Sunday, July 8, 2018

DARI TAHALLUF SIYASI KE POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA

Di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abd Hadi  PAS telah melalui beberapa fasa politik yang penting.Tetapi lama sebelum itu Tuan Haji Yusoff Rawa sebagai pemimpin tertinggi PAS telah mengasaskan kepimpinan Ulamak dalam PAS.Mereka yang berpendidikan agama di luar atau di dalam negara disyaratkan layak untuk menerajui kepimpinan tertinggi PAS .Ia berlaku diperingkat pusat dan negeri-negeri.

Ubah suai corak kepimpinan.

Di zaman pentadbiran Ustaz Fadhil Nor dasar dasar kepimpinan Ulamak terus subur dan kekal berkembang.Ia didokong kuat oleh Mursyidul Am seperti Tuan Guru Bentara Setia Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat juga Tuan Guru Haji Abd Hadi sendiri.Demikian juga Dato' Haron Din memberikan kekuatan menyokong kuat gaya kepimpinan ini.Dewan Ulamak diperkukuhkan dengan peranan dan fungsi untuk mengawal supaya perjalanan politik dapat ditentukan berjalan selaras dengan gaya kepimpinan yang dipilih.

Meskipun demikian selepas PAS dapat menguasai Kelantan berikutan dari Piliharaya 1991 corak pemerintahan yang berteraskan kepimpinan ulamak telah mengalami akomodasi dan asimilasi.

Kemasukan calon-calon kalangan professional dalam pilihanraya dan kemudian menang telah membawa masuk wakil-wakil rakyat dari kalangan ini ke Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi mewakili PAS.Ini perkembangan baru yang menarik.Bagaimana mereka boleh diterima dalam kepimpinan ulamak sedang mereka dikatakan berpendidikan sekular.Bagaimana pun alasan yang dibawa untuk memasukkan mereka adalah kerana dirasakan kebolehan dan kemampuan mereka tentang hal ehwal pentadbiran negeri dan negera turut diperlukan .Untuk mentadbir sebuah negara diperlukan ilmu dan pengetahuan lain selain dari pengetahuan ugama yang berpaksikan Quran dan Hadis sahaja.Ilmu dunia turut perlu dalam mengurus sebuah negara moden yang pelbagai dan rencam ini.

Demikianlah kelihatan Mohamad Sabu,Husam Musa,dan Nasruddin Ayub memasuki gelanggang politik PAS di Kelantan.Mereka kemudian bertapak kukuh dengan dokongan kuat dari Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abd Aziz.Peranan mereka berjalan seiring dengan sahabat-sahabat wakil rakyat yang lain dari kalangan ulamak.
Diantara mereka Husam Musa mendapat tempat yang kukuh apabila berjaya mendapat perhatian Tuan Guru Menteri Besar apabila berjaya melangkah naik dari satu jawatan ke jawatan yang lebih tinggi dalam hiraki kepimpinan di Kelantan.

Kekeliruan dan kebimbangan.

Kedudukan Husam Musa dari kalangan orang professional dan kejayaannya mendapat perhatian Menteri Besar Tuan Guru Nik Abd Aziz mungkin dipandang secara berbeza dikalangan wakil rakyat ulamak di Kelantan.Ini kemudiannya menimbulkan sesuatu yang impaknya kurang positif.Perpaduan antara terutama exco dari kalangan ulamak dan professional yang menganggotai Dewan Undangan Negeri kemudian menjadi berpuak.Mereka bersuku-suku.Ini kemudian membawa perpecahan dan irihati yang sepatutnya perlu dielak dalam sebuah perjuangan memertabatkan Islam dalam PAS.Wujud perasaan bimbang serta rasa tidak yakin dan tidak percaya sesama mereka.Ini membawa perpecahan dalam PAS.

Politik PAS 1990-1997

Dalam PRU ke 8 tahun 1990 PAS sempat bekerjasama dengan YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah yang menubuhkan Semangat 46.Tengku Razaleigh telah keluar dari UMNO berikut krisis yang berlaku diantara beliau dengan Dato Sri Dr Mahathir(Tun) selaku Perdana Menteri waktu itu.Kekalahan tipis Tengku Razaleigh dengan 43 undi dalam pertandingan merebut jawatan Presiden waktu membawa perpecahan besar kepada UMNO waktu itu.Ini terjadi  apabila Kem-kem politik yang dibina oleh kedua-dua pemimpin semasa pertandingan mulai menyokong pemimpin mereka masing-masing.Meskipun yang menang tidak menang semua tetapi yang kalah merasa sangat keciwa dan memakan hati.

Ini membuka suatu ruang baru dalam politik Malaysia apabila Tengku Razalegh Hamzah memutuskan untuk menubuhkan Semangat 46 .Di belakang Tengku Razaleigh berdirinya YTM Tengku Abdul Rahman Perdana Menteri pertama yang masih hidup ketika itu.Demikian juga turut disokong oleh Tun Hussin Onn Perdana Menteri ketiga.Masing-masing mereka tidak bersetuju dengan Tun Dr Mahathir mentadbir Malaysia.

Kerjasama politik PAS-Tengku Razaleigh dengan Semangat 46 dalam mengharungi PRU ke 8 tahun 1990 membawa kejayaan besar kepada PAS. PAS berjaya mengambil alih semula pentadbiran Kelantan yang sejak 1978 dikuasai UMNO / BN.Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar yang baru.Corak kepimpinan ulamak gagasan yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Yusoff Rawa mulai mendapat dokongan yang baik di Kelantan.

Satu lagi kejayaan kerjasama itu ialah apabila Negeri Terengganu juga dapat dirampas oleh PAS dari tangan UMNO untuk menamatkan penguasaan Dato Sri Wan Mokhtar sebagai Menteri Besar negeri itu.Dato' Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar PAS.
Dalam PRU ke 8 itulah juga PAS berjaya memenangi 7 kerusi Parlimen suatu pencapaian terbaik selama diadakan pilihanraya di negara ini.Ini adalah hasil perkongsian politik.

Senario politik Malaysia selepas 1997.

Kemelesetan ekonomi 1997 membawa suasana redup kepada politik Malaysia di zaman pentadbiran Tun Mahathir.Pertelingkahan Mahathir -Anwar menjadi semakin parah apabila dikatakan Anwar merancang untuk menjatuhkan Mahathir sebagai Perdana menteri.Pendekatan yang berbeza antara Mahathir dan Anwar dalam menyelesaikan krisis kewangan 1997 menjadikan krisis antara keduanya menjadi bertambah buruk.

Politik Malaysia mengalami perubahan drastik selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim berdepan dengan tuduhan berkaitan skandal seks kemudiannya.Ia kemudiannya telah dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilucutkan pula keanggotaan UMNOnya.Inilah ketika bermulanya suara reformasi yang mana jalanraya mula digunakan untuk menentang pemerentah yang dituduh melakukan kezaliman.Anwar dijadikan ikon reformasi.Untuk menutup pergerakan Anwar maka beliau kemudiannya dipersalahkan oleh mahkamah untuk menerima hukuman penjara.

Parti Keadilan Nasional (PKN) (Kemudiannya ditukar menjadi Parti Keadilan Rakyat)telah ditubuhkan untuk menghadapi UMNO / Barisan Nasional oleh DS Anwar Ibrahim.Apabila Anwar Ibrahim dipenjarakan maka Dato Sri Wan Azizah telah mengambi alih tempat Anwar suaminya untuk meneruskan perjuangan PKR.Nurul Izzah selaku anak sulung Anwar juga mulai dididik untuk turut mendokong dan memberikan kekuatan kepada PKR.

Dari Barisan Alternatif  ke Pakatan Rakyat

Dalam menghadapi PRU ke 10 tahun 1999; PAS telah mengadakan kerjasama dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) yang diterajui Anwar.Kemudiannya DAP turut serta dalam gabungan ini untuk membentuk Barisan Alternatif.Kerjasama ini dicanangkan oleh pemimpin PAS sebagai suatu pakatan atau kerjasama politik yang dipopularkan oleh mereka sebagai Tahaluf Siyasi.Suatu kertas konsep dikeluarkan bagi menjelaskan tujuan dan rasionalnya kerjasama tersebut kepada rakyat seluruh di negara ini.

Dengan pendekatan tahaluf siyasi tidak lagi isu halal haram yang ditimbulkan berkenaan kerjasama diantara orang Islam dan bukan Islam.Perjuangan PAS yang totok Islam sejak 1959 dikatakan oleh pemerhati politik mulai lebih bijak,rasional dan matang.Isu kafir mengkafir sudah cuba dilenyapkan.

Melalui Barisan Alternatif parti pembangkang ini memperolehi 27 kerusi parlimen merupakan pencapain yang sedikit baik dari PRU sebelumnya.

Dalam PRU II tahun 2004 DAP tidak lagi menyertai Barisan Alternatif.Bersama dengan PKR pada waktu itu PAS hanya berjaya mendapat 7 kerusi parlimen sahaja. PKR adalah nama baru dari asalnya PKN. PKR dilahirkan pada 3 Ogos 2003.

DAP kembali menyertai Pakatan Rakyat (menggantikan Barisan Alternatif) dalam PRU 12 (2008) bersama PAS dan PKR.Dalam PRU ini PAS berjaya mendapat 23 kerusi Parlimen.PAS juga nampaknya masih berjaya mempertahankan momentumnya dalam PRU 13(2013) dengan pakatan yang baik  dan mencapai kejayaan 21 kerusi parlimen.

Berakhirnya Tahaluf Siyasi PAS.

Kematian TG Nik Abdul Aziz pada 2 Feb 2015 dan bertukarnya kepimpinan Ketua Dewan Ulamak PAS pusat dari tokoh itu kepada seorang pengganti yang baru nampaknya membawa perubahan baru dalam arah perjuangan PAS di Malaysia.

Kekeciwaan PAS selama berada sekapal dengan DAP sejak sekian lama dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat tidak dapat diubati sehingga PAS mengambil jalan keluar dari pakatan tersebut pada akhirnya.Perjuangan Islam yang dibawa PAS secara ikhlas tidak dapat diterima oleh DAP.Kenyataan pemimpin DAP yang keras dan tidak mempertahankan "Tahalus Siyasi" yang disepakati bersama menjadi pemangkin yang memecahkan pakatan tersebut akhirnya.

PAS tidak lagi mempunyai pilihan apabila RUU 355 yang dibawa oleh PAS ke Parlimen mendapat tentangan kuat. Ia bukan sahaja dari MCA parti gabungan Barisan nasional tetapi dari DAP sendiri iaitu parti Gabungan Pakatan Harapan di mana PAS bersamanya.Ini tidak lagi boleh dikompromi,Ia sudah dikira melampau.Cacing sudah ke mata..

Apa yang tetapinya ialah terdapat pula dikalangan sesetengah pemimpin PAS pusat tetap bersuara  tidak bersetuju dengan keputusan membawa keluar PAS dari Pakatan Rakyat.Inilah yang dikatakan kumpulan "Anwarinas" atau juga lebih popular disebut puak-puak "Jebon".Mereka terdiri dari antaranya  Muhamad Sabu,Sallahuddin Ayub,Husam Musa,Khalid Samad dan kemudiannya Mahfuz Omar.

Apa pun perkembangannya;Muktamar PAS di Kedah mengambil keputusan supaya PAS keluar dari Pakatan Harapan.Dewan Ulamak juga telah mengesahkannya lebih awal.

PAS terpaksa keluar dari Pakatan Harapan walau pun ia begitu berjasa membawa banyak kejayaan kepada PAS dalam dua dekad lalu.Tiada lagi tahaluf siyasi.Good bye tahaluf siyasi.PAS kemudiannya menjenamakan semula produknya dengan label baru "Politik Matang dan Sejahtera".

Malaysia kemudiannya menyaksikan kumpulan Anwarinas atau geng Jebon dikeluarkan semuanya dari menduduki jawatan-jawatan tertinggi dalam kepimpinan pusat PAS.Kumpulan Jebon berjaya dikalahkan dalam muktamar tersebut apabila langkah menyusun semula kepimpinan ulamak dalam PAS diperbaharui semula.Mereka dari golongan professional dalan geng Jebon seolah-olah tidak diperlui lagi dalam PAS.

Inilah permulaan baru politik Malaysia apabila tumbuhkan PAN (Parti Amanah Negara)yang digerakkan oleh Muhamad Sabu untuk menghidupkan gagasan tahaluf siyasi yang didokong kuat oleh allahyarhan TG Nik Aziz.Parti ini memandang lunak kepada DAP dan banyak berguru kepada PKR.

Politik matang dan sejahtera memasuki gelanggang PRU 14.

Ini tarian baru bagi PAS.Dengan pencak silat yang baru maka gendang serunai juga perlu ditukar baru.Itulah analogi kepada politik PAS memasuki gelanggang PRU 14 selepaskan meninggalkan agenda tahaluf siyasi dokongan allahyarham TG Nik Abd Aziz.

Politik matang dan sejahtera menolak kerjasama dengan terutamanya DAP rakan lama mereka dalam Pakatan Rakyat .Mereka juga pada akhirnya menolak PKR yang kekal lunak dan katanya bersekongkol dengan DAP menentang RUU 355 apa lagi agenda memperkenalkan Hudud.

Lebih selesa & yakin bersendirian.

Selepas PRU 13 PAS sedang menikmati 21 kerusi parlimen yang dimenanginya bersama Pakatan Rakyat.Pemimpin-pemimpin PAS yakin bahawa kemenangan itu bukan disebabkan kekuatan jentera DAP atau PKR sebaliknya kedua-dua rakan kongsinya itu turut menang kerana jentera yang dimiliki PAS.

Atas rasional tersebutlah pemimpin PAS yakin bahawa dengan meninggalkan Pakatan Rakyat kedudukan PAS tidak akan tergugat.Mereka juga yakin bahawa semua -penyokong PAS atau sebahagian besar dari mereka sebenarnya menyokong corak kepimpinan ulamak yang mula diperkasakan selepas PRU 13 itu.

Mereka juga mengambil sikap berlembut dan agak lunak dengan UMNO / BN. Ini menyebabkan parti-parti pembangkang yang lain menuduh PAS bersedia untuk bekerjasama dengan BN pula.Dalam waktu kelunakan itulah timbulnya pelbagai tuduhan dan tohmahan akan perubahan sikap PAS lewat itu  adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor.

PAS menghadapi kekurangan dana untuk menggerakkan PRU 14.Selama ini golongan professional yang berada dalam PAS memainkan peranan besar mendapatkan dana dari pelbagai sumber dari sana dari sini untuk PAS.Ketiadaan mereka dalam PAS kerana katanya sengaja dirancang akan kekalahan mereka dalam muktamar pemilihan, menyebabkan sumber dana baru gagal diperolehi.

Adalah dikatakan bahawa PAS mencari sumber baru untuk dana PRU nya.Demikianlah dikatakan sikap lunak PAS kepada UMNO selepas PRU 13 adalah kerana PAS telah termakan "dedak" UMNO / BN.Itulah tuduhan yang dikatakan oleh puak pembangkang yang tidak sekapal dengan PAS.

Kalau boleh dilihat kepada perkembangan yang lebih awal dari itu sebenarnya kelihatan UMNO berusaha keras  untuk memecahkan Pakatan Rakyat.Usaha menghasut PAS untuk menolak DAP dilakukan dengan pelbagai cara.

RUU 355 adalah perangkap.

Adalah dilihat oleh oleh banyak penganalisis politik bahawa langkah UMNO / BN menyokong RUU 355 adalah untuk memenangi hati Haji Hadi dan pemimpin PAS supaya yakin akan kejujuran UMNO / BN untuk menyokong perjuangan Islam PAS.Tidak pernah ada dalam sejarah parlimen Malaysia dimana suatu Rang Undang diberikan kepada pehak pembangkang untuk membentangkannya di Parlimen.Tetapi kali ini berlaku.Ia dilihat sebagai perangkap UMNO untuk mengikat PAS supaya lunak atau condong berpehak kepada mereka.Nampaknya jadilah kerana budi tergadai body.

Itulah yang terjadi sehingga apabila sehingga hampir menjelang PRU 14 pun RUU 355 masih tidak dibahaskan di parlimen.PAS mungkin menyedari mereka telah ditipu tetapi perangkap yang mengena sukar dilepaskan.

Ini juga mempengaruhi sikap PAS untuk bertarung di gelanggang PRU 14 secara sendirian.Sebenarnya bukan secara total bersendirian.Masih juga ada seperti kerjasama dengan Parti Cinta Malaysia pimpinan Tan Sri Kadir Sheikh Fadhil  untuk membentuk Pakatan Sejahtera dengan katanya disokong oleh sekian banyak NGO yang pro perjuangan PAS.

PAS Menolak kerjasama : enggan sekapal dalam Pakatan Harapan.

Pada akhirnya PAS bukan sahaja tidak mengadakan pakatan secara sah dengan UMNO /BN tetapi lebih dari itu menunjukkan sikap permusuhan yang jelas dan terang kepada Parti BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang diasaskan penubuhannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.Demikian juga sikap PAS kepada Parti AMANAH yang ditubuhkan oleh Mat Sabu selaku ketua geng Jebon yang lebih dahulu ditendang keluar dari kepimpinan pusat PAS seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Barangkali kalau bukan kerana merasa tertipu oleh UMNO yang memberikan dokongan pura-pura kepada RUU 355:PAS mungkin akan berkongsi lebih rapat dengan UMNO /BN dalam PRU 14.Tetapi kepura-puraan UMNO pada akhirnya lebih terserlah untuk pada akhirnya mereka juga dikecam dan dibenci oleh PAS meskipun tidak secara terbuka.

Pembentukan Pakatan Harapan tanpa PAS.

Kehilangan PAS dari bahtera  Pakatan Rakyat telah berjaya membawa dua rakan baru tanpa diduga oleh sesiapa pun sebelum tertubuhnya kedua-dua parti serpihan itu.PPBM (BERSATU) adalah serpihan dari UMNO sementara AMANAH adalah serpihan PAS.

Tun Mahathir tidak pernah berfikir untuk menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Rakyat Malaysia(PPBM).Ia berlaku berikutan kegagalan bekas Perdana Menteri itu untuk mengajak DS Najib selaku Perdana Menteri pada masa itu untuk memperbaiki UMNO yang telah dirosakkan oleh DS Najib.

Apabila kerosakan UMNO dan institusi negara sudah dipandang semakin teruk oleh Tun Mahathir ia mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.Ini termasuk pada satu ketika mendesak DS Najib supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pada saat itu krisis antara Tun Mahathir dengan DS Najib seperti  berpatah arang berkerat rotan.Tidak boleh disambung lagi.Inilah waktunya sewaktu segala langkah lain untuk menamatkan kekuasaan Najib gagal dilakukan telah mendesak Tun Mahathir menubuhkan Parti Pribumi (BERSATU)  dengan tujuan untuk menjatuhkan Najib melalui pilihanyara.Tum Mahathir berusaha mempengaruhi dan menjelaskan kepada rakyat mengapa Najib sebagai Perdana Menteri tidak lagi boleh dipertahankan lebih lama.

AMANAH yang terlebih dahulu ditubuhkan oleh Mohamad Sabu dengan untuk juga menjatuhkan DS Najib adalah sehaluan dengan pendirian Tun Mahathir dan rakan-rakannya yang lain dalam mengusahakan penubuhan Parti BERSATU.

Kedua-dua parti ini kemudian menjadi sekapal dalam Pakatan Harapan yang ditubuhkan apabila Pakatan Rakyat dibubarkan.Dengan kemasukan Parti Bersatu ke dalam Pakatan harapan menjadilah PH komponen empat parti yang terdiri dari PKR,DAP,AMANAH dan BERSATU.

Inilah element baru dalam politik Malaysia yang digembelingkan dengan jayanya oleh Tun Dr Mahathir dengan semangat pembangkang yang jitu.Cita-cita yang satu untuk menyelamatkan Malaysia dan menjatuhkan DS Najib akhirnya mendapat sokongan rakyat.

PAS terus istiqomah mengambil sikap sendirian dan yakin menang.

Sewaktu Pakatan Harapan semakin mendapat sokongan rakyat, PAS pula semakin yakin akan kekuatan diri sendiri untuk juga mendapat sokongan rakyat.PAS yakin akan sokongan Melayu kepada mereka.Mereka cukup yakin beberapa negeri akan dapat dikuasai mereka.

Kajian INVOKE sebuah badan pengkaji trend PRU 14 yang diasaskan oleh bekas YB Pandan Rafizi Ramli tidak sedikit menggugat keyakinan PAS.Kajian INVOKE yang menyebut bahawa PAS kehilangan total sokongan pengundi dalam PRU 14 jelas tidak benar samasekali sebagaimana yang diyakini oleh pemimpin dan penyokong PAS sewaktu gelora PRU bergelegak.

Jelas kemudiannya dengan visi politik matang dan sejahteranya PAS sekali lagi dapat menguasai Kelantan dengan kemenangan bergaya.Berjaya pula menguasai Terengganu semakin memaniskan lagi kejayaan PAS 8untuk PRU ini.

Kegagalan PAS menjadi kerajaan melalui PRU 14 bukan semata-mata bermakna kegagalan.PAS masih memperolehi 18 kerusi parlimen walaupun bergerak secara sendirian.Kedudukan ini hanya kurang tiga kerusi dari pencapaiannya dalam PRU 13 sewaktu bersama Pakatan Rakyat.PAS juga mampu mengangkat  kegagalannya sebagai kejayaan di Kedah dengan 3 kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.Demikian pencapaian 8 kerusi DUN oleh PAS di Pahang cukup menjadi asas untuk tapak PAS dalam PRU akan datang.

Harapan dan kemungkinan.

Sejauh mana Politik matang dan sejahtera PAS akan kekal digunakan sebagai visi untuk PRU 15 masih belum dapat ditentukan.Sementara persaingan dari UMNO yang semakin padam dan imej PAS yang semakin meningkat,harapan PAS untuk memberikan cabaran yang lebih besar kepada kerajaan Pakatan Harapan adalah sangat tinggi.

Sementara UMNO dalam  BN yang telah kembali kepada pokok asal dengan hanya tinggal tiga parti termasuk MCA Dan MIC ;barangkali harga BN semakin menurun pada masa akan datang.Pemilihan DS Dr Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan baru-baru ini nampaknya tidak memberikan harapan besar untuk parti itu dapat berkembang dengan baik untuk mampu mencabar kerajaan PH.

Politik Malaysia semakin menarik untuk ditulis dan diperkatakan.Segalanya masih baru bercaturan di pentas negara dan dunia..Demikianlah barunya  kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih kelihatan terkial-kial untuk melunaskan janji 100 hari kemenangannya.

Sebuah kerajaan baru mengisi sebuah lubang besar yang telah diduduki lebih dari setengah abad oleh penguasa yang lalu tidaklah semudah itu untuk diisi apa lagi dikuasai oleh penguasa yang baru.Berilah mereka peluang untuk membuktikan kemampuannya membina dan membaiki kerosakan yang dijanjikan.

PAS mesti mengintai peluang ini untuk bertindak dan mencari jalan untuk mengambil kuasa.Mampukah PAS mengatur langkah ke arah itu.Sejarah akan merakam semuanya.Allah akan menentukannya.







No comments:

Post a Comment