Monday, July 9, 2018

APAKAH PUSAT TAHFIZ KITA PERLU DIHAPUSKAN

Tulisan bekas Menteri Penerangan kita Zainudin Maidin dalam blognya Zamkata.blospot menjadi perbincangan ramai.Ada yang bersetuju dengan pandangannya.Ada menentangnya.Ada yang habis-habisan menentangnya termasuk menyumpah seranah kerana katanya bekas menteri itu sudah tidak siuman.Ada pula yang sampai menuduhnya menjadi agen islam libral.Ada pula mengatakan tindakannya itu tidak islamik.

Masyarakat kita sangat sensitif.

Masyarakat kita terlalu sensitif dengan teguran.Masyarakat kita enggan dan malas berfikir panjang untuk memikir apakah hujjah luar biasa yang dikemukan oleh orang lain itu boleh digunakan.Mereka mudah menolak pandangan baru yang membawa perubahan pemikiran.

Supaya berlaku adil kepada penulis blog mari kita melihat kembali hujjah-hujjah yang telah dikemukakan Zam dalam usahanya untuk membela dan menegur satu-satu pihak dalam tulisannya itu.

Meneliti hujjah.

Beberapa pengalaman buruk dan kekurangan sekolah-sekolah tahfiz persendirian telah lama diperkatakan oleh banyak pihak di negara kita ini.
Tragedi kebakaran sekolah-sekolah tahfiz bukanlah hanya bermula di Kuala lumpur dengan mengorbankan 20 anak-anak tahfiz.Ia sudah acap kali berlaku di Kedah,Perak,Kelantan dan di negeri-negeri lain juga.

Ia mungkin bukan tamat di situ.Ia mungkin akan berlaku lagi jika kawal selia oleh kerajaan dan pihak berwajib yang dituntut oleh masyarakat masih terus tidak dilaksanakan maka akan ada lagi kejadian malang seperti itu akan berlaku di tempat lain di negara kita..

Dalam aspek yang lain ketiadaan kawalan kepada penubuhannya menyebabkan sekolah-sekolah tahfiz persendirian itu akan tumbuh dimerata tempat oleh pengusaha-pengusaha yang berbeza.Setiap sekolah tahfiz yang didirikan ini menggunakan pelan dan kaedah pebinaan mengikut cara masing-masing.Belum ada ada suatu standard tertentu dalam membinanya kerana belum ada satu badan khas yang beroperasi secara resmi untuk mengawal dan menetapkan cara dan kaedahnya.

Setakat ini operasinya adalah secara persendirian,bebas dan tidak terkawal.Ia tidak dikawal oleh Kementerian Pelajaran .Ia tidak dikawal oleh mana-mana badan agama persekutuan atau negeri.Inilah yang menyebabkan banyak terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Sekolah-sekolah tahfiz persendirian ini terletak di luar bidang kuasa kerajaan.Ia berada di luar kotak sistem pendidikan kebangsaan dengan teras-teras pendidikan yang telah ditetapkan.Antara sau pusat dengan pusat yang lain kurikulum dan pedagoginya pula mungkin berbeda antara satu samalain.Tujuan dan matalamat penubuhannya juga mungkin berbeda satu samalain.Mungkin tidak terdapat matalamat untuk membina satu masyarakat Malaysia yang cintakan negara atau memupuk perpaduan sebagai satu teras utama dalam pembentukan bangsa Malaysia.

Kebimbangan dan ketakutan masyarakat.

Kejayaan sekolah-sekolah tahfiz persendirian yang sangat terpencil dan sedikit dalam kejayaan melahirkan huffaz  yang professional juga menjadi rungutan sesetengah rakyat.
Kebimbangan pada anak-anak yang menjadi korban kerana dimomokkan dengan sesuatu pandangan agama yang sempit akan kebaikan dan kelebihan mengikuti pendidikan gaya mereka oleh pihak-pihak yang berkepentingan menjadi satu hal pula.

Banyak pula dikalangan masyarakat kita yang berhujjah bahawa sekolah-sekolah tahfiz persendirian itu dijadi satu peluang perdagangan untuk mencari keuntungan dan mengumpulkan kekayaan dikalangan ustaz-ustaz yang sukar mendapat pekerjaan setelah lama terpaksa menganggur.

Mungkin banyak pula penipuan yang timbul bila wujud banyak page dan portal serta laman web yang dibina di ruang maya untuk mencari dan mengutip dana beratus ribu malah berjuta untuk pembinan sekolah-sekolah tahfiz dimerata tempat.Gambar kawasan serta tanah tapak tapak pembinaan ditujukkan untuk mendapatkan keyakinan masyarakat bagi memberikan bantuan dan derma.Apakah semuanya itu benar.Apakah benar wang yang berjaya dikutip itu benar-benar digunakan untuk membina kerja yang diwarwarkan.

Ada pula terdapatnya kes tanah yang diwakaf dan diinfakkan untuk membina sekolah tahfiz tiba-tiba ditukar milik menjadi milik individu ustaz yang mencadang untuk mendirikan sekolah tahfiz itu.

Apa yang lebih malang ialah terdapatnya anak-anak murid sekolah tahfiz yang seolah-olah menjadi pengemis mengutip derma dimerata tempat.Acap terjadi murid-murid sekolah tahfiz yang katanya dari Kedah,Perak dan Perlis yang datang sampai ke Kelantan mengutip derma dengan menjual buku-buku agama,risalah-risalah doa,ubat-ubatan dan lain-lain barang untuk katanya bagi membaiki atau memperbesarkan sekolah-sekolah tahfiz mereka.

Mereka berkeliaran di bank-bank,di stesyen bas atau stesyen teksi di bandar-bandar atau berada di stesyen minyak untuk bertemu pelanggan bagi mengutip derma untuk tujuan yang demikian.Mereka berbuat demikian pada waktu murid-murid lain di sekolah-sekolah  kerajaan sedang tekun belajar di sekolah masing-masing.Mengapa hal ini terjadi.Ini dipandang banyak pihak sebagai suatu bentuk eksploitasi.Anak-anak remaja yang belum matang ini dipergunakan dengan suntikan motivasi agama yang rasanya salah sehingga mereka sanggup diperalatkan sedemikian rupa.Apakah ini bukan suatu bentuk perhambaan kanak-kanak.Mereka dalam banyak kejadian adalah terdiri dari jantina perempuan.Kesian mereka.Jihad apa ini.

Sekolah-sekolah tahfiz persendirian begitu juga sekolah-sekolah agama Arab persendirian yang ditubuhkan secara bebas tanpa kawalan atau separa kawalan oleh pihak-pihak berkuasa kelihatan tidak begitu bertanggung jawab.Terjadinya kes-kes penderaan dan hukuman tidak wajar di luar kawalan peraturan dan disiplin yang digariskan secara resmi .

Tenaga pengajar sekolah-sekolah ini samasekali tidak terlatih atau hanya terdiri dari mereka yang dilantik secara sementara untuk mengisi kekosongan jawatan guru.Ramai terdapat diantara guru-guru tersebut memohon kerja menjadi guru secara sementara sebelum mendapat kerja tetap yang lain.Komitmen mereka ini bolehlah dijangkakan.Ini menjadikan pendidikan terabai.

Sistem pendidikan,situasi sekolah,peluang pendidikan terkini samasekali tidak terdapat untuk dinikmati di sekolah-sekolah persendirian ini.Aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum terkini sama sekali tidak wujud di sini.

Ada pula tuduhan yang menyebutkan bahawa sekolah-sekolah tahfiz itu masih mengamalkan sistem pengajaran pondok yang katanya ketinggalan zaman.

Apakah penyelesaiannya kepada kebimbangan ini.

Ternyata sekolah-sekolah tahfiz telah banyak didirikan diseluruh negara oleh mereka yang berjihad di jalan pendidikan.Apa yang diharapkan ialah supaya niat mereka dan jihad mereka yang mendiri dan menubuhkan sekolah-sekolah demikian bukan untuk memperalatkan agama bagi mencari keuntungan dunia.

Masyarakat mengharapkan supaya kerja melaksanakan perintah Allah itu dijunjung sepenuhnya dalam melaksanakan sistem pendidikan ini.Masyarakat juga mengharapkan supaya sistem pendidikan yang dijalankan di sekolah-sekolah ini perlu digabung jalin dengan sistem pendidikan semasa supaya muris-murid akan menguasai pelbagai disiplin ilmu terutama ilmu terkini untuk kemaslahatan membangun umat sejahtera di dunia dan akhirat.

Pendidikan bersepadu perlu diutamakan.Kita perlu melahirkan ilmuan yang bukan sahaja menjadi hufaz tetapi pakar-pakar dalam bidang-bidang lain seperti matematik dan perubatan misalnya.Inilah corak ilmu yang dimiliki oleh cendekiawan masa lalu di Baghdad atau Cordova Sepanyol sehingga berjaya mengangkat Islam menjadi agama yang dapat memimpin dunia oleh cedekiawan-cendekiawan Islam contohnya seperti Ibn Rusd,Ibn Sinna,Ibn Khaldum dan ramai lagi.

Masyarakat berharap Malaysia baru akan berhujjah dengan fikrah baru.Masyarakat menunggu untuk setiap kekurangan masalalu diperbaiki.Orang-orang Islam di Malaysia menunggu banyak kelemahan pengurusan Islam masa lalu dapat diperbaiki dan diperbetulkan.Kita perlu kembali kepada ajaran Islam yang betul,soheh dengan mengikut peredaran zaman.Kita mahukan orang Islam dapat keluar dari kepompong kejumudan dan taklid yang membuta tuli kepada kecerdikan aqal dengan nas dan dalil yang soheh.

Kementerian Pendidikan serta lain-lain kementerian yang berkaitan dengan urusan agama serta pelbagai agensi kerajaan yang ada perlu diberikan peranan yang jelas untuk menyelia dan memantau semua jenis sistem pendidikan yang ada supaya matalamat pendidikan nasional tidak ditinggalkan oleh sesiapa.

Semuan jenis sekolah yang wujud dan bakal ditubuhkan perlu mengikut garis panduan dan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.Kerajaan perlu tegas menguatkuasakan dasar dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kita juga pada masa yang sama mengajak masyarakat Islam seluruhnya untuk kembali kepada BACA-FAHAM-AMAL Al Quran.Insya Allah kita akan selamat dunia dan akhirat.


No comments:

Post a Comment