi dengan DAP.Muktamar PAS telah mengambil keputusan untuk mufarakah dengan DAP  secara berkerat arang berpatah rotan.
Selepas kematian TG Nik Abdul Aziz kelihatan TG Haji Abdul Hadi Presiden PAS menunjukkan minatnya untuk mendekati Barisan Nasional.Perubahan tiupan angin PAS ini menimbulkan banyak tanda tanya.Dato'Seri Abdul Hadi kelihatan menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan BN.Dato' Seri Najib dan Tuan Guru Abdul Hadi sering kelihatan berada dan berucap di atas pentas BN.Mereka bersama di atas pentas semasa BN mengadakan kempen menentang penindasan Myanmar ke atas masyarakat Rohingya misalnya.Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden PAS pula turut berada sepentas dengan Najib dan lain-lain pemimpin BN di Pelancaran Flotilla Food For Rohingya di Pelabuhan Klang.Semuanya menggambarkan PAS dan UMNO -BN seperti senada dan mulai mengatur perjalanan di atas landasan yang sama.Kalau tak ada apa-apa takkan tempua bersarang rendah !.

PRU 13 dan implikasinya.

5 Mei 2013  pilihanraya ke 13 berlangsung.    Keputusan PRU tersebut telah diketahui dan menjadi ukuran penganalisa dan  dan ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang.Bertolak dari keputusan PRU tersebut pelbagai persiapan baru telah dibuat untuk menghadapi masa depan masing-masing.PAS sebagai sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai matalamat perjuangan juga telah dan sedang menyusun strategi baru untuk menghadapi PRU ke 14 yang akan datang dalam tempoh tak sampai setengah tahun lagi dari saat ini.
Kemerosatan undi BN dalam PRU 13 telah diterima umum.Ia menimbulkan ketakutan besar kepada BN untuk menghadapi PRU 14 dengan pelbagai isu baru yang sangat membebankan UMNO dan Barisan nasional sekarang.
Kejayaan Pakatan Rakyat dalam PRU 13 menguasai hampir 53 % undi popular dikalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia menjadi igauan kepada BN.Meskipun BN masih mampu menguasai Putrajaya tetapi pertambahan undi kepada pembangkang sangat membimbangkan BN.Apa yang dikatakan Tsunami China dalam PRU 13,dijangka akan terus menjadi fenomina dalam PRU 14 nanti..Lagi pula yang lebih menakutkan ialah timbul pula tsunami baru. Ianya tsunami Melayu.Ini terjadi sebagai akibat terkikisnya keyakinan pengundi Melayu terhadap kerajaan BN dengan pelbagai isu baru yang timbul dalam UMNO -BN sekarang ini.
Sementara janji-janji PRU 13 masih belum dapat dilaksanakan,bagaimana janji baru PRU 14 dapat ditabur dan dengan mudah dapat dimakan ,dihadam dan dicerna oleh rakyat yang sebenarnya sudah diajar untuk cermat memilih.Rakyat sekarang sudah takut,sangat serik  untuk tersalah makan apa lagi termakan racun untuk kedua kalinya sekarang.
PAS akan memasuki gelanggang PRU 14 dengan pimpinan TG Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS merangkap Timbalan Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia.Kalau dulu bersama TG Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS membantu dan menasehatinya;sekarang situasi telah berubah.TG Yasin Jasin telah menggantikan tempat Nik Aziz dan bawaannya jauh berbeza daripada Nik Aziz.PAS nampaknya tidak lagi berada dalam momentum sewaktu mereka bersama Nik Aziz dengan slogan "PAS FOR ALL" dan bersedia bertahaluf siyasi dengan DAP.Masa sekarang PAS berbalah sengit dengan DAP dan dikatakan berada dalam situasi "bertegur tak bersapa" dengan mana-mana pehak yang berkawan dengan DAP.Demikianlah polemik dan krisis yang sekarang melanda dan mewarnai perhubungan PAS sebagai  "Pembangkang " dengan pehak "pembangkang lain".Anih juga bila PAS mengambil pendirian untuk menjadi pembangkang secara sendirian.Ia kelihatan ingin bertindak bebas tanpa terikat dengan pehak-pehak rakan pembangkang yang lain.Barangkali pengalaman yang diperolehinya selama ini terutama dalam Pakatan Rakyat banyak mengajarnya untuk bersendirian.

PAS  dan  PRU ke 14.

Landskap politik PAS dalam menghadapi PRU ke 14 kelihatan lebih kecamuk.Pemerhati dan penganilis politik membuat pelbagai bacaan terhadap perilaku pemimpin samada BN juga pakatan pembangkang.
PAS kelihatan lebih tidak menentu.Bacaan sesetengah pemerhati politik mungkin keterlaluan dengan mengatakan PAS sudah hilang haluan.Dikatakan PAS sudah tergelincir dari landasan.Dikatakan matalamat perjuangan PAS yang asal sudah tersasar.Kalau demikian bacaan pemerhati politik terhadap PAS,demikian pulalah bacaan Pakatan Harapan yang diketuai Tun Mahathir sekarang terhadap PAS yang sekarang sepenuhnya dikuasai golongan ulamak itu. Begitu kecamuk kaadaan dalam PAS,begitu juga dengan  UMNO yang dikatakan banyak pehak sudah lari dari  perjuangan asal.Semangat 1946 UMNO telah hilang kata mereka.Semangat Tengku Abd Rahman,Tun Razak,Tun Hussein Onn,Tun Abdullah Badawi  dan Tun Mahathir dalam perjuangan UMNO untuk rakyat dan negara telah tersasar sekarang.Kerana itu Pakatan Harapan menentang UMNO- BN.
Apa benar PAS juga tersasar dari landasan perjuangannya yang asal?.Mereka masih bertegas mengatakan bahawa perlembagaan mereka masih kekal berpegang kepada Quran dan hadis.Barangkali perlembagaan adalah satu perkara.Tetapi yang dikatakan tersasar adalah dasar-dasar parti yang kelihatan berubah.Kalaulah PAS sebagai sebuah kereta,ianya sekarang telah dihidup dan  dipandu  oleh "pemandu-pemandu" baru dalam PAS.Wujud kekangan,cabaran dan ujian-ujian baru yang perlukan penilaian semula dalam perjuangan PAS.
Itu kemudiannya menghasilkan keputusan baru yang jauh berbeda dengan pendekatan lama.Ini mempengaruhi  keputusan Muktamar PAS yang berlangsung di Kedah.Dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS pusat  yang berlansung itu, ramai diantara pemimpin PAS dari kalangan professional yang tidak dipilih oleh para perwakilan.Demikianlah Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden PAS) waktu itu,termasuk rakan-rakan sekutunya yang lain seperti Dato' Husam Musa dan Salahuddin Ayub telah tersingkir tersingkir dalam pemilihan tersebut.
Pemerhati politik melihat perkembangan itu terjadi kerana gerakan telah dilakukan oleh beberapa kepimpinan tertinggi PAS untuk menyingkirkan golongan professional dalam PAS.Gerakan untuk mengukukan kepimpinan ulamak dalam PAS wujud berikutan kesedaran bahawa dengan memasukkan kalangan bukan ulamak dalam kepimpinan tertinggi PAS telah menjadikan perjalanan PAS tersasar dari tujuan asalnya ia ditubuhkan berdekad-dekad yang lalu.
Golongan yang disingkirkan dalam Muktamar berkenaan adalah golongan yang dikatakan anti kepimpinan ulamak.Mereka juga dituduh sebagai berusaha untuk merampas pucuk pimpinan PAS setelah dipengaruhi oleh fahaman yang ditanam oleh Parti Keadilan Rakyat pimpinan DS Anwar Ibrahim.Haji Mohamad Sabu dan rakan-rakannya dalam kepimpinan PAS dilabelkan sebagai kumpulan "Anwarinas" .Ia membawa kepada penyingkiran mereka daripada kepimpinan PAS pusat.
Apa yang sangat menarek juga, PAS di bawah kepimpinan ulamak yang baru ini  dalam versi barunya  memperkenalkan sebuah motto perjuangan baru  "Politik Matang Dan Sejatera "
Apakah pendekatan baru PAS menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan merupakan langkah yang cukup bijaksana.Apakah pendekatan yang dibaca sebagai berbaik-baik dan selalu bermain mata sambil berasmara dengan UMNO -BN itu langkah bijak untuk melestarikan perjuangan PAS yang selama ini diperjuangkan.
Apakah merupakan langkah yang bijaksana menyingkirkan kumpulan anwarinas dari PAS.Apakah tidak terfikir bahawa kumpulan ini akan mendirikan sebuah gerakan baru yang memberikan "back fire" kepada PAS.Dan ini sebenarnya menjadi kenyataan apabila haji Mohamad Sabu menubuhkan AMANAH dan sekarang menentang PAS habis-habisan.Rashia dalam bongkar dibongkar habis-habisan dan tembelang PAS dijaja seluruh negara.
Apakah PAS sudah tidak yakin lagi bahawa gabungan pembangkang dapat menjanjikan kemenangan untuk menduduki kerusi di Putrajaya.Apakah PAS pula benar-benar yakin bahawa "solo Run" akan lebih menjanjikan untuk mereka mendapat kemenangan dan mendapat kuasa.Atau samasekali PAS tidak memikirkan perjuangan mereka bukan untuk mendapat kuasa.Kalau bukan untuk itu untuk apa pula PAS berada dalam gelanggang politik piliharanraya.Semuanya menimbulkan tanda tanya sewaktu PAS banyak terliuk apabila ditiup angin.Semuanya menjadi tanda tanya apabila PAS banyak berdolak dalik.Ia banyak meninggalkan teka teki bukan sahaja kepada pehak yang menentangnya malah dikalangan penyokongnya sendiri.Penulis melihat semua kaadaan ini bakal merugikan PAS.Semuanya bakal menghilangkan sokongan orang yang semakin memilih untuk terus menyokong PAS dalam PRU ke 14 ini.
Anih untuk difikirkan sikap PAS sehingga saat sekarang.Beberapa bulan yang lalu banyak orang berpendapat bahawa PAS condong  ke kanan menyokong UMNO -BN.Pemimpin-pemimpin mereka tidak lantang mengkeritik UMNO-BN dalam kempen dan ucapan sebaliknya menghentam Pakatan Harapan.Pemimpin-pemimpin PAS hadir sepentas di dalam majlis-majlis anjuran BN.Pemimpin-pemimpin  PAS bercakap tidak senada dengan fikiran dan buah pendapat yang dibawa pembangkang dalam Pakatan Harapan.
Pemimpin-pemimpin PAS akhir-akhir ini kelihatan semakin lunak dengan UMNO-BN.Ceramah mereka tidak lagi menentang kerajaan tetapi menentang pembangkang juga.Ini yang peliknya.Ahli-ahli parlimen PAS bersikap anih di Parlimen apabila banyak mendiamkan diri dari memilih untuk menghentam keburukan kerajaan.Mereka samada membuat  undian untuk berkecuali  atau mendiamkan diri terhadap sesuatu usul yang dibawa BN di Parlimen.Maka apa sudah jadi.Apakah semuanya ini bersesuaian dengan motto Politik Matang dan Sejahtera yang baru digunapakai PAS.
Pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Harapan telah berusaha untuk memujuk PAS supaya bersedia bersama mereka.Kalau sebenarnya PAS masih sebuah parti pembangkang mengapa mereka sudah tidak bersedia lagi berperanan sebagi pembangkang.Mereka tidak lantang menentang keburukan yang dilakukan kerajaan.Mereka hanya melihat dan memandang.Kalau pun kecaman dibuat tyerhadap apa-apa kelemahan kerajaan ianya ternampak sambil lewa,tidak bersungguh-sungguh .Pulanya ia hanya sekejab dan tidak berterusan.
Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa mereka akan bersendirian untuk menghadapi PRU 14.Apakah PAS yakin mereka akan mencapai kemenangan dengan cara bersendirian.Apakah mereka tidak percaya bahawa kambing yang turun ke padang untuk meragut rumput sendirian bakal dibaham serigala lapar yang geram!.
Apakah isu RUU 355 menjadi garis pemisah yang menamatkan tahalluf siyasi PAS dengan DAP.Apakah isu DAP menentang pelaksanaan Hudud juga menjadi punca PAS bercerai talak tiga dengan DAP.Atau ada perkara-perkara lain lagi yang melatarinya.Masa akan menjawab semua persoalan ini.

Kerjasama UMNO/BN-PAS sejauh mana benarnya.

Banyak orang berpendapat bahawa kejayaan UMNO yang paling besar selepas PRU ke 13 adalah kejayaan mereka berhasil membawa keluar PAS dari Pakatan Rakyat (PR).Runtuhnya Pakatan Rakyat berpunca dari krisis dalaman PR itu sendiri.Campurtangan BN kalau pun benar berlaku hanya menjadi pemangkin untuk meruntuhkannya.Sebenarnya pendekatan yang berbeda antara DAP dan PAS telah dieksploitasi oleh UMNO -BN untuk meruntuhkan pakatan itu.Bagaimana dulunya mereka boleh bersatu.Katanya bersetuju untuk tidak bersetuju.Atas adasr itu tahaluf siyasi (Pakatan Politik) boleh diadakan walaupun berbeza ideologi.Mereka masih boleh bekerjasama kerana matalamat mereka sama untuk mrenjatuhkan UMNO-BN dan bersama untuk menawan Putrajaya.Mengapa selepas PRU 13 mereka berpendirian lain.Mengapa hal yang sama tidak berlaku di zaman Mursyidul Am PAS ketika  TG Nik Abdul Aziz masih berpengaruh dan berkuasa.Makanya ada orang berpendapat kematian TG Nik Aziz membawa keruntuhan kepada Pakatan Rakyat. Ia pula tentunya memberi sumbangan besar menghidupkan UMNO-BN yang sudah tenat dengan pelbagai penyakit.Sesetengah pemerhati politik mengatakan PAS sudah bersedia menjadi pelampong untuk enyelamatkan UMNO-BN yang sudah kelemasan sekarang.
Kemunculan Rang Undang-Undang Persendirian RUU 355 yang kemudiannya dibentangkan oleh TG Haji Abdul Hadi ahli Parlimen Marang rupa-rupanya hanya berjaya dibentang di Parlimen.Yang menyakitkan terutama hati penyokong-penyokong PAS ialah bagaimana ia digagalkan dan tidak dibahaskan.Ia gagal dibahas dalam beberapa kali sidang parlimen selepas sahaja ia dibentangkan.Ia gagal dibahas kerana dikatakan mendapat tentangan hebat dari beberapa parti komponen BN walaupun UMNO beria-ia memberikan sokongan kepada RUU 355 berkenaan.
Kalau sehingga berakhirnya sidang parlimen terakhir sebelum PRU 14 sedang RUU 355 masih belum diberi kesempatan maka nasib nasib RUU 355 untuk  berkubur tidak bernisan akan menjadi kenyataan.Maka siapakah yang boleh dipersalahkan.Pemimpin-pemimpin  PAS naik bengong sehingga barangkali menjadikan TG Haji Hadi tawar hati untuk menghadiri sidang parlimen dalam sessi pembentangan bajet sepanjang Otober-November 2017 baru-baru ini.Difahamkan TG Haji Hadi hanya hadir beberapa kali sahaja sepanjang sidang selama hampir sebulan itu.
Apakah sikap sebenar pemimpin tertinggi PAS ini untuk dengan tepat dapat dibaca dan difahami tujuannya.Apakah Tuan Guru merasa dirinya dan PAS dipermainkan.Apakah pula sekarang ia merasa telah terperangkap dan berusaha mencari jalan untuk melepaskan diri dari perangkap itu.Apakah maknanya pula apabila TG Haji Haji tidak ikut sama dalam majlis UMNO di Masjid Putrajaya dalam kempen Menentang kerjasama Amerika-Israel isu Baitulmuqaddis .Apakah tidak bersedianya Presiden PAS berada bersama dengan pemimpin-pemimpin tertinggi UNMO itu menggambarkan rasa cuak beliau terhadap UMNO yang nampaknya semakin sehari semakin banyak penyakit dan asalahnya.Apakah sikap ini menandakan laluan baru telah terbuka dan memberi harapan baru kepada rakan-rakan pembangkang terutama dalam Pakatan Harapan untuk berunding dan kembali memperolehi sokongan dari TG Haji Hadi yang dikatakan sudah sedar itu.Apakah semuanya itu benar.
Bagaimana pula cita-cita PAS untuk menjadi "King Maker" selepas PRU ke 14 nanti.Apakah akan wujud "Suasana Perak" sekali lagi di mana calon PAS akhirnya terpilih memegang kuasa sepertinya Dato'Seri Nizar dapat menjadi Menteri Besar Perak.Apakah begitu dan semudah itu pula sesuatu itu akan terjadi tanpa dilatari oleh sebarang kemunasabahan yang mencukupi untuknya.Bila PAS nanti begitu yakin untuk menjadi king maker sedangkan mereka hanya menang kecil bagaimana itu boleh menjadi kenyataan.
Apakah dengan memasuki PRU 14 secara solo memungkinkan PAS akan mencapai kemenangan 40 kerusi seperti yang dicanangkan pucuk pimpinan PAS sekarang akan menjadi kenyataan.Semuanya akan terjawap bila PRU 14 akan berlangsung.Kita akan bersama melihat kenyataannya nanti.
Sepanjang yang kita tahu PAS telah memperolehi banyak kerusi dalam PRU yang lepas-lepas adalah hasil kerjasamanya dalam pakatan samada Pakatan Alternatif dan Pakatan Rakyat.Adakah boleh dijamin dalam suasana politik terkini; PAS akan berjaya mengekalkan kerusi lamanya atau terpaksa melepaskan banyak kerusi yang sekarang sedang didudukinya.Apakah juga PAS masih relevan untuk terus kekal dan dapat menyambung pemerentahannya di Kelantan,negeri yang dirampas dari BN sejak tahun 1990.Masa akan menjawabnya.Sehingga saat itu PAS telah menjadi rebutan antara UMNO-BN dan Pakatan Harapan.Di mana sudahnya perebutan itu akan turut mempengaruhi dan menentukan siapa akan menguasai Putrajaya selepas PRU 14 nanti.













No comments:

Post a Comment